
Dalam melayari alam rumah tangga ada pelbagai cabaran dan dugaan. Baik dengan orang sekeliling mahupun diri kita sendiri. Sebab itu setiap pasangan kena saling menghargai dan bertolak ansur jika mahu rumah tangga aman bahagia.
Dalam masa yang sama, hargai pasangan anda. Tak kira bagaimana cara bukan hanya dengan wang ringgit atau hadiah yang mahal-mahal. Yang penting mereka tahu.
Sebut hal ini, ada antara pasangan yang suka membawa isteri dan anak-anak keluar makan di luar. Namun, cara ini jika tak kena gaya boleh mengundang perselisihan faham dan buat pasangan bermasam muka. Nak tahu kenapa, jom baca bingkisan dari Mohd Fadli Salleh.
Kawan aku Mohd Farid muat naik status cara nak gembirakan isteri dengan ajak keluar makan je katanya.
Mudah je nak hargai dan bahagiakan isteri katanya. “Suruh mereka gantung kuali dan tanya nak makan apa.”
Si Farid ni tak tahu ke, teknik tu bakal makan diri? Nak suruh isteri gantung kuali tu dah betul. But it’s a big no to ask them what to eat. That is a big mistake!
“Sayang nak makan apa?”
“Apa-apa je lah bang.”
“Masakan Thai ya.”
“Bosan dah makanan Thai.”
“Western nak?”
“Tak nak la western. Kan minggu lepas baru makan.”
“Kita makan pizza nak?”
“Tak elok untuk kesihatan makan fast food ni bang.”
“Kalau gitu, kita makan masakan Itali lah.”
“Mahal la bang. Lagi pun jauh restoran tu. Jem lagi. Susah parking lagi. Nanti anak meragam.”
“Okey. Kalau gitu sayang yang tetapkan. Sayang nak makan apa?”
“Apa-apa la bang.”
Ha nampak? Nampak? Nampak tak keanehan orang perempuan?
Jangan la cari bala tanya mereka nak makan apa. Kau bawa terus la kat kedai mana-mana Farid oi!
Kau bukan tak tahu, mereka ni bukan makhluk dari bumi. Kalau dia diam pun bikin kita gundah gulana dan risau.
Kalau kita tanya apa masalah, bila mereka jawab “Tiada apa-apa masalah pun” itu ada 1001 maksud. Paling senang minta maaf je walau kau tak tahu apa salah kau.
Bila mereka buka mulut, argue itu ini, buat-buat pengsan adalah jalan terbaik.
Jadi, jangan ajar bukan-bukan kat adik-adik kita yang baru kahwin tu.
Soalan “Sayang nak makan apa?” boleh membuatkan kaum kita kemurungan tahu tak?
#MFS
– Wanita bukan makhluk bumi –
.
Jangan Main Sumbat Je! Ni Cara Betul Nak Cuci Comforter Guna Dobi Layan Diri

Mungkin ada sesetengah orang suka membasuh pakaian atau kain-kain yang besar seperti langsir atau comforter di rumah, sama ada guna mesin basuh atau gosok sendiri guna tangan.
Namun, ada juga yang ambil jalan mudah lebih rela basuh di dobi layan diri dek kerana kekangan masa untuk basuh sendiri atau tempat terhad untuk sidai. Ye la bila di dobi layan diri kan kita boleh terus keringkan di mesin.
Kalau nak tahu, bila cuci kain yang besar dan berat sebegini ada ‘pantang larangnya’. Rupanya anda perlu membaca dahulu panduan mencuci yang ada di pakaian yang hendak dicuci juga, panduan di pusat dobi tersebut.
Bagi anda yang ingin mencuci comforter macam apa yang dibuat di dobi, jangan tahu sumbat sahaja ya kerana ini beberapa perkara yang anda perlu buat kalau tak mahu comforter rosak!
TIPS CUCI COMFORTER CARA DOBI LAYAN DIRI
Tips mencuci bed comforter/toto/narita cara dobi layan diri:
1. Periksa label pada comforter untuk memastikan ianya sesuai untuk cucian mesin dan suhu air yang dibenarkan.
2. Pastikan tiada bahagian yang terkoyak atau tetas jahitan – ini untuk mengelak bahagian yang terkoyak menjadi lebih besar.
3. Pre-wash – cuci kotoran yang kelihatan (stain) menggunakan cecair pencuci.
4. Masukkan comforter ke dalam mesin basuh.
5. Untuk cucian yang lebih berkesan, guna mesin basuh yang besar dan satu mesin basuh untuk satu comforter.
6. Pilih suhu basuhan mengikut kesuaian fabrik. Untuk pelanggan yang ada masalah alahan, dicadang menggunakan cucian air hangat/panas untuk membunuh hama (dust mite).
7. Masukkan sabun dan pelembut fabrik di inlet masing-masing. Gunakan sabun yang lembut (mild).
8. Selepas selesai cucian, keringkan menggunakan mesin pengering pada suhu yang tinggi (high temperature) atau mengikut kesesuaian fabrik. Suhu pengeringan yang tinggi juga boleh membunuh hama.
9. Untuk pengeringan yang lebih efisien, guna mesin pengering yang besar dan satu mesin pengering untuk satu comforter.
10. Periksa kekeringan comforter sebelum pusingan tamat. Tambah tempoh masa pengeringan mengikut keperluan.
11. Masa pengeringan yang dicadangkan adalah 27 – 30 minit. Pastikan fabrik kering sepenuhnya untuk mengelakkan pertumbuhan kulat.
12. Cara lain adalah dengan menjemur comforter di bawah cahaya matahari yang terik selama beberapa jam untuk mengeringkannya.
Sumber: Bubble Laundrette Station
“Ni Ibarat ‘Anak Sulung” Saya. ” Lama Mengidam Anak Perempuan Tapi Belum Rezeki, Zurin Abadikan Nama Carrisa Pada Butik

Minat mendalam pada bisnes sudah bercambah lebih awal, namun dia masih tidak mendapat rentak dan petunjuk bidang mana yang menjadi pilihannya. Justeru, hasrat tersebut dipendam terlebih dahulu.
Setahun bekerja dalam sebuah syarikat pembangunan, dia mengambil keputusan untuk berhenti. Usai mendirikan rumah tangga, dia memilih untuk membantu suaminya di pejabat. Namun minat dalam bidang bisnes membuatkan empunya diri yang dikenali sebagai Zurin Zakaria nekad untuk membuka bisnes sendiri.
Sedar persaingan dalam bidang ini bukan semudah yang disangka, sementelah dia sudah punya kerjaya tetap. Namun alah bisa tegal biasa, dek kerana minat dia teruskan jua.
Jujur mengakui butik yang dibuka ini ibarat ‘anak sulungnya. Jelas Zurin, sudah lama dia mengidam untuk memiliki anak perempuan, justeru nama Carrisa menjadi pilihan untuk butiknya.
“Dah lama saya mengidam nak anak perempuan, tetapi belum ada rezeki. Justeru, saya abadikan nama tersebut pada butik. Ia juga ibarat baby saya yang ‘sulung’.
“Awalnya saya tercari-cari apa bisnes yang mahu diceburi. Sehinggalah saya pulang dari mengerjakan umrah, tergerak hati untuk memakai hijab dan suami turut memberi sokongan.
“Jadi saya terfikir ada baiknya jika saya membuka butik menjual tudung dan pakaian. Alhamdulillah suami menyokong pilihan saya ini. Dia banyak membantu terutama dalam pengurusan dan juga modal. Kebetulan saya tidak membuat sebarang pinjaman, segala modal adalah hasil simpanan saya sendiri dan bantuan suami,” jelas Zurin lagi.
Selama 6 bulan dia memulakan bisnes secara online dan dalam masa yang sama turut mencari tapak untuk membuka butik. Cita-cita itu akhirnya terlaksana apabila butik yang diimpikan selama ini berjaya dimiliki pada tahun 2015. Kini Zurin Zakaria mampu tersenyum lebar dengan kejayaan butiknya yang kini terletak di The Strand, Kota Damansara yang menyajikan pilihan buat pelanggannya.
“Walaupun sudah bertapak dalam bidang ini, namun saya mahu pastikan bisnes ini bertapak lama. Saya mahu pastikan apabila sudah naik, saya akan berada di atas. Namun dalam masa yang sama, saya tetap ‘pandang ke belakang’ untuk melihat apa yang terkurang atau perlu diperbaiki.
Perancangan saya, mahu melebarkan sayap sehingga ke luar negara. Dalam masa yang sama, saya pastikan kualiti produk terjamin supaya pelanggan berpuas hati. Harga juga mampu milik dan konsisten setara dengan kualiti yang kami tawarkan.
“Boleh dikatakan kami lengkap dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Kami ada segala-galanya di bawah satu bumbung. Selain hijab, pakaian, kami juga menawarkan kosmetik. Bahkan, staf kami boleh membantu mencadangkan apa jenis kosmetik yang sesuai dengan pilihan busana. Jadi, pelanggan tak perlu pergi ke dua tiga tempat kerana di sini sudah ada segala-galanya,” jelas Zurin yang cukup cerewet dan sentiasa memastikan bahan yang digunakan tidak mendatangkan kesan buruk pada pelanggan.
Ditanya berkenaan pengusaha produk lain yang banyak menggunakan selebriti, akui Zurin mereka juga bakal berbuat demikian. Namun masih dalam proses memilih dan setakat ini dia memilih untuk berkolaborasi dengan juru mekap profesional dalam menggunakan produk Carrisa.
Memiliki staf seramai 5 orang untuk butik, manakala untuk kosmetik pula 3 orang. Selain itu, Carrisa juga memberi fokus kepada online dan website. Terbaru, dia turut membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk menjadi ejen mahupun stokis bagi produk berkenaan. Selain memberi fokus pada ready to wear, Butik Carrisa turut menyediakan blaus, palazo, skirt dan pelbagai jenis selendang yang boleh disuai padan dengan gaya harian wanita. Biarpun setiap rekaan diberi sentuhan, moden namun tidak keterlaluan. Itu yang dititikberatkan oleh Zurin supaya sesuai dengan cita rasa pelanggan.
“Sejujurnya, saya tidak mahir dalam rekaan fesyen kerana latar belakang dalam perniagaan namun minat mendalam menyebabkan saya berusaha untuk belajar. Pengalaman mengendalikan bisnes suami menjadi panduan kepada saya dalam menguruskan bisnes ini. Dalam masa yang sama, saya turut mendapatkan pendapat dan pandangan daripada kawan-kawan yang lebih awal terbabit dalam bidang ini,”ungkap Zurin sebelum mengakhiri perbualan.
Solat Sunat Aidilfitri Di Rumah? Mufti WPKL Kongsi Hukum & Panduan Mudah Tunaikannya!

Memandangkan kita masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun dalam masa yang sama bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri esok, pasti rasa sedih kerana tidak dapat solat Hari Raya Aidilfitri di masjid dan surau seperti tahun-tahun sebelum ini. Semua atas sebab pandemik Covid-19 yang melanda.
Justeru, umat Islam disaran melakukan solat Aidilfitri di rumah. Namun, apakah hukum pelaksanaan solat Hari Raya Aidilfitri di rumah?
Berikut penjelasan daripada Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Mufti WPKL) mengenai perkara tersebut.
Soalan :
Assalamu’alaikum w.b.t. Memandangkan kita sekarang ini masih berada dalam suasana PKPB, yang mana ramai yang tidak dapat hadir melaksanakan solat hari raya di masjid, jadi minta pihak Pejabat Mufti Wilayah untuk jelaskan berkenaan hukum hakam serta kaifiat pelaksanaan solat hari raya di rumah. Terima kasih.
Jawapan :
Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Dalam mazhab Al-Imam Al-Syaf’ie, solat hari raya hukumnya adalah sunat muakkad menurut pendapat yang paling sahih. Ini kerana Rasulullah S.A.W tidak pernah meninggalkannya sejak mula ia disyariatkan sehinggalah baginda wafat. Begitu juga para sahabat R.Anhum berterusan melakukannya selepas kewafatan Rasulullah S.AW.
Terdapat banyak dalil yang menunjukkan bahawa solat hari raya ini hukumnya adalah sunat dan bukannya wajib. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Talhah bin ‘Ubaidillah R.A beliau berkata : ‘’Seorang lelaki telah datang bertemu dengan Rasulullah S.A.W dan bertanyakan tentang Islam. Kemudian Rasulullah S.A.W menjawab :
خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِي الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ
Maksudnya : (Kamu perlu) melaksanakan solat lima waktu sehari semalam.
Kemudian lelaki itu bertanya : ‘’Adakah menjadi kewajipan ke atasku solat selainnya ?’’. Maka Nabi S.A.W menjawab :
لا، إِلاَّ أَنْ تَطَوَّعَ
Maksudnya : Tidak, kecuali kamu ingin mengerjakan solat sunat.”
Riwayat Al-Bukhari (46) dan Muslim (11)
Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah Ibn Al-Somit R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
خَمْسُ صَلَوَاتٍ كَتَبَهُنَّ اللهُ عَلَى الْعِبَادِ فَمَنْ جَاءَ بِهِنَّ لَمْ يُضَيِّعْ مِنْهُنَّ شَيْئًا اسْتِخْفَافًا بِحَقِّهِنَّ كَانَ لَهُ عِنْدَ اللهِ عَهْدٌ أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ وَمَنْ لَمْ يَأْتِ بِهِنَّ فَلَيْسَ لَهُ عِنْدَ اللهِ عَهْدٌ إِنْ شَاءَ عَذَّبَهُ وَإِنْ شَاءَ أَدْخَلَهُ الْجَنَّةَ
Maksudnya : Allah S.W.T mewajibkan lima solat ke atas hamba-Nya. Sesiapa yang melakukannya tanpa meninggalkan sedikit pun kerana meringan-ringankannya, Allah S.W.T menjanjikannya masuk syurga. Manakala sesiapa yang tidak melakukannya, Allah tidak menjanjikan apa-apa kepadanya. Sekiranya Allah kehendaki, Dia akan mengazabnya dan sekiranya Allah kehendaki, Dia akan memasukkannya ke dalam syurga.’’
Riwayat Abu Daud (1420)
Justeru, berdasarkan beberapa riwayat di atas jelas menunjukkan bahawa selain dari solat fardhu lima waktu, solat-solat yang lain itu adalah termasuk dalam bahagian solat sunat dan antaranya juga adalah solat hari raya.
Secara asasnya, solat hari raya dituntut untuk dilakukan di tanah lapang supaya ia dapat dihadiri oleh ramai umat Islam, seterusnya menzahirkan syiar bagi agama Islam. Oleh yang demikian, dituntut bagi semua umat Islam untuk menghadiri solat hari raya sama ada di tanah-tanah lapang mahupun di masjid-masjid dari kalangan orang lelaki dan perempuan, kanak-kanak, bahkan anak-anak dara, wanita berpurdah, serta wanita haid juga turut digalakkan menghadiri solat hari raya bagi menyaksikan pelaksanaannya. Ini seperti yang diriwayatkan oleh Ummu ‘Atiyyah R.Anha beliau berkata :
أَمَرَنَا – تَعْنِي النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم – أَنْ نُخْرِجَ فِي الْعِيدَيْنِ الْعَوَاتِقَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ وَأَمَرَ الْحُيَّضَ أَنْ يَعْتَزِلْنَ مُصَلَّى الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya : Rasulullah S.A.W memerintahkan kepada kami (orang perempuan) untuk mengeluarkan anak-anak gadis dan wanita-wanita berpurdah pada dua hari raya serta baginda arahkan wanita haid agar menjauhi tempat solat umat Islam.
Riwayat Muslim (890)
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami nyatakan bahawa hukum mendirikan solat hari raya di rumah disebabkan keadaan semasa sekarang ini iaitu penularan wabak Covid – 19 adalah sama seperti yang dibahaskan oleh para ulama berkenaan mereka yang terlepas menghadiri solat hari raya di masjid, adakah dibolehkan untuk mereka solat hari raya di rumah selama masih ada waktunya ?
Berikut kami nyatakan beberapa pendapat fuqaha’ berkenaan isu melaksanakan solat hari raya di rumah. Imam Al-Nawawi berkata :
الْمَذْهَبُ وَالْمَنْصُوصُ فِي الْكُتُبِ الْجَدِيدَةِ كُلِّهَا، أَنَّ صَلَاةَ الْعِيدِ تُشْرَعُ لِلْمُنْفَرِدِ فِي بَيْتِهِ أَوْ غَيْرِهِ
Maksudnya : Pendapat mazhab seperti yang dinaskan di dalam kitab-kitab yang baharu kesemuanya menyatakan bahawa solat hari raya disyariatkan bagi seorang individu di rumahnya atau di tempat selainnya.
Rujuk Raudhah Al-Thalibin, Al-Nawawi (2/70)
Maka berdasarkan kenyataan di atas, antara faedah yang boleh diambil adalah dua perkara iaitu :
- Dibolehkah bagi seseorang itu untuk melaksanakan solat hari raya secara seorang diri.
- Demikian juga dibolehkan untuk dilakukan solat hari raya itu di rumah atau di tempat-tempat yang lain.
Persoalan berikutnya pula, apabila seseorang itu melaksanakan solat hari raya secara bersendirian, adakah dia dituntut untuk membaca khutbah juga ? Maka berikut adalah kenyataan dari Imam Al-Nawawi yang menyebut :
وَإِذَا قُلْنَا بِالْمَذْهَبِ، فَصَلَّاهَا الْمُنْفَرِدُ، لَمْ يَخْطُبْ عَلَى الصَّحِيحِ
Maksudnya : Dan apabila kita berpegang dengan pendapat mazhab (bahawa dibolehkan untuk solat hari raya itu dilakukan secara seorang diri), maka seseorang yang melakukannya secara sendirian tidak perlu untuk berkhutbah mengikut pendapat yang sahih.
Rujuk Raudhah Al-Thalibin, Al-Nawawi (2/70)
Manakala berkenaan dengan pelaksanaan solat hari raya secara berjemaah di rumah pula, kami menyatakan bahawa hukumnya adalah sama seperti solat secara sendirian juga. Iaitu dibolehkan untuk dilakukan solat hari raya secara berjemaah di rumah. Keharusan ini diambil dari keumuman hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
فَإِنَّ أَفْضَلَ صَلاَةِ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ، إِلاَّ الصَّلاَةَ الْمَكْتُوبَةَ
Maksudnya : Sesungguhnya seafdhal-afdhal solat seseorang itu adalah di rumahnya, melainkan solat fardhu.
Riwayat Al-Bukhari (7290)
Maka hadis ini secara umumnya menunjukkan bahawa solat-solat sunat termasuk solat hari raya adalah dibolehkan untuk dilakukan di rumah. Meskipun begitu, sekiranya keadaan tidak seperti dalam suasana penularan wabak, maka yang afdhalnya solat hari raya itu dilakukan di tanah-tanah lapang dan juga masjid-masjid secara berjemaah kerana ia merupakan bahagian dari syiar umat Islam.
Justeru, apabila kita mengatakan bahawa dibolehkan solat hari raya secara berjemaah di rumah, adakah perlu juga untuk mereka yang melakukannya untuk membaca khutbah raya ? Maka dalam hal ini, kami katakan bahawa mereka dituntut juga untuk berkhutbah dalam erti kata hukumnya adalah sunat bagi salah seorang mereka untuk membacakan khutbah hari raya.
Imam Al-Khatib Al-Syarbini berkata :
ويخطب بعدهمَا أَي الرَّكْعَتَيْنِ خطبتين لجَماعَة لَا لمنفرد كخطبتي الْجُمُعَة فِي أَرْكَان وَسنَن لَا فِي شُرُوط
Maksudnya : Dan dibacakan khutbah selepas keduanya (iaitu setelah dua rakaat solat hari raya) sebanyak dua khutbah bagi (solat hari raya yang dilakukan) secara berjemaah dan tidak (perlu berkhutbah) bagi yang melakukannya secara bersendirian. (Khutbah ini) adalah sama seperti dua khutbah Jumaat pada rukun-rukun (khutbah) dan juga sunatnya, dan tidak pada syarat-syarat (khutbah Jumaat).
Rujuk Al-Iqna’, Al-Khatib Al-Syarbini (1/187)
Berikut kami kongsikan tatacara pelaksanaan solat hari raya di rumah :
- Umat Islam digalakkan untuk bertakbir bagi hari raya puasa (Aidil Fitri) bermula selepas terbenamnya matahari pada malam raya sehinggalah ketika imam keluar untuk mendirikan solat hari raya.
Imam Al-Syafi’e berkata :
يُكَبِّرُ النَّاسُ فِي الْفِطْرِ حِينَ تَغِيبُ الشَّمْسُ لَيْلَةَ الْفِطْرِ فُرَادَى، وَجَمَاعَةً فِي كُلِّ حَالٍ حَتَّى يَخْرُجَ الْإِمَامُ لِصَلَاةِ الْعِيدِ ثُمَّ يَقْطَعُونَ التَّكْبِيرَ
Maksudnya : Orang ramai bertakbir pada hari raya puasa ketika hilangnya matahari pada malam raya secara bersendirian dan juga secara berjemaah dalam setiap keadaan sehinggalah imam keluar untuk mendirikan solat hari raya, kemudian mereka berhentikan takbir.
Rujuk Al-Umm, Al-Syafi’e (1/275)
Manakala sighah (bentuk) takbir hari raya pula adalah seperti yang diketahui umum iaitu seperti yang disebutkan oleh Imam Al-Nawawi :
اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَر اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَلَا نَعْبُدُ إلَّا إيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعَدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ
Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (5/31)
- Waktu solat hari raya adalah antara tempoh terbitnya matahari sehinggalah kepada tergelincirnya matahari atau secara mudahnya jam 8.00 pagi ke atas sehingga sebelum masuknya waktu solat zohor.
- Solat hari raya dilakukan sebanyak dua rakaat dan dilakukan dengan niat solat hari raya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Umar Ibn Al-Khattab R.A beliau berkata :
صَلاَةُ السَّفَرِ رَكْعَتَانِ وَالْجُمُعَةُ رَكْعَتَانِ وَالْعِيدُ رَكْعَتَانِ
Maksudnya : Solat ketika musafir itu adalah sebanyak dua rakaat, solat Jumaat adalah sebanyak dua rakaat, dan solat hari raya adalah sebanyak dua rakaat.
Riwayat Ibn Majah (1063)
- Pada rakaat yang pertama, dimulakan dengan takbiratul ihram, kemudian disunatkan untuk membaca doa iftitah, kemudian dilafazkan takbir zawa’id (tambahan) sebanyak tujuh kali, kemudian dibaca surah Al-Fatihah serta disunatkan bacaan surah Al-A’la sesudahnya dan keduanya dibaca secara kuat.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Nu’man Ibn Basyir R.A beliau berkata :
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَقْرَأُ فِي الْعِيدَيْنِ وَفِي الْجُمُعَةِ بِـ ( سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى ) وَهَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ
Maksudnya : Nabi S.A.W membaca di dalam solat dua hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha) dan juga pada solat Jumaat dengan surah Al-A’la dan juga surah Al-Ghaasyiah.
Riwayat Al-Tirmizi (533)
- Manakala pada rakaat yang kedua, dilafazkan takbir sebanyak lima kali selain dari takbir perpindahan dari sujud kepada qiyam (berdiri tegak). Kemudian dibaca surah al-Fatihah serta disunatkan membaca surah Al-Ghaasyiah sesudahnya.
Bilangan takbir ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah Ibn ‘Amr Ibn Al-‘Ash R.A beliau berkata :
أَنَّ النَّبِيَّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ كَبَّرَ فِي صَلاَةِ الْعِيدِ سَبْعًا وَخَمْسًا
Maksudnya : Sesungguhnya Nabi S.A.W bertakbir pada solat hari raya sebanyak tujuh kali (pada rakaat yang pertama) dan lima kali (pada rakaat yang kedua).
Riwayat Ibn Majah (1728)
- Bagi yang tidak menghafal surah Al-A’la dan surah Al-Ghaasyiah, boleh sahaja membaca apa-apa surah yang dihafal lagi mudah dibaca.
- Disunatkan untuk membaca سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَر antara lafaz takbir yang dibaca sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat yang kedua tersebut.
- Bagi yang menunaikan solat hari raya secara berjemaah pula, perlu dijelaskan bahawa tidak ada azan dan iqamah pada solat hari raya. Bahkan sebelum dimulakan solat, imam dituntut untuk menyebut الصَّلَاةُ جَامِعَة
- Kemudian setelah solat hari raya selesai dilakukan, sekiranya ia dilaksanakan secara berjemaah, disunatkan bagi imam untuk membaca khutbah hari raya sebanyak dua khutbah yang sama seperti khutbah Jumaat dari sudut rukun dan perkara sunat dalam khutbah.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar R.Anhuma beliau berkata :
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ يُصَلُّونَ فِي الْعِيدَيْنِ قَبْلَ الْخُطْبَةِ ثُمَّ يَخْطُبُونَ
Maksudnya : Adalah Rasulullah S.A.W, Abu Bakr, dan Umar menunaikan solat dua hari raya sebelum berkhutbah. Kemudian baru mereka berkhutbah.
Riwayat Al-Tirmizi (531)
- Berkenaan dengan teks khutbah pula, kami sarankan agar boleh dapatkan teks yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menerusi laman web mereka.
- Manakala sekiranya seseorang melaksanakan solat hari raya secara bersendirian, maka tiada dituntut untuk dia membaca khutbah raya oleh kerana tidak terdapatnya manfaat yang terhasil dari hal tersebut.
Kesimpulan
Sebagai penutup, setelah kami meneliti beberapa nas dan hujahan di atas, kami akhiri kenyataan ini dengan beberapa noktah yang berikut :
- Hukum menunaikan solat hari raya di rumah sama ada secara bersendirian atau secara berjemaah adalah harus dan sah.
- Disunatkan bagi mereka yang melakukan solat hari raya secara berjemaah di rumah untuk imam mereka membaca khutbah raya selepas solat hari raya selesai dilakukan.
Manakala tidak dituntut bagi mereka yang melaksanakannya secara bersendirian untuk berkhutbah disebabkan tidak ada faedah padanya.
- Meskipun begitu, sekiranya orang perempuan mendirikan solat hari raya secara berjemaah sesama mereka, maka tidak perlu untuk imam mereka berkhutbah (merujuk kepada rukun dan sunat khutbah) dan memadai sekadar tazkirah dan peringatan ringkas sahaja. Wallahu A’lam.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Sumber: Mufti WPKL