
Peti ais penuh dengan ayam, ikan, telur dan sayur-sayuran. Tapi bila tiba waktu memasak soalan yang sama tetap muncul, “Hari ni nak masak apa?”
Kadang-kadang sampai berkali-kali buka peti ais, tengok bahan yang ada, kemudian tutup semula sebab masih tak dapat idea.
Situasi ini memang biasa berlaku, terutama bagi ibu bapa yang sibuk bekerja dan menguruskan keluarga.
Kenapa Susah Sangat Nak Fikir Menu?
Sebenarnya, bukan sebab tak pandai memasak atau tak cukup bahan. Kadang-kadang terlalu banyak perkara yang perlu difikirkan dalam sehari.
Nak masak apa yang anak suka? Bahan cukup ke? Sempat ke nak masak sebelum waktu makan?
Keadaan ini boleh dikaitkan dengan decision fatigue, iaitu keletihan akibat perlu membuat terlalu banyak keputusan.
Menurut Harvard Health Publishing, merancang dan menyediakan makanan lebih awal boleh membantu menjimatkan masa serta mengurangkan tekanan memikirkan menu harian.
5 Tip Mudah Supaya Tak Pening Fikir Menu
1. Rancang menu tiga hari awal
Tak perlu terus rancang seminggu. Cukup tentukan menu untuk tiga hari supaya lebih mudah menyediakan bahan.
2. Sediakan senarai menu kegemaran keluarga
Catat 10 hingga 15 menu yang selalu dimakan. Bila tak ada idea, tinggal pilih sahaja.
3. Gunakan bahan yang sama untuk menu berbeza
Contohnya, ayam boleh dimasak sup, goreng kunyit atau masak kicap. Lebih mudah dan menjimatkan.
4. Semak stok sebelum beli barang dapur
Tengok dahulu bahan yang masih ada supaya tak membeli berlebihan dan mengelakkan pembaziran.
5. Tanya ahli keluarga nak makan apa
Sekali-sekala, beri peluang pasangan dan anak-anak memilih menu. Tak adalah seorang sahaja yang perlu fikir setiap hari.
Tak Perlu Masak Menu Hebat Setiap Hari
Memasak untuk keluarga tak semestinya perlu menyediakan lauk yang banyak atau menu berbeza setiap hari.
Kadang-kadang, telur dadar, sayur tumis dan nasi panas pun sudah cukup menyelerajan. Yang penting hidangan tetap seimbang dan memenuhi keperluan keluarga.
Dengan sedikit perancangan, urusan memasak boleh jadi lebih mudah dan tak perlu lagi pening setiap kali buka peti ais!
BACA LAGI: Banyak Menu Daging Selepas Aidiladha, Doktor Kongsi Cara Elak Risiko Kesihatan
Sumber: Harvard Health Publishing
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di

