Derma kornea mata, keluarga Darna sepakat izin pihak hospital buat prosedur pembedahan. “Sebagai memenuhi hasrat arwah, kami sekeluarga sepakat mengizinkan pihak hospital melakukan pembedahan bagi prosedur pendermaan kornea mata kakak,” kata Sanni Tajudin, 34, adik kepada Darna yang meninggal dunia selepas tujuh hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tawau.
Derma Kornea Mata, Keluarga Darna Sepakat Izin Pihak Hospital Buat Prosedur Pembedahan
Darna Tajudin, 41, disahkan meninggal dunia pada jam 8.37 pagi Ahad lalu selepas dirempuh sebuah kenderaan dipandu lelaki dipercayai mabuk ketika sedang berlari bersama rakan pada 10 Ogos.
Menurut Sanni, arwah sebelum ini pernah menyatakan keinginannya untuk menjadi penderma organ setelah mengetahui beliau sendiri pernah membuat ikrar.
“Cuma arwah belum sempat daftar. Saya selalu cakap, tunggu kalau ada kempen pendermaan organ nanti daftarlah. Tak sangka akhirnya hasrat itu jadi kenyataan walaupun dia sudah tiada.
“Selain itu, arwah juga seorang penderma darah tegar, sangat suka membantu orang lain,” ujarnya.
Rakan karibnya, Suarni Sudirman, 36, turut berkongsi memori perbualan terakhir yang dirasakan seperti petanda sebelum insiden menimpa.
“Arwah juga pernah tanya, ‘kalau dia meninggal dunia, adakah orang akan datang ziarah?’ Saya tegur jangan cakap sembarangan, tapi dia terus sebut, ‘mungkin dia akan pergi ketika berlari sebab itu minatnya’.
“Dia juga kata ‘tentu dia yang akan jalan dulu’. Saya tidak sangka kata-kata itu jadi kenyataan,” luahnya sebak.
Tambah Suarni, arwah sempat berpesan kepada mereka supaya memakai pakaian putih serta merakam gambar dan video sebagai kenangan sebelum tragedi berlaku.
Ads
Sementara itu, Timbalan Presiden Kelab Pelari Tawau (Tawau Runners), Sudirman Nanang, menggambarkan Darna sebagai seorang yang ceria, aktif dalam aktiviti larian dan sentiasa memberi sokongan kepada program kelab.
Arwah Darna Tajudin bersama anak-anaknya.
“Semalam (Sabtu) kami sempat mengadakan Jualan Amal dan berjaya mengutip RM9,335 bagi membantu meringankan beban keluarganya, namun tidak sangka pagi ini (semalam) kami menerima khabar duka bahawa arwah sudah pergi selamanya,” katanya.
Kesedihan turut dizahirkan rakan arwah, Akif Zikri, menerusi media sosial.
“Al-Fatihah Kak Darna Tajudin.
Ads
“Sebelum meninggal sempat dermakan kornea matanya. Penghormatan terakhir untuk seorang penderma organ. Ramainya yang sayang kau kak Darna. Ramai doakan kau kak.
“Cantik betul mukamu, macam kak tengah tidur. Bersih berseri. Keluargamu semua sangat-sangat kuat kak macam kau kuatnya. Anak-anakmu selepas ini mesti rindu kau.
“Syurga untuk mu kakak ku Darna Tajudin,” tulisnya pada kapsyen sebuah video yang memaparkan suasana jenazah arwah dikeluarkan dari hospital untuk penghormatan terakhir.
Berdasarkan siasatan awal polis, kejadian berlaku apabila sebuah Toyota Hilux dipandu lelaki dipercayai mabuk melanggar bahagian belakang Perodua Alza. Hilux itu kemudian terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh Darna yang sedang berlari di situ.
Akibat rempuhan tersebut, Darna mengalami kecederaan serius hingga disahkan mati otak (brain death) sebelum akhirnya menghembuskan nafas terakhir.
Ads
Allahyarham meninggalkan lima anak yang berusia antara 9 hingga 18 tahun. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Tular Gambar Lelaki Tidur Di Atas Kubur Ibunya,”Ya Itu Memang Saya.” Baru-baru ini tular gambar seorang lelaki tidur di atas kubur. Berikutan itu seorang penghantar makanan, Abdul Azim Hasmandi, 28, mengaku itu dirinya.
Tular Gambar Lelaki Tidur Di Atas Kubur Ibunya,”Ya Itu Memang Saya”
Sebelum ini tular sekeping gambar di TikTok memaparkan lelaki itu sedang berehat dan baring bersebelahan pusara ibu tercinta. “Tidur di kubur arwah mak, ya itu memang saya,” akui Abdul Azim.
Pemuda itu berkata, dia tidak tahu-menahu tentang hantaran yang dimuat naik pengguna TikTok melainkan kawan-kawan sekerja memberitahunya.
Menurut anak kedua dari empat adik-beradik itu, pemergian ibunda tersayang, Norlia Mahmood, 62, sekitar Jun lalu masih meninggalkan kesan mendalam sehingga hari ini, membuatkannya sentiasa ingin menziarahi kubur demi melepaskan rindu.
“Arwah meninggal dunia kerana kemalangan motosikal pada pagi Jumaat sebab nak elak seorang pejalan kaki ketika pulang membeli barang basah untuk meniaga nasi lemak di Bandar Baru Bangi.
“Sebenarnya, ia salah satu cara untuk saya merasa dekat dengan umi selain sedekah Al-Fatihah dan baca Yasin sebab saya memang rapat dengan arwah. Kadang-kadang teringatlah pada dia.
“Banyak perkara tak dapat buat semasa dia hidup, jadi ini inisiatif saya sendiri seperti luang masa di kubur, bersihkan pusara, borak dan teman arwah. Sekurang-kurangnya rasa dekat walaupun berbeza alam,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum itu, sekeping gambar dimuat naik seorang pengguna TikTok, Su Ahmad menampakkan Abdul Azim tidur bersebelahan kubur ibunya hingga mengundang reaksi sayu warga maya.
Norlia yang sudah lama meniaga nasi lemak meninggal dunia akibat kemalangan pada pagi Jumaat. FOTO/ Ihsan Abdul Azim.
Hantaran tersebut turut mendapat lebih 292,200 tanda suka, 13,000 perkongsian dan lebih empat juta tontonan setakat ini.
Ditanya mengenai penerimaan dan tanggapan dilemparkan terhadapnya, Abdul Azim berpandangan, adik-beradik yang lain terkejut apabila mengetahui dia sering berehat di kubur ibunya.
Pusara Norlia di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas. FOTO/ Ihsan Abdul Azim.
Bagaimanapun, jelasnya, dia sudah lama reda dengan ketentuan Ilahi sejak hari pertama arwah terbaring kaku di pinggir jalan sewaktu kemalangan, namun tidak dinafikan rindu yang paling berat adalah apabila kehilangan ibu.
“Adik-beradik dan ahli keluarga saya yang lain pun tak tahu saya selalu baring di kubur. Ada yang terkejut, ada juga yang marah. Tetapi, saya tak hirau kerana cara kita bersedih atau hadapi kehilangan berbeza-beza.
“Jadi, macam-macam cara untuk ‘tapis’ kesedihan itu. Kalau buat perkara lain, saya tak mampu. Nak tak nak kena reda sebab ini cara saya hilangkan kesedihan.
“Saya dah tak dapat bercakap, lihat depan mata atau dengar gelak tawa umi selepas ini,” ujarnya lagi.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2025 kepada seluruh rakyat.
Baginda berdua mendoakan agar tahun baharu ini membawa keberkatan, kesejahteraan, dan kejayaan untuk semua.
Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan itu menerusi satu hantaran berserta poster yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Selasa.
Bersempena Tahun Baharu 2025 membuka tirai, Seri Paduka Baginda berdua mendoakan kesejahteraan rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.
Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah turut mendoakan keharmonian serta perpaduan negara terus berkekalan.
“Ya ALLAH, Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, kami memohon kepada-Mu agar Engkau sentiasa melindungi rakyat serta negara.
“Semoga seluruh rakyat dan negara dilimpahi keberkatan dan kemakmuran serta dilindungi daripada sebarang bencana dan musibah,” titah Seri Paduka Baginda.
Tukar duit raya guna khidmat ‘runner’, UAI kongsi cara nak elak riba. Meskipun menukar not kertas untuk duit raya menjadi amalan biasa, terdapat situasi tertentu yang boleh membawa kepada riba jika tidak dilakukan dengan betul.
Tukar Duit Raya Guna Khidmat ‘Runner,’ UAI Kongsi Cara Nak Elak Riba
Menukar wang kecil untuk dijadikan sebagai duit raya antara persediaan yang dilakukan untuk menyambut hari raya. Bagi yang sibuk, mereka akan menggunakan khidmat ‘runner’ bagi tujuan tersebut.
Namun timbul persoalan, apakah dibolehkan umat Islam menggunakan perkhidmatan ini? Ada yang mengatakan ia termasuk dalam unsur riba, benarkah begitu?
Menjawab persoalan tersebut, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, hukum menggunakan khidmat untuk tukaran duit raya ini bergantung kepada pelaksanaannya.
“Jika tukaran RM100 dan hanya mendapat RM98 kerana RM2 itu dikira upah, maka haram hukumnya. Itu riba namanya.
Bagaimanapun katanya, khidmat upah tersebut diharuskan sekiranya tukaran tersebut sama nilainya selain bayaran upah dibuat selepas tukaran selesai.
“TUKAR DUIT RM520 DENGAN RM500, PERTUKARAN ITU TIDAK BETUL DAN HARAM. KENA TUKAR RM500 DENGAN RM500 JUGA DAN SELEPAS ITU BERI RM20 KERANA UPAH, ITU BARU BETUL (DIHARUSKAN),” HURAINYA.
Situasi tersebut sama juga hukumnya dengan tukaran wang kecil untuk tujuan lain selain duit raya.
Bagaimanapun ada dua syarat yang perlu dipenuhi ketika menukar duit tersebut agar kita tidak terlibat dengan riba.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dua syarat tersebut ialah mesti sama kuantiti tukaran dan dilakukan secara serta-merta.
“SEKIRANYA KUANTITI TUKARAN TIDAK SAMA, MAKA TRANSAKSI TERSEBUT TERGOLONG DALAM KATEGORI RIBA AL-FADL.
“Sekiranya terdapat syarat menangguhkan bayaran atau penyerahan barang, maka ia tergolong dalam kategori riba an-Nasiah,” katanya seperti disiarkan dalam laman rasminya yang bertajuk Al-Kafi #1847: Jenis-jenis riba di sisi mazhab Syafie.
Katanya lagi, selain itu terdapat juga transaksi yang niat asalnya dilakukan secara serta-merta namun terlewat dari sudut penyerahan barang.
“Sekiranya hal ini berlaku, transaksi tersebut tergolong dalam kategori riba al-Yadd iaitu riba yang berlaku disebabkan lewat menyerahkan barang walaupun tidak diletakkan syarat penangguhan.
“Akhirnya, menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk memastikan setiap jual beli yang dilakukan tidak terjerumus dalam kancah riba yang diharamkan oleh ALLAH dan rasul-NYA,” katanya.