
‘Haji Hassan Lapah’ kongsi rahsia pisau lapah berusia 30 tahun. Dengan lebih tiga dekad pengalaman dalam kerja melapah daging korban, Abu Hassan Aji, 64, yang merupakan pesara dalam bidang telekomunikasi, cukup dikenali oleh penduduk Kampung Pengkalan Batu dengan gelaran mesra “Haji Hassan Lapah”.
‘Haji Hassan Lapah’ Kongsi Rahsia Pisau Lapah Berusia 30 Tahun
Bapa kepada enam cahaya mata ini mengakui bahawa kemahirannya dalam melapah bukan sesuatu yang dipelajari secara formal, sebaliknya diwarisi daripada arwah bapanya sejak usia mudanya sekitar awal 20-an.
Menurut Abu Hassan, tidak ramai yang sanggup mendalami bidang ini kerana ia menuntut tahap keberanian yang tinggi, terutama ketika berdepan dengan situasi penyembelihan yang melibatkan darah dan najis haiwan.
“Ada yang pengsan tengok darah, malah ada juga yang rasa mual. Jadi bukan mudah nak cari orang yang betul-betul mampu buat kerja melapah ini kalau jiwa tak kental,” katanya sambil tersenyum.
Pisau Terengganu Kesayangan Lebih 30 Tahun
Abu Hassan turut menekankan pentingnya menggunakan pisau yang benar-benar tajam untuk memastikan kerja melapah berjalan lancar dan tidak memenatkan. Antara senjata utamanya ialah sebilah pisau yang dibelinya lebih tiga dekad lalu dari Terengganu, yang masih digunakan sehingga kini.
“Pisau itu memang selesa dan sangat serasi dengan saya. Walaupun dah berusia lebih 30 tahun, walaupun dah tumpul dan pendek sedikit, saya tetap gunakannya setiap kali Aidiladha. Jenis pisau seperti itu susah nak jumpa sekarang,” jelas beliau.
Kenangan Melucukan Sepanjang Mengendalikan Korban
Sepanjang kariernya membantu urusan korban di kampung, Abu Hassan bersyukur kerana tidak pernah mengalami insiden mencemaskan. Namun, beliau masih ingat satu kejadian yang agak mencuit hati, lembu korban yang sepatutnya disembelih ‘ghaib’ beberapa hari sebelum Hari Raya Haji.
“Kami semua sibuk mencarinya. Rupa-rupanya lembu tu lari sampai ke kawasan kilang di Ayer Keroh dan baru dijumpai selepas empat hari. Malangnya masa tu hari tasyrik pun dah habis. Mujur tuan lembu ganti dengan yang lain,” katanya sambil ketawa mengenang detik tersebut.
Kisah Haji Hassan Lapah bukan sahaja mencerminkan kemahiran tradisi yang diwarisi turun-temurun, tetapi juga satu simbol dedikasi dan semangat gotong-royong yang masih kukuh dalam masyarakat kampung.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Daging Korban Jadi Rebutan? Asing Siap-Siap Yang Mana Pilihan Hati.
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my