Solat berjemaah suami, isteri dan anak-anak adalah salah satu resipi dalam mengikat hubungan kekeluargaan. Namun, ada antara keluarga yang tidak mengamalkan tip ini, bahkan ada juga yang tidak menunaikan solat 5 waktu.

Menurut Pendakwah dan penulis, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi,  rumah tangga zaman moden hari ini terlalu sibuk. Tidak kenal rehat. Suami isteri, keluar pagi, balik senja untuk mencari nafkah. Begitu juga anak-anak, pagi ke sekolah, petang kelas tuisyen dan aktiviti-aktiviti kokurikulum lain.


Hujung minggu pula ada kalanya dipenuhi dengan program ziarah keluarga, majlis perkahwinan, kenduri-kendara dan banyak lagi.

Apabila sibuk sudah keterlaluan, kita tidak akan dapat menikmati hidup. Hidup akan lebih tenang, jelas, teratur apabila kita mula memperlahankan langkah.

Stephen Covey, seorang pakar motivasi Barat menggunakan analogi seorang penebang pohon yang menggergaji kayu selama beberapa hari secara terus-menerus.

Kerja memotong pokok tanpa henti-henti itu membuat mata gergajinya menjadi semakin tumpul. Gergaji yang tumpul itu tidak lagi efektif dan produktif berbanding gergaji yang tajam. Maka, sudah tiba masanya penebang mengasah gergajinya.

Begitulah jua dalam kehidupan berumah tangga perlu ada masa yang diperuntukkan untuk merehatkannya (sementara) agar rumah tangga itu dapat mengembalikan semula kekuatannya. Dalam Islam, rehat itu adalah dengan berzikir.

Rasulullah telah bersabda kepada Bilal, “Wahai Bilal! Bangunlah (untuk azan), rehatkan kami dengan solat.”

Dalam sabdanya yang lain, Rasulullah bersabda: “Rehatkan kami ya Bilal dengannya, (iaitu dengan sembahyang) wahai Bilal.”

Dan zikir yang paling utama ialah solat. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingat Aku.” (Surah Thaha 20: 14)

Justeru, untuk “merehatkan” rumah tangga kita adalah dengan mendirikan solat. Rumah tangga tidak cukup rehat, umpama pemandu yang sudah keletihan dalam satu perjalanan yang jauh. Dia mungkin hilang kawalan akibat tertidur atau hilang fokus sehingga boleh menyebabkan kemalangan.

Maka begitulah keadaan dalam sebuah rumah tangga yang suami, isteri dan anak-anaknya yang tidak mendirikan solat, maka akan berlaku banyak masalah yang boleh menjerumuskan ke arah kebinasaan.

IKLAN

Tidak lama dahulu, mantan Kadi Besar Negeri Johor, Mohd Nooh Kadri menyatakan bahawa sebahagian besar daripada 3021 kes cerai yang berlaku di Johor pada tahun tersebut terdiri daripada pasangan suami isteri yang mengabaikan amalan solat masing-masing.

“Tiga punca utama penceraian yang banyak berlaku di Johor termasuklah masalah ekonomi, jurang komunikasi serta ketidakpuasan hati dalam perhubungan seks.

“Namun apabila diselami dengan lebih mendalam, setiap permasalahan yang timbul adalah bertilik-tolak daripada amalan gaya hidup pasangan suami isteri yang mengabaikan solat mereka.”

“Apabila ditanya, kira-kira 90 peratus daripada pasangan yang merujuk kes cerai kepada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) mengaku tidak menjaga solat sedangkan Allah SWT telah berjanji akan memberi jalan penyelesaian kepada umat yang bertakwa,” katanya.

IKLAN

Mengapa tidak solat menyebabkan impak negatif dalam kehidupan rumah tangga? Bila seseorang hamba tidak solat, maka hakikatnya dia telah putus hubungan dengan Allah SWT.

Antara makna solat ialah silah – yakni hubungan. Bila hamba Allah tidak solat, dia akan hilang kekuatannya untuk menghadapi ujian dalam hidup termasuk ujian dalam rumah tangga. Ia akan menjadi gelisah, bimbang, marah, putus asa dan kecewa apabila berdepan dengan masalah rumah tangga.

Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan, ia berkeluh kesah. Apabila ia mendapat kebaikan, ia amat kikir kecuali orang-orang yang mengerjakan solat, yang tetap mengerjakan solatnya.” (Surah al-Ma‘arij 70: 19-22)

Dengan mengerjakan solat (yakni solat yang khusyuk), terbinalah empat rasa yang sangat penting dalam kehidupan, sama ada yang secara umum atau khususnya di dalam sebuah rumah tangga.

Sumber: Pahrol Mohamad Juoi