Kanak-kanak perempuan maut terjatuh tingkat 29 kondominium di Puchong. Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di kawasan Puchong, dalam kejadian yang berlaku pada hari Selasa.
Kanak-kanak Perempuan Maut Terjatuh Tingkat 29 Kondominium Di Puchong
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd Fairus Jaafar, pihak polis menerima panggilan berkenaan kejadian tersebut sekitar jam 12.30 tengah hari melalui Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya.
“Pihak kami menerima laporan mengenai seorang kanak-kanak tempatan yang terjatuh dari aras 29 sebuah kondominium di Puchong. Pasukan polis segera dikerahkan ke lokasi untuk membuat pengesahan dan memberikan bantuan,” ujar beliau dalam satu kenyataan pada hari Rabu.
Hasil siasatan awal di lokasi mendapati mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di tingkat lima bangunan berkenaan.
Ads
Tambah beliau, kejadian berlaku ketika mangsa berada di rumah pengasuh. Pada masa itu, ibu mangsa sedang menjaga adik mangsa yang sedang menjalani kuarantin, manakala bapanya berada di tempat kerja.
“Siasatan juga menunjukkan bahawa mangsa dipercayai memanjat tingkap tanpa jeriji sebelum terjatuh,” katanya lagi.
Setakat ini, pihak berkuasa tidak mengesan sebarang elemen jenayah dalam insiden tersebut. Pegawai perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan bahawa kanak-kanak itu telah meninggal dunia.
Ads
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dan menurut Mohd Fairus, pengasuh mangsa telah dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.
“Kertas siasatan akan disiapkan secepat mungkin sebelum dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” tambah beliau.
Pengusaha spa disimbah asid pelanggan berpurdah selamat jalani pembedahan. Pengusaha spa yang disimbah asid dalam kejadian di kedai spa dan salun miliknya di Beris Kubur Besar, Bachok, Kelantan selamat menjalani pembedahan selama enam jam.
Dalam kejadian dipercayai jam 8.30 malam itu, mangsa, Nor Faziera Muda, 27, yang juga pengusaha spa bersama anak perempuannya berusia 7 tahun berada di kedai untuk menerima pelanggan yang kononnya mahu berurut.
Mangsa memaklumkan, sebelum kejadian, menerima mesej daripada ‘pelanggan’ membuat tempahan pakej mengurut dan memaklumkan memakai purdah untuk mengelak dilihat lelaki.
Mangsa memberitahu pelanggan itu, spa hanya untuk perempuan, tiada lelaki. Bila ‘pelanggan’ itu naik ke spa, dia terus menyimbah cecair dipercayai asid ke arah mangsa. Ketika itu mangsa dalam keadaan berkain sembahyang sempat menutup muka.
Suami mangsa, Muhammad Ikhwan Syahrul Seri Buana, 33, berkata dia mendapat tahu kejadian menimpa isteri sebaik dihubungi sendiri mangsa yang dalam kesakitan.
“Asid terkena bahagian belakang badan dan bahu isteri sebelum suspek dan tiga hingga empat individu lagi, yang semuanya dipercayai berpurdah melarikan diri,” katanya.
Muhammad Ikhwan memaklumkan, isterinya sempat mendapatkan rawatan di klinik berdekatan sebelum dibawa ke hospital dan selepas kejadian, dia mendapati teks Whatsapp yang dihantar ‘pelanggan’ berkenaan sudah dipadamkan pengirimnya. Mangsa mengalami kesan lecur lebih 50 peratus.
Tambahnya, mangsa memaklumkan tidak pasti jantina suspek kerana semua berpurdah dan menutup muka serta tidak pasti motif kejadian kerana tidak mempunyai musuh.
Dia kemudian membawa isterinya mendapatkan rawatan susulan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) di Kubang Kerian.
Menurut Muhammad Ikhwan, isterinya yang berusia 27 tahun itu telah menjalani pembedahan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian. Wanita itu telah menjalani pembedahan pada jam 10 pagi tadi hingga 4 petang.
“Dalam enam jam saya tunggu, alhamdulillah isteri sudah selesai jalani pembedahan. Dia dalam keadaan stabil, namun belum sedarkan diri kerana kesan bius,” katanya.
Muhammad Ikhwan berkata, dia tidak dapat berkongsi butiran lanjut kecederaan dialami isterinya berikutan masih belum mendapat laporan penuh berhubung kecederaan itu.
Katanya, keadaan isterinya ketika ini sudah stabil selepas menjalani pembedahan selama enam jam.
“Anak perempuan yang berada dalam kedai ketika kejadian masih dalam keadaan trauma dan tak mahu bersendirian,” katanya.
Dua minggu sebelum kejadian itu, kawasan depan premis spa milik Nor Faziera itu juga menjadi sasaran disimbah cecair dipercayai asid.
Sumber rapat dengan Nor Faziera berkata kejadian itu dimaklumkan mangsa sebelum meminta wanita itu berhati-hati.
Katanya, dia tidak menyangka rakannya menjadi mangsa sehingga melecur hampir sebelah badan.
“Setahu saya, dia memang ada beberapa musuh, biasalah orang berniaga, tapi tak rasa sehingga sanggup ke tahap nak bunuh dengan simbah asid.
“Saya berharap polis berjaya tahan suspek dan mengenal pasti punca kejadian secepat mungkin,” katanya ketika ditemui di Beris Kubur Besar, di sini, hari ini.
Sumber berkenaan hadir ke kedai spa itu bersama suami mangsa, Muhammad Ikhwan Syahrul Seri Buana, 33 dan ahli keluarga.
Katanya, Nor Faziera turut memaklumkan menerima tempahan ‘pelik’ dua minggu lalu daripada wanita berpurdah yang mahu dia sendiri mengurut selain kerap menukar temu janji sehinggalah berlaku kejadian itu.
Sementara itu, rakan spa mangsa, Rosnani Seman, 52 berkata, mangsa seorang yang mesra dan mudah menerima tunjuk ajar.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Spa Negeri Kelantan, berkata Nor Faziera adalah ahli jawatankuasa di bawah persatuan dan pagi sebelum kejadian, mangsa sempat bersamanya ke program bersama Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) di Kota Bharu.
“Saya terkejut bila dapat panggilan daripada Faziera memaklumkan dia kena simbah asid, saya terus gerak ke spanya dan sempat bersama beliau sebelum dibawa ke hospital,” katanya.
Sabtu lalu, Nor Faziera diserang tiga pelanggan berpurdah yang kononnya mahu mendapatkan khidmat urut di kedai spa dan salun miliknya di Beris Kubur Besar, Bachok.
Sehingga kini polis giat menjalankan operasi bagi menangkap suspek yang dipercayai dilakukan lebih seorangpek dan belum mengetahui motif kejadian.
Minat mendaki dikongsi bersama anak: Ibu ini buktikan ada anak kecil bukan halangan. Maizatul Hazra Yahaya, 39 tahun, bukan mahu dilihat sebagai ibu yang cuai atau mengambil ringan soal keselamatan, sebaliknya beliau hanya ingin menyemai minat terhadap aktiviti mendaki bersama anak tersayang, Nur Nayla Ardani Muhamad Arham.
Menurut Maizatul, yang juga seorang suri rumah sambilan serta pengusaha makanan sejuk beku di Gombak, Selangor, semua langkah keselamatan telah diteliti sebelum membawa Nayla, yang kini berusia tiga tahun, menyertai aktiviti mendaki.
“Sebelum membawa Nayla, saya pastikan semua aspek keselamatan diperiksa. Saya tidak bertindak sembarangan atau ambil mudah,” katanya yang merupakan peminat tegar aktiviti mendaki sejak dahulu lagi.
Sebelum kehadiran anak sulungnya itu, Maizatul sudah giat mendaki pelbagai gunung dalam dan luar negara. Bahkan semasa hamil, beliau masih aktif mendaki sehingga kandungannya mencecah tujuh bulan.
“Saya sering berbual dengan Nayla dalam kandungan, niat untuk mendaki bersamanya setelah dia lahir,” ujarnya.
Hasrat tersebut menjadi kenyataan apabila Nayla berusia tiga bulan. Ketika itu, Maizatul membawa bayi kecil itu mendaki Bukit Batu Puteh di Port Dickson. Sepanjang pendakian tersebut, Nayla tidur lena dalam ‘carrier’ tanpa sebarang masalah.
Maizatul, isteri kepada Muhamad Arham Mohd Anuar, menegaskan setiap pendakian bersama anak dilakukan dengan persiapan rapi. Ubat-ubatan dan keperluan anak diutamakan, malah beg dibawa hampir penuh hanya dengan barang-barang milik Nayla.
“Setakat ini, Nayla tidak pernah meragam. Dia malah kelihatan seronok, tenang dan selesa dalam kendongan, seolah-olah menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan,” jelasnya.
Kini apabila Nayla sudah boleh bercakap, pendakian menjadi lebih meriah kerana dia suka bertanya dan memberi reaksi terhadap persekitaran.
Suaminya turut menyokong minat ini, meskipun atas kekangan kerja, tidak semua pendakian dapat dilakukan bersama. Ada kalanya, Maizatul mendaki bersendirian atau bersama rakan-rakan.
“Sekarang saya lebih bersemangat kerana ada teman kecil mendaki. Nayla kelihatan lasak dan sesuai dengan persekitaran hutan,” katanya, mengakui tetap ada rasa risau terutama mengenai kesihatan dan keselamatan anak.
Namun segala persiapan dilakukan dengan penuh teliti, dan Maizatul sentiasa bertawakal kepada Allah serta berdoa semasa setiap pendakian.
Sehingga kini, pelbagai puncak telah ditawan mereka berdua termasuk Gunung Kinabalu (Sabah), Gunung Kerinchi (Indonesia), Gunung Angsi (Negeri Sembilan), Gunung Karunai (Perak) dan Gunung Ulu Semangkok (Selangor).
Dalam memastikan dirinya sentiasa cergas, Maizatul turut mengamalkan rutin senaman harian selama dua jam yang merangkumi regangan dan latihan fizikal.
“Mengendong anak semasa aktiviti luar membantu menguatkan otot. Ini penting bagi mendaki kerana memerlukan kekuatan fizikal yang tinggi,” katanya, sambil menambah bahawa beliau turut menjaga pemakanan dan mengamalkan diet tinggi protein.
Apa yang dilakukan Maizatul membuktikan bahawa ibu yang mempunyai anak kecil juga mampu meneruskan minat dan hobi, asalkan dilakukan dengan tanggungjawab dan persediaan yang teliti.
Namun, beliau mengingatkan bahawa setiap anak itu berbeza dari segi ketahanan dan kesesuaian. Oleh itu, ibu bapa perlu menilai kemampuan diri dan anak terlebih dahulu sebelum membawa mereka menyertai aktiviti seperti mendaki.
“Hobi ini memang menyeronokkan, tapi perlu dilakukan dengan penuh hati-hati seperti mana-mana aktiviti lasak lain,” katanya.
Anak kena belajar susah, barulah dia jadi lebih kuat. Sebagai ibu bapa, adalah naluri semula jadi untuk ingin memberikan yang terbaik kepada anak-anak. Namun, dalam usaha memastikan mereka hidup selesa, ada risiko anak-anak menjadi terlalu bergantung atau kurang memahami erti susah dan usaha.
Oleh itu, penting bagi kita mendidik mereka untuk merasai kesusahan, agar mereka membesar sebagai individu yang lebih berdikari, kuat, dan matang.
Berikut perkongsian Mohd Zulkifli Shafie
Kena belajar rasa susah, supaya dia lebih kuat.Pagi tadi anak saya nak ke Balai Seni di KL. Dia nak siapkan assignment universiti katanya.
Dia cek Grab, tambang sehala RM90.00. Itu belum masuk tol. Kos pergi balik boleh cecah RM200.
Jadi saya suruh dia naik MRT dan naik bas sahaja. Lebih jimat.
Dia keluar dua beradik (adik lelaki dia sebagai bodyguard) tak habis pun RM20.00. Kos sebenar cuma RM15.20 untuk dua orang.
Walaupun mampu untuk benarkan dia naik Grab, tapi kena biasakan diri hidup macam mahasiswa yang lain. Yang ibubapa mereka tak mampu sediakan segalanya.
Dia pun kena belajar susah.
Bila dah terbiasa susah, kita tak akan rasa susah lagi bila susah sebenar tu datang.
Hari ni dia anak orang yang ada duit. Yang boleh sediakan segalanya untuk dia belajar dengan selesa. InsyaAllah.
Tapi masa depan dia belum pasti.
Dia kena belajar rasa susah sama macam mahasiswa lain supaya lebih mudah dia bina kejayaan dia sendiri.
Kesenangan yang berpanjangan boleh menjadikan kita lemah. Ibarat hidup tanpa exercise, badan makin lama makin lemah.
Tekanan ketika exercise tu menjadikan otot dan tulang kita makin kuat. Tekanan tu menjadikan tubuh kita lebih kuat.
Daya tahan hadapi tekanan itulah menjadikan diamond sebagai batu pertama yang paling kuat.
Membangunkan Ketahanan Diri
Kesusahan mengajar anak untuk menghadapi cabaran hidup dengan tenang dan berani. Mereka belajar bahawa hidup ini tidak selalu mudah, dan setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Ini membantu mereka mengembangkan daya tahan (resilience) yang penting untuk berjaya dalam kehidupan.
Menghargai Usaha Dan Pengorbanan
Apabila anak mengalami kesusahan, mereka akan lebih memahami nilai usaha dan pengorbanan. Contohnya, jika mereka terlibat membantu kerja rumah atau menabung untuk membeli sesuatu, mereka akan lebih menghargai barang tersebut kerana mereka tahu usaha yang diperlukan untuk mendapatkannya.
Mengelakkan Sikap Manja Atau Bergantung
Anak yang tidak pernah merasai kesusahan cenderung menjadi manja dan kurang berdikari. Mereka mungkin sukar membuat keputusan atau menangani masalah apabila berhadapan dengan realiti kehidupan yang mencabar. Belajar menghadapi kesusahan membantu mereka berdikari dan lebih yakin pada diri sendiri.
Mengajar Nilai Kesyukuran
Kesusahan mengajar anak-anak untuk mensyukuri apa yang mereka miliki. Mereka akan memahami bahawa bukan semua orang bernasib baik, dan ini akan membentuk sifat empati serta keinginan untuk membantu orang lain.
Berikan Tanggungjawab
Libatkan anak-anak dalam tugasan harian seperti mengemas rumah, membasuh pakaian, atau memasak. Tanggungjawab ini akan mengajar mereka bahawa hidup memerlukan usaha dan kerjasama.
Ajarkan Pengurusan Kewangan
Berikan peluang kepada anak untuk mengurus wang mereka sendiri, contohnya dengan memberi wang saku dan menggalakkan mereka menabung. Apabila mereka perlu menyimpan untuk sesuatu yang mereka inginkan, mereka akan belajar bahawa wang tidak datang dengan mudah.
Jangan Terlalu Cepat Membantu
Biarkan anak-anak menghadapi masalah mereka sendiri sebelum campur tangan. Contohnya, jika mereka tertinggal kerja sekolah, biarkan mereka bertanggungjawab mencari cara untuk menyelesaikannya. Ini akan mengajar mereka menyelesaikan masalah secara sendiri.
Libatkan Mereka Dalam Aktiviti Sukarela
Bawa anak-anak menyertai aktiviti sukarela seperti membantu golongan kurang bernasib baik. Ini akan membuka mata mereka tentang kesusahan orang lain dan mengajar mereka untuk lebih bersyukur.
Beri Galakan, Bukan Kemanjaan
Walaupun menghadapi kesusahan, anak-anak tetap memerlukan sokongan emosi daripada ibu bapa. Berikan galakan untuk mereka terus berusaha, tetapi elakkan memberikan keselesaan berlebihan yang boleh melemahkan semangat mereka.
Kesimpulannya mendidik anak untuk merasai kesusahan bukan bermaksud kita tidak menyayangi mereka. Sebaliknya, ia adalah langkah penting untuk membantu mereka memahami realiti kehidupan dan membentuk keperibadian yang lebih kuat dan berdikari.
Sebagai ibu bapa, tugas kita bukan sekadar memberikan kemewahan atau keselesaan, tetapi juga memastikan anak-anak kita bersedia menghadapi cabaran masa depan dengan yakin. Ingatlah, anak yang pernah merasai kesusahan akan lebih menghargai apa yang dimilikinya dan mampu menjadi individu yang tabah dan berjaya.
Sejak sekian lama, gambaran isteri tradisional sering dikaitkan dengan peranan di dapur, mengurus rumah tangga sepenuh masa, taat tanpa soal dan meletakkan keperluan diri...