Orang dulu-dulu banyak petua yang sangat bagus untuk diamalkan. Malah, sangat mudah untuk dipraktikkan kerana menggunakan bahan semula jadi yang terdapat di sekelilingi kita.
Namun, mungkin kesan yang diperoleh dari petua ini tidaklah berkesan serta-merta dan kadang kala perubahan dirasai sedikit demi sedikit bergantung kepada kekerapan melakukannya. Tetapi yang penting, tiada bahan kimia digunakan tau!
Jom kita tengok antara petua lama yang kita boleh ikuti.
1. TANGAN LUKA
Jangan panik jika jari anda terkena pisau dan luka. Anda boleh menggunakan sarang telur labah-labah yang berwarna putih seperti kapas dan letakkan di jari yang luka. Anda akan dapati darah berhenti dengan cepat.
2. HILANGKAN KUTU KEPALA
Ini merupakan masalah yang merunsingkan kerana melibatkan kepala dan juga rambut. Cara nak hilangkannya adalah dengan lumurkan kepala anda dengan minyak tanah. Kemudian, bungkus kepala dengan tuala selama 2 jam. Kutu-kutu di kepala anda akan mati selepas itu.
3. REDAKAN SAKIT MATA
Apabila mata mula merah, pasti rasa sakit yang memeritkan. Cuba titiskan sedikit rebusan air sirih di dalam mata. Memang sedikit pedih tapi sakit mata anda akan pulih dengan segera.
Ads
4. LEGAKAN SAKIT PERUT
Minum air rebusan daun kesum jika anda merasakan perut tidak sedap, menghadapi kembung atau cirit-birit. Daum kesum juga boleh dibuat ulam. Perut anda akan berasa lega dan beransur pulih.
5. PIJAR CILI
Lumurkan jari jemari yang terasa pijar cili dengan garam. Biarkan selama 5 minit sebelum bilas menggunakan air sejuk.
6. TIMUN LEBIH RANGUP
Hiris timun atau kupas kulit timun dan simpan seketika di dalam peti sejuk sebelum dijadikan ulam atau dimakan. Rasalah! Confirm lebih rangup.
Ads
7. HILANGKAN BAU PETAI
Sedapnya makan nasi berulamkan petai! Bila makan petai dengan banyak, mulut akan berbau! Usah bimbang, anda hanya perlu makan beberapa potong timun, anda akan rasa bau petai akan hilang.
8. PEDIH ULU HATI
Kesakitan pedih ulu hati amat memeritkan. Anda boleh amalkan memakan satu sudu madu setiap bangun pagi dan sebelum tidur malam. Jika diamalkan selalu, pedih ulu hati anda akan hilang.
9. MENGHILANGKAN BAU MULUT
Ads
Anda hanya perlu menumbuk lumat sepuluh kuntum bunga cengkih dan tiga ulas bawang putih. Gosokkan campuran tadi kepada gigi dan kumur hingga bersih. Amalkan tiga hari sekali.
10. MENGHILANGKAN LEBAM MATA
Lekapkan teh uncang yang telah digunakan pada mata dan biarkan semalaman. Lakukan tiga kali seminggu sebelum masuk tidur.
11. MENGHAPUSKAN URAT TIMBUL DI KAKI SEMASA HAMIL
Belah beberapa ulas bawang putih dan tenyeh pada urat yang mula timbul. Urat yang timbul akan hilang jika diamalkan selalu.
12. MEMUTIH DAN MENGILATKAN GIGI
Bakar beberapa helai daun kelapa kering sehingga menjadi abu. Gosokkan pada gigi anda dan ulangkan beberapa kali. Gigi anda akan menjadi putih berkilat!
Sumber: Abgbrian.com
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Buang bunga tahi ayam atau ros, tukar dengan pohon serai atau rumpun pandan! Bunyinya memang macam kelakar, tetapi kalau dibuat sungguh-sungguh hasilnya akan menakjubkan seisi keluarga. Saya bercakap mengenai kegunaan laman depan rumah.
Terus terang saya mengakui, menjaga laman bukan tugas saya. Sebenarnya saya tidak berminat pun. Sejak mula pindah ke kediaman ini kira-kira 25 tahun lalu, saya tidak kisah pun tentang halaman depan yang sekangkang kera itu.
Orang perempuan memang lebih teliti dan berseni dalam bab menghias laman, sama seninya ketika menghias ruang dalam rumah. Maaf cakap, oleh sebab terlampau berseni, suami-suami yang buta seni seperti saya selalu pening, malah separuh sewel.
Ini contoh pening dalam rumah: Dia kerap sangat menukar kedudukan perabot, boleh kata dua tiga bulan sekali. Benda yang pada saya sudah elok dan ‘ngam’ di satu sudut, tiba-tiba esok atau lusa ditukar ke sudut lain.
Biasanya sebaik tiba di rumah selepas waktu pejabat, saya menanggalkan kasut dan terus meletakkannya di rak sebelah kanan pintu masuk. Tetapi, tiba-tiba kasut terjatuh di atas lantai, dan tangan saya tersenggol payung. Rupa-rupanya tempat rak kasut telah digantikan dengan tempayan bekas payung!
Satu lagi kejutan terjadi sebaik masuk ke bilik utama. Selepas mandi, seperti biasa saya menarik laci almari pakaian untuk mengambil seluar dalam. Saya terpegang coli! Rupa-rupanya laci yang sebelum ini tempat seluar dan pakaian dalam saya telah menjadi tempat pakaian dalam dia, adusss!
Dia tahu saya tidak suka dengan seni dan inovasinya yang kerap menukar kedudukan semua benda. Sebelum saya membebel dan mencampakkan semula coli, dia sudah berkata: “Bosan saya kalau benda hanya pada satu tempat, kenalah selalu tukar-tukar barulah terasa lain…” Dalam hati saya merungut: “Jangan engkau tukar aku pulak!”
Itu antara pertukaran posisi dalam rumah. Kalau hendak cerita semua betapa bingung saya tentang tukar-tukar barang dalam rumah, saya boleh tulis sebuah buku tebal. Mungkin judul yang paling sesuai ialah ‘Aku Tukar Kau Kang, Baru Kau Tau!’
Tetapi, seninya di laman rumah boleh saya puji. Mula-mula pindah suku abad dulu, laman itu ialah pasir gersang yang tidak ditumbuhi walau sehelai rumput. Almaklumlah tanah bekas lombong yang dijadikan kawasan perumahan dengan iklan ‘Resort Living Within the City’. Jangankan rumput, semut dan lipas pun tidak sudi memijak tapak kering kontang itu.
Entah berapa guni tanah hitam dan tanah merah saya beli dan taburkan di atas pasir kontang itu, semua atas arahan dan kreativiti dia. Setiap hujung minggu saya menjadi drebarnya ke Sungai Buluh untuk mencari benih bunga, baja dan entah apa-apa peralatan berkebun. Kata saya: “Beli saya boleh bayar, jadi drebar pun tak apa, tapi jangan suruh saya berkebun.” Memang saya tidak ambil kisah.
Terkejut saya dalam beberapa minggu laman kontang dan gersang itu mula ditumbuhi macam-macam. Dan, dalam masa kurang tiga bulan sudah ada rimbunan sana-sini. Malah sudah nampak bunga-bungaan beraneka warna.
Saya ingat selama ini dia hanya pandai menghias rak kasut dan laci bekas coli, rupanya dia ada kelebihan lain. Tidak disangka tangannya sejuk dan apa sahaja yang ditanam boleh tumbuh subur. Dia menyebut macam-macam nama bunga, yang saya ingat hanya bunga tahi ayam. Kelakar, bunga yang mekar secantik itu diberi nama tahi ayam!
Kini, laman sekangkang kera yang dulu bekas lombong, sudah menjadi hijau. Pohon cempaka sudah tinggi mencecah bumbung, bunganya putih bagai mutiara. Harumnya menusuk rongga hidung, terus ke jantung hati. Kenanga, ros dan pelbagai bunga lagi juga harum semerbak, terutama menjelang larut malam.
Ada orang kata haruman seperti itu boleh mengundang hantu. Saya tidak pasti. Tetapi sudah suku abad menetap di situ tidak pernah sekali saya nampak puntianak harum sundal malam atau lain-lain spesies hantu bergayut di dahan cempaka atau kenanga.
Lagi pun pada hemat dan logik saya yang suka lepak pada pokok cempaka adalah hantu kampung zaman dulu-dulu. Hantu di bandar lain caranya, kalau teringin bau haruman lebih baik menyelusup dan ronda-ronda kedai minyak wangi di pusat-pusat membeli-belah moden, tidak perlu mengendeng di laman saya.
Apa yang pasti taman mini itu menjadi semacam terapi minda buat isteri. Dia menghabiskan sejam pagi, sejam petang, setiap hari termasuk cuti umum. Katanya, setiap hari ada sahaja kerja di halaman. Menukar tanah dalam pasu, mengganti benih baharu, mencantas dahan dan daun, merumput, membaja, menyiram, mengalihkan pasu, bla, bla, bla.
Malah, dia mengakui masa lapangnya banyak dihabiskan memelihara laman. Sebelah pagi, pokok dan bunga dimandikan dulu, kemudian baru dia sendiri mandi. Sebelah petang, laman dimandikan sekali lagi. Hatta, sekiranya petang keluar rumah, balik tengah malam pun dia menyiram pokok dan bunga di laman. Demikianlah asyiknya si dia dengan bunga taik ayam.
Kadang-kadang naik cemburu saya sebab dia macam lebih sayangkan dan begitu mesra dengan cempaka dan bunga-bunga lain, macam buat ‘dhek’ apabila saya balik dari pejabat. Pelik lagi kelakar apabila dia memberitahu dia boleh bercakap berjam-jam dengan pokok dan bunga-bungaan itu. Kerap juga dia menembak: “Nak cakap dengan awak sepuluh minit pun susah!”
Selalu saya mendengar dia bercakap dengan pokok cempaka: “Dahan awak dah tinggi, petang esok saya cantas, bagi awak lagi cantik yerrr?” Tetapi, saya nampak daun dan ranting-ranting cempaka macam selamba dan buat ‘dhek’. Saya pula menyindirnya: “Agaknya pokok tu tak faham cakap Melayu, cer awak cakap orang putih, maklumlah itu pokok bandar…”
Selain cempaka, kenanga, tahi ayam, dan lain-lain bunga, laman yang sekangkang kera itu juga dihias dengan pelbagai tumbuhan keperluan dapur. Pasu-pasu dengan bunga beraneka warna itu diselang seli dengan pasu daun pandan, serai, kunyit, ulam raja, dan lain-lain tumbuhan keperluan belanga dan kuali.
Ditanam juga pokok tenggek burung untuk ulam, pokok limau purut yang daunnya dijadikan perencah pelbagai masakan, termasuk tomyam. Ada juga daun kari, rumpun selasih, daun bawang, rumpun kesum, kencur, pengaga.
Selama ini saya tidak ambil kisah pun tentang pohon dan daun-daun yang selalu menjadikan gulai dan masakan lebih sedap. Baru-baru ini saya menemani dia ke pasar raya, dan mengetahui benda-benda yang ada di laman itu rupanya ada harga.
Terkejut saya lima batang serai yang diikat kemas harganya RM1, daun kunyit sehelai 50 sen, dua tiga helai daun pandan, 50 sen. Daun kari, ulam raja, kesum, kencur, semua ada harga. Hatta daun limau purut pun lima enam helai harganya 50 sen. Fikir punya fikir banyak juga duit pasar dapat diselamatkan dengan tanaman tersebut.
Dia bercadang untuk menanam cili dan tomato dalam pasu, sambil menegaskan: “Awak tau tak, cili hidup sekilo RM15, kalau kita tanam tiga pasu berapa banyak duit pasar boleh selamat. Durian belanda sekilo RM12, labu manis yang awak suka tu sebiji paling tidak pun RM10. Kalau kita tanam semua tu, banyak kita boleh selamat…”
Setakat dua tiga pohon cili saya ingat okey untuk tanaman di halaman. Tetapi saya tidak berapa berkenan sekiranya dia berhasrat menanam durian belanda, labu manis, terung dan lain-lain. Susah juga sekiranya taman yang cantik itu ditukar menjadi kebun sayur.
Lagi pun ada bahayanya sekiranya labu manis merayap di halaman, takut-takut keluar dari kereta ketika pulang waktu malam saya tersungkur dan terantuk simen gara-gara tersepak buah labu atau durian belanda.
Dan, lebih penting lagi, saya lebih suka dia kekal sebagai suri rumah dan penjaga taman. Pengsan saya sekiranya setiap petang balik kerja melihat dia bertopi besar dan bersarung tangan, seperti nyonya atau apek kebun sayur di Cameron Highland.
Saya memberitahu dia biarlah taman tetap taman, cukup setakat serai, daun pandan dan kesum. Durian belanda, labu air, labu manis, terung dan lain-lain sayur kegemaran saya lebih baik beli di pasar. Tidak mengapa mahal sedikit, asalkan dia tidak menjadi nyonya kebun sayur.
Tetapi, dia berpendapat, lebih banyak sayur-sayuran ditanam di halaman, lebih banyak pula duit pasar boleh dijimatkan. Katanya: “Duit pasar yang dijimatkan itu boleh beli tudung bawal…” Ayat akhir itu saya buat-buat tidak dengar, aduss!
sumber : Abd Jalil Ali, Majalah Keluarga
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Umumnya jika ingin mengawal berat badan kita biasa dengar perlu melakukan senaman dan tidak kurang juga ada yang mengamalkan petua dan pengambilan ubat-ubatan yang diluluskan oleh KKM.
Pun begitu, tidak dinafikan kaedah pembedahan perut juga ramai yang cuba lakukan.
Memahami kaedah, keperluan dan risiko melakukan pembedahan perut atau juga dikenali dengan pembedahan bariatrik, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan jelaskan secara mudah untuk dapat difahami.
Ini perkongsiannya.
KURUS DENGAN PEMBEDAHAN PERUT
Pembedahan bariatrik adalah pengubahan kapasiti perut melalui beberapa cara. Pembedahan ini disarankan apabila masalah berat badan pesakit membawa risiko yang lebih besar daripada risiko pembedahan bariatrik itu sendiri.
Pembedahan ini dilakukan untuk menyekat jumlah pengambilan makanan sebagai menguruskan masalah kesihatan individu obes melampau yang mempunyai komorbiditi seperti kencing manis, darah tinggi, masalah jantung, dan sebagainya.
Ada beberapa jenis pembedahan bariatrik, antaranya:
◾Roux-En Y Gastric Bypass
◾Vertical Sleeve Gastrectomy
◾Biliopancreatic Diversion/Duodenal Switch
◾Adjustable Gastric Band
Semua pembedahan ini ada risikonya sendiri. Teknik-teknik yang melibatkan pemotongan kantung perut dan penyambungan semula memungkinkan risiko jangkitan kuman, kebocoran pada sambungan, pendarahan, dan sebagainya.
Adjustable Gastric Band tiada pemotongan kantung perut, tetapi ia menggunakan alat untuk menjerut kantung perut. Maka penggunaan alat ini mempunyai risiko jangkitan kuman, kegagalan implan, hakisan perut, perut terjerut dan lain-lain.
Oleh kerana wujud risiko seperti ini, hanya individu yang benar-benar memerlukan patut menjalani pembedahan bariatrik ini. Selain itu, individu yang telah menjalani pembedahan ini perlu bersedia mengubah cara pemakanannya.
Selepas pembedahan ini, pesakit tidak lagi boleh makan pada kuantiti normal, kerana saiz perut telah dikecilkan sehingga hanya mampu memuatkan sebahagian daripada kapasiti sebelum ini. Makan sikit sahaja dah rasa penuh perut.
Penyesuaian kepada kuantiti makanan yang kecil ini tidak mudah. Oleh kerana akan cepat penuh, makanan yang dimakan perlulah yang benar-benar berkhasiat sahaja. Jika tak jaga makan, maka akan berlaku kekurangan nutrisi, dan ganggu kesihatan.
Semua ini perlukan keazaman, iltizam, dan ketahanan mental yang tinggi. Tak usah fikir ia mudah, kerana cabarannya lebih kurang sahaja dengan penurunan berat badan dengan cara penjagaan makanan tanpa sebarang pembedahan.
Ditekankan sekali lagi bahawa pembedahan bariatrik bukan jalan mudah untuk langsing, ia adalah rawatan kepada kondisi kesihatan yang seharuskan diputuskan keperluannya oleh doktor bertauliah. Buat hanya bila benar-benar perlu.
Perjalanan TTC Taufik Batisah dan Sheena Akbal menyentuh hati ramai apabila pasangan ini berkongsi usaha IVF, pengalaman keguguran dan sokongan penuh seorang suami sepanjang ikhtiar mendapatkan zuriat.