
Syatilla Melvin
Doa seorang ibu cukup besar nilainya dalam kehidupan anak-anak. Selagi ibu masih ada, jangan sesekali mensia-siakan peluang untuk meminta restu dan doanya, walaupun untuk perkara kecil dalam kehidupan seharian.
Itulah antara pesanan yang dikongsikan pelakon dan usahawan, Syatilla Melvin, menerusi satu hantaran di Threads. Menurut Syatilla, ramai orang berlumba-lumba mahu ke Mekah dan berdoa di hadapan Kaabah agar segala hajat dimakbulkan.
Namun katanya, ada yang terlupa bahawa di rumah sendiri terdapat sosok seorang ibu yang doanya juga sangat mustajab di sisi Allah.
“Dengar ceramah seorang ustaz, dia kata ramai orang berebut nak pergi Mekah dan berdoa di hadapan Kaabah untuk terkabul segala hajat.
Tapi mereka lupa dalam rumah mereka sendiri ada sosok seorang ibu yang lebih hebat, dahsyat dan mustajab doanya.”
Dalam perkongsian sama, Syatilla turut menitipkan nasihat buat mereka yang masih mempunyai ibu agar tidak mensia-siakan nikmat tersebut.
“Bagi yang masih ada ibu, minta hari-hari doa ibu walaupun sekecil-kecil hal.”
Perkongsian itu cukup menyentuh hati kerana hakikatnya, ibu adalah insan yang tidak pernah berhenti mendoakan anak-anak. Dalam diam, setiap kebimbangan, kejayaan dan ujian hidup seorang anak sering diiringi doa tulus seorang ibu.
Sebagai anak, jangan tunggu sehingga ibu tiada baru mahu menyesal. Selagi masih berpeluang, hubungilah ibu, tanyakan khabar, mohon maaf dan mintalah doanya. Kadang-kadang doa ibu yang dilafazkan dengan penuh kasih itu menjadi asbab urusan kita dipermudahkan.
Benarlah, restu ibu antara bekal paling berharga dalam hidup. Hargailah ibu selagi masih ada, kerana kasih dan doanya tiada galang ganti.
BACA LAGI : Anak-Anak Pertama Kali Tengok Kaabah, Syatilla Melvin Kongsi Rasa Teruja Anak!