Seorang ibu yang sakit hendak bersalin meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital menaiki ambulans.
Suri rumah berusia 35 tahun yang hamil anak kedua itu dipercayai sakit hendak bersalin dan suaminya kemudian menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.57 petang semalam daripada petugas zon merah Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani yang memaklumkan wanita itu dan bayi dalam kandungannya sudah meninggal dunia.
Difahamkan, wanita itu dipercayai tidak sedarkan diri sebelum pengsan. Mangsa juga disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan menaiki ambulans.
Ads
“Doktor sudah melakukan pembedahan untuk mengeluarkan bayi dan disahkan bayi itu turut meninggal dunia di dalam kandungan.
“Hasil semakan yang dilakukan melalui temu bual suami mangsa juga mendapati, wanita itu tidak mempunyai sebarang rekod masalah kesihatan.
“Berikutan itu, Pol 61 dikeluarkan untuk mengetahui sebab kematian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ads
Wan Azharuddin berkata, pemeriksaan lanjut terhadap mayat si mati mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau khianat.
Ads
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat hari ini.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Tiga beradik bergelar doktor: Kisah inspirasi kejayaan. Berbekalkan semangat dan usaha gigih, tiga beradik membuktikan latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan bukan penghalang untuk mengejar impian.
Dr Muhammad Haznil Abdul Rahman Raja dan kembarnya, Dr Muhammad Hazril, 30 tahun, serta adik mereka, Dr Hani Hazreen, 29 tahun, kini bergelar doktor dan cemerlang dalam bidang perubatan masing-masing.
Dr Muhammad Haznil, yang sudah lima tahun dalam bidang perubatan, kini menguruskan Klinik Leela di Jalan Ipoh. Beliau berkongsi bahawa latar belakang keluarga yang sederhana menjadi dorongan kuat untuk mereka adik-beradik belajar bersungguh-sungguh dan mendapat biasiswa.
“Saya memang suka seni lukisan abstrak dan penulisan, tetapi saya sedar bidang perubatan adalah peluang terbaik untuk mengubah nasib keluarga. Walaupun lebih gemar seni, saya suka jadi doktor kerana dapat membantu orang dan melihat pesakit kembali sihat,” katanya.
Sementara itu, kembarnya, Dr Muhammad Hazril bertugas di Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Intensif, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Dr Hani Hazreen pula, yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik, kini bergelar doktor gigi dan bertugas di sebuah klinik pergigian.
Menurut Dr Muhammad Haznil, walaupun mereka bertiga bergelar doktor, pengalaman dan cabaran mereka berbeza. Beliau pernah bertugas selama dua tahun di Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching, dan sering bertukar ilmu dengan kembar serta adiknya.
“Kami sentiasa rujuk satu sama lain dan saling membantu. Saya bersyukur kerana kami bertiga dapat menggunakan ilmu untuk membantu masyarakat dan keluarga,” katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS) daripada Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP).
Kembarnya, Dr Muhammad Hazril, turut berkongsi bahawa cita-citanya berubah daripada veterinar kepada bidang perubatan selepas terinspirasi dengan pengalaman semasa kecil ketika menjalani pemeriksaan kesihatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Mak cik dan pak cik pernah belikan mainan doktor, dan tanpa disangka, kini saya jadi doktor bius. Saya bercita-cita menjadi pakar anestesiologi dan pensyarah suatu hari nanti. Klinik ini adalah langkah awal, dan mungkin kami bertiga akan bekerja bersama suatu hari nanti,” ujarnya.
Dr Hani Hazreen, yang rapat dengan kedua-dua abangnya sejak kecil, mengakui tidak pernah merancang untuk menjadi doktor. Namun, usaha mereka bertiga membuahkan hasil, membuktikan kejayaan boleh dicapai dengan tekad dan kesungguhan.
“Kami bukan daripada keluarga senang. Jadi, menjadi doktor adalah peluang untuk kami membantu masyarakat. Saya bersyukur kerana dua abang saya menjadi mentor, walaupun bidang pengkhususan kami berbeza,” katanya.
Dr Hani Hazreen, lulusan Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian dari Kolej Universiti Manipal Malaysia (MUCM), juga merancang untuk menjalankan program komuniti bersama abangnya pada masa akan datang.
Kisah tiga beradik ini bukan sahaja inspirasi kepada keluarga mereka tetapi juga kepada masyarakat. Kejayaan mereka membuktikan bahawa latar belakang bukanlah halangan jika disertai dengan usaha gigih dan semangat yang tidak berbelah bahagi.
Dengan kerjaya masing-masing, Dr Muhammad Haznil, Dr Muhammad Hazril, dan Dr Hani Hazreen terus berkhidmat untuk masyarakat dan berharap dapat bekerjasama dalam projek yang lebih besar pada masa hadapan.
Semoga kejayaan mereka menjadi motivasi kepada generasi muda untuk berani bermimpi dan bekerja keras untuk mencapainya.
Hati seorang bapa luluh apabila mengetahui anak lelakinya yang berusia 14 tahun kini disiasat polis selepas didakwa membunuh rakan sekolah sendiri dalam kejadian tragis kes tikam pelajar di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, semalam.
Dalam temu bual bersama China Press, lelaki berusia 40 tahun itu mengakui masih sukar menerima hakikat bahawa anaknya mampu bertindak sedemikian. Menurutnya, remaja itu seorang yang pendiam dan lebih suka memendam perasaan.
“Saya tidak sangka dia mampu melakukan perkara seperti ini. Anak saya seorang yang pendiam dan introvert,” katanya sebak.
Bapa itu turut mengakui, tiada kata maaf yang mampu menebus kehilangan nyawa pelajar perempuan berusia 16 tahun itu.
“Tidak kira apa yang saya lakukan, ia tidak akan mengembalikan anak perempuan mereka. Saya tidak tahu bagaimana hendak berdepan dengan mereka,” katanya lagi sambil menahan tangisan.
Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan penahanan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun bagi membantu siasatan kes pembunuhan berkenaan. Siasatan awal mendapati mangsa mengalami beberapa kesan tikaman pada bahagian badan.
Beliau menjelaskan, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Polis kini sedang mendapatkan laporan forensik dan keterangan daripada rakan-rakan sekelas mangsa bagi melengkapkan siasatan.
Mengimbas kembali detik sebelum kejadian, bapa remaja itu berkata pagi tersebut bermula seperti biasa. Dia menghantar anaknya ke sekolah tanpa menyedari sebarang perubahan sikap.
Katanya, anaknya tidak menunjukkan tingkah laku luar biasa meskipun prestasi akademiknya agak lemah dan kadangkala kurang memberi tumpuan dalam kelas. Namun, anaknya bukan jenis yang gemar menimbulkan masalah.
“Anak saya tidak pernah bercerita tentang mangsa kepada saya sebelum ini,” katanya.
Tambah lelaki itu, insiden ini meninggalkan kesan yang sangat mendalam dan mematahkan semangatnya sebagai seorang bapa.
“Anak saya seorang yang pendiam dan introvert. Walaupun ada sesuatu berlaku di sekolah sama ada dia dibuli atau tidak, dia tidak akan memberitahu saya.
Saya tahu berkata apa-apa sekarang sudah tidak berguna. Tiada apa yang boleh mengembalikan anak perempuan mereka,” katanya penuh kesal dan sebak.
Masih ingat bayi kecil yang tidur lena dalam kotak polistirena ketika banjir besar melanda Kelantan pada 2014? Kini, dia bukan sekadar kenangan dalam lipatan sejarah, tetapi sebuah kisah inspirasi yang penuh makna dan menyentuh hati.
Dalam detik penuh ujian, Fauzan yang baru berusia dua tahun didodoikan dengan alunan selawat merdu oleh bapanya, sementara air banjir terus naik melebihi paras lutut.
Ketika bencana banjir melanda, Fauzan diletakkan di dalam kotak polistirena untuk membolehkannya berehat dengan selesa sambil hanyut mengikut arus air.
Lebih sepuluh tahun berlalu, kisah yang dahulu penuh emosi itu kini menjadi sebahagian daripada sejarah hidup keluarganya yang tidak akan dilupakan.
Kini pada usia 12 tahun, Fauzan bukan sahaja membesar dengan baik, malah membuktikan kecemerlangannya dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2024 dengan meraih keputusan 9A.
Menerusi perkongsian di hadi_klate_ranau telah meraih perhatian ramai.
“Alhamdulillah, syukur ya Allah. Terima kasih semua yang mendoakan. Adik Fauzan, ‘baby polistirena’ dapat 9A UPKK 2024. Semoga terus berusaha menjadi hamba Allah yang cemerlang dunia dan akhirat,” tulisnya.
Kejayaan tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen, terutama mereka yang pernah melihat video Fauzan yang tular 10 tahun lalu.
Ramai yang tidak menyangka, kanak-kanak yang pernah menyentuh hati rakyat Malaysia dengan kisahnya itu kini muncul sebagai pelajar cemerlang, mencatat pencapaian membanggakan dalam akademik.
Ramai yang tidak menyangka, kanak-kanak yang pernah menyentuh hati rakyat Malaysia dengan kisahnya itu kini muncul sebagai pelajar cemerlang, mencatat pencapaian membanggakan dalam akademik.
“Besar dh kau dik..terasa plk Aku yg dh tua”
“11 tahun dah berlalu,kiranya time tu adik ni 1 tahun ke.”
“Alhamdulillah tahniah nak, sampai sekarang acik ingat anak yg tidur dlm polisterin”
Dalam satu perkongsian lain, bapa Fauzan memaklumkan bahawa mereka sekeluarga tidak lagi menetap di Kelantan. Sebaliknya, mereka telah berpindah ke Ranau, Sabah, dan membina kehidupan baharu di sana.