Pernah dengar tak kata orang, biar papa, asalkan bergaya. Memang ada orang macam ni dalam masyarakat. Berbelanja lebih daripada kemampuan. Akibatnya diri dan keluarga yang merana. Hidup dalam berhutang. Apa yang pasti, hidup biarlah ikut kemampuan.
Ikuti perkongsian ni
Gaji RM 2,000 tapi hidup gembira macam gaji RM10,000.
Nampak macam tak logik. Tapi ya, ini real. Dulu, saya teringin sangat nak gaji RM 5,000. Dalam hati cakap, kalau dapat gaji macam itu mesti seronok.
Bila Allah izin untuk merasa pendapatan RM 5,000 , kita mula rasa tak cukup. Kita nak gaji lebih tinggi. Kita target gaji RM 10,000 pula.
Bila Allah beri pendapatan RM 10, 000, sekali lagi kita rasa makin tak cukup. Kita naikkan lagi gaji sampai RM 20,000.
Lama kelamaan, kita rasa makin tak cukup. Kemudian saya ditegur oleh guru saya;
“Bukan nilai ringgit itu yang buat kita rasa cukup tapi keberkatan dalam setiap sen yang kita dapat. Itu yang menentukan kecukupan hidup kita.”
Ada salah seorang pasukan saya tanya;
Ads
“Seronok yek jadi macam Tuan Basit, gaji besar, boleh pergi ke merata tempat.”
Saya kata pada dia sambil berseloroh;
“Kamu nak jadi macam saya tak? Apa kata kamu ganti tempat saya. Berdiri straight 8 pagi – 5 petang selama 4 hari plus tido cuma 2-3jam sahaja sehari. Nak cuba?”
Saya pegang kemas teguran guru saya tadi. Bukan nilai ringgit itu yang jadi ukuran dalam kecukupan rezeki.
Ada orang gaji RM 2,000 sahaja, tapi dia kerja macam gaji dia RM 10,000. Sungguh- sungguh dia buat. Tak berkira. Siang malam bekerja walaupun gaji dia hanya RM 2,000.
Walaupun gaji RM 2,000, dia punya bahagia kalah orang yang gaji RM 10,000. Allah mudahkan urusan dia. Allah lindung dia dari bencana dan kesusahan.
Ads
Ada orang gaji RM 10,000 tapi dalam urusan kerja tak pernah jujur. Culas dalam menjalankan amanah. Suka curi tulang. Belanja sakan macam esok sudah tiada.
Allah uji dia. Kereta rosak. Superbike excident. Investment rugi. Gaduh dengan family dan macam-macam lagi.
Ini real. Saya bercakap atas kapasiti pengalaman. Saya buat bisnes dari jalanan. Saya bukan lahir-lahir terus mewarisi kekayaan keluarga.
Dulu sebiji telur saya boleh goreng dan bahagi empat. Satu hari makan satu slice. Settle menu untuk empat hari punya makan.
Saya ingat lagi bagaimana rasanya tak ada duit. Saya juga ingat lagi bagaimana rasanya ada berjuta dalam akaun.
Ads
Dari sekecil-kecil sampailah sebesar-besar ego saya pernah bela. Dari senipis dan setebal- tebal tembok rasa hebat dan rasa tahu sudah saya langgar.
“Bukan duit banyak jadi ukuran,tapi rezeki yang berkat menjadi sandaran”
REZEKI BERKAT
Rezeki yang berkat bermaksud,ada sedikit cukup . Ada banyak boleh berkongsi dengan orang lain.Keyakinan kita terhadap rezeki tidak berbelah bahagi.
Kita tidak risau duit dalam akaun tidak cukup. Yang kita risau rezeki yang dapat tiada keberkatan didalamnya.
Kalau kita nak rasa sentiasa cukup dan berkat dalam hidup, pastikan kita tak abai perkara-perkara ini.
Sejak kebelakangan ini banyak kisah orang hilang dilaporkan di media sosial. Tidak terkecuali, seorang wanita warga emas juga dilaporkan hilang sejak Rabu lalu, ditemukan dalam keadaan lemah berhampiran lopak air di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Parit Sayang, Senggarang di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa, Painah Siwan, 79, ditemui oleh orang awam yang turut menyertai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 11.25 pagi kira-kira 900 meter dari pos kawalan operasi.
“Ketika mangsa ditemukan terdapat bersamanya sepasang selipar dan lidi daun kelapa sawit.
“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat dengan ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, anak mangsa, Sadiah Mohari, 42, melahirkan rasa syukur dengan penemuan semula ibunya itu dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari sepanjang tempoh pencarian.
Katanya, keyakinan ibunya akan ditemui dalam keadaan selamat serta doa yang tidak putus-putus daripada anak-anak serta penduduk kampung akhirnya termakbul.
“Syukur Alhamdulillah, pagi ini kami menerima berita yang dinantikan selama enam hari dan yang paling penting emak ditemui dalam keadaan selamat.
“Ketika ini emak berada di hospital bagi mendapatkan rawatan kerana keadaannya masih lagi lemah dan buat masa ini biarlah dia berehat dahulu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Painah dilaporkan hilang oleh anaknya apabila tidak pulang ke rumah selepas keluar mencari daun kelapa sawit untuk dijadikan penyapu lidi di kebun kelapa sawit berhampiran rumahnya di Kampung Parit Sayang di sini, Rabu lalu.
Susulan itu, satu pasukan SAR dilancarkan membabitkan 187 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Batalion ke 10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk setempat.
Sumber : HMetro
Dapatkan Telaga Biru Pakej Kenal Jawi Kenal Al Quran Set dengan kos diskaun RM5, dengan menggunakan kod KELGST5 di sini
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Ceria melihat Rozita Ibrahim atau lebih dikenali sebagai bonda setelah menjejakkan kaki ke kediaman miliknya di London. Ibu kepada usahawan kosmetik terkenal, Dato Sri Aliff Syukri berkongsi momen saat berada di kediamanya di akaun Tiktok.
Mengemas rumah dan lihat pokok dihalaman rumah sempena musim bunga adalah sebab Bonda berkunjung ke London. Tanpa ditemani keluarga sebaliknya bersama kakitangannya, Bonda seakan ‘healing’ berada di kediamannya.
“Saya suka datang Lodon pada musim bunga kerana waktu ini amat cantik dan suhu yang nyaman.”
Rozita berkata, rumah berkenaan adalah ‘reward’ buat dirinya setelah bekerja sejak muda hingga ke usia tua.
“Rumah ini adalah ‘reward’ untuk diri saya. Saya beli cara hutang. Bukan cash. Saya suka melabur dalam hartanah. Saya ada rumah hutan dan rumah London.”
Keceriaan wajah Rozita terserlah apabila melangkah masuk ke kediamannya yang bersih dan terjaga.
Katanya, rumah itu diuruskan oleh orang yang dipertanggungjawabkan bagi memastikan kebersihan dalaman dan luaran. Seakan memahami keselamatan rumahnya itu, dia menjelaskan semua pergerakkan di rumah berkenaan dipantaunya menerusi kamera litar tertutup (CCTV).
Sementara itu, Rozita juga berkongsi paparan di bahagian belakang rumahnya yang dipenuhi pokok. Meluahkan rasa gembira melihat banyak pokok sudah berbunga.
Rozita juga berkongsi bahawa kediamannya itu sebelum ini dimiliki seorang arkitek yang berasal di London dan Amerika Syarikat. Lebih menarik halaman yang luas ini dipenuhi bunga-bunga yang cantik, Wow. siapa yang tak ‘healing’ berada di sini! Sambil minum kopi panas di laman melihat kecantikkan Ilahi pasti membuatkan jiwa tenang.
Boleh kata musim cuti raya yang panjang ramai antara kita akan ambil kesempatan untuk mengadakan majlis reunion kawan-kawan sekolah. Maklumlah ketika raya inilah semua orang akan balik ke kampung dan mudahlah untuk menjayakan majlis reunion yang julung-julung kalinya dapat diadakan.
Terasa teruja sungguh untuk bertemu kawan lama bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim. Pun begitu tidak dinafikan ramai juga yang mengatakan majlis reunion sekolah ni banyak juga mengundang musibahnya.
Untuk itu, apa kata kita baca salah satu petikan teks yang telah disiarkan di dalam majalah Keluarga yang ditulis oleh Datuk Abd Jalil Ali. Memang menarik perkongsiannya!
SAYA percaya ‘reunion’ boleh membangkitkan kenangan silam. Tetapi saya tidak bersetuju bahawa pertemuan teman-teman lama itu boleh meruntuhkan rumah tangga.
Memang menghairankan apabila ada tanggapan kononnya pertemuan semula teman sekolah, atau teman sekampus, boleh merenggangkan hubungan suami-isteri.
Harap-harap ada kajian ilmiah dilakukan dalam waktu terdekat ini untuk menolak tanggapan seperti ini. Kalau tidak mungkin ramai tidak berani menghadirkan diri pada majlis ‘reunion’, bimbang rumah tangga berantakan.
Ada yang bertanya saya, salah siapa sekiranya hubungan suami-isteri menjadi semakin dingin setelah pulang dari pertemuan dengan teman-teman lama.
Salah lelaki atau salah perempuan? Apakah lelaki yang terlalu emo? Atau, apakah perempuan yang terlebih jiwa-jiwang?
Lebih baik jangan menyalahkan sesiapa. Tidak kira lelaki atau perempuan, apabila terlalu terbawa-bawa dengan kisah-kisah indah zaman sekolah, memang boleh angau dibuatnya.
Almaklumlah, zaman persekolahan memang penuh seribu keindahan. Kalaulah jarum jam boleh diputar ke belakang, rasanya saya hendak kembali semula ke zaman itu!
Menoleh ke belakang, menelusuri lorong-lorong kenangan, tempoh lima atau enam tahun di sekolah menengah, memang semuanya indah. Hatta, kena rotan guru disiplin pun kini terasa amat nostalgik.
Kalau kena rotan pun satu kenangan yang tidak dapat dilupakan, inikan pula kisah cinta-cintan sepanjang berada di tingkatan empat atau lima.
Maka teringat seorang gadis bertocang ekor kuda yang mula saya kenali ketika di tingkatan lima. Dia pelajar baharu, berpindah dari sekolah lain.
Sejak hari pertama terserempak dia di kantin, tertarik betul saya pada ekor kudanya yang diikat dengan reben biru. Tidak ada kata-kata, hanya senyuman ketika sama-sama meninggalkan kantin sebab loceng sudah berbunyi.
Dan, malam itu saya tidak dapat menumpukan perhatian pada buku teks geografi, sebab setiap halaman yang saya buka, yang terlihat hanyalah senyuman manisnya di kantin siang tadi.
Saya terlentang di katil, terkebil-kebil dalam gelap, sebelum akhirnya terlena, dengan satu soalan yang belum dijawab: Siapakah gadis itu?
Pagi-pagi esoknya, di kantin sekolah, saya bertemu dengannya, saling berbalas senyum, dan tanpa malu-malu terus saya tanyakan namanya.
Namanya S. Sengaja saya rahsiakan nama sebenarnya, bimbang akan menimbulkan syak kepada suaminya, juga kepada isteri saya sendiri.
Bermula di kantin, kerap pula saya bertemunya di perpustakaan, di padang ketika latihan sukan. Malah, sesakali pada hujung minggu, kami makan ais kacang di pekan.
Walaupun tidak pernah dinyatakan dengan perkataan, saya sedar telah terperangkap dalam cinta. Saya pasti – dari gerak geri dan reaksinya – dia juga telah terjerat dalam babak filem Hindustan yang mengasyikkan ini.
Cinta monyet itu amat indah. Kami tidak berselindung-selindung lagi. Ke mana-mana bersama. Kalau sehari tidak berjumpa, saya tidak boleh belajar.
Satu sekolah heboh orang bergossip mengenai kami. Ada aku kisah? Kami berjanji ingin bersama, sehidup semati. Engkaulah gunung, engkaulah intan, engkaulah payung, fullamak.
Tetapi, namapun cinta monyet. Sumpah dan janji monyet tidak boleh dipegang. Lepas keputusan SPM, dia disambar oleh monyet lain.
Ketika berkelana di KL, membawa sebuah kedukaan, saya menerima perkhabaran dari kampung S akan berkahwin dengan jejaka pilihan keluarga.
Mula-mula menangis juga. Sampai hati kau mengkhianati cinta ku. Rasa hendak terjun lombong, atau minum racun tikus, lebih-lebih lagi setiap kali mendengar lagu ‘Kenangan Mengusik Jiwa’ oleh A. Ramlie yang amat populat ketika itu.
Tetapi, lama-lama monyet desa itu hilang dari ingatan. Rupanya di kota pun ada sekian banyak monyet…
Sejak habis sekolah, saya tidak pernah bertemu dengan S. Setiap kali pulang beraya dan bertemu dengan geng-geng sekolah, selalu juga kita bercerita tengang cinta-cintan zaman remaja.
Secara kebetulan rumah saya betul-betul sebelah Sekolah Menangan Kebangsaan Bukit Gambir. Setiap kali balik Kampung Sungai Jaya, Muar, saya melintasi sekolah, dan terasa kelakar pula teringat zaman monyet-monyetan
Walaupun selalu bertemu geng ketika pulang kampung, sampai sekarang saya belum berkesempatan ber‘reunion’ dengan kawan-kawan lama sekolah.
Saya tidak pasti jika bertemu ramai-ramai dengan geng sekolah apakah cinta boleh bersemi semula? Tidak dapat dipastikan apakah reunion boleh menjejaskan hubungan saya dengan isteri.
Hatta, tidak juga dapat saya pastikan apakah S, si tocang ekor kuda itu masih mengenang detik jeling-menjeling di kantin, juga keseronokan berlatih sukan di padang sekolah.
Hanya satu perkara yang pasti: semuanya tidak seperti dulu-dulu. Hakikatnya ialah kenangan bermonyet-monyetan yang indah itu terjadi kira-kira setengah abad lalu.
Melihat diri dan wajah sendiri dalam cermin, saya tidak lagi sekiut (cute) zaman awal remaja. Waktu itu saya baru 18, kini sudah 63 tahun!
Dulu zaman teruna sunti, rambut hitam lebat, disisir rapi dengan ‘suak’ terjuntai di dahi. Sekarang rambut sudah semakin jarang, tidak ada lagi yang hitam, semua putih macam bunga lalang.
Rambut semakin jarang, gigi banyak bergoyang, jalan pun sudah terhuyung-hayang. Perut gendut semacam, pandangan tidak lagi tajam, hatta suara pun semakin kedam. Dulu saya sentiasa bertenaga untuk lari 100 meter, sebab saya tahu dia ada di tepi padang memberi tepukan dan sokongan. Kini, jangankan 100 meter, berjalan sepuluh langkah pun saya sudah separuh mati.
Saya sudah tua!
Maka saya tidak fikir dia masih secantik dulu-dulu. Tocang ekor kuda agaknya sudah tidak ada; kalau ada pun pasti telah disembunyikan di dalam tudung kepala, hanya untuk tontonan suami.
Mungkin juga rambutnya tidak hitam lagi, sudah berubah warna matelic perak. sama seperti rambut saya. Dia bukan lagi gadis pingatan dengan keayuan dan kesucian kesucian desa seperti zaman sekolah dulu.
Tidak lagi saya bayangkan senyuman semanis dulu. Tidak juga pipinya yang gebu, atau jari-jemarinya yang halus lembut itu. Malah, suaranya pun pasti tidak semanja masa silam.
Dia pun sudah seperti saya, sudah meninggalkan usia remaja. Sudah beranak-pinak, bercucu-cicit. Pasti orang panggil dia opah atau tok wan.
Maka, kalau ditakdirkan saya dipertemukan dengannya dalam reunion musim raya nanti – biasanya reunion sekolah dibuat semasa cuti raya – saya tidak fikir suaminya, juga isteri saya, akan cemburu.
Memang, kita akan bercerita mengenai zaman sekolah. Dia pasti akan menceritakan kenakalan saya mengorat dia. Saya pula akan mengungkit kisah dia didenda kerana lewat memulangkan buku perpustakaan.
Memang, cerita-cerita seperti itu boleh mengembalikan nostalgia. Tetapi saya tidak fikir itu boleh mendarahkan kembali luka lama. Tidak mungkin cinta monyet akan bersemi lagi. Kelakar gila!
Sebab itu tidak masuk di akal saya apabila ada teman memberitahu hidupnya tidak tenteram setelah bertemu semula dengan kekasih lama yang ditemui semula pada satu reunion raya tahun lalu.
“Hang percaya tak, dia masih cun macam dulu!” katanya beriya-iya, dan menambah: “Dia pun kata aku masih maco macam zaman tingkatan lima. Ni yang aku tak boleh tidur!”
Sudah sama-sama tua, sama-sama ada keluarga, tiba-tiba keduanya dilanda angau zaman lampau, gara-gara bertemu pada reunion sekolah. Sudah setahun mereka bercinta di maya.
Tentu sekali saya menyokong cinta silam itu dihangatkan semula, jika keduanya sudah kematian atau kehilangan pasangan hidup. Tetapi, yang satu masih isteri, yang seorang lagi masih suami. Sebab itu saya menentang zaman monyet itu dihidupkan kembali.
Kesimpulannya, tidak salah – malah digalakkan – mengadakan reunion sekolah Aidilfitri ini. Tidak salah juga mengimbau kembali zaman remaja di bilik darjah, atau di kantin.
Tetapi, jangan terlalu terbawa-bawa dengan jiwang dan emo lampau hingga merenggangkan keintiman suami-istri.
Selamat Hari Raya, maaf zahir & batin.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di