
#JusticeForZara seruan dirikan solat hajat serentak selepas solat Jumaat buat Zara Qairina. Seluruh negara diseru dirikan solat hajat serentak demi keadilan buat Zara Qairina Mahathir, remaja perempuan berusia 13 tahun yang meninggal dunia dalam insiden menyayat hati di asrama sekolahnya.
Solat hajat ini dijadualkan berlangsung pada hari Jumaat, 1 Ogos 2025, selepas solat Jumaat, di seluruh masjid di Malaysia. Seruan ini turut memohon agar semua imam masjid memimpin solat hajat selepas solat Jumaat, sebagai ikhtiar rohani bagi memohon petunjuk dan keadilan daripada Allah SWT.
Di sebalik poster dan tanda pagar #JusticeForZara, terselit kisah duka seorang ibu – Noraidah Lamat, 45 tahun, yang masih mencari jawapan atas pemergian anak tunggalnya, Zara Qairina, secara mengejut dan penuh misteri.
“SAYA MAHU PERSOALAN YANG BERLEGAR DI KEPALA BERHUBUNG PUNCA SEBENAR KEMATIAN ANAK SAYA… BERNOKTAH,” LUAH NORAIDAH, YANG NEKAD MAHU MENGGALI SEMULA KUBUR ANAKNYA DEMI MENJALANKAN BEDAH SIASAT.
Anak perempuan yang selama ini ceria, bijak dan dihantar menuntut ilmu di sekolah agama asrama penuh, kini pergi buat selama-lamanya. Lebih memilukan, pengebumian Zara dilakukan tanpa bedah siasat kerana tiada siapa yang mencadangkan langkah itu kepada ibu bapanya yang ketika itu masih terkejut dan trauma.
Namun, semakin hari, semakin banyak persoalan yang timbul. Maka, sebagai seorang ibu, Noraidah memilih untuk tidak berdiam diri. Beliau kini mengharapkan siasatan yang telus dan adil daripada pihak berkuasa, demi memberi keadilan kepada arwah anaknya.
Dalam usaha ini, doa orang ramai amat diperlukan. Solat hajat yang bakal diadakan ini adalah lambang solidariti rakyat Malaysia, khususnya para ibu dan wanita, terhadap perjuangan seorang ibu yang kehilangan cahaya mata kesayangannya.
Kepada semua pembaca Keluarga, marilah kita bersama-sama mengangkat tangan dan sujud memohon pada Yang Maha Adil. Moga yang benar terbukti dan yang salah dihukum sewajarnya.
#JusticeForZara
#DoaSeorangIbuTiadaHijab
Sumber: Mohd Fadli Salleh
Baca artikel lain juga: Ibu Zara Qairina Mahu Kubur Anak Digali Semula Demi Cari Jawapan Punca Kematian
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my