Keibubapaan

Jadi Sahabat Anak, Tapi Jangan Hilang Peranan Sebagai Ibu Bapa

Share

Dalam dunia keibubapaan hari ini, ramai ibu bapa mula memilih pendekatan yang lebih terbuka dan santai dalam membesarkan anak-anak.

Jika dahulu hubungan lebih berjarak dan berlandaskan disiplin yang tegas, kini ramai melihat peranan sebagai sahabat kepada anak sebagai satu kelebihan.

Anak lebih mudah bercerita, lebih selesa berkongsi emosi dan tidak takut untuk meluahkan apa yang dirasai.

Pendekatan ini sememangnya membawa kebaikan. Hubungan yang mesra mampu membina kepercayaan yang kuat, sekali gus menjadikan ibu bapa sebagai tempat rujukan utama dalam kehidupan anak.

Dalam fasa membesar yang penuh cabaran, terutama ketika remaja, kehadiran ibu bapa sebagai “orang paling selamat” untuk bercerita adalah satu kelebihan besar.

Namun dalam keinginan untuk menjadi sahabat, ada satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan iaitu perihal batas. Apabila hubungan terlalu longgar tanpa garis panduan yang jelas, peranan ibu bapa sebagai pembimbing boleh mula terhakis.

Anak mungkin mula melihat ibu bapa sebagai setaraf, dan dalam sesetengah keadaan, teguran tidak lagi dipandang serius kerana mereka solah-olah memiliki autoriti tersendiri dek kepercayaan yang diberi.

 

Menurut pakar psikologi perkembangan, Diana Baumrind, pendekatan keibubapaan yang paling seimbang adalah gaya authoritative parenting, iaitu gabungan antara kasih sayang dan ketegasan.

Dalam pendekatan ini, ibu bapa tetap menunjukkan empati dan kehangatan, tetapi dalam masa sama menetapkan peraturan yang konsisten.

BACA JUGA: Intan Najuwa Dedah Cara Didik Anak Dengan Disiplin, “Saya Ibu Tegas Dan Garang”

Kajian oleh American Psychological Association mendapati bahawa anak-anak yang dibesarkan dalam suasana yang seimbang antara kasih sayang dan disiplin menunjukkan perkembangan yang lebih positif.

Mereka bukan sahaja lebih yakin diri, malah lebih pandai mengawal emosi dan membuat keputusan. Ini kerana mereka dibiasakan dengan dua perkara penting iaitu rasa selamat untuk meluahkan perasaan, dan pada masa sama memahami bahawa setiap tindakan ada batas dan tanggungjawab.

Sementara itu, Harvard University Center on the Developing Child pula menekankan bahawa perkembangan anak sangat bergantung kepada dua elemen utama, iaitu hubungan yang responsif dan struktur yang konsisten.

Hubungan responsif bermaksud ibu bapa benar-benar mendengar, memahami dan memberi reaksi yang sesuai terhadap emosi anak, sekali gus membantu mereka rasa dihargai dan diterima.

Namun, hubungan yang rapat sahaja tidak mencukupi tanpa struktur. Struktur yang konsisten merujuk kepada peraturan, rutin dan batas yang jelas dalam kehidupan seharian.

Apabila anak tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, mereka sebenarnya berasa lebih selamat dan stabil, bukan terkongkong seperti yang sering disalah anggap.

Hakikatnya, menjadi sahabat kepada anak bukan bermaksud meletakkan diri setaraf sepenuhnya. Sebaliknya, ia tentang mendekati anak dengan empati, mendengar tanpa cepat menghukum, dan dalam masa yang sama tetap memimpin dengan nilai serta prinsip yang betul.

Ada ketika ibu bapa perlu berlembut, dan ada masa perlu tegas demi kebaikan jangka panjang.

Dalam membina hubungan yang sihat, keseimbangan inilah yang menjadi kunci. Anak tidak hanya memerlukan seorang kawan di rumah, tetapi seorang ibu atau bapa yang mampu menjadi tempat bergantung, memberi panduan dan pada masa sama memahami jiwa mereka.

Apabila batas dijaga dengan baik, hubungan yang terjalin bukan sahaja rapat, malah dipenuhi rasa hormat dan kepercayaan. Di situlah lahirnya sebuah institusi keluarga yang harmoni dan kukuh.