
Bukan biasa-biasa pencapaian dua beranak ini. Seorang pesara guru dan anak sulungnya mencipta kenangan cukup indah apabila sama-sama berjaya menggenggam ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-104.
Lebih manis, Dr Jafni Ghazali, 60, dan anak sulungnya, Dr Nurul Huda Jafni, 29, bukan sahaja menamatkan pengajian dalam bidang yang sama iaitu Pengurusan Perniagaan, malah berpeluang berkongsi detik bersejarah itu di pentas konvokesyen yang sama.
Menurut Dr Jafni, beliau sendiri tidak menyangka akan meraikan kejayaan tersebut bersama anak sulungnya. Ini kerana walaupun mereka mendaftar pengajian pada tahun yang sama iaitu 2021, tarikh pendaftaran kemasukan semester mereka berbeza.

Namun aturan Allah itu cukup indah. Akhirnya, bapa dan anak ini berjaya menamatkan pengajian PhD UiTM bersama-sama dan menerima ijazah masing-masing pada istiadat yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM.
Perjalanan PhD UiTM Bukan Mudah
Berkongsi kisah perjalanan pengajiannya, Dr Jafni yang juga bekas Pengetua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Transkrian di Nibong Tebal, Pulau Pinang mengakui bukan mudah untuk sampai ke tahap ini.
Ketika masih berkhidmat sebagai pengetua, beliau perlu bergelut dengan kekangan masa dan tanggungjawab kerja. Malah selepas bersara, timbul juga persoalan dalam dirinya sama ada mahu meneruskan pengajian atau sebaliknya.
“Ketika berkhidmat sebagai pengetua, saya bergelut dengan waktu kerja, tetapi apabila sudah pencen saya berfikir sama ada nak teruskan pengajian ini atau tidak.
“Saya akui PhD bukan mudah dan perjalanannya memang kena laluinya sendirian, tetapi saya beruntung ada anak bersama-sama untuk kami berkongsi perjalanan pengajian ini,” katanya.
Sebagai seorang pendidik yang pernah mencurah bakti mendidik anak bangsa, kejayaan Dr Jafni ini pastinya memberi inspirasi besar. Biarpun sudah memasuki usia 60 tahun, semangatnya untuk terus menimba ilmu tidak pernah luntur.
Beruntung Ada Anak Sebagai Teman Perjuangan
Bagi Dr Jafni, cabaran paling besar sepanjang pengajian adalah menyiapkan penyelidikan ketika masih bertugas sebagai pendidik. Dalam masa sama, beliau perlu mengejar masa untuk menghantar laporan apabila tarikh akhir semakin menghampiri.
Namun kehadiran anak sulung sebagai teman seperjuangan sedikit sebanyak menjadi penguat semangat. Walaupun perjalanan PhD UiTM sering dianggap sebagai perjalanan yang sunyi dan penuh tekanan, beliau bersyukur kerana dapat berkongsi pengalaman itu bersama anak sendiri.
Anak Sulung Terharu Dapat Terima Ijazah Dengan Ayah
Sementara itu, Dr Nurul Huda pula meluahkan rasa syukur kerana dapat mengharungi pengajian peringkat tertinggi itu bersama bapanya.
Bagi beliau, momen menyarung jubah yang sama, duduk bersebelahan di dalam dewan dan menerima ijazah pada istiadat yang sama adalah kenangan paling berharga dalam hidup.
“Terharu dapat menerima ijazah dengan ayah. Walaupun kami daftar pada tahun yang sama, kami tidak jamin akan habis pengajian bersama kerana PhD ialah perjalanan yang panjang.
“Tetapi, selepas laporan penyelidikan kami diterima walaupun viva masing-masing berbeza seminggu, akhirnya dapat menamatkan pengajian bersama,” katanya.
Dr Nurul Huda yang kini bekerja sebagai pakar komunikasi serantau di sebuah syarikat di Kulim, Kedah berkata, kejayaan itu benar-benar menjadi hadiah istimewa buat dirinya dan keluarga.
Pengalaman Pertama Naik Pentas Konvokesyen
Lebih mengharukan, konvokesyen kali ini juga membawa makna tersendiri buat Dr Nurul Huda kerana ia merupakan pengalaman pertamanya menaiki pentas untuk menerima ijazah.
Sebelum ini, beliau tidak berpeluang berbuat demikian ketika menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, Universiti Sains Malaysia kerana menyambung pengajian di Manchester.
Ketika menamatkan pengajian Sarjana di University of Manchester pula, beliau sekali lagi tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen berikutan kekangan pandemik Covid-19.
Ilmu Tidak Pernah Kenal Usia
Kisah Dr Jafni dan Dr Nurul Huda ini membuktikan bahawa ilmu tidak pernah mengenal usia. Pada usia 60 tahun, Dr Jafni menunjukkan bahawa tidak pernah terlambat untuk mengejar impian, selagi ada kemahuan dan semangat yang kuat.
Tahniah diucapkan kepada Dr Jafni Ghazali dan Dr Nurul Huda Jafni atas kejayaan membanggakan ini. Semoga kisah dua beranak ini menjadi inspirasi buat ibu bapa dan anak-anak di luar sana untuk terus belajar, saling menyokong dan tidak mudah berputus asa.
Benarlah, kejayaan akan terasa lebih manis apabila dapat diraikan bersama insan tersayang.
BACA LAGI : Demi Isteri Sambung PhD Di UK, Suami Sanggup Jual Rumah Kesayangan & Bermula Dari Bawah
Sumber : Berita Harian
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




