
Majlis perkahwinan yang indah dan meriah sememangnya menjadi impian ramai pasangan. Namun di sebalik keinginan meraikan hari bahagia dengan penuh gaya, ada satu perkara yang lebih penting untuk difikirkan, iaitu kehidupan yang perlu diteruskan selepas tetamu pulang dan pelamin dibuka.
Hakikatnya, kemewahan yang dinikmati hanya sehari boleh meninggalkan komitmen kewangan untuk tempoh yang jauh lebih panjang sekiranya pasangan berbelanja di luar kemampuan.
Dalam informasi yang dinyatakan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), asas kewangan yang kukuh amat penting kerana masalah berkaitan wang boleh memberi tekanan kepada kehidupan rumah tangga.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah hutang yang dibuat semata-mata untuk membiayai majlis perkahwinan. Selepas kemeriahan berakhir, bayaran ansuran tetap perlu diteruskan setiap bulan, sekali gus mengurangkan pendapatan yang sepatutnya digunakan untuk keperluan harian.
Apabila sebahagian besar gaji diperuntukkan untuk melangsaikan hutang majlis, pasangan mungkin terpaksa mengehadkan perbelanjaan lain seperti makanan, bil utiliti, sewa rumah dan keperluan isi rumah. Dalam keadaan tertentu, simpanan kecemasan dan perancangan kewangan untuk masa depan juga mungkin terpaksa diketepikan.
Lebih membimbangkan apabila keinginan mengadakan majlis mewah didorong oleh tekanan untuk mengikut trend, memenuhi jangkaan orang sekeliling atau membandingkan majlis sendiri dengan orang lain. Tanpa perancangan yang teliti, pasangan boleh terjebak dengan perbelanjaan berlebihan sehingga sanggup membuat pinjaman tambahan demi memastikan majlis kelihatan sempurna.
Sedangkan, majlis yang tampak mewah di mata tetamu tidak semestinya menggambarkan kedudukan kewangan sebenar pasangan.
Beban hutang yang dibawa ke alam perkahwinan juga boleh menjejaskan perancangan jangka panjang. Hasrat membeli rumah, memiliki kenderaan, menyediakan dana kecemasan atau membina simpanan keluarga mungkin terpaksa ditangguhkan kerana keutamaan masih diberikan kepada hutang lama.
Dalam masa sama, tekanan untuk memenuhi komitmen kewangan setiap bulan boleh menjadi satu lagi cabaran dalam rumah tangga, terutama apabila pasangan belum mempunyai kedudukan kewangan yang benar-benar stabil.
Justeru, memilih majlis yang sederhana tidak bermakna hari perkahwinan kurang istimewa. Nilai sesebuah perkahwinan bukan terletak pada sebesar mana dewan, semahal mana dekorasi atau semeriah mana sambutannya, tetapi pada kemampuan pasangan membina kehidupan bersama selepas akad dilafazkan.
Majlis perkahwinan mungkin hanya berlangsung beberapa jam, tetapi kehidupan sebagai suami isteri akan melalui perjalanan bertahun-tahun. Sebaiknya, perjalanan itu dimulakan dengan perancangan kewangan yang sihat, bukannya hutang yang perlu dibayar lama selepas bunga di pelamin layu.
BACA LAGI: Formula Kewangan 60:20:10:10! Panduan Bijak Urus Gaji Pasangan Baru Kahwin
Sumber: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)