GM Klang Lanjutkan Waktu Operasi, Melangkah Ke Era Baharu
GM Klang mencipta sejarah baharu apabila secara rasmi mengumumkan pelanjutan waktu operasinya kepada 10 pagi hingga 10 malam setiap hari, menandakan transformasi penting pusat borong terbesar negara itu ke arah menjadi hab komuniti dan gaya hidup yang hidup siang dan malam.
Majlis pelancaran rasmi disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Abd. Hamid Bin Hussain, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), dan disaksikan oleh YBrs. Puan Chua Yee Ling, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, serta YBhg. Dato’ Lim Seng Kok, Pengarah Urusan GM Klang. Acara ini turut menjadi tanda penghargaan kepada jutaan pelanggan yang telah menyokong GM Klang sejak mula beroperasi pada tahun 2009.
Lonjakan Strategik Melalui MoU Baharu
Dalam fasa transformasi ini, majlis turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara GM Klang dan enam rakan strategik baharu dalam bidang sukan, rekreasi dan gaya hidup. Upacara ini turut disaksikan oleh YBhg. Dato’ Haji Abd. Hamid Bin Hussain, YBrs. Puan Chua Yee Ling, dan YBhg. Dato’ Lim Seng Kok.
Menandatangani bagi pihak GM Klang ialah Encik Foo Loke Ping, Ketua Pegawai Operasi GM Klang. Antara pihak yang terlibat dalam kerjasama strategik ini ialah D2 Arena (Futsal), Kfitness Gym (Gimnasium), JAQS Padel & Pickle PLT (Pickleball dan Paddleball), Doremart (Pasar Raya), 33 Food Court (Medan Selera) dan Positif@Klang (Kendera Saji).
Enam entiti ini akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem perniagaan GM Klang, selain memperluas tawaran gaya hidup di kawasan tersebut. Menurut Encik Foo, pemeteraian MoU ini adalah langkah penting untuk menjadikan GM Klang lebih daripada sekadar pusat borong, tetapi juga sebagai hab gaya hidup moden yang menarik pelbagai golongan pengunjung — daripada pemborong, peruncit hingga ke keluarga dan masyarakat sekitar.
“Kerjasama ini bukan sekadar membuka peluang perniagaan baharu, tetapi turut memperkukuh konsep B2B2C (Business-to-Business-to-Consumer) di GM Klang, di mana kesemuanya berinteraksi dalam satu persekitaran lengkap, progresif dan menarik yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi setempat,” ujarnya.
Ceritera Selangor: Memupuk Budaya Dan Pelancongan
Sempena pelancaran waktu operasi baharu ini, GM Klang dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor, Tourism Selangor dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) telah menganjurkan acara “Ceritera Selangor”, iaitu persembahan budaya yang memperlihatkan keindahan dan kepelbagaian warisan Negeri Selangor.
Ads
Inisiatif ini bukan hanya bersifat hiburan, tetapi turut menyokong kempen Tahun Melawat Selangor 2025, selaras dengan peranan GM Klang sebagai Duta Pelancongan Bandar Klang. Persembahan selama dua jam itu menampilkan pelbagai tarian tradisional, persembahan Mahmeri, Cempuling dan elemen budaya lain yang menonjolkan keunikan negeri bersejarah itu.
Waktu Baharu, Pengalaman Baharu
Menurut YBhg. Dato’ Lim Seng Kok, Pengarah Urusan GM Klang, pelanjutan waktu operasi ini bukan sekadar perubahan jadual, tetapi sebahagian daripada transformasi besar dalam cara GM Klang menambah nilai kepada pelanggan.
“Kami bukan sekadar melanjutkan waktu operasi, tetapi menambah nilai pengalaman. Ia merupakan tindak balas kepada kehendak pengunjung dan peniaga yang mahukan pengalaman yang lebih fleksibel, selesa dan holistik. Dengan pembangunan pesat di sekitar Bandar Botanik, termasuk projek LRT3, ini adalah masa terbaik untuk membawa GM Klang ke fasa baharu sebagai destinasi borong dan pelancongan gaya hidup yang lebih relevan dengan keperluan masa kini,” katanya.
Ads
Beliau turut menambah bahawa kejayaan GM Klang meraih Anugerah Emas di bawah program Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) baru-baru ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan serta pengalaman pelanggan.
“Dengan kelebihan lokasi strategik serta sokongan komuniti yang berterusan, kami yakin GM Klang akan terus berkembang sebagai hab komuniti dan gaya hidup pilihan, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat serantau,” ujar Dato’ Lim.
Aktiviti Sepanjang Tahun: Menarik Dan Menghiburkan
Untuk menyemarakkan kempen waktu operasi baharu ini, GM Klang turut memperkenalkan siri aktiviti menarik sepanjang tahun, antaranya:
Night Crazy Deals – promosi eksklusif bermula jam 7 malam setiap hari.
Monthly Lucky Night Draw: Shop & Win – cabutan bertuah bulanan dengan hadiah menarik seperti motosikal, mesin basuh dan pengering, serta TV pintar 55”.
Rioooh Malam Sabtu – acara mingguan bertema yang menawarkan hiburan dan pengalaman unik setiap hujung minggu.
Inisiatif ini memperlihatkan komitmen GM Klang untuk kekal segar, relevan dan progresif dalam menyokong agenda pelancongan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ads
Dataran GM Klang – Ruang Komuniti Baharu
Pelancaran waktu operasi baharu ini turut menandakan pengenalan Dataran GM Klang, iaitu ruang acara utama yang diwujudkan bagi menggalakkan pelbagai aktiviti komuniti, budaya, hiburan dan keusahawanan.
Dataran ini direka berkonsepkan ruang terbuka yang mesra pengunjung dan bakal menjadi nadi aktiviti masyarakat setempat, sekali gus memperkukuh peranan GM Klang sebagai hab komuniti dan destinasi gaya hidup utama di Klang.
SUV elektrik tiba-tiba berhenti di lebuh raya, keluarga trauma insiden mengejut. Sebuah keluarga berdepan detik mencemaskan apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik yang dibeli kurang setahun lalu tiba-tiba berhenti sendiri ketika sedang dipandu di lebuh raya.
SUV Elektrik Tiba-Tiba Berhenti Di Lebuh Raya, Keluarga Trauma Insiden Mengejut
Peristiwa itu dikongsikan oleh pemilik kenderaan, Izwan Hassan, 33, menerusi media sosial selepas insiden berlaku pada 1 Mei ketika beliau bersama ahli keluarga dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Pulau Pinang.
Izwan memaklumkan insiden berlaku di lorong kanan Lebuhraya Cheras-Kajang dengan kelajuan sekitar 90 hingga 100 km/j apabila SUV buatan China itu secara tiba-tiba membrek sendiri tanpa sebarang amaran, hanya memaparkan mesej ‘Power System Failure’ di skrin. Keempat-empat tayar juga terkunci seperti dirempuh sistem keselamatan kecemasan.
Menurut Izwan, situasi tersebut hampir menyebabkan perlanggaran kerana kenderaan lain datang dari belakang, namun beliau berjaya menghubungi pihak lebuh raya untuk bantuan segera.
“Kurang 10 minit, peronda lebuh raya tiba dan membantu mengawal lalu lintas. Saya cuba hidupkan semula sistem tetapi tidak berjaya. Walaupun gear dialihkan ke mod neutral, kereta tetap tidak boleh digerakkan kerana tayar terkunci,” katanya.
Kira-kira sejam kemudian, lori tunda dari pihak insurans sampai dan menarik kenderaan itu ke pusat servis kerana pada waktu kejadian pusat tersebut sudah tutup.
Disebabkan itu, Izwan dan keluarganya terpaksa menumpang di rumah saudara berdekatan kerana rancangan untuk pulang ke kampung terpaksa dibatalkan.
Keesokan harinya, beliau menghubungi pusat servis namun kecewa dengan sambutan yang diterima apabila diberitahu tiada kakitangan mencukupi dan temu janji diperlukan. Selepas desakan, mereka memaklumkan bahawa bateri 12 volt mengalami masalah dan siasatan lanjut perlu dijalankan.
Kenderaan tersebut memerlukan beberapa hari untuk dibaiki dan tiada kereta ganti disediakan kerana habis stok. Akhirnya, selepas beberapa kali berunding, Izwan dan keluarganya dihantar pulang ke Melaka oleh pihak berkenaan.
Tambah Izwan, ini bukan masalah pertama sejak pembelian EV itu. Sebelum ini, beliau pernah membuat aduan mengenai pengecas rumah yang rosak sejak Februari, namun tiada tindakan diambil walaupun beberapa kali dihubungi.
Pada 5 Mei, pusat servis mengesahkan bateri 12 volt perlu ditukar kerana voltan terlalu rendah. Kos penggantian sebanyak RM418 tidak ditanggung waranti kerana kenderaan telah melebihi had 20,000 km.
Lebih mengejutkan, Izwan diberitahu tiada sistem amaran untuk kerosakan bateri kecil tersebut, yang menyebabkan kenderaan secara automatik menghentikan pergerakan tanpa amaran.
Izwan menjelaskan perkongsian ini dibuat sebagai peringatan kepada pengguna EV agar lebih berhati-hati dan peka terhadap sebarang tanda masalah pada kenderaan mereka.
Cabutan bertuah, kanak-kanak lelaki 6 tahun menang Perodua Axia. Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun membawa pulang sebuah Perodua Axia apabila berjaya memilih kunci kereta yang tepat pada satu acara cabutan bertuah di sebuah pusat beli-belah, di Kota Kinabalu.
Cabutan Bertuah, Kanak-kanak Lelaki 6 Tahun Menang Perodua Axia
Ia umpama ‘hadiah tahun baharu’ kepada Norazemah Nordin sekeluarga selepas rezeki tidak disangka-sangka itu menyebelahi anaknya, Mohd Zulfikar Al Fateh Mohd Fauzi.
Terdahulu pada acara itu, tiga peserta dipanggil ke pentas selepas nombor mereka dicabut sebagai finalis.
Mereka kemudian diminta memilih satu daripada tiga kunci yang kelihatan sama tetapi hanya satu akan dapat membuka pintu kereta disediakan pada acara itu.
Apabila tiba giliran Mohd Zulfikar Al Fateh, kunci yang dipilihnya berjaya membuka pintu kereta terbabit, sekali gus dinobatkan sebagai pemenang.
“Hadiah ini adalah rezeki anak. Ia adalah hadiah tahun baharu yang tidak pernah disangkakan. Kami benar-benar bersyukur,” kata Norazemah yang bekerja sebagai pembantu tadbir sebuah jabatan akaun di Keningau.
Ibu kepada empat anak itu dikatakan datang untuk mengambil cermin mata ditempah di kedai yang menganjurkan acara cabutan bertuah berkenaan, ROBERT.T 1994 sebelum diberitahu layak menyertai program terbabit.
“Kami sudah ada kereta. Jadi bagi kereta yang baru dimenangi ini pula, kami akan menggunakannya untuk percutian istimewa,” katanya sambil memaklumkan bahawa suami beliau yang bekerja di Kota Kinabalu akan memandu Perodua Axia itu pulang ke Keningau.
Majlis Cabutan Bertuah Robert.T 1994 itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.
“Suami gembira dapat anak perempuan lepas 10 tahun menanti kini dia sudah tiada” – Isteri Koperal Amiruddin Zabri. Sudah menanti selama sedekad untuk dikurniakan anak perempuan, namun kebahagiaan itu tidak bertahan lama.
“Suami Gembira Dapat Anak Perempuan Lepas 10 Tahun Menanti Kini Dia Sudah Tiada” – Isteri Koperal Amiruddin Zabri
Koperal Amiruddin Zabri, antara sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas jalan raya di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan, hari ini.
Norazian (kanan) tidak dapat menahan sebak ketika hadir di pekarangan Unit Forensik Hospital Teluk Intan, hari ini. FOTO Bernama.
Menurut Norazian Mohd Joned, 38, mereka sebelum ini dikurniakan dua anak lelaki, Amirul Firdaus, 12, dan Amirul Asyraf, 11 sebelum kehadiran cahaya mata perempuan pertama mereka, Amira Sofea, yang kini baru berusia setahun.
“Kami terlalu gembira bila Amira lahir. Itulah saat yang paling kami nantikan sejak bertahun-tahun. Tapi siapa sangka kegembiraan itu tidak lama bertahan,” ujarnya sebak.
Norazian yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar berkongsi kenangan terakhir bersama arwah suaminya, yang sempat pulang tengah hari semalam sebelum berangkat untuk tugasan luar sempena sambutan perayaan di Teluk Intan.
Foto: Bernama
“Dia macam biasa saja, kemas barang dan minta saya jangan risau sebab dah biasa dengan tugasan luar. Tak terlintas langsung ini akan jadi pertemuan terakhir kami,” katanya.
Koperal Amiruddin menyertai pasukan polis sejak tahun 2011 dan pernah berkhidmat di beberapa negeri sebelum ditempatkan ke lokasi terakhirnya.
Kredit: PDRM
Norazian berkata, berita mengenai kemalangan itu diterima melalui rakan sekerja yang memaklumkan insiden membabitkan Unit 5 dari Sungai Senam.
“Saya cuba hubungi suami berkali-kali, tapi tiada jawapan. Bila saya hubungi rakannya, dia cuma minta saya bertenang dan bersabar.
“Masa tu hati saya dah tak sedap. Saya keliru, betul ke suami saya terlibat? Laporan awal cuma sebut enam orang maut,” katanya yang kini hanya mampu reda menerima takdir.
Suasana pilu menyelubungi ruang forensik ketika keluarga mangsa datang menuntut jenazah, termasuk Norazian yang masih dalam keadaan terkejut dan kehilangan.