
Masya-Allah, satu pencapaian yang cukup membanggakan! Ketika kebanyakan remaja seusia mereka masih lena dibuai mimpi, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Bachok, Kelantan sudah bangun seawal pukul 4.30 pagi untuk mengulang hafazan al-Quran.
Berkat disiplin, kesungguhan serta sokongan guru dan ibu bapa, seramai 171 pelajar Tingkatan Lima sekolah berkenaan berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran menerusi Program Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA).
Kejayaan itu sekali gus mencatatkan pencapaian 100 peratus bagi kohort berkenaan, membuktikan bahawa hafazan al-Quran dan kecemerlangan akademik mampu bergerak seiring.
Lebih membanggakan, pencapaian SMKA Tok Bachok ini bukan sahaja menjadi kebanggaan warga sekolah, malah turut memberikan inspirasi kepada ibu bapa yang mengimpikan anak-anak cemerlang dalam bidang agama dan akademik.

Bangun 4.30 Pagi, Bahagikan Masa Mengaji Dan Belajar
Menurut salah seorang pelajar, Ahmad Aqil Nabhan Zaidi, 17, rutin harian mereka bermula dengan sesi hafazan pada awal pagi sebelum meneruskan pembelajaran akademik.
Selepas tamat persekolahan, masa dimanfaatkan untuk mengulang hafazan atau murajaah, menyiapkan tugasan dan beriadah sebelum menyambung pengukuhan al-Quran pada sebelah malam.
Lebih mengagumkan, seorang lagi pelajar, Adib Sufyan Suhaimi, 13, berjaya menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh hanya lima bulan 10 hari.
SMKA Tok Bachok Buktikan Hafaz 30 Juzuk, Akademik Pun Cemerlang!
Kejayaan SMKA Tok Bachok bukan hanya dalam bidang hafazan, malah turut menyerlah dalam akademik.
Antara pencapaian membanggakan ialah kejayaan Muhammad Izz Darwisy Zamani, 18, yang memperoleh keputusan 12A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dan dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik SPM peringkat Kelantan.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKA Tok Bachok, Datuk Azahar Berahim berkata, pencapaian ini membuktikan hafazan al-Quran bukan penghalang kepada kecemerlangan akademik, sebaliknya membantu membentuk disiplin dan ketahanan diri pelajar.
Sekolah itu turut mencatat kisah inspirasi menerusi Muhammad Izzuddin Hasmadi daripada suku kaum Temiar di Pos Balar, Gua Musang, yang menjadi anak Orang Asli pertama di sekolah berkenaan berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran pada usia 16 tahun.
Kebanggaan Buat Ibu Ayah Dan Guru
Di sebalik kejayaan 171 pelajar ini, pastinya tersimpan pengorbanan besar ibu bapa dan guru yang tidak pernah jemu memberikan sokongan dan bimbingan.
Bukan mudah untuk anak-anak membahagikan masa antara hafazan dan pelajaran, namun kesungguhan mereka akhirnya membuahkan hasil yang cukup membanggakan.
Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mencintai al-Quran, bukan sekadar menghafaz tetapi memahami serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Tahniah buat semua pelajar SMKA Tok Bachok! Sejuk hati ibu ayah melihat kejayaan anak-anak yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah dekat di hati dengan al-Quran.
BACA SINI : “Sejuk Hati Ibu Ayah!” 80 Murid Cemerlang Hafazan Al-Quran, Program KAFA Pratahfiz Bakal Diperluas!
Sumber: K-Remaja

