
Izara Aishah hamil anak ketiga dan bakal menimang bayi perempuan lagi – namun kehamilan kali ini hadir dengan cabaran tersendiri apabila beliau mudah pening dan terpaksa tinggal puasa kerana kesihatan yang sedikit terjejas. Khabar gembira itu dikongsikan sendiri oleh pelakon jelita berusia 33 tahun ini yang kini sedang melalui trimester ketiga dengan penuh berhati-hati.

Walaupun kelihatan berseri-seri seperti kebiasaannya, Izara mengakui kehamilan kali ini lebih mencabar berbanding dua pengalaman terdahulu. Namun sebagai ibu, dia tetap bersyukur kerana hasil pemeriksaan doktor menunjukkan keadaan dirinya dan bayi dalam kandungan berada dalam keadaan baik.
Izara Aishah Hamil Anak Ketiga, Sangka Anak Lelaki Rupanya Perempuan
Menurut Izara, pada awalnya dia menyangka bakal memperoleh anak lelaki kerana perubahan minat yang dirasai kali ini agak berbeza daripada dua kehamilan sebelum ini.
“Dua kehamilan sebelum ini saya rasa sangat feminin. Tapi kali ketiga ini lain sedikit. Saya ingatkan lelaki sebab sekarang suka tengok sukan lasak, UFC, MMA, boxing… saya memang minat sangat Khabib. Rupanya girl juga,” katanya berseloroh.
Walaupun begitu, Izara dan suami menerima rezeki tersebut dengan hati terbuka. Malah dua puteri kesayangannya, Irisa Alaia dan Amara Amina, sudah tidak sabar menanti kehadiran adik perempuan baharu dalam keluarga mereka.

Mudah Pening & Hampir Pitam Sepanjang Kehamilan
Antara cabaran utama sepanjang fasa Izara Aishah hamil anak ketiga adalah rasa pening sehingga hampir pitam, terutama apabila berdiri terlalu lama.
“Saya memang tak boleh berdiri lama. Rasa macam nak pengsan. Puasa pun sempat beberapa hari sahaja. Bukan tak nak, tapi memang tak larat. Doktor beritahu bayi sedang menyerap protein daripada saya. Kadang-kadang sampai terduduk. Jadi kalau rasa tak kuat, saya kena minum dan rehat,” kongsinya jujur.
Keadaan ini sebenarnya biasa dialami ibu hamil apabila tubuh memerlukan lebih banyak nutrien dan tenaga untuk menyokong perkembangan bayi. Kekurangan zat besi atau tekanan darah rendah juga boleh menyebabkan rasa pening dan lemah, terutamanya ketika memasuki trimester ketiga.

Berat Naik 10 Kilogram, Emosi Mudah ‘Trigger’
Sepanjang tempoh Izara Aishah hamil anak ketiga, beliau turut mendedahkan berat badannya kini meningkat kira-kira 10 kilogram. Namun begitu, dia memilih untuk tidak terlalu tertekan memikirkan soal perubahan fizikal, sebaliknya memberi fokus kepada kesihatan kandungan.
Menariknya, sepanjang tiga kehamilan, Izara tidak pernah mengalami alahan atau morning sickness. Perubahan paling ketara baginya adalah dari segi emosi.
“Saya memang jenis serius bila bekerja dan sangat profesional. Tapi bila orang ambil mudah atau kerja lambat sedangkan benda itu penting, memang saya cepat ‘trigger’,” jelasnya.
Perubahan hormon ketika hamil memang boleh mempengaruhi kestabilan emosi. Justeru sokongan suami dan keluarga amat penting bagi membantu ibu melalui fasa ini dengan lebih tenang dan positif.
Dijangka Bersalin April, Mohon Doa Dipermudahkan
Kini memasuki usia kandungan tujuh bulan, Izara Aishah hamil anak ketiga dan dijangka melahirkan bayi sekitar April, berkemungkinan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri. Dia berharap dapat bersalin secara normal seperti dua kelahiran sebelum ini sekiranya tiada sebarang komplikasi.
“Insya-ALLAH saya harap semuanya dipermudahkan. Setakat ini doktor maklumkan keadaan saya dan bayi baik. Cuma saya doa agar segala urusan sehingga hari kelahiran berjalan lancar,” katanya.
Untuk Aidilfitri nanti, Izara merancang menyambutnya di Kuala Lumpur sebelum pulang ke Pulau Pinang pada hari raya kedua.
Sebagai rekod, Izara mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Adib Khalid pada 17 November 2017. Hasil perkahwinan itu, pasangan ini telah dikurniakan dua cahaya mata perempuan dan kini bakal menerima kehadiran puteri ketiga yang pastinya menambah seri keluarga mereka.
Semoga segala urusan Izara Aishah hamil anak ketiga ini dipermudahkan dan kehadiran si kecil nanti membawa lebih kebahagiaan buat seluruh keluarga tercinta.
BACA LAGI : Izara Aishah Kongsi Kisah Dua Anak Perempuan, “Lain Sangat Dua-Dua”
Sumber: Sinar Plus
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




