Tidak semua negeri di Malaysia mempunyai jumlah cuti umum yang sama. Ada negeri yang perlu beroperasi seperti biasa walaupun negeri lain bercuti.
Begitu juga setiap kali menjelang tahun baru, ramai yang mula merancang cuti dan aktiviti bersama keluarga. Namun, bagi penduduk di lima negeri tertentu, cuti umum 1 Januari tidak termasuk dalam kalendar rasmi negeri mereka. Hal ini sering menjadi perbualan, terutama di media sosial.
Lima daripada 14 negeri iaitu Johor, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis memilih untuk tidak mengisytiharkannya sebagai cuti umum.
Ads
Sebagai contoh, di Kelantan dan Terengganu, sambutan Tahun Baharu tidak diraikan secara rasmi kerana negeri-negeri ini lebih mengutamakan hari-hari kebesaran yang berkaitan dengan agama Islam.
Hujung minggu di kedua-dua negeri itu ditetapkan pada hari Jumaat dan Sabtu bagi memudahkan penduduk menunaikan solat Jumaat dengan lebih selesa.
Ads
Begitu juga dengan Kedah, Johor, dan Perlis, yang lebih mengutamakan acara keagamaan dan tradisi Melayu berbanding sambutan yang bersifat umum atau universal.
Ads
Ini memandangkan lima negeri berkenaan terkait rapat dengan tradisi dan budaya, sekali gus membentuk jadual cuti umum yang berlainan dengan negeri lain.
Namun, sambutan Tahun Baharu di beberapa bandar di lima negeri tersebut tetap diadakan secara sederhana sebagai tanda turut meraikan malam ambang tahun baharu, meskipun penduduknya perlu bekerja seperti biasa pada keesokan hari.
Namun, untuk kepastian status mengenai status cuti umum pada 1 Januari, adalah disarankan untuk mendapatkan pengesahan daripada majikan bagi mengelakkan sebarang salah faham.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Hilang kaki bukan penghalang semangat Nik Haziera Saffiya terus beruaha. Kehilangan kaki bukanlah pengakhiran segalanya, malah ia tidak mematahkan semangat seorang remaja, Nik Haziera Saffiya Nik Husmadi untuk terus berusaha dan mencipta peluang baru dalam hidup.
Walaupun berdepan dugaan besar, gadis berusia 18 tahun itu tetap optimis dan mula merancang langkah untuk meneruskan kehidupannya sebaik sahaja kesihatannya semakin pulih. Dengan menggunakan tongkat dan alat bantuan lain, dia kini sedang belajar menyesuaikan diri dengan keadaannya.
“Setahun lalu, kaki saya kehilangan keupayaan untuk bergerak selepas dilenyek lori dalam satu kemalangan yang turut melibatkan kakak saya. Namun, saya menerima takdir ini dengan hati yang reda dan tidak pernah meratapi nasib. Ini adalah ujian Allah yang harus saya tempuh dengan sabar,” katanya.
Menurut Haziera, kakaknya, Nik Haznita Saffiya, 20, turut mengalami kecederaan parah dalam kemalangan tersebut. Akibatnya, kaki kanan Haznita terpaksa dipotong hingga ke paras pinggul pada Februari 2024.
“Walaupun ramai yang simpati dengan keadaan kami, kami menerima ketentuan ini dengan lapang dada. Kehidupan kami berjalan seperti biasa. Kakak teruskan perniagaannya, manakala saya masih menjalani rawatan susulan sebelum kaki saya dipotong pada pertengahan Januari lalu,” tambahnya.
Haziera kini sedang menjalani rawatan di Hospital Temerloh selepas kemalangan tragis yang berlaku pada Februari 2024 itu. Dalam insiden tersebut, Haznita yang membonceng motosikal mengalami kecederaan serius pada kaki kanan, manakala Haziera pula mengalami komplikasi darah beku di paru-paru, patah bahu, serta kecederaan pada tulang pelvis dan pinggang.
Walaupun diuji dengan keadaan fizikal yang berubah, Haziera tidak pernah hilang semangat. Dia kini sibuk merancang masa depannya selepas pulih sepenuhnya.
“Saya sepatutnya berada di Tingkatan 5 ketika kemalangan berlaku. Namun, kerana keadaan saya, saya terpaksa menangguhkan persekolahan selama setahun. Insya-Allah, saya akan kembali ke sekolah pada sesi baru nanti untuk menamatkan pelajaran hingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Sebelum itu, saya akan melatih diri menggunakan tongkat sehingga mahir. Meskipun impian saya untuk menjadi seorang askar kini tidak dapat dicapai, saya tetap bersemangat untuk mencuba perkara baharu. Baru-baru ini, saya mendapat tawaran untuk menyertai latihan sukan memanah bagi paralimpik, dan saya sangat teruja untuk mencuba bidang tersebut,” katanya dengan senyuman penuh keyakinan.
Haziera turut menjelaskan bahawa keluarga, terutamanya ibu bapa dan adik-beradiknya, adalah sumber kekuatannya.
“Ayah pernah berkata, walaupun kami kehilangan kaki, kami tetap ada ‘tiga kaki’ kerana sokongan daripada keluarga. Kata-kata itu benar-benar memberi semangat kepada saya dan kakak untuk teruskan hidup tanpa rasa kekurangan,” ujarnya.
Haziera juga mendapat sokongan moral daripada rakan-rakan dan guru-guru yang sentiasa menghulurkan bantuan serta melawat mereka dari semasa ke semasa.
Bagi Haziera, pengalaman ini bukan sahaja mendidiknya untuk lebih tabah, malah mengajarnya bahawa kekuatan sebenar datang daripada hati yang reda dan fikiran yang positif.
Walaupun laluan hidupnya kini berbeza, Haziera yakin setiap cabaran yang dihadapinya adalah peluang untuk membina masa depan yang lebih cerah. Dengan sokongan keluarga, rakan, dan semangat yang tidak pernah luntur, Haziera terus melangkah ke hadapan, membuktikan bahawa kehilangan kaki bukan penghalang untuk mencapai kejayaan.
“Saya percaya, selagi ada usaha, pasti ada jalan. Ujian ini adalah peluang untuk saya bangkit dan menunjukkan bahawa kekurangan fizikal bukan alasan untuk menyerah,” katanya penuh azam.
Suami isteri maut, Ford Mustang terbabas di Jalan Segamat-Kuantan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad. Pemergian pasangan suami isteri yang juga pemilik kedai emas, Allahyarham Mohd Izuddin Harmaini, 51, dan isterinya Nur Syamimi Rosli, 36, akibat kemalangan jalan raya pada Isnin lalu memberi kesan yang amat mendalam bukan sahaja kepada ahli keluarga, malah kepada golongan yang pernah menerima bantuan daripada mereka.
Menurut bapa kepada Allahyarhamah Nur Syamimi, iaitu Rosli Ramli, 61, pasangan itu sangat pemurah dan tidak lokek untuk menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang memerlukan. Malah katanya, mereka sangat mudah tersentuh melihat penderitaan insan lain.
“Mungkin asbab daripada sifat pemurah mereka, ALLAH permudahkan urusan perniagaan barang kemas diusahakan hingga berjaya membuka dua kedai emas termasuk di Pekan.
“Dulu dia (Nur Syamimi) menjual barang kemas termasuk barang perhiasan suasa dan perak secara kecil-kecilan termasuk di pekan sehari.
“Berkat usaha mereka, perniagaan barang kemas yang diusahakan lebih 10 tahun lalu itu semakin maju dan boleh dibanggakan,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu pada Selasa.
Rosli yang merupakan pesara guru turut berkongsi bahawa pasangan itu sering bergerak bersama setiap kali menghantar barang kemas kepada pelanggan. Malah, pertemuan terakhir mereka berlaku dua hari sebelum kejadian, ketika pasangan itu menghantar anak ketiga untuk bermalam di rumahnya.
“Saya cuma dapat tahu mereka ke Segamat semalam (Isnin) untuk bertemu pelanggan sebelum menerima khabar mengejutkan ini,” ujarnya.
Beliau menerima berita kemalangan yang meragut nyawa anak dan menantunya sekitar jam 3 petang daripada anak bongsunya.
“Masa terima panggilan saya baru hendak makan tengah hari.
“Anak beritahu kakak dia dan suami kemalangan dan kedua-duanya maut di tempat kejadian,” katanya lagi.
Rosli menyifatkan kehilangan mereka sebagai satu tamparan hebat kerana perniagaan yang diusahakan bersama kini sedang berkembang pesat.
“Mereka pergi waktu perniagaan sedang maju tapi ALLAH lebih sayangkan mereka,” katanya, sambil mengenang kembali tragedi kehilangan anak keduanya, Allahyarham Mohd Shazwan, dalam kemalangan pada tahun 2011.
Pasangan ini meninggalkan empat orang anak perempuan berusia antara dua hingga 11 tahun, iaitu Nur Izzara Eryna (11), Nur Airaa Eryna (7), Nur Naura Eryna (4), dan Nur Qairaa Eryna (2).
Adik bongsu Nur Syamimi, iaitu Nur Izzah Ezani Rosli, 26, turut berkongsi bahawa kakak dan abang iparnya sangat baik dengan pekerja mereka dan tidak pernah berkira.
“Pada Jumaat lalu mereka sempat belanja kek untuk pekerja kedai emas di Pekan.
“Pada pagi Isnin, mereka singgah di kedai untuk ambil barang kemas yang dipesan pelanggan.
“Masa itu hanya abang ipar yang turun ambil barang manakala kakak hanya tunggu dalam kereta,” katanya.
Berita tentang kemalangan tragis yang menimpa kakak dan abang iparnya itu sangat mengejutkan seluruh ahli keluarga.
Jenazah pasangan ini selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu pada kira-kira jam 10.45 pagi, Selasa. Sebelum itu, jenazah dibawa dari kediaman keluarga di Taman Syahbandar menaiki dua van jenazah dan tiba di Masjid Tengku Panglima Perang Tengku Muhamad, Pekan pada jam 9 pagi untuk disolatkan.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Mohd Izuddin dan Nur Syamimi maut selepas kereta Ford Mustang yang mereka naiki terbabas di Kilometer 13, Jalan Segamat-Kuantan berhampiran simpang Felda Pemanis, Segamat. Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 2 petang ketika mereka dalam perjalanan dari Kuantan ke Segamat. Kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Masa yang dinanti telah tiba! Harga emas sedang meningkat, menandakan peluang terbaik untuk menambah koleksi barang kemas atau melabur untuk masa depan. Bagi yang sudah lama menyimpan niat untuk membeli emas, inilah waktunya sebelum harga melonjak lebih tinggi.
Emas bukan sekadar perhiasan untuk mencantikkan diri, tetapi juga aset bernilai yang boleh dijual atau dipajak ketika memerlukan. Dengan nilai yang semakin meningkat dari tahun ke tahun, memiliki emas adalah satu langkah bijak untuk jaminan kewangan jangka panjang.
Memetik laporan Sinar Harian, harga emas dijangka meneruskan aliran kenaikan sehingga tempoh hujung tahun ini mengambil kira beberapa faktor antaranya kejatuhan harga komoditi lain di pasaran dunia.
Pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, faktor lain yang turut menyumbang kepada kenaikan tersebut ialah dasar monetari global yang longgar, ketidakpastian fiskal dan persekitaran geopolitik.
“Apabila harga komoditi seperti petroleum atau minyak mentah merendah, harga emas akan naik. Keadaan ini juga didorong oleh asas kepada pusingan yang sudah memasuki 30 tahun (untuk harga emas naik). Walaupun ia bukan pusingan mutlak tapi ia berlaku mengambil kira kesan sekeliling.
“Jadi, harga emas ini akan menjadi pilihan dan permintaannya meningkat apabila harga komoditi-komoditi lain turun. Situasi ini juga merupakan satu trend atau strategi kepada pelabur untuk mereka pilih pelaburan yang sesuai untuk mencapai matlamat,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jangkaan harga emas dan faktor mempengaruhinya susulan trend peningkatan yang dipamerkan ketika ini.
Ia susulan laporan harga emas 999 pada Sabtu merekodkan paras tertinggi setakat tahun ini iaitu RM463 segram.
Menerusi semakan di laman web Public Gold, angka itu naik RM2 berbanding Jumaat yang mencatatkan RM461 (segram).
Dalam pada itu, turut dikongsi Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim.
Menurutnya, kemungkinan hujung tahun ini harga emas berpotensi menghampiri RM500 segram dengan mengambil kira ekonomi semasa dan global.
“Kenaikan harga emas adalah disebabkan permintaan terhadap emas itu sendiri yang semakin meningkat bukan sahaja permintaan dalam kalangan individu tetapi juga melibatkan institusi kewangan, syarikat dan juga negara.
“Ini kerana emas merupakan satu aset yang tahan lama, lindung nilai dan kalis inflasi serta selamat untuk disimpan. Selain itu dasar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang memperkenalkan tarif kepada ekonomi global telah mencetuskan dan menghangatkan lagi perang dagangan ekonomi dengan beberapa buah negara dunia besar menyebabkan ekonomi global berada dalam keadaan tidak pasti telah menyumbang kepada peningkatan harga emas ini,” katanya.
Ditanya sama ada ketika ini merupakan tempoh sesuai untuk seseorang itu membeli emas sebagai aset pelaburan, Mohd Faisol menjelaskan, bukan sebagai pilihan utama untuk tujuan keuntungan segera.
“Pelaburan emas bersifat jangka masa panjang dan bukan jangka masa pendek. Selain itu peningkatan harga emas yang sentiasa meningkat setiap tahun dan bulan menyebabkan harga untuk membeli emas menjadi mahal di pasaran.
“Untuk membeli emas ialah pada masa ketika seseorang itu mempunyai wang dan modal untuk membeli emas tanpa merujuk harga emas semasa kerana sifat emas itu sendiri yang telah membuktikan bahawa harganya sentiasa meningkat begitu tinggi setiap tahun,” katanya.
Beliau menambah, tempoh paling sesuai untuk membeli emas adalah ketika harganya jatuh di pasaran kerana keadaan itu hanya berlaku dalam jangka masa pendek, sebelum ia meningkat kembali dengan ketara.
Jangan tunggu sehingga harga semakin tinggi! Sama ada untuk dipakai atau sebagai pelaburan, pastikan anda membuat keputusan yang tepat sekarang. Rebut peluang ini sebelum terlepas!
Sumber: RTM & Sinar Harian
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di