
Pelakon Datin Intan Najuwa berkongsi berita gembira apabila mengumumkan bakal menimang seorang lagi cahaya mata perempuan.
Perkhabaran manis itu dikongsikan Intan atau nama lengkapnya Intan Najuwa Abdul Wahid menerusi hantaran di Instagram, memaparkan sekitar majlis baby shower dan gender reveal anak keduanya.
Menerusi kapsyen hantaran tersebut, pelakon drama Racun Rihanna itu meluahkan rasa syukur dan teruja apabila bakal sekali lagi bergelar ibu kepada anak perempuan.
Menurut Intan, hatinya kini dipenuhi rasa bahagia kerana seorang lagi puteri kecil bakal hadir dalam hidup keluarganya.
“Saya rasa, saya memang dilahirkan untuk jadi ‘girl mom’. Hati saya rasa penuh dengan rasa bahagia.
“Seorang lagi puteri akan hadir dalam hidup kami,” kongsinya.
Lebih mencuit hati, Intan turut berseloroh memberi ‘amaran’ manis buat suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman apabila keluarga mereka bakal diserikan dengan seorang lagi anak perempuan.
“Good luck daddy, seorang lagi anak perempuan bakal sertai keluarga kami. Lagi ramai ‘mini saya’,” tulisnya.
Dalam perkongsian sama, Intan mengakui sejak dahulu dia memang cukup meminati segala perkara yang berkaitan dengan anak perempuan, termasuk warna merah jambu, reben, gaun dan aksesori comel.
Malah, Intan tidak sabar untuk melalui sekali lagi momen indah menyediakan kelengkapan bayi perempuan, termasuk menghias bilik dan membeli barangan buat puteri kecilnya itu.
Tambah Intan, dia juga teruja melihat anak sulungnya, Imane Lunara bakal bergelar kakak tidak lama lagi.
“Seorang adik perempuan untuk Lunara. Tak sabar nak hias bilik dia, beli barang bayi perempuan lagi dan tengok Lunara jadi kakak yang paling penyayang,” luahnya.
Terdahulu, sekitar Februari lalu Intan pernah mengumumkan kehamilan anak keduanya menerusi hantaran di Instagram.
Untuk rekod, Intan mendirikan rumah tangga dengan usahawan Datuk Ahmad Azraf Azman pada Ogos 2023. Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Imane Lunara yang dilahirkan pada 15 Disember 2024.
Pastinya kehadiran seorang lagi puteri kecil nanti bakal menambah seri rumah tangga Intan dan suami. Semoga urusan kehamilan Intan dipermudahkan dan keluarga kecil ini terus dilimpahi kebahagiaan.
BACA LAGI : Intan Najuwa Dedah Cara Didik Anak Dengan Disiplin, “Saya Ibu Tegas Dan Garang”
Sumber: Instagram Intan Najuwa