Ibu hilang 4 anak, seorang menantu sekali gus, “Saya dah larang mereka banyak kali jangan ergi…” Perjalanan yang sepatutnya menjadi detik menggembirakan bertukar menjadi peristiwa hitam apabila lima sekeluarga terkorban dalam kemalangan tragis melibatkan dua kenderaan di Kilometer 7, Jalan Jerantut-Maran, tengah malam semalam.
Ibu Hilang 4 Anak, Seorang Menantu Sekali Gus, “Saya Dah Larang Mereka Banyak Kali Jangan Pergi…”
Tragedi ini bukan sekadar satu kemalangan ngeri, ia meragut nyawa satu pasangan suami isteri muda bersama tiga adik ipar mereka, sekali gus menghancurkan harapan dan kebahagiaan sebuah keluarga yang merancang untuk berhari raya bersama sanak saudara di kampung.
Hasrat Bertemu Saudara, Bertukar Duka
Mangsa-mangsa yang maut menaiki kereta jenis Perodua Bezza dan dalam perjalanan ke rumah bapa saudara mereka di Jerantut bagi menghadiri kenduri korban keluarga. Mereka ialah Muhammad Ikmal Ishak, 26, pemandu kenderaan dan suami kepada Nur Arfiqah, Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23, isteri Ikmal dan tiga adik Nur Arfiqah iaitu Mohammad Zulkifli Aziz Jaafar, 21, Mohamad Azizul, Hakimi Aziz Jaafar, 19 dan Nurul Hazwani Aziz Jaafar, 17
Kemalangan berlaku sekitar jam 12.40 tengah malam apabila kereta mereka bertembung dengan sebuah Toyota Alphard. Menurut Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad, kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Naluri Ibu Yang Tidak Sedap Hati
Ibu kepada empat daripada mangsa, Zaini Noh, 52, menyatakan bahawa sejak awal dia sudah merasakan sesuatu yang tidak kena. Beliau beberapa kali melarang anak-anaknya untuk pergi, lebih-lebih lagi kerana beliau sendiri tidak sihat dan tidak dapat menyertai perjalanan itu.
“SAYA CAKAP DENGAN MEREKA, KALAU MAK TAK PERGI, TAK PAYAHLAH PERGI. TAPI MEREKA BERSUNGGUH-SUNGGUH SANGAT NAK PERGI.”
Namun dek keinginan untuk bersama keluarga dan menyertai kenduri korban yang dianjurkan oleh bapa saudara mereka, mereka tetap meneruskan perjalanan. Saudara-mara lain termasuk anak bongsu pasangan itu telah bertolak sehari lebih awal menaiki dua lagi kenderaan.
Pertemuan Terakhir Yang Penuh Senyuman
Kali terakhir Zaini melihat anak-anaknya ialah pada hari Selasa, apabila mereka datang mengambil barang sebelum bertolak. Mereka semua kelihatan ceria, tanpa menunjukkan sebarang petanda akan berlaku sesuatu yang buruk.
Beliau mengingati kisah yang diceritakan oleh rakan-rakan arwah anaknya, bahawa anak ketiganya, Mohammad Zulkifli, sempat membelanja 10 orang kawannya makan nasi bungkus sebelum bertolak. Tindakan itu kini menjadi kenangan terakhir yang amat menyentuh hati mereka yang mengenalinya.
Ads
“Saya tengok mereka semua ceria masa kali terakhir jumpa… saya tak sangka itu kali terakhir.”
Status WhatsApp Jadi Petanda
Abang kepada Muhammad Ikmal, Muhammad Ridzuan Ishak, 33, masih terkesan dengan apa yang dilihatnya pada malam kejadian. Sekitar jam 10 malam, beliau sempat melihat status WhatsApp adiknya yang berbunyi:
“ITULAH JALAN PERTAMA DAN TERAKHIR AKAN DILALUINYA.”
Kata-kata itu yang pada mulanya dianggap biasa, rupa-rupanya menjadi petanda bahawa perjalanan malam itu adalah yang terakhir buat mereka berlima.
Ridzuan yang bekerja sendiri berkata, kali terakhir dia bertemu adiknya adalah pada hari Rabu, ketika semua adik-beradik berkumpul di Taman Malar, Tambun, Perak. Ia merupakan pertemuan yang tidak disangka akan menjadi kali terakhir mereka berjumpa.
“Arwah memang periang dan sangat disenangi keluarga. Saya tergamam bila terima berita.”
Berita Yang Merentap Jiwa
Berita kemalangan diterima keluarga dalam suasana yang sangat mengharukan. Ridzuan menerima panggilan telefon daripada abang kepada isteri adiknya sekitar jam 1.30 pagi. Pada mulanya beliau tidak percaya, namun setelah mendapat penjelasan, hatinya luluh dan tidak mampu berkata apa-apa.
Ads
Sementara itu, Zaini dan suaminya menerima berita itu melalui jiran mereka yang menghubungi dan memberitahu tentang kemalangan. Namun, berita sebenar bahawa semua anaknya telah meninggal dunia hanya diketahui kemudian. Detik itu menghancurkan hati seorang ibu yang baru sahaja melihat anak-anaknya ceria beberapa jam sebelumnya.
“Jiran telefon, kata anak eksiden, tetapi dia tak cakap lagi pasal meninggal. Dah lama lepas itu baru kami tahu semua dah tak ada.”
Keadaan kereta Perodua Bezza dinaiki mangsa selepas terbabit kemalangan dengan MPV di Jalan Jerantut Feri, Jerantut pada Sabtu.
Keadaan kereta Perodua Bezza dinaiki mangsa selepas terbabit kemalangan dengan MPV di Jalan Jerantut Feri, Jerantut pada Sabtu.
Pengebumian Di Kampung Halaman
Pada mulanya, keluarga bercadang mengebumikan jenazah di Tambun, namun atas permintaan keluarga mentua arwah, jenazah kelima-lima mangsa akhirnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Selat, Bota Kanan, Perak.
Solat jenazah dilakukan di Masjid Jamek Bota Kanan pada hari Sabtu, dalam suasana penuh pilu. Sanak saudara, rakan-rakan dan penduduk setempat hadir memberi penghormatan terakhir kepada lima insan yang pergi serentak dalam tragedi yang menyayat hati ini.
Reda Dalam Kepiluan
Kini, Zaini dan suaminya hanya tinggal dua orang anak, anak sulung dan anak bongsu. Walaupun berat, mereka memilih untuk reda dengan takdir Tuhan.
Ads
“Apa saya boleh kata… saya reda,” ujar Zaini dalam esak tangis yang ditahan, menunjukkan ketabahan luar biasa seorang ibu yang kehilangan hampir seluruh isi rumahnya dalam sekelip mata.
Bagi memeriahkan lagi sambutan Aidil Fitri tahun ini, kerajaan mengumumkan pemberian Rebat Rahmah Aidilfitri, satu insentif khas berupa tambahan kuota data minimum 5GB secara percuma kepada semua pengguna telekomunikasi pascabayar dan prabayar.
Rebat Rahmah ini diberikan kepada warga Malaysia bagi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan pada 1 Syawal ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, kos tambahan kuota itu ditanggung sepenuhnya oleh syarikat telekomunikasi.
“Ini adalah insentif kali pertama diperkenalkan khususnya Kementerian Komunikasi iaitu tambahan kuota data minimum 5GB kepada semua pengguna pascabayar dan prabayar, warga Malaysia.
“Tambahan kuota data ini sah bagi tempoh 24 jam, tertakluk kepada terma dan syarat penawaran syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet.
Datuk Fahmi Fadzil yang juga jurucakap kerajaan Perpaduan berkata, usaha Kementerian Komunikasi dengan kerjasama strategik syarikat telekomunikasi itu sejajar dengan hasrat kerajaan Madani dalam menitikberatkan nilai ihsan kepada rakyat.
Menurutnya, ia juga penting dalam mengeratkan silaturahim menerusi komunikasi dalam talian sempena sambutan Aidilfitri.
“Insentif ini dijangka memberi manfaat kepada sekitar 45 juta pemegang akaun berdaftar di negara ini,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai insentif rebat Rahmah Aidilfitri akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Murid PASTI meninggal dunia, sayu hati tengok rakan-rakan keliling jenazah, beri penghormatan terakhir. Tular di media sosial video menyayat hati yang memperlihatkan detik terakhir seorang murid tadika sebelum dikebumikan.
Murid PASTI Meninggal Dunia, Sayu Hati Tengok Rakan-rakan Keliling Jenazah, Beri Penghormatan Terakhir
Allahyarham Muhammad Yusuf Ali Amin, berusia enam tahun dan merupakan pelajar di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Aqliah, Temerloh, Pahang, menerima penghormatan terakhir daripada rakan-rakan sekelasnya yang turut hadir memberikan ucapan perpisahan.
Momen mengharukan ini mencuri perhatian ramai apabila kelihatan jasad si kecil dikelilingi oleh rakan-rakan sepermainan yang berdiri di sisinya buat kali terakhir. Video yang dimuat naik oleh guru mereka di laman TikTok menunjukkan murid-murid tersebut, yang mungkin belum mengerti sepenuhnya makna kehilangan, berdiri penuh sayu di sisi jenazah yang sedang diuruskan di masjid.
@cikgusalamiahmohdnor Memberi penghormatan terakhir buat Adik Muhammad Yusuf Al-Amin Bin Mohd Zaki Al-Jihadi, pelajar PASTI Aqliah, Temerloh. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin. Takziah kepada keluarga, semoga diberikan ketabahan dan kesabaran atas kehilangan yang amat berat ini. Al-Fatihah. #TemerlohSejahtera♬ Ibu Dan Ayah Lagu Kedua Orang Tua – Lani Satria
Ahli Parlimen Temerloh, Cikgu Salamiah Mohd Noor, memaklumkan bahawa kanak-kanak tersebut menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan kuman di paru-paru.
“Salam takziah buat keluarga Muhammad Yusuf Al-Amin Bin Mohd Zaki Al-Jihadi. Semoga roh arwah ditempatkan bersama golongan yang beriman dan soleh. Moga keluarga diberikan kekuatan dalam menghadapi dugaan ini. Al-Fatihah,” katanya dalam satu hantaran.
Sementara itu, pihak pengurusan PASTI Malaysia turut menzahirkan ucapan takziah dan menjelaskan bahawa arwah telah menunjukkan tanda-tanda masalah pernafasan sebulan yang lalu.
“Seluruh Ahli Lembaga Pengarah PASTI Malaysia merakamkan ucapan takziah atas pemergian adik Muhammad Yusuf Al-Amin dari PASTI Aqliah, Temerloh, yang telah kembali ke rahmatullah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.
“Arwah mula menunjukkan simptom gangguan pernafasan sekitar sebulan lalu dan telah menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh selama hampir sebulan sebelum dipindahkan ke PPUM pada hari ketiga Syawal bagi rawatan susulan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati arwah mengalami jangkitan kuman di paru-paru,” menurut kenyataan tersebut.
Video yang telah meraih lebih 1.4 juta tontonan itu menyentuh hati ramai warganet. Kebanyakan mereka meluahkan rasa sebak melihat keakraban rakan-rakan kecil arwah yang setia bersama sehingga ke detik akhir perpisahan.
Anak lemas dalam kolam, ibu harap keajaiban, “Moga ada doa kalian yang diangkat dan dimakbulkan Allah.” Niat Nurul Izzati Barni, berkongsi kisah pilu tentang anak bongsunya yang sedang bertarung nyawa bukanlah untuk meraih simpati.
Anak Lemas Dalam Kolam, Ibu Harap Keajaiban
Sebaliknya, ia dilakukan dengan harapan mendapat doa daripada masyarakat yang tersentuh dengan nasib anaknya, Che Umar Rais Che Fairollah, 4 tahun.
Selama hampir lima bulan, ibu muda berusia 30 tahun itu setia menanti keajaiban Tuhan untuk anaknya yang kini berada dalam keadaan separa kritikal selepas insiden lemas dalam kolam.
“Moga Ada Doa Kalian Yang Diangkat & Dimakbulkan Allah”
Rutin hariannya bermula seawal jam 9 pagi hingga lewat malam di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Beliau menguruskan keperluan Umar, termasuk memandikan, mengurut, dan memberi perhatian penuh sebelum pulang ke rumah.
“Saya hanya mampu melakukan apa yang termampu sebagai seorang ibu. Kita tidak tahu doa siapa yang akan dimakbulkan Allah, jadi perkongsian ini hanyalah untuk memohon doa mereka yang tersentuh dengan keadaan Umar,” katanya.
Berpegang Pada Naluri Seorang Ibu
Nurul Izzati kekal yakin bahawa Umar akan kembali pulih walaupun proses pemulihan mungkin mengambil masa. Malah, naluri keibuannya menjadi kekuatan utama untuk terus berdoa dan berikhtiar.
“Saya masih ingat satu ketika darah Umar tiba-tiba turun mendadak. Doktor meminta kami sekeluarga untuk bersedia dengan kemungkinan terburuk dan reda. Namun, saya berbisik kepada Umar bahawa saya reda jika Allah lebih menyayanginya.
Tetapi jika Allah memberi peluang untuk Umar terus hidup, kami akan lakukan apa sahaja demi dia. Alhamdulillah, darahnya kembali stabil ketika itu. Sejak detik itu, keyakinan saya terhadap keajaiban Allah semakin kuat,” jelasnya, yang kini menganggap hospital seperti rumah keduanya.
Kejadian Lemas Yang Mengubah Segalanya
Pada September 2023, percutian keluarga bertukar menjadi ujian besar apabila Umar lemas di dalam kolam. Ketika dibawa ke hospital, nadinya telah terhenti selama hampir lima minit. Keadaan itu membuatkan doktor menjangka peluang Umar untuk hidup amat tipis. Namun, doa dan kuasa Allah memberikan keajaiban apabila nadi Umar kembali berdenyut.
“Umar ditempatkan di zon kritikal dan pada awalnya langsung tidak menunjukkan sebarang pergerakan. Tetapi pada hari ke-19, dia mula menggeliatkan badannya. Sejak itu, saya terus berusaha dan tidak berhenti berdoa untuknya,” kata Nurul Izzati.
Kini, walaupun Umar masih bergantung kepada bantuan oksigen, perkembangan positif mula kelihatan. Bagaimanapun, doktor masih memantau keadaan anak matanya yang belum memberi tindak balas apabila disuluh.
“Saya faham doktor menjalankan tugas mereka, tetapi saya percaya kuasa Allah mengatasi segala-galanya,” katanya. Nurul Izzati juga berusaha memberikan makanan tambahan bagi membantu proses pemulihan Umar.
Kerinduan Abang Dan Kakak
Dua anak Nurul Izzati yang lain turut merindui kehadiran Umar di rumah. Mereka sering bertanya bila dapat berjumpa adik mereka di hospital. Malah, setiap kali membeli mainan, mereka akan teringatkan Umar dan berharap dapat berkongsi kegembiraan bersamanya.
“Saya selalu pesan kepada mereka, jika benar sayangkan Umar, jangan lupa doakan kesihatannya setiap kali selepas solat. Doa mereka sebagai abang dan kakak sangat bermakna untuk Umar,” katanya penuh emosi.
Hargai Mereka Yang Prihatin
Nurul Izzati turut meluahkan rasa terima kasih kepada semua yang telah menghulurkan sumbangan dan doa sepanjang tempoh sukar ini. Sokongan tersebut menjadi sumber kekuatan untuknya terus menjaga Umar dengan penuh ketabahan.
“Saya amat menghargai setiap bantuan yang diberikan. Doa dan sokongan orang ramai benar-benar memberikan saya semangat untuk terus kuat. Semoga doa-doa ini membantu Umar kembali sembuh,” tambahnya.
Kisah ini menggambarkan betapa besarnya kasih seorang ibu terhadap anaknya dan kepercayaan penuh kepada kuasa doa. Semoga Umar diberikan kesembuhan dan keluarga ini terus diberi kekuatan menghadapi ujian hidup.
World Quran Convention 2025 mengetengahkan tema ‘Trade With Allah’ berasaskan Surah Al-Saff sebagai panduan utama solusi ekonomi Islam global. Program dua hari ini membuka ruang memahami keseimbangan antara spiritual dan ekonomi moden.