Anda mungkin mengalami vertigo?
“Kepala saya yang berpusing ini dah berhari-hari macam ini, tak berkurang langsung. Macam nak pecah kepala!”
Pernahkah anda alami masalah pening kepala, tidak boleh langsung membuka mata, terasa seperti berpusing-pusing dunia ini?
Nah, ini info ringkas tentang masalah pesakit vertigo!
Vertigo ialah masalah umum yang dialami oleh kira-kira 40% orang sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.
Ia akan menyebabkan pesakit berasa seolah-olah diri sendiri atau keadaan sekeliling mereka berpusing.
Sesetengah penyakit, jangkitan, trauma kepala dan proses penuaan semulajadi boleh menyebabkan perubahan dalam keseimbangan telinga dalam.
Walaupun gejala ini mungkin hanya berlaku selama beberapa jam atau hari, namun simptom mungkin boleh berlarutan selama bertahun-tahun jika tidak didiagnos dan dirawat!
Masalah ini boleh dibantu dengan kaedah perubatan, pembedahan atau pemulihan vestibular.
Apa simptom-simptom yang akan dialami pesakit?
Anda mungkin akan mengalami gejala seperti ini :
Loya
Muntah
Kepala seperti berpusing
Tidak boleh langsung membuka mata akibat terlalu pening
Berpeluh
Keresahan
Debaran jantung
Jika berlaku kepada anda, apa perlu anda lakukan? Ikut petua pertolongan cemas ini:
Bertenang, jangan panik.
Cari kedudukan yang selesa untuk duduk sementara menunggu bantuan.
Dapatkan segera bantuan perubatan jika anda diserang vertigo akut bersama muntah, masalah pertuturan dan rasa lemah.
Hendaklah mendapat nasihat doktor sebelum mengambil sebarang ubat.
Jika sedang memandu, berhenti dan letakkan kereta di tempat yang selamat dan minta bantuan.
Jika masalah yang anda sedang alami tidak berkurang, hentikan rawatan di rumah, jumpalah kami di hospital.
Bila sihat, syukur.
Bila sakit, jumpa doktor.
Kredit: Dr Ezairy M.Sallih
Doktor telinga, hidung, tekak, kepala & leher (ENT)
Awas, Bila Kena Kekejangan Otot! Jangan Biar Berpanjangan, Dr Ini Jelaskan Sebabnya.
“Aduhh! Nak luruskan kaki pun sakit bila kejang otot ni. Memang nak gerak pun sakit. Kena urut-urut dulu hingga rasa kejang tu kembali normal.”
Sudah tentu ada antara kita pernah mengalami rasa kejang otot waktu pagi terutama waktu bangun tidur atau pun ketika bersukan.
Walau nampak biasa aje kejang otot ni tapi jika dibiarkan ia akan menyebabkan akan menjadi serius. Ikuti penjelas Dr Zubaidi Ahmad perkara ini.
Kejang otot yang menyerang sewaktu baru bangun tidur adalah pengalaman yang kurang menyenangkan dan boleh mengganggu ‘mood’ anda sepanjang hari.
Biasanya kejang otot ini menyebabkan kesakitan pada jari kaki dan betis, iaitu antara bahagian yang kerap dilanda masalah ini.
Berdasarkan kajian American Academy of Family Physicians, 60% orang dewasa yang sering mengalami kekejangan otot pada awal pagi atau sebelah malamnya turut menghidapi masalah gangguan tidur atau insomnia.
Meskipun kejang otot adalah perkara biasa, tetapi ada serangan kejang otot tertentu perlu diambil serius kerana boleh menyebabkan komplikasi lebih serius.
LIMA GEJALA KENA AMBIL TAHU
Disenaraikan lima gejala kejang harus diberi perhatian dan memerlukan pemeriksaan kesihatan segera:
1. Kejang otot yang berlaku dalam tempoh panjang.
Kekejangan yang berlaku dalam tempoh singkat boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang, apatah lagi jika ia berlangsung dalam tempoh lama. Andai kejang menjejaskan fungsi harian anda, sebaik-baiknya dapatkan bantuan.
Kekejangan yang berlangsung dalam tempoh yang panjang boleh menjadi petanda gejala penyakit lebih serius. Selain dari itu, gejala kejang yang terlalu lama juga boleh disebabkan kolesterol tinggi selain gangguan saraf.
2. Kejang otot disertai bengkak, kemerahan dan perubahan warna pada bahagian terjejas.
Pengambilan ubat tertentu selain sering terbabit dengan perjalanan panjang contohnya duduk terlalu lama (sama ada di atas kenderaan atau di tempat kerja) boleh memungkinkan anda mengalami gejala kejang otot disertai kemerahan.
Kalau ada simptom lain termasuk bengkak dan perubahan warna pada kulit, itu menandakan ada gumpalan darah dalam tubuh. Pada awalnya gumpalan darah itu tidak bahaya, namun risiko boleh meningkat apabila berlaku saluran darah pecah dan menyumbang kepada serangan jantung atau strok. Ambil langkah pencegahan untuk mengelakkan anda berada pada tahap berkenaan.
3. Otot kaki yang kejang pada jarak sama ketika melakukan aktiviti olahraga.
Ini satu petanda bagi atlet yang gemar melakukan aktiviti larian jauh. Biasanya anda akan menghadapi saat otot betis seolah-olah ‘mengeras’.
Jika keadaan itu berlaku secara konsisten pada jarak hampir sama, ia mungkin gejala sindrom kompatmen. Ia merujuk kepada bahagian otot kaki mengembang sehingga memberi tekanan kepada bahagian lain. Kes terburuk membabitkan penyakit ialah saluran darah mahupun saraf tercedera dan terjejas akibat masalah berkenaan. Dapatkan nasihat doktor sebelum meneruskan larian.
4. Kekejangan yang disusuli rasa mual, demam dan muntah.
Kejang otot yang disertai rasa mual, demam dan berakhir dengan muntah menandakan masalah dalam badan. Keadaan ini biasanya disebabkan oleh masalah dehidrasi.
Sebaik-baiknya ambil air mencukupi untuk mengembalikan elektrolit dalam badan. Namun dapatkan nasihat doktor jika gejala itu berlarutan.
5. Disertai rasa panas dan kebas di bahagian otot mengalami kejang.
Apabila kejang otot turut disertai rasa panas dan kebas, ia merujuk kepada gejala dipanggil hernia cakera. Setiap tulang belakang dilengkapi dengan cakera pertengahan, bertindak sebagai penyerap kejutan dan pautan. Apabila seseorang berjalan atau berdiri, cakera ini menyokong beban yang menegak ketika pergerakan.
Namun bagi yang mengalami masalah ini, biasanya saraf akan ditekan dan akhirnya menyebabkan kesakitan. Biasanya pesakit akan rasa pijar di bahagian tubuh bawah terutama kaki.
Bagi melegakan gejala terbabit, biasanya terapi panas digunakan untuk menghilangkan rasa sakit. Namun, sebaik-baiknya temui doktor untuk tahu tahap kesakitan serta rawatan sesuai
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club
Halia Memang Power Untuk Buang Angin Dalam Badan, Tapi Hebat Juga Hindarkan Asma!
Halia selain menjadi bahan wajib dalam kebanyakkan menu masakan, diakui juga halia banyak digunakan dalam petua nenek moyang kita sejak dahulu lagi. Sama ada diamalkan untuk tujuan penjagaan kesihatan tubuh badan agar tidak berangin dan sebagainya, malah bukan perkara pelik bila mana halia juga berfungsi dalam penjagaan kecantikan.
Oleh itu, ini apa yang kami rasakan menarik untuk diketengahkan dan dicuba oleh anda sekeluarga. Jom semak.
#KECANTIKAN
Petua ini berupa minuman kesihatan yang wajib diamalkan oleh kaum wanita jika mahu badan berbau wangi, wajah putih berseri kemerahan dan menyegarkan badan sebagaimana yang dikongsikan resipinya menerusi akaun fb Noor Mila.
Bahan yang digunakan juga cukup mudah dan ada di dapur anda. Selamat mencuba!
- 10 Batang Serai
- Halia dibakar lalu dibersihkan
- Gula Melaka
- Air 4 gelas
- Sedikit Garam
CARA MEMBUAT:
1. 10 batang serai di ketuk dan halia di bakar terlebih dahulu. Kemudian, bersihkan halia tersebut.
2. Kesemua bahan di masukkan ke dalam periuk dan direbus dengan air 4 gelas air hingga masak.
#KESIHATAN
Selain halia sering dijadikan air rebusan untuk pelbagai kegunaan kecantikan dan kesihatan dalaman , mungkin jarang mengetahui bila mana halia juga dikatakan boleh elakkan serangan asma.
Ini sebagai mana yang dikongsikan Mulianis Ahmad yang juga penghidap asma, dia punya caranya sendiri untuk mengelakkan serangan ini. dansalah satunya adalah amalan Telur Dadar Halia yang diperolehinya daripada seorang ibu berketuruan Cina yang berkongsikan resipi ini.
” Masa kecil dulu saya sakit asma teruk, kebetulan kat klinik ada duduk sebelah aunty Cina. Dia bagi resepi petua, dia cakap orang Cina jarang sakit asma.
Halia tua tumbuk masukkan telur dan garam. Goreng. Walau pun asma masih ada tapi resepi ni sedap, hari-hari makan pun tak jemu.”
Bahan:
2 biji telur
2 inci halia -ditumbuk
Sedikit garam
Caranya:
1. Tumbuk halus halia tua.
2. Gaulkan bersama telur dan sedikit garam.
3. Goreng hingga garing.
Apa yang pasti, petua lama nenek moyang kita memang banyak menggunakan halia ini. Untuk itu, ada baiknya jika kita sendiri menanam halia tersebut untuk kegunaan yang lebih menjimatkan. Nak tahu cara menanam halia lebih mudah dan berganda tuaiannya bolehlah klik di sini
Dr Ni Jawab Banyak Persoalan Tentang Bila Anak Demam. Info Terbaik Buat Mak-mak!
Bila anak demam, apa sebenarnya ibu ayah perlu buat dan ada perkara dilarang untuk dilakukan kerana boleh bahayakan nyawa anak.
Nak tahu lanjut, ini dikongsikan infonya oleh doktor Erna Nadia. Jom semak.
Apa nak buat bila anak demam?
Firstly, rileks, jangan gabra nanti caca merba.
Demam biasanya terjadi apabila
1.Anak anak terkena jangkitan kuman( samada virus atau bakteria)
2.Apabila anak anak nak pandai buat sesuatu ( sebab badan menjadi agak stress sedikit).
3.Apabila bermain panas terlalu lama
4.Apabila terkejut akan sesuatu perkara contoh jatuh katil ( badan jadi stress sikit)
5.Selepas kena cucuk ( badan nak berinteraksi dengan ubat)
Setiap rumah wajib ada termometer.
Belilah yang elok sikit supaya kita tak tersalah tengok suhu badan anak kita.
Takpa berbelanja lebih sikit untuk benda yang perlu dan penting kan.
Check suhu anak
Suhu yang normal adalah 36-37.4 darjah selsius.
37.5-37.9 adalah subfebrile (demam sikit)
38.5 dan ke atas dikira demam tinggi.
Jika suhu anak melebihi 38.5 darjah selsius, seeloknya bagi anak ubat punggung. Tapi kalau tak yakin dan tak tahu dose, bagi ubat demam biasa dan lap lap anak atau mandikan dia.
Seeloknya bagilah ubat demam 6-8 jam sekali.
Periksa semula suhu anak setengah jam selepas ubat diberikan.
Jika suhu menurun, alhamdulillah.
Kemudian wajib pantau.
Jika tidak, tengok keadaan dia.
Nampak biasa atau luar biasa.
Buka semua baju dia.
Jangan pakaikan anak pakaian yang tebal atau stoking bagai.Pakaikan baju yang nipis dan berlubang lubang kecil tu.
Biarkan haba panas keluar.
Bolehkah mandikan anak dengan air sejuk?
Boleh tapi seeloknya mandikan atau lap lah menggunakan air suam suam biasa.
Kesian lah anak tu kejung sebab sejuk sangat nanti.
Apa yang kita perlu risau sewaktu anak demam?
1. Anak aktif ke tak?
2. Anak boleh makan ke tak?
3. Kalau tak boleh makan, dia boleh minum atau tidak?
4. Ada nafas laju atau nafas bunyi tak?
5. Ada muntah dan cirit tak?
6. Ada buang air besar tak?
7. Pampers anak basah tak? ( biasanya kita tukar pampers 5-6 jam sekali kan, jadi bila tukar tu kita tengok, basah ke tak)
8. Anak merengek tak?
9. Bunyi dan cara bernafas anak pelik tak sewaktu tidur?
10. Anak anda respon dengan baik atau biasa tak?
11. Anak anda tarik (sawan) tak?
12. Ada ruam ruam atau tidak?
Jika ada simptom simptom seperti di atas, tolonglah bawa anak anda ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Kalau demam tinggi atau demam melebihi tiga hari, darah akan diambil untuk kita ketahui punca demam.
Ada masanya darah susah nak dapat sebab salur darah anak menjadi sempit akibat dehidrasi ( kurang air) dan sebab itu sekali cucuk tak dapat.
Janganlah terus melulu marah doktor atau misi atau penolong pegawai perubatan cucuk dua tiga kali.
Boleh kah terus bagi antibiotik kepada anak?
Takboleh. Wajib periksa darah dahulu samada perlu mulakan antibiotik atau tak.
Dan tolonglah buang antibiotik yang dah lepas. Anda wajib makan antibiotik mengikut dose dan cukupkan seminggu. Kalau ada lebihan, sila buang.
Boleh kah bagi ubat punggung saja sebab anak susah nak makan ubat?
Takboleh. Ubat punggung diberikan bila suhu melangit sahaja dan tidak boleh melebihi dua kali sehari atau melebihi tiga hari.
Ianya menurunkan suhu badan dengan cepat jadi agak berbahaya jika diberi jika suhu tidak tinggi mana.
Bolehkah anak minum air kelapa sewaktu demam?
Boleh. Cuma jangan berlebihan.
Bolehkah anak minum 100plus sewaktu demam?
Takboleh.
Minuman bergas adalah tidak bagus untuk kanak kanak atau orang dewasa.
Yang tiada gas pun takboleh sebab 100plus mengandungi kandungan elektrolit yang tinggi dan menyebabkan dehidrasi menjadi lebih teruk.
Bolehkah bagi aiskrim time anak demam?
Boleh.
Ianya untuk melegakan tekak sahaja. Membuatkan tekak anak menjadi sedikit kebas supaya dia berasa sedikit selesa untuk makan.
Jangan paksa jika dia takmau makan nasi.
Bagi apa yang dia nak makan.
Seeloknya benda yang lembut dan sejuk macam puding atau agar agar. Dapat bagi sup pun dah ok.
Jangan paksa jika anak tak mahu menyusu. Cuma perlu pastikan dia mahu minum air masak.
Pantau pampers dia. Jika dah tukar 2 kali pun masih kering, bawalah anak berjumpa doktor.
Dehidrasi adalah merbahaya kerana boleh membawa maut.
Bila dah jadi ibu bapa, memang jarang nak dapat tidur yang empuk dan lena.Periksa suhu dan keadaan anak malam malam.
Biasanya suhu badan anak akan melangit bila tengah malam sampai ke subuh.
Jika suhu melebihi 38.5, bagilah ubat punggung. Periksa balik suhu anak selepas setengah jam atau sejam.
Ingat, jika anda rasa anak anda pelik, bawa sahaja untuk diperiksa. Insha Allah, anak anda akan sihat jika langkah awal diambil.
Bolehkah kalau nak bagi air jampi sahaja?
Hurm boleh bagi air jampi tapi eloklah kita tahu dahulu apa punca demam anak kita. Janganlah semua pun nak dikaitkan dengan jin.
Bolehkah bagi supplemen pada anak anak?
Sebolehnya tak perlu dan janganlah membazir.
Demam menunjukkan sistem imunisasi anak anda bekerja dengan baik kerana memberikan tindak balas terhadap perubahan badan.
Biarkan imun badan dia menjadi kuat secara natural. Dia kan sedang membesar.
Kita dulu dulu pun mak ayah kita rilek saja.
Sekarang ni yang macam macam nak disumbat mulut anak.
Jangan risau sangat ok. Dan tolonglah jangan membazir.
مَا أَنْزَلَ اللهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً
“Tidaklah Allah menurunkan penyakit kecuali Dia juga menurunkan penawarnya.”
(HR Bukhari).
Anak yang sihat adalah anak yang mendapat makanan yang sihat, gembira ceria dan aktif.
Nota kaki : anak kita amanah kita.
Sumber : Dr. Erna Nadia