Anak yang sihat dan cergas tentu akan mengembirakan ibu ayah. Malah membuatkan mereka boleh fokus kepada urusan rumahtangga.

Namun siapa kita untuk melawan takdir, apabila anak jatuh sakit. Sama ada ibu atau ayah menjadi pembawa, atau kedua-duanya mewarisi.

Kanser adalah antara penyakit yang juga menyerang kanak-kanak dan remaja. Ibu bapa kena alert gejalanya dan perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Nak tahu lebih lanjut mengenai kanser pada anak, ikuti lanjut hurian Dr Rashdan Mohamed tentang hal ini.

KANSER DI KALANGAN KANAK-KANAK DAN REMAJA

Kanak-Kanak Derita Kanser Makin Ramai, Paling Tinggi Leukemia.

1-Jenis kanser paling tinggi dihidapi kanak-kanak adalah leukemia, mengapa?
Kanser yang paling biasa berlaku dikalangan kanak-kanak dan remaja bawah 15 tahun adalah leukemia, diikuti kanser otak & sistem saraf, limfoma, neuroblastoma, kanser ginjal dan kanser tulang. Ini adalah hasil dari kajian yang dijalankan.
Manakala bagi remaja 15 hingga 19 tahun, kanser otak, saraf dan limfoma adalah lebih tinggi berbanding leukemia.

Leukemia itu sendiri ada beberapa jenis seperti Acute Lymphocytic Leukemia, Acute Myeloid Leukemia dan Chronic Leukemias.

Punca utama mengapa leukemia yang paling biasa dihidapi kanak-kanak mungkin sukar dipastikan. Ada banyak faktor, antaranya, kajian menunjukkan sesuatu bangsa atau etnik mempunyai peratusan risiko yang lebih tinggi untuk sesetengah kanser berbanding kanser yang lain. Ada faktor genetik dan persekitaran yang mempengaruhi (akan dibincangkan lanjut nanti).

2-Adakah trend ini boleh dikurangkan?
Dari banyak kajian yang dijalankan, incidence kanser dikalangan kanak-kanak ada menunjukkan peningkatan berbanding dahulu, namun begitu, dengan diagnosis dan rawatan awal yang optimum, kita dapati, survival rates juga meningkat.
Sebagai contoh, secara kasar, pada era 1970-an, hanya sekitar 58% – 70% kanak-kanak dan remaja dengan kanser, hidup dalam masa 5 tahun. Namun kadar ini meningkat kepada 85% – 90% pada ketika ini (bergantung jenis kanser dan tahap). Kemajuan teknologi, pengesanan dan diagnosis awal, serta rawatan yang ditawarkan antara faktor peningkatan positif survival rates ini.
Namun, ada juga kanser tertentu yang sukar dirawat dan mempunyai survival rates yang rendah berbanding leukemia.

3-Punca kanak-kanak menghidap kanser (termasuk semua jenis kanser)?
Antaranya adalah:

3.1. Faktor genetik
Kebanyakan kanak-kanak dan remaja yang menghidapi kanser ini ada perubahan atau mutasi pada bahan genetik atau genes yang menyebabkan kanser berlaku. Perubahan atau mutasi genetik ini mungkin dari keturunan atau juga berlaku secara spontan dan semulajadi.
Sebagaimana yang kita bincang tadi, ada etnik tertentu berisiko untuk kanser tertentu. Ada juga kanser yang dihidapi itu mungkin disebabkan faktor keturunan. Ada masa, masalah genetik sindrom tertentu seperti Sindrom Down yang berisiko untuk mendapat leukemia.
Jadi, faktor genetik ini meyumbang kepada risiko untuk menghidapi kanser tertentu.

3.2. Faktor persekitaran
Faktor persekitaran juga ada peranan dalam kanser. Contohnya, merokok menyebabkan kanser peparu dan kanser mulut. Pendedahan kepada bahan-bahan kimia tertentu seperti asbestos, racun serangga dan bahan radiasi juga boleh membawa kepada kanser. Jangkitan kuman tertentu juga memberi risiko.

4-Kebanyakan kes pesakit kanser kanak-kanak didiagnosis sudah pada tahap berapa?
Ada pesakit kanser kanak-kanak yang didiagnosa pada peringkat awal dan ada juga pada peringkat lewat. Apa yang lebih utama adalah, nasihat saya kepada semua ibu bapa, untuk mengenalpasti gejala seperti demam berpanjangan, hilang selera makan, susut berat badan, sakit kepala, muntah berterusan, sakit tulang, bengkakan pada organ atau apa jua gejala yang membimbangkan untuk mendapatkan rawatan awal di fasiliti kesihatan, supaya diagnosa awal dan rawatan awal boleh diberikan

5-Jenis-jenis rawatan untuk pesakit kanser kanak-kanak?
Bergantung kepada jenis dan tahap kanser. Secara umum rawatan kanser kanak-kanak adalah:
1. Rawatan kemoterapi
2. Rawatan radioterapi
3. Pembedahan
4. Rawatan sokongan multidisiplin
5. Rawatan paliatif

Kebiasaanya, doktor pakar onkologi kanak-kanak akan mengenalpasti terlebih dahulu jenis dan tahap kanser, dan akan berbincang dengan ibu bapa berkenaan rawatan yang akan diberikan termasuk kesan sampingan dan manfaat rawatan. Ada sesetngah kanser perlu kemoterapi, pembedahan dan diikuti radioterapi.

Ada juga, seperti leukemia tertentu, yang hanya memerlukan kemoterapi. Kanak-kanak dan remaja yang menghidapi kanser ini akan dimasukkan ke unit onkologi hospital di mana mereka akan menerima rawatan yang telah dirancangkan termasuk rawatan sokongan seperti sesi kaunseling, fisioterapi, dan rawatan khusus pakar-pakar lain termasuk pakar endokrin seperti saya. Rawatan paliatif, biasanya, dikhususkan untuk pesakit kanser tahap akhir, untuk mengurangkan kesakitan dan penderitaan mereka.

6-Seawal usia berapa kanak-kanak boleh didiagnosis menghidap penyakit kanser?
Oh, kita ada pesakit seawal usia bawah 1 tahun didiagnosa menghidapi kanser juga. Secara umum, umur antara bayi hingga 19 tahun, dan kebiasaanya sekitar usia 5 hingga 8 tahun, bergantung jenis kanser.

7-Adakah kanak-kanak yang menghidap kanser berpotensi sembuh?
Benar, dengan pengesanan awal dan rawatan, juga jenis dan tahap kanser, InSyaAllah, kanak-kanak ini berpotensi sembuh. Sebagaimana kita bincang dia atas, sesetengah kanser seperti leukemia, berpotensi sembuh dengan survival rate setinggi sehingga 90%.

8-Adakah ada risiko penyakit kanser ini berulang semula, jika pesakit sudah sembuh dalam rawatan sebelum ini?
Risiko itu tetap ada, risiko untuk berulang (recurrence) atau kanser ke-dua (second cancer). Ianya bergantung kepada jenis dan tahap kanser, juga rawatan yang diberikan.
Namun, doktor pakar onkologi dan pakar lain yang merawat, akan terus memantau keadaan pesakit menerusi temujanji susulan untuk memastikan jika kanser ini berulang atau ada kesan sampingan dari kanser mahupun rawatan, melalui pemeriksaan klinikal, ujian makmal dan radiologi. Saya sendiri, ada beberapa pesakit kanser yang dirujuk kepada saya kerana mengalami masalah endokrin (hormon) susulan kanser kalenjar pituitary yang perlu dibedah dan pesakit survivor lain.

9-Nasihat kepada ibu bapa yang mempunyai anak menghidap penyakit kanser
Pertamanya, doa dan hati saya bersama semua pesakit, ibu bapa dan keluarga kanak-kanak dan remaja yang menghidapi kanser ini. Saya faham, ianya bukan mudah. Dengan penuh rendah diri, ini nasihat saya:
9.1. Berbincanglah dengan doktor pakar yang merawat berkenaan jenis, tahap dan rawatan yang ditawarkan. Tidak dinafikan, ada sesetengah rawatan termasuk kemoterapi yang mempunyai kesan sampingan tertentu yang juga ada rawatannya. Dapatkan maklumat dan nasihat dari doktor pakar
9.2. Ada juga ramai yang akan cuba “tawarkan” nasihat berkenaan “rawatan alternatif” yang mungkin akan menyebabkan kelewatan mendapatkan rawatan optimum, sehinggakan meyebabkan kanser itu melarat dan merebak ke tahap bahaya. Ada juga “rawatan alternatif” ini mengandungi bahan kimia tertentu atau teknik rawatan yang membahayakan. Ada juga yang tidak patuh shariah. Perkara-perkara sebegini hendaklah dielakkan.
9.3. Pesakit dan keluarga juga perlu banyak bantuan dan sokongan termasuk bantuan dan sokongan fizikal, moral dan psikologi ketika mendapat tahu berkenaan kanser dan ketika proses rawatan. Sokongan dan bantuan keluarga, rakan dan komuniti amat penting. Bantuan fizikal dan kewangan juga diperlukan. Keluarga terutama ibu dan ayah harus bersatu hati ketika masa sukar ini.
9.4. Sesi rawatan dan temujanji amat penting dan harus diberi keutamaan.
9.5. Terimalah takdir ini dengan hati terbuka, pasti ada hikmahnya dan bersedia untuk menempuh proses rawatan dengan positif, sifat sabar, berlapang dada dan bersangka-baik. Memang normal untuk berada dalam keadaan penafian (denial) dan marah, namun, lagi cepat untuk menerima hakikat ini, lagi cepat rawatan dimulakan, lagi tinggi peluang anak untuk sembuh dan survive, InSyaAllah

Sumber: Rashdan Mohamed

*Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club

Bintang Kecil: Tengok gigi macam bersih je kan, tapi sebenarnya bila kita tak bersihkan dengan betul semakin lama buat gigi kita jadi berkarat. So teknik berus gigi kenalah betul.

Follow dan subscribe Youtube Channel @BintangKecilMy#BintangKecilMy #BintangKecil #KitakanJuara

Kanak-Kanak Derita Kanser Makin Ramai, Paling Tinggi Leukemia.

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI