Anak ini masih bersekolah. Setiap hari ada masalah pada hidung. Kerap bersin, mengeluarkan hingus, hidung tersumbat dan kadang-kadang mata berair. Selalunya ambil ubat di klinik-klinik terdekat atau farmasi.

Dalam seminggu ini masalahnya semakin teruk. Pening kepala dan sakit sekitar mata serta dahi tidak sembuh-sembuh. Badan juga rasa tak sedap-sedap.

Tiba-tiba pagi itu, anak ini tidak sedarkan diri. Dipanggil-panggil tidak juga dapat memberi reaksi balas seperti selalu. Anggota tubuh sebelah kanan sukar hendak digerak. Lemah.

Keluarganya segera membawa anak ini ke hospital. Ujian CT scan dan MRI dilakukan seberapa segera yang mungkin. Rupa-rupanya keseluruhan bahagian kiri rongga-rongga sinus anak ini sudah dipenuhi dengan jangkitan. Nanah dan cairan kuman ini juga sudah merebak ke sebahagian otak sebelah kiri. Ini yang menyebabkan tahap kesedaran anak ini terjejas serta anggotanya separa lumpuh!

Sebaik sahaja kes ini dirujuk kepada kami, pembedahan segera terus dilakukan di dewan bedah dengan bantuan pakar neurosurgeri bagi mengeluarkan nanah yang ada di dalam kepala.

IKLAN

Pembedahan “Functional endoscopic sinus surgery” yang kami lakukan berjaya mengeluarkan cairan nanah daripada rongga-rongga sinusnya. Alhamdulillah semua proses pembedahan ini berjalan dengan lancar.

Hari ini, anak ini masih direhatkan dengan bantuan ubat. Mari kita berdoa agar anak ini kembali sihat. Semoga ibu dan ayahnya dapat melihat kembali senyuman anak istimewa ini.

Jangan Buat Main Bila Anak Kerap Gatal Hidung Dan Bersin. Jika Kronik Boleh Kena Bedah.

IKLAN

Beberapa pengajaran dan pesanan untuk kita semua. Hati-hati dengan simptom gejala sinusitis dan resdung yang kita mungkin terlepas pandang :

1. Kerap alami masalah gatal-gatal hidung.

2. Hidung sering tersumbat. Hati-hati jika disertai dengan darah.

IKLAN

3. Selalu mengadu hidung berair, boleh mengeluarkan cecair kuning atau kadangnya berbau.

4. Gatal-gatal dan berair pada mata.

5. Untuk kes lebih serius, boleh alami juga pening kepala dan berat pada kawasan dahi, muka, pipi serta sekitar mata.

Kredit: Dr Ezairy M.Sallih
Doktor telinga, hidung & tekak (ENT)

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI