
Zaman sekarang, hampir semua urusan harian dilakukan secara dalam talian. Daripada membeli barang, membayar bil sehinggalah berkongsi gambar keluarga, semuanya hanya di hujung jari.
Namun, di sebalik kemudahan teknologi, ancaman jenayah siber semakin membimbangkan. Bukan sahaja golongan dewasa, malah kanak-kanak dan warga emas juga berisiko menjadi mangsa.
Menurut laporan Sinar Harian bertarikh 4 November 2026, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran bahawa Malaysia berpotensi menjadi sasaran serangan siber berdasarkan maklumat sulit kerajaan.
Walaupun ancaman terhadap sistem negara berbeza daripada penipuan dalam talian, perkembangan ini menjadi peringatan kepada masyarakat supaya lebih peka terhadap keselamatan digital.
Jadi, bagaimana nak pastikan keluarga kita lebih selamat daripada ancaman siber?
7 Cara Lindungi Keluarga Daripada Jenayah Siber
1. Jangan Kongsi Maklumat Peribadi Sesuka Hati
Elakkan berkongsi alamat rumah, nombor telefon, lokasi sekolah anak atau maklumat perbankan secara terbuka di media sosial. Maklumat ini boleh disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
2. Jangan Mudah Klik Link Pelik
Terima mesej kononnya menang hadiah atau perlu kemas kini akaun bank? Jangan terus klik! Semak dahulu kesahihan pautan melalui laman web atau aplikasi rasmi.
3. Guna Password Yang Kuat
Elakkan menggunakan tarikh lahir atau nama anak sebagai kata laluan. Gunakan kata laluan berbeza untuk setiap akaun penting dan aktifkan pengesahan dua faktor.
4. Hati-Hati Dengan Scammer Menyamar Jadi Ahli Keluarga
Jika menerima mesej daripada individu yang mengaku ahli keluarga dan meminta wang segera, jangan terus percaya. Hubungi mereka melalui nombor yang biasa digunakan untuk mendapatkan kepastian.
5. Pantau Aktiviti Online Anak
Ambil tahu aplikasi dan permainan yang digunakan anak-anak. Ingatkan mereka supaya tidak berkongsi maklumat peribadi atau melayan mesej mencurigakan daripada orang tidak dikenali.
6. Ingatkan Ibu Ayah Jangan Kongsi OTP
Warga emas juga perlu diberi pendedahan tentang taktik scammer. Pesan kepada mereka supaya tidak sesekali memberikan nombor PIN, kata laluan atau kod OTP kepada sesiapa.
7. Sentiasa Update Tentang Taktik Scam Terbaharu
Luangkan masa berkongsi maklumat keselamatan siber bersama ahli keluarga. Semakin banyak kita tahu tentang taktik penipuan, semakin mudah untuk mengenal pasti perkara mencurigakan.
Keselamatan Digital Bermula Dari Rumah
Hakikatnya, scammer sentiasa mencari peluang untuk memperdaya mangsa. Sebab itu, setiap ahli keluarga perlu memainkan peranan menjaga keselamatan diri ketika menggunakan internet.
Tidak salah menikmati kemudahan teknologi, tetapi jangan sampai terlalu leka sehingga maklumat peribadi dan wang simpanan menjadi taruhan.
Ingat, sebelum klik, kongsi atau buat sebarang transaksi, semak dahulu. Jangan bagi scammer peluang!
BACA LAGI: Rugi RM735,000, Pesara Kerajaan Terpedaya Sindiket ‘Phone Scam’
Sumber: Sinar Harian

