
Didik Anak Dengan Disiplin Sejak Kecil
Intan Najuwa dedah cara didik anak dengan disiplin, “Saya ibu tegas dan garang”. Itulah pengakuan jujur pelakon Datin Intan Najuwa apabila berkongsi tentang pendekatannya sebagai seorang ibu dalam membesarkan cahaya mata tersayang.
Bagi Intan, dalam mendidik anak, kasih sayang sahaja tidak mencukupi jika tidak disertai dengan disiplin yang betul. Sebagai ibu, dia percaya anak-anak perlu dibentuk sejak kecil agar tahu batas, menghormati arahan dan memahami bahawa bukan semua perkara boleh diperoleh sesuka hati.

Menurut Intan atau nama penuhnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, dia sememangnya seorang ibu yang tegas dan garang apabila melibatkan soal didikan anaknya, Imane Lunara. Malah, dia mengakui pernah memarahi anak hampir setiap hari jika keadaan memerlukan.
Katanya, apabila dia sudah berkata tidak, maka perkara itu benar-benar tidak boleh. Bagi Intan, ketegasan itu penting supaya anak dapat belajar tentang peraturan dan disiplin sejak dari usia yang masih kecil.
“Sekarang pun saya dah mula ajar dia yang bukan semua benda dia mahu boleh dapat.
“Sejak peringkat bayi lagi saya dah mula. Kalau dia melawan pengasuh, saya akan terus masuk campur dan tegur dia masa itu juga,” kongsinya menerusi InstaStory.
Perkongsian pelakon ini nyata membuka mata ramai ibu bapa, terutama golongan ibu yang kadangkala berasa bersalah apabila terpaksa menegur atau memarahi anak. Hakikatnya, menurut Intan, tindakan itu tidak menjadikan seseorang ibu sebagai individu yang tidak baik.
Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab seorang ibu dalam mendidik, membimbing dan memperbetulkan anak-anak agar membesar menjadi insan yang lebih baik.

Intan Najuwa Jelaskan Peranan Ibu Yang Tegas
“Sejujurnya, kalau kita marahkan anak, itu tak bermakna kita adalah seorang ibu yang tidak baik.
“Itu memang sebahagian daripada tugas seorang ibu. Kita mendidik, membimbing, dan membetulkan mereka dengan cara sendiri,” ujarnya lagi.
Apa yang lebih menyentuh hati, Intan turut menjelaskan bahawa dia cuba melatih Lunara menjadi seorang anak yang berdikari sejak sekarang. Dia tidak mahu anaknya terlalu bergantung kepada orang lain dan berharap Lunara membesar menjadi seorang yang kuat serta tahu menjaga diri sendiri.
Sebagai ibu, Intan mengakui dia memikirkan masa depan anaknya dalam jangka panjang. Baginya, didik anak dengan disiplin sejak kecil sangat penting sebagai persediaan menghadapi realiti kehidupan yang semakin mencabar.
“Saya juga cuba setiap hari untuk ajar Lunara berdikari bermula sekarang sebab satu hari nanti, kalau saya dan bapanya sudah tiada, saya nak dia tahu macam mana nak jaga diri sendiri, jadi kuat serta tak terlalu bergantung pada orang lain,” katanya.

Didik Anak Dengan Disiplin Bukan Bererti Kurang Kasih Sayang
Dalam masa sama, Intan turut menitipkan pesanan buat ibu bapa lain agar tidak terlalu menyalahkan diri sendiri jika pernah memarahi anak-anak. Menurutnya, ada ketikanya ketegasan memang perlu agar anak tidak menjadi terlalu manja.
Tambah Intan, apa yang paling penting ialah keseimbangan antara kasih sayang dan disiplin. Kedua-duanya perlu berjalan seiring kerana itulah asas utama dalam membentuk keperibadian anak.
Perkongsian ini cukup dekat dengan hati ramai ibu bapa kerana realitinya membesarkan anak bukan sekadar memberi apa yang mereka mahukan. Ada waktunya ibu bapa perlu berlembut, dan ada waktunya mereka perlu tegas supaya anak belajar memahami sempadan, adab dan tanggungjawab dalam kehidupan seharian.
Dalam konteks ini, didik anak dengan disiplin bukan bermaksud ibu bapa perlu sentiasa marah. Sebaliknya, ia lebih kepada konsisten dalam menetapkan peraturan, menegur apabila perlu dan memastikan anak membesar dengan panduan yang jelas. Ketegasan yang hadir bersama kasih sayang sering menjadi asas penting dalam pembentukan sahsiah anak.
Untuk rekod, Intan mendirikan rumah tangga dengan usahawan Ahmad Azraf pada Ogos 2023. Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Imane Lunara, pada 15 Disember 2024. Kini, Intan juga sedang hamil anak kedua mereka.
BACA LAGI : Intan Najuwa Hamil Anak Kedua, Berita Gembira & Momen Indah Lunara Bakal Jadi Kakak
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




