
Isu tempat tinggal selepas berkahwin sering menjadi perkara sensitif dalam rumah tangga. Bukan sekadar soal rumah, tetapi ia turut melibatkan hak isteri tinggal berasingan, tanggungjawab suami, privasi pasangan dan hubungan dengan keluarga mentua.
Baru-baru ini, tular kisah seorang lelaki yang juga anak bongsu dalam keluarga meluahkan rasa buntu apabila bakal isterinya tidak bersetuju untuk tinggal sebumbung bersama ibunya selepas mereka berkahwin kelak.
Situasi itu mengundang pelbagai reaksi. Ada yang memahami hasrat lelaki berkenaan untuk terus menjaga ibunya, namun dalam masa sama ramai turut menegaskan hak seorang isteri tidak boleh diketepikan selepas bergelar suami isteri.
Mengulas isu tersebut, seorang peguam syarie dikenali sebagai Aiman tampil memberi penjelasan dari sudut undang-undang dan hukum syarak mengenai kedudukan tempat tinggal isteri dalam perkahwinan.

Hak Isteri Tinggal Berasingan Menurut Hukum Syarak
Menurut Aiman, seorang isteri berhak mendapat rumah kelamin yang khusus untuk dirinya, suami dan anak-anak sahaja tanpa perlu berkongsi dengan orang lain.
Rumah yang disediakan oleh suami bukan sekadar tempat berteduh, malah menjadi ruang untuk membina kehidupan berkeluarga dengan selesa, selamat dan penuh privasi.
Rumah Kelamin Sebahagian Nafkah Isteri
Jelas Aiman, penyediaan tempat tinggal yang selesa dan mempunyai privasi adalah sebahagian daripada nafkah yang wajib ditunaikan oleh seorang suami.
“Rumah kelamin mesti rumah yang tidak berkongsi dengan sesiapa kerana ia khusus untuk suami, isteri dan anak sahaja.
“Syarat rumah mesti dipenuhi kerana ia adalah nafkah untuk isteri,” jelasnya.
Dalam rumah tangga, tempat tinggal bukan sekadar ruang untuk berteduh. Ia juga melibatkan keselesaan emosi, keselamatan, maruah, aurat dan ruang peribadi isteri.

Boleh Tinggal Bersama Ibu Tetapi Hak Isteri Perlu Dijaga
Bagaimanapun, Aiman tidak menafikan wujud keadaan tertentu yang menyebabkan seorang suami terpaksa membawa isterinya tinggal bersama ibu, terutama jika ibu sudah uzur, tinggal bersendirian atau memerlukan penjagaan.
Namun, keputusan itu tidak boleh dibuat tanpa mengambil kira hak isteri serta keselesaan hidup berumahtangga.
Menurut Aiman, jika suami tetap mahu isteri tinggal dalam satu rumah bersama ibunya atau ahli keluarga lain, beberapa syarat perlu dipenuhi bagi memastikan isteri tetap mendapat ruang yang selesa dan terjaga privasinya.
“Jika nak letak dalam satu rumah, pastikan isteri ada ruang tamu, dapur, bilik tidur dan bilik air yang berasingan dengan ibu atau mana-mana orang,” katanya.
Sewa Rumah Berdekatan Ibu Sebagai Jalan Tengah
Dalam masa sama, Aiman turut mencadangkan agar lelaki tersebut mencari penyelesaian yang lebih harmoni, antaranya menyewa rumah berdekatan dengan kediaman ibunya.
Cara itu membolehkan seorang suami terus memantau dan menjaga kebajikan ibu, dalam masa sama tetap menjalankan tanggungjawab menyediakan tempat tinggal yang selesa buat isteri.
“Sebaiknya, sewa dekat dengan ibu jika situasi encik ni supaya mudah nak pantau ibu dan laksanakan tanggungjawab kepada isteri,” ujarnya.
Cadangan ini dilihat sebagai jalan tengah yang lebih praktikal, terutama bagi pasangan yang mahu menjaga hubungan baik kedua-dua pihak tanpa menimbulkan rasa kecil hati.
Melalui pendekatan ini, hak isteri tinggal berasingan dapat dipenuhi tanpa mengabaikan tanggungjawab seorang anak lelaki terhadap ibunya.
Perkahwinan bukan hanya menyatukan dua hati, tetapi turut melibatkan dua keluarga. Justeru, keputusan yang dibuat perlu matang, adil dan tidak berpaksikan paksaan.
Mencari Keseimbangan Dalam Berkeluarga
Apa yang penting, seorang suami perlu bijak mencari keseimbangan antara berbakti kepada ibu dan menunaikan hak isteri. Kedua-duanya mempunyai kedudukan yang penting dalam kehidupan seorang lelaki.
Dengan perbincangan yang baik, sikap saling memahami dan perancangan yang teliti, konflik berkaitan tempat tinggal dapat dielakkan sejak awal. Malah, hubungan antara isteri dan keluarga mentua juga berpotensi menjadi lebih baik apabila hak serta batas masing-masing dihormati.
Kesimpulannya, hak isteri tinggal berasingan merupakan perkara yang diiktiraf dalam syarak dan perlu difahami oleh setiap pasangan. Pada masa sama, tanggungjawab terhadap ibu tidak boleh diabaikan. Keseimbangan antara kedua-dua amanah ini adalah kunci kepada pembentukan rumah tangga yang harmoni, tenang dan diberkati.
BACA LAGI : Layanan Ibu Mertua Yang Baik Itu Juga Rezeki, ‘Jackpot’ Besar Seumur Hidup!
Sumber: Threads
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




