Halang air banjir masuk rumah, wanita kongsi idea guna papan dan tanah liat. Musim banjir merupakan satu fenomena tahunan yang sering melanda negara-negara yang mempunyai musim hujan yang ketara, termasuk Malaysia.
Halang Air Banjir Masuk Rumah
Bagi mereka yang biasa mengalami banjir, ramailah yang kreatif membuat persediaan agar rumah tidak dimasuki air. Dalam satu hantaran di TikTok, seorang wanita, Nurul Atyra yang menggunakan teknik mudah menghalang air banjir memasuki ruang rumah.
“Dengan rumah saya ok. Anda cubalah, harap membantu.” – tulisnya di ruangan kapsyen.
Dalam keadaan semasa banjir kilat yang kerap terjadi akhir-akhir ini, tip yang dikongsikan ini mungkin dapat membantu.
Wanita Kongsi Idea Guna Papan & Tanah Liat
Menerusi video tersebut, sekeping papan digunakan sebagai penghadang air banjir separas buku lali.
Penghadang banjir itu adalah idea wanita itu sendiri dan dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa ketika air banjir belum memenuhi pekarangan rumah.
“Rumah saya selalu dimasuki air (banjir). (Untuk mengelakkan ia berulang), saya lekatkan papan yang sama saiz dengan pintu dan dilekatkan dengan menggunakan tanah liat permainan kanak-kanak (plastisin).
“Jadi, air tidak masuk ke dalam rumah, selamatlah sofa dan perabot semua.
Ads
“Untuk pintu gelangsar (sliding door) pun boleh. Jadi anda semua boleh cuba. saya ok, air tak masuk ke dalam rumah.
Perkongsian wanita itu menerima pelbagai reaksi daripada warga maya. Rata-rata tertarik dengan kreativiti wanita itu dan mengakui keberkesanannya untuk menghalang air masuk ke rumah semasa banjir.
Sebelum ini ada yang berkongsi idea mengelak limpahan air banjir masuk ke dalam ruang kediaman.
Ramai tahu Cik B adalah taukey Salmon Skin Salted Eggs dan perniagaannya semakin maju. Terbaru mengejutkan peminatnya, apabila Cik B mendedahkan perbelanjaan RM300,000 sebulan dan outfit bernilai mencecah RM100,000.
Menerusi muat naik video yang dikongsi oleh penyampai radio Era FM, Radin, di TikTok, Cik B yang merupakan anak kepada usahawan terkenal, Dato’ Seri Vida menjawab pertanyaan tentang pakaian dan aksesori yang dipakainya pada hari tersebut. Harga-harga yang disebutkan sememangnya di luar jangkaan, membuat ramai tercengang.
Mana taknya outfit yang digayakannya semasa satu sesi temu bual mencecah hampir RM100,000. Lebih mengejutkan, dia juga mendedahkan bahawa perbelanjaannya kini mencapai RM300,000 sebulan.
Pakaian & Aksesori ‘Level’ Luar Biasa
Antara item yang digayakan Cik B termasuk, cermin mata hitam dari Milan, RM5,000, cincin satu set, RM2,000, jam Omega, RM90,000, baju RM900, seluar custom-made RM900
Kasut Balenciaga, RM7,000, Beg Louis Vuitton, RM12,000 dan dompet RM1,000 lebih
Belanja RM300,000 Sebulan Tanpa Bantuan Ibu
Cik B turut mendedahkan bahawa sejak tidak lagi meminta wang dari ibunya, dia membelanjakan sekitar RM300,000 sebulan.
Namun, meskipun mengakui jumlah perbelanjaannya yang besar, ramai yang memuji kerana dia tetap kelihatan rendah diri dan tidak sombong.
“Tak riak la, dalam RM300,000. Dulu minta kebenaran mama (untuk berbelanja) tapi sekarang tak.”
Meninjau di ruangan komen, rata-rata meluahkan terkejut melihat perbelanjaan Cik B namun cara usahawan itu kelihatan tidak riak walaupun menjelaskan setiap harga barangan yang digayakannya yang mencecah ratusan ringgit. Antara komen adalah seperti berikut
“Aku suka cara org kaya mcm Cikb ni explain langsung takda riak.”
“Cik b belanja bulanan 300k…. boleh beli rumah teres tiap² bulan”
“Aku ingat cikb sebut 90 je tu 90 inggit rupanyaaa 90k yeee hahhah mantap Cikb”
“Walaupun dia sebut harga aku tak nampak bdk ni riak. aku suka style Cik b.”
Wanita 36 tahun meninggal dunia, doktor pakar tinggalkan pesakit lepas bersalin. Dua orang doktor dengan gabungan kepakaran lebih 60 tahun dalam bidang perbidanan termasuk pernah mengendalikan 8,500 kes bersalin, didapati bersalah atas kesalahan kecuaian perubatan selepas meninggalkan pesakit yang mengalami pendarahan kritikal dalam jagaan jururawat tidak berdaftar, hanya untuk keluar minum.
Wanita 36 Tahun Meninggal Dunia
Mahkamah Tinggi Klang memutuskan Dr M Shanmugam dan Dr A Ravi bersama jururawat terdiri daripada Izaniey Nataliah Jukimin, Nur Aida Mat Isa serta Nessy Yasah, perlu membayar ganti rugi hampir RM6 juta kepada keluarga mendiang M Punita dalam kes kecuaian perubatan menyebabkan kematian mangsa ketika menerima rawatan.
Punita meninggal dunia beberapa jam selepas bersalin di Pusat Materniti dan Bersalin Shan milik Dr Shanmugam akibat pendarahan selepas bersalin (PPH) pada 9 Januari 2019.
Ketika prosiding, mahkamah diberitahu bahawa Punita yang melahirkan anak keduanya, mula mengalami pendarahan yang banyak selepas plasentanya dikeluarkan secara manual.
Walaupun memberi jaminan pesakit yang berusia 36 tahun itu stabil, Dr Ravi meninggalkan klinik dan meletakkan mendiang di bawah jagaan tiga jururawat tidak berdaftar yang ditugaskan memantau keadaan pesakit, walaupun tidak mempunyai kelayakan dan pendaftaran oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Doktor Pakar Tinggalkan Pesakit Lepas Bersalin
Dr Shanmugam juga dilihat keluar dari bilik bersalin dan meninggalkan mendiang dalam jagaan dan pengawasan tiga jururawat yang sama.
Apabila ibu Punitha memasuki bilik bersalin, dia mendapati anak perempuannya mengalami pendarahan yang banyak, manakala jururawat cuba menghentikan pendarahan itu menggunakan kapas.
Kedua-dua doktor terbabit tidak hadir pada saat kritikal ini. Dalam usaha menyelamatkan nyawa pesakit, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang.
Doktor HTAR menyifatkan keadaan Punitha sudah kritikal ketika ketibaan, berikutan kehilangan darah yang ketara dan mengalami pembekuan intravaskular (DIVC).
Walaupun pembedahan kecemasan dan pemindahan darah dilakukan, namun Punita meninggal dunia dan meninggalkan dua anak kecil.
Hakim, Norliza Othman, dalam keputusannya, berkata Klinik Shan kekurangan bekalan perubatan asas, termasuk ubat untuk mengawal pendarahan rahim dan peralatan untuk menguruskan komplikasi selepas bersalin.
Norliza juga menekankan kegagalan doktor bertindak segera dan menangguhkan pemindahan pesakit ke hospital yang dilengkapi peralatan untuk mengendalikan kecemasan sedemikian.
“Walaupun mereka memiliki pengalaman luas dalam bidang perbidanan, kedua-dua doktor gagal menjangka komplikasi yang biasa dikaitkan dengan bersalin, seperti eklampsia, masalah berkaitan plasenta yang membawa kepada PPH.
“Kedua-dua mereka keluar dari bilik bersalin tanpa memastikan mendiang bebas daripada komplikasi. Jururawat yang tidak terbukti mempunyai kelayakan yang sepatutnya, dibiarkan menguruskan pesakit. Kecuaian kolektif defendan secara langsung menyumbang kepada kecederaan parah terhadap mangsa, yang membawa kepada kematiannya,” katanya dalam alasan penghakimannya, yang dimuat naik di laman web Jabatan Kehakiman hari ini.
Hakim juga mengecam doktor kerana ‘tidak menghiraukan’ keadaan si mati.
“Dalam kes ini, seorang ibu muda meninggal dunia selepas bertungkus-lumus melahirkan anaknya. Selepas bersalin, dia terpaksa menahan kesakitan yang tidak terbayang sebelum dihantar ke HTAR untuk rawatan lanjut.
“Ketika dihantar ke HTAR, ibu muda itu sudah berada dalam keadaan kritikal akibat kehilangan darah yang banyak, sehingga pihak hospital ‘mengisytiharkan kematian’ ibu malang ini.
“Peristiwa tragis ini boleh dielakkan sekiranya kedua-dua doktor mengambil tindakan pantas dengan menghantarnya ke HTAR dan memantau keadaannya dengan teliti, dan tidak meninggalkannya dalam jagaan jururawat, sementara Dr Ravi keluar minum.
“Tahap pengabaian ini tidak boleh dimaafkan dan secara langsung menyumbang kepada kematian ibu yang sihat,” tambahnya.
Susulan itu, mahkamah menganugerahkan keluarga mangsa RM5,993,936 sebagai ganti rugi, merangkumi RM500,000 untuk kesakitan dan penderitaan si mati; RM1 juta untuk setiap seorang bagi dua anak si mati; RM300,000 setiap seorang untuk ibu bapanya; RM1.5 juta sebagai ganti rugi teruk terhadap Dr Ravi; RM700,000 sebagai ganti rugi teruk terhadap Dr Shanmugam dan kliniknya; dan RM100,000 sebagai ganti rugi punitif.
Soket elektrik dalam bas dipasang untuk memberi kemudahan kepada penumpang, tetapi pemasangan ini harus mematuhi piawaian keselamatan tertentu. Pemasangan elektrik yang baik perlu dilakukan oleh juruteknik bertauliah untuk memastikan tiada risiko litar pintas atau masalah lain yang boleh mengancam keselamatan penumpang.
Soket Elektrik Dalam Bas, Adakah Selamat Digunakan
Soket yang dipasang dengan betul akan diuji bagi memastikan ia dapat menampung voltan yang diperlukan dan tidak mudah panas atau rosak.
Kejadian yang meragut nyawa remaja ketika mengecas telefon bimbit di dalam bas menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan kemudahan elektrik dalam pengangkutan awam.
Jangan Sampai Nyawa Melayang
Menurut Prof. Dr. Sawal Hamid dari UKM, renjatan elektrik yang berlaku dipercayai berpunca daripada soket berkuasa tinggi 220/240V dalam bas tersebut, bukan dari pengecas USB yang biasanya beroperasi pada voltan rendah.
Beberapa bas ekspres dilengkapi dengan ‘inverter’ yang menghasilkan arus 240V AC untuk menyediakan kuasa seperti di rumah. Namun, tanpa penyelenggaraan yang baik, risiko bahaya boleh wujud, terutama jika ada masalah pada pendawaian atau soket yang rosak.
Sebagai pengguna, kita perlu lebih berhati-hati:
• Elakkan menggunakan soket elektrik dalam bas jika kelihatan longgar atau rosak.
• Pastikan peranti anda dalam keadaan baik sebelum mengecas di tempat awam.
• Jika ada keraguan, lebih baik berhati-hati daripada mengambil risiko.
Mungkin sudah tiba masanya syarikat bas dan pihak berkuasa memperketatkan pemeriksaan dan penyelenggaraan terhadap kemudahan elektrik dalam bas. Keselamatan pengguna perlu menjadi keutamaan.
Sebagai langkah pencegahan, syarikat bas mungkin boleh mempertimbangkan untuk menggantikan soket 240V dengan soket arus rendah, seperti USB 5V, yang lebih selamat untuk mengecas peranti elektronik. Dengan cara ini, risiko renjatan elektrik yang boleh menyebabkan maut dapat dikurangkan.
Secara umumnya, soket elektrik dalam bas adalah selamat untuk digunakan, asalkan pengguna berhati-hati dan mengikut langkah-langkah keselamatan yang disarankan. Pemasangan yang mematuhi piawaian keselamatan serta penggunaan peranti yang betul akan mengurangkan risiko yang mungkin timbul.
Oleh itu, penumpang boleh menikmati kemudahan mengecas peranti di dalam bas, tetapi hendaklah sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan diri serta penumpang lain.
Tidak hadir ke sekolah, guru wanita ditemui tidak bernyawa di rumah. Seorang guru wanita berusia 55 tahun ditemui tidak bernyawa di kediamannya di Taman Satelit, Bahau, pagi Isnin.