Inspirasi

Haroqs Terima Anugerah Khas UPSI, Titip Pesanan Jangan Pernah Berhenti Belajar

Share

Kejayaan yang diraih bukan sekadar untuk diraikan, malah boleh menjadi pembakar semangat kepada orang lain agar terus mengejar ilmu dan impian. Itulah yang dibuktikan oleh Haroqs apabila menerima Anugerah Tokoh Siswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi kategori Penghargaan Khas Naib Canselor, baru-baru ini.

Juruvideo serta sukarelawan terkenal itu berkongsi momen bermakna tersebut menerusi media sosial sebagai tanda syukur atas pengiktirafan yang diterimanya. Pencapaian itu melengkapkan satu lagi lipatan sejarah dalam hidupnya selepas pernah dinobatkan sebagai Tokoh Murid dan Tokoh Sukan Sekolah pada tahun 2017.

Haroqs UPSI Kongsi Pengiktirafan Bermakna

Pemilik nama sebenar Muhammad Hareez Adzrami itu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian dalam bidang Perisian Pendidikan. Walaupun telah menerima beberapa anugerah sebelum ini, beliau mengakui sering berasa segan untuk berkongsi kejayaan yang diraih kepada umum.

“Sejujurnya, setiap kali saya terima anugerah, ada rasa segan dalam diri. Ada beberapa penghargaan yang saya terima sebelum ini, tetapi saya pilih untuk tidak tunjuk.

Bukan kerana tidak menghargai, tetapi kerana jauh di sudut hati, aku selalu rasa macam belum cukup layak untuk diraikan.”

Namun kali ini, beliau memilih untuk berkongsi pencapaian tersebut bukan kerana mahu menunjuk-nunjuk atau merasakan dirinya lebih hebat daripada orang lain.

Sebaliknya, beliau berharap perkongsian itu dapat menjadi inspirasi kepada pengikutnya yang masih berada di bangku sekolah, universiti atau sedang berusaha menamatkan pengajian.

“Tapi hari ini aku pilih untuk berkongsi. Bukan sebab nak menunjuk, jauh sekali untuk berasa lebih tinggi daripada sesiapa.

Tetapi aku sedar, mungkin 20 peratus daripada followers aku hari ini masih berada di bangku sekolah, universiti atau sedang berjuang mengejar pendidikan.”

Pesan Generasi Muda Terus Menuntut Ilmu

Haroqs turut menitipkan pesanan kepada generasi muda supaya tidak pernah berhenti mencari ilmu walau setinggi mana kejayaan yang telah dicapai.

“Kejarlah ilmu, walau sejauh mana pun hidup telah membawa kita. Jangan pernah merasa kita sudah terlalu hebat untuk belajar kerana sebelum kita tahu membaca, ada yang mengajar kita mengenal huruf.

Sebelum kita tahu berjalan, ada tangan yang memimpin kita dan sebelum dunia mengenali siapa kita hari ini, ada insan-insan yang terlebih dahulu percaya kepada kita ketika kita masih bukan siapa-siapa.”

Menurutnya, setiap kejayaan yang dikecapi hari ini adalah hasil didikan, bimbingan dan kepercayaan daripada ramai insan yang pernah hadir dalam kehidupan seseorang.

Jangan Lupa Asal Usul

Dalam perkongsian sama, Haroqs turut mengingatkan agar setiap individu sentiasa mengingati asal usul serta menghargai mereka yang pernah membimbing sejak awal perjalanan kehidupan.

“Jangan pernah lupa dari mana kita bermula. Apabila dunia mula mengenali nama kita, jangan sesekali lupa bahawa suatu ketika dahulu, kita juga seorang manusia yang tidak tahu apa-apa.

Ilmu mengajar kita untuk melangkah. Kejayaan membawa kita ke hadapan. Tetapi kerendahan hati mengingatkan kita jalan untuk pulang.”

Pesanan tersebut mendapat perhatian ramai yang mengagumi sikap rendah hati beliau walaupun menerima pelbagai pengiktirafan sepanjang perjalanan akademik dan sukarelawannya.

Aktif Dalam Misi Kemanusiaan

Terdahulu, Haroqs pernah mencuri perhatian apabila menyertai misi pelayaran kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza sebagai antara peserta termuda dalam kalangan 34 sukarelawan Malaysia.

Penglibatan dalam misi kemanusiaan tersebut menunjukkan bahawa beliau bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah aktif menyumbang kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif kemanusiaan.

Kejayaan Haroqs membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk mencipta pencapaian, berbakti kepada masyarakat dan terus menimba ilmu. Sikap rendah hati yang ditunjukkan turut menjadi contoh bahawa setiap kejayaan perlu disertai dengan rasa syukur, menghargai jasa insan yang pernah membantu serta tidak pernah berhenti belajar.

Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar dan anak muda untuk terus mengejar ilmu, membina sahsiah yang baik serta menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara pada masa hadapan.

BACA LAGI : Syafinaz Selamat Dilantik Profesor Adjung Tersohor UPSI Penggal Kedua, Bukti Legasi Gemilang

Sumber : IG Haroqs