Kadang kala kita kaum wanita ini nak jadi terlalu sempurna hingga ‘makan diri’ sehingga rasa stres. Ada juga yang alami trauma, sedih dan mengalami kegagalan dalam hubungan dengan pasangan dan mendidik anak. Begitu juga dengan orang sekeliling serta persekitaran kerjaya dan sebagainya yang menjurus kepada emosi tertekan.
Namin jika kerap berlaku dalam hidup tentu memberi tekanan akibat memendam rasa. Seterusnya apabila emosi tertekan menjadi kronik, ia boleh menjurus kepada pengambilan ubatan untuk rawatan setelah berjumpa pakar terapi.
Apa yang pasti, pilihlah bahagia untuk hidup lebih gembira. Tenang hadapinya dan ‘lepaskan’ rasa tertekan itu.
Begitulah sebagaimana perkongsian pakar terapi ini, Puan Norzi Malek dan belia juga memberi tip teknik untuk hadapi tekanan itu dengan tenang.
Ikuti perkongsian ini.
Tadi masa tengah lunch date dengan suami, tiba-tiba ada orang menegur saya.
“Assalamualaikum Cikgu, lama tak jumpa Cikgu.”
Terus saya berpaling memandang. Rupanya beliau adalah pesakit yang datang buat therapy beberapa tahun lepas disebabkan beliau mempunyai Depression dan Anxiety.
“Ehh..eh.. Aini, lama tak jumpa. Kenapa dah tak datang therapy?” soal saya.
“Alhamdulillah saya dah sihat Cikgu. Syukur banyak-banyak. Dah 4 tahun doktor hentikan saya dari makan ubat. Saya dah tak stress.”
“Ya Allah, alhamdulillah! Macam mana boleh jadi macam tu?” Teruja dengar. Saya pun bertanya lagi.
PILIH PELUANG KEDUA- BAHAGIA
“Saya ikut satu nasihat Cikgu. Saya beri diri saya PELUANG KEDUA. Saya berhak untuk bahagia.” Dia membalas dengan satu senyuman yang saya pasti itulah senyuman dari orang yang berasa bahagia.
Pertemuan tanpa sengaja seperti itu memang akan membuatkan saya berfikir panjang.
Benarlah kata orang,
“Tak akan ada pelangi jika hujan tak menghampiri, akan selalu ada bahagia selepas kamu menitiskan air mata”.
IKUTI TEKNIK INI ELAK STRES
Buat teman-teman yang hadapi masalah kesihatan mental, saya kongsikan salah satu aktiviti therapy sekiranya anda mengalami Stress, Anxiety mahupun Depression. Teknik ini sangat mudah tetapi membawa perubahan besar kepada hidup anda.
Senaraikan peristiwa trauma
Tuliskan di atas sekeping kertas, apakah peristiwa trauma yang kita hadapi dalam hidup atau perkara yang menyedihkan dan menyakitkan jiwa raga kita pada masa yang lalu. Boleh juga menulis perkara yang paling menyesal kita dah lakukan dalam hidup kita.
Tarik nafas
Selepas senaraikan semua itu, pejamkan mata. Deep breathing selama 10 kali dan katakan kuat-kuat,
“Wahai Tuhanku, atas semua kesengsaraan, trauma, kesedihan, penyesalan dan peristiwa menyakitkan yang berlaku dalam hidupku, aku maafkan semuanya. Maafkan orang yang aniaya aku, maafkan orang yang buat jahat pada diriku dan aku juga MAAFKAN DIRIKU atas semua kesalahan yang aku lakukan.
Katakan nak peluang kedua pada diri
Aku berikan diriku PELUANG KEDUA UNTUK BAHAGIA. Dan AKU BERHAK UNTUK RASA BAHAGIA. Aku lepaskan semua dendam dan amarah yang berada dalam diriku. AKU MAAFKAN SEMUANYA.”
Mohon kepada tuhan
Kawan-kawan,
Untuk bertaubat atas segala kesalahan yang telah kita lakukan, hendaklah secara langsung antara kita dengan Tuhan.
Namun untuk kesalahan yang orang lain dan kita lakukan, kita juga perlu memaafkan diri sendiri dan diri mereka.
Lepaskan rasa itu.
Beritahu diri dan jiwa kita.
Kerana hanya kita tahu apa yang jiwa kita inginkan.
Koyakkan kertas senarai trauma
Akhir sekali, koyakkan kertas itu dan masukkan ke dalam tong sampah.
Beri tahu kita layak bahagia
Kadang-kala ada benda yang kita tersilap langkah membuatkan kita menyesal seumur hidup. Beritahulah diri, kita layak untuk mulakan hidup baru yang bahagia.
Beri kemaafan pada kisah silam kita.
Beri kemaafan kepada ibu bapa yang mungkin ada khilaf dalam mendidik kita.
Beri kemaafan pada peristiwa dibuli semasa kita kecil.
Maafkan diri kesalahan didi anak dan taati pasangan
Beri kemaafan pada diri sendiri jika terdapat kesalahan kita dalam mendidik anak-anak dan dalam mentaati pasangan.
Beri kemaafan pada setiap peristiwa yang memberi kita rasa dendam serta trauma.
Juga beri kemaaafan pada setiap peristiwa yang membawa kesedihan dan penyesalan dalam hidup.
Lepaskan Beban itu
Lepaskan beban itu
Maafkan setiap dosa.
Untuk diri mereka atau diri kita.
Beri diri kita PELUANG KEDUA.
Kerana kita LAYAK untuk RASA BAHAGIA.
Norzi Malek
Dari Therapist Untuk Therapy
Isnin, 23 Disember 2019