Apabila tiba musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, pastinya pusat beli-belah akan menjadi tumpuan keluarga untuk membeli barangan keperluan raya seperti baju raya, kelengkapan rumah dan sebagainya.

Satu hal yang merunsingkan kebanyakan ibu bapa adalah membawa anak-anak ketika jualan murah di mana-mana pusat membeli belah.

Dengan keadaan orang yang ramai dan berasak-asak risiko anak terlepas dari genggaman mungkin berlaku. Untuk mengelak kejadian ini dari berlaku, ibu bapa kena praktikkan cara selamat bawa anak di pusat membeli belah:

Usia 0 – 1 tahun

Masih awal untuk mendidik, mengajar atau menunjukkan cara yang betul tentang bahaya yang ada di pusat membeli belah. Paling praktikal ialah dengan kawalan sepenuhnya oleh ibu bapa sepanjang berada di luar.

Ibu bapa perlu peka tentang kebarangkalian risiko dan bahaya yang ada supaya langkah pencegahan dilakukan terlebih dahulu.

Peranan menjaga anak diagihkan antara ibu dan bapa. Contoh jika ibu sibuk memilih barangan keperluannya, maka bapa boleh mengambil alih peranan menjaga anak. Begitulah sebaliknya.

Memastikan keperluan bayi disediakan seperti susu suam dan jika bayi masih menyusu badan, maka pastikan bayi sudah diberikan susu (sebelum bertolak ataupun di tempat yang disediakan) sebelum meneruskan niat untuk membeli belah.

Justeru, untuk mengelakkan emosi ibu bapa terganggu, terlebih dahulu sempurnakanlah keperluan anak-anak terutama bayi. Membawa peralatan yang sesuai seperti stroller atau beg sandang bayi yang sesuai, iaitu tidak terlalu besar atau kecil dan mudah dibawa.

Usia 2 – 4 tahun

Bermula usia seawal 2-4 tahun, ibu bapa sudah boleh bercakap dengan anak-anak berkenaan bahaya sekeliling. Cara penyampaian perlulah bersahaja dan boleh difahami oleh anak-anak.

Paling elok jika menggunakan medium komunikasi yang lain seperti buku, rancangan televisyen atau gambar rajah bergambar untuk memudahkan pemahaman. Seperti juga bayi, anak-anak dalam lingkungan 2 – 4 tahun juga perlu diperhatikan sepenuhnya oleh ibu bapa.

Giliran memilih pakaian atau barangan keperluan perlu dilakukan oleh ibu dan bapa supaya sentiasa ada orang dewasa yang mengawal anak-anak.

IKLAN

Jika anak-anak merupakan seorang yang hiperaktif atau tidak duduk diam, maka sebaiknya bawa bersama beg sandang anak-anak yang mempunyai tali supaya sentiasa dekat dan terkawal pergerakannya.

Alat ini telah digunakan secara meluas di kebayakan negara luar sebagai satu langkah pencegahan anak-anak berkeliaran ke tempat lain tanpa kawalan ibu bapa. Pimpin tangan anak-anak kuat-kuat bagi mengelakkan mereka hilang atau sesat dalam limpahan orang ramai.

Usia 5 – 6 tahun

Pada peringkat usia ini, anak-anak boleh dilatih untuk bertanggungjawab dengan membawa beg milik sendiri yang mengandungi barang keperluan ketika keluar bersama keluarga.

Kanak-kanak tidak perlu meminta ibu bapa jika dahaga dan lapar kerana mereka boleh mendapatkannya dari beg yang dibawanya sendiri. Pun begitu, ibu bapa perlu menyediakan keperluan itu sebelum bersedia untuk keluar bersiar-siar.

IKLAN

Bagi anak-anak dalam lingkungan usia ini, kebanyakan mereka telah mula faham akan arahan dan keselamatan. Maka sebaiknya, sebelum keluar rumah, perlu diberi peringatan kepada anak-anak supaya berkelakuan baik dan sentiasa berada bersama ibu dan ayah.

Jadikan peringatan itu sebagai kebiasaan sebelum keluar ke mana-mana terutama tempat yang ramai orang. Anak-anak juga perlu diberitahu akan cara terbaik jika dalam situasi tersesat atau hilang daripada kawalan ibu bapa.

Mereka perlu diberitahu untuk pergi ke mana-mana kaunter di pusat membeli belah itu untuk memberitahu bahawa mereka hilang daripada ibu bapa.Pastikan anak-anak mengetahui nama penuh ibu bapa dan namanya sendiri jika merujuk ke kaunter di pusat membeli belah.

Lebih elok sekiranya anak-anak diberitahu tempat untuk meminta tolong di bahagian keselamatan yang tersedia (namun agak sukar untuk melakukan perkara ini melainkan pusat membeli belah itu sememangnya sering dikunjungi bersama anak-anak) .

Memberikan kad nama berserta nombor telefon kepada anak-anak sekiranya berlaku kes kehilangan atau sesat. Langkah ini juga telah digunakan secara meluasnya di Negara-negara luar.

Selain nama dan nombor telefon ibu bapa, tag nama juga boleh disediakan kepada anak-anak bagi memudahkan urusan bantuan dan pertolongan yang lain.