“Harap Jadi Kenangan Manis Untuk Anak.” Derita Kanser Otak Tahap 4, Impian Danial Rasa Jadi Anggota Bomba Tercapai

Share

Saat mengetahui anak mereka menghidap penyakit yang membawa maut, hanya Tuhan yang tahu perasaan ketika itu. Biar diuji dengan dugaan berat itu, ibu bapa ini sedaya upaya memenuhi permintaan anak kecilnya.

Adik Ahmad Danial bin Ahmad Suhairi, 7 tahun telah diberi kejutan oleh Pengarah Bomba dan Penyelamat Pahang yang menyantuni kanak-kanak tersebut dengan memakaikannya pakaian seragam bomba serta bergambar dengan anggota bomba yang lain.

Adik Danial yang bercita-cita untuk menjadi anggota bomba telah dibawa menaiki jentera jabatan bomba yang dipandu sendiri oleh Pengarah Bomba Pahang, Nor Hisham Mohammad.

Menurut Ahmad Suhairi yang juga bapa kepada adik Danial, sebelum anaknya berada dalam keadaan tidak berdaya, dia ada menyuarakan hasrat untuk menjadi anggota bomba kepada Persatuan Sokongan Anak-anak Kanser (PESONA) dan tidak menyangka impian itu direalisasikan.

Ahmad Suhairi Ali, 33, berkata walaupun anaknya tidak boleh menunjukkan sebarang reaksi, namun beliau percaya anak sulung daripada tiga beradik itu berasa gembira lebih-lebih lagi apabila berpeluang menaiki jentera bomba.

“Menurut doktor yang merawatnya, tiada ubat boleh merawat atau memulihkannya lagi, jadi kami reda dan akan buat sehabis baik untuk menggembirakannya.

“Danial memang ingin sangat menjadi anggota bomba. Setiap kali melihat jentera atau aksi anggota bomba, dia akan teruja dan beritahu bomba adalah wira penyelamat yang hebat.

Ahmad Suhairi berkata Ahmad Danial, 7, dikesan menghidap penyakit  kanser otak jenis Diffuse Intrinsic Pontine Glioma (DIPG) tahap empat pada Mac lepas, apabila menjalani pemeriksaan di Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini ekoran keadaan matanya yang juling.

“Kami beranggapan mungkin Danial hanya mengalami sindrom ‘mata malas’ namun setelah pemeriksaan, doktor mengesahkan dia menghidap kanser otak sebelum disahkan sebagai kanser jenis DIPG.

Kanser otak DIPG adalah sangat jarang ditemui dan dikatakan tidak memberi peluang sembuh kepada penghidapnya dengan kadar survival ialah sifar, namun kami masih mengharapkan keajaiban akan berlaku dan akan terus berusaha sebaik mungkin,” katanya.

Ahmad Suhairi berkata kesihatan anaknya yang sebelum ini belajar di Sekolah Rendah Agama (SRA) Al-Irsyad di sini, merosot dengan cepat dan hanya terlantar serta tidak lagi mampu memberi respons fizikal sejak Mei lepas.

Disebabkan sifat kanser itu, Ahmad Suhairi berkata Danial tidak dapat menjalani sebarang rawatan seperti kimoterapi atau radioterapi dan diisytiharkan berada dalam keadaan paliatif.

Kini dia hanya terlantar di rumah sejak Mei lalu dan hanya bergantung kepada ubat- ubatan hospital sahaja. Malah, segala  urusan hariannya hanya bergantung kepada ibu bapa untuk menguruskan selain perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Sumber: Bernama

video:  Fazli Ahmad

 

 

 

 

 

IKLAN