
Satu kejadian menyayat hati melibatkan seorang kanak-kanak yang disahkan meninggal dunia dipercayai akibat penderaan, mengundang rasa pilu dalam kalangan masyarakat.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor, pihak polis menerima laporan daripada pegawai perubatan Klinik Kesihatan Bukit Payong, Marang pada jam 3.46 petang semalam berhubung seorang kanak-kanak lelaki yang dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia selepas pemeriksaan mendapati tiada pernafasan, tiada bacaan oksigen, tiada reaksi anak mata serta tiada degupan jantung.
Pemeriksaan lanjut turut menemukan beberapa kesan kecederaan pada tubuh mangsa, termasuk lebam dan luka di bahagian dada serta paha. Selain itu, terdapat juga tanda jangkitan pada bahagian betis yang menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kesihatan mangsa sebelum kejadian.
Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat komplikasi iskemia anggota badan akut, dipercayai berpunca daripada kecederaan patah tulang paha yang menekan salur darah utama sehingga tidak menerima rawatan segera.
Oleh itu, tiga individu telah direman selama enam hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Salah seorang daripada mereka yang merupakan bapa angkat kepada kanak-kanak terbabit pula positif dadah dan memiliki 11 rekod jenayah lampau
Difahamkan, mangsa telah tinggal bersama keluarga angkat berkenaan sejak tiga bulan lalu.