





Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Rezeki yang datang tanpa disangka itu bukan mahu digunakan untuk bermewah, sebaliknya Arbaai Mat Ali, 66, memilih untuk merealisasikan satu impian yang sudah lama tersimpan dalam hati.
Pesara kerajaan itu merupakan pemenang Cabutan Jutawan Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi Ogos 2026 selepas berjaya membawa pulang hadiah bernilai RM1 juta.
Lebih menyentuh hati, Arbaai merancang menggunakan sebahagian rezeki daripada SSP BSN tersebut untuk membina sebuah surau yang lebih sempurna bagi kegunaan kanak-kanak di sekitar Alor Senibong, Langgar, yang datang mempelajari al-Quran.
“Niat saya cuma satu untuk bina surau lebih sempurna bagi keselesaan kanak-kanak di sekitar Alor Senibong, Langgar, datang mengaji al-Quran,” katanya.
Kemenangan itu cukup bermakna buat Arbaai kerana hasrat membina surau berkenaan bukanlah sesuatu yang muncul selepas memenangi hadiah tersebut. Sebaliknya, ia merupakan impian yang sudah lama disimpan selepas melihat sendiri keadaan tempat kanak-kanak di kawasan itu belajar mengaji.
Arbaai yang sebelum ini bertugas sebagai Pembantu Rawatan Kesihatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) mengakui tidak menyangka simpanannya sejak lebih 20 tahun lalu akhirnya membawa rezeki sebesar itu.
Menurutnya, beliau mula menyimpan dalam SSP secara kebetulan selepas menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada 2006.
Ketika itu, antara hadiah yang diterimanya ialah SSP BSN dan sejak itu, beliau terus menambah simpanan mengikut kemampuan.
“Sejak itu saya kerap menambah simpanan SSP mengikut kemampuan, namun dalam tempoh sama apabila ‘sesak’ memang terpaksa keluarkan juga simpanan untuk kegunaan keluarga,” katanya.
Walaupun simpanannya ada kalanya terpaksa digunakan ketika memerlukan, Arbaai tetap meneruskan amalan menyimpan mengikut kemampuannya. Selepas kira-kira dua dekad, simpanan tersebut akhirnya membawa satu kejutan yang tidak pernah dijangkakan.
Selepas bersara kira-kira enam tahun lalu, Arbaai mula membuka kelas mengaji al-Quran untuk kanak-kanak di sebuah surau lama berhampiran rumahnya.
Namun keadaan surau kayu tersebut semakin uzur, malah ada bahagian yang sudah dimakan anai-anai selain kemudahan yang tidak lagi sempurna.
Keadaan itu membuatkan Arbaai menyimpan hasrat untuk membina surau baharu yang lebih selesa buat kanak-kanak serta penduduk setempat.
Baginya, tempat yang lebih sempurna bukan sahaja dapat memberikan keselesaan kepada kanak-kanak ketika belajar membaca al-Quran, malah boleh digunakan oleh masyarakat di kawasan berkenaan.
“Saya kerap berdoa diberikan rezeki lebih kerana merancang membina surau baharu yang lebih sempurna untuk kegunaan kanak-kanak mengaji dan rezeki itu akhirnya datang melalui SSP BSN,” katanya.
Kemenangan RM1 juta itu sekali gus membuka jalan buat Arbaai untuk meneruskan hasrat yang selama ini hanya mampu dilaksanakan secara berperingkat mengikut kemampuan.
Lebih bermakna, kerja meratakan tapak dan pembinaan asas surau berkenaan sudah pun dimulakan bersama anak lelakinya.
Ini bermakna usaha membina surau tersebut sebenarnya sudah bergerak sebelum impian Arbaai menerima satu dorongan besar menerusi rezeki yang diterimanya.
Arbaai turut memaklumkan surau itu akan diwakafkan untuk kegunaan masyarakat setempat.
“Ketika ini, kerja meratakan tapak dan membina asas surau baru sudah saya mulakan dengan bantuan anak lelaki dan kami wakafkan surau ini untuk kegunaan orang kami bersama,” katanya.
Terdahulu, Arbaai bersama lima lagi pemenang SSP BSN dari Kedah diraikan oleh Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid.
Dalam majlis sama, Hariza Tajuddin, 56, pula menerima sebuah Perodua Myvi menerusi Cabutan Negeri SSP BSN Ogos 2026.
Pesara jururawat Hospital Yan itu mengakui masih terkejut selepas dimaklumkan mengenai kemenangan berkenaan, apatah lagi kereta lamanya mengalami kerosakan teruk akibat kemalangan pada Jun lalu.
Baginya, hadiah tersebut hadir pada waktu yang tepat sebagai pengganti kepada kenderaan yang rosak.
Bagi Arbaai pula, kemenangan RM1 juta itu membawa makna yang jauh lebih besar apabila membuka jalan untuk sebuah surau baharu dibina demi keselesaan anak-anak mendalami al-Quran.
Daripada mula menerima SSP sebagai sebahagian hadiah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada 2006, menambah simpanan mengikut kemampuan, sehinggalah membuka kelas mengaji selepas bersara, perjalanan Arbaai akhirnya membawa kepada rezeki yang tidak pernah disangkanya.
Apa yang lebih bermakna, rezeki tersebut mahu dikongsikan dengan masyarakat melalui pembinaan surau yang bakal diwakafkan.
Sesungguhnya, rezeki yang paling indah bukan sekadar apabila ia hadir kepada diri sendiri, tetapi apabila turut memberi manfaat kepada orang lain.
BACA SINI : “Rumah Pertama Beli Umur 21 Tahun.” Fasha Sandha Sebak & Syukur Impian Bina Surau Dalam Rumah Tercapai
Sumber : Harian Metro
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di
Self-esteem atau keyakinan diri adalah komponen penting dalam perkembangan psikologi kanak-kanak dan remaja.
Menurut Dr. Rozanizam Zakaria, seorang pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja, low self-esteem boleh membawa kepada pelbagai masalah mental seperti kemurungan, kebimbangan (anxiety), tingkah laku mencederakan diri, masalah perhubungan, dan penyalahgunaan dadah.
Sebagai ibu bapa, kita memainkan peranan utama dalam membentuk self-esteem anak-anak sejak kecil lagi. Berikut adalah 5 perkara yang Dr. Rozanizam cadangkan untuk membantu membina self-esteem anak-anak secara sihat dan berkesan.
5 IBU BAPA MESTI BUAT UNTUK BANTU SELF-ESTEEM ANAK
Self-esteem adalah elemen yang sangat penting dalam psikologi kanak-kanak dan remaja.
Low self-esteem telah terbukti dalam kajian antara yang boleh menyumbang kepada masalah mental seperti kemurungan, anxiety, self-harming behaviour masalah perhubungan dan penyalahgunaan dadah.
5 perkara yang ibu bapa boleh buat untuk bina self-esteem anak-anak.
1. PUJI DAN BERI GALAKAN
Yang ini orang selalu buat, tetapi buat dengan silap. JANGAN puji anak kerana kepandaiannya. Tetapi puji usahanya. Gunakan ayat “Adik memang bagus SEBAB adik cuba jawab dengan baik” berbanding “Adik memang pandai”. Anak-anak perlu diajar bahawa dia layak dipuji kerana USAHA bukan KEISTIMEWAAN. Ini yang didapati daripada kajian psikologi kanak-kanak. Kalau anak-anak membesar dalam keadaan dipuji kerana ‘pandainya anak papa’, ‘anak mama memang bijak’.. mereka akan terperangkap dengan pujian ini dan takut berusaha sesuatu yang lebih sukar – kerana takut tidak lagi menerima pujian yang selalu diberikan. Akhirnya, pujian ini hanya membunuh keyakinan anak-anak.
2. SET SASARAN YANG REALISTIK
Jangan jadi ibubapa ‘reality show’ – maksudnya, jangan bina imej perfect son/daughter anda berdasarkan apa yang dicapai oleh orang lain. Setiap anak anda diberi anugerah dengan bakat/kelebihan masing-masing. Jangan biarkan anak anda jadi ‘tikus eksperimen’ untuk feed ego anda. Jangan paksa anak anda pandai berpidato, pandai berenang, pandai kumon, pandai 7 bahasa dan pandai tenis semata-masa rakan-rakan dalam wassap group anda share gambar anak mereka menang pertandingan tersebut minggu lepas.
3. JUJUR DENGAN ANAK ANDA
Mereka perlu tahu yang anda juga sebagai orang dewasa tidak sempurna. Kajian psikologi menunjukkan kanak-kanak berusia 12 tahun sudah tahu menilai seorang dewasa menipu atau tidak bila berkongsi sesuatu dengan mereka. Jangan puji anak jika mereka tidak berjaya semata-mata tidak mahu mereka kecewa. Beri kritikan, tapi yang membantu mereka untuk bangkit semula.
4. BERI MEREKA RUANG UNTUK LAKUKAN KESILAPAN
Jangan cuba tutup kelemahan mereka, semata-mata tidak mahu mereka kecewa. Terus terang adalah jalan terbaik. Beri mereka galakkan dan kesedaran bahawa tidak mengapa gagal/tewas dalam sesuatu, asalkan kita memperoleh sesuatu daripadanya – contohnya ‘at least you had fun with your friends’. Ketahuilah bahawa kegagalan lebih banyak memberi kita pengajaran dalam hidup berbanding kejayaan.
5. PASTIKAN MEREKA ADA IDOLA/MENTOR YANG TERBAIK
Modelling Theory – Belajar dari contoh adalah kaedah belajar paling berpengaruh dikalangan kanak-kanak. Jika mereka cari idola yang salah, mereka akan kecewa. Ajar anak-anak mengenal peribadi Rasulullah seawal mungkin dan jadikan baginda contoh terbaik dalam hidup. Anda sendiri sebagai ibubapa perlu jadi antara idola mereka.
Jadi, daripada perkongsian ini bahawa self-esteem yang kukuh bukan sahaja membantu anak-anak menghadapi cabaran hidup dengan lebih yakin tetapi juga melindungi mereka daripada masalah mental yang serius di kemudian hari.
Sebagai ibu bapa, kita perlu bijak dalam mendidik anak-anak dengan cara yang betul, seperti yang disarankan oleh Dr. Rozanizam Zakaria. Ingatlah bahawa setiap usaha kecil yang kita lakukan hari ini akan memberi impak besar kepada kehidupan anak-anak kita di masa hadapan. Jom kita sama-sama menjadi ibu bapa yang sentiasa menyokong dan membimbing mereka ke arah yang lebih baik!
Sumber: Dr Rozanizam Zakaria
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di
Hati seorang ibu mana yang tidak sebak apabila mendengar anak-anak dipuji bukan sahaja kerana cemerlang dalam pelajaran, malah turut memiliki sahsiah diri yang baik.
Begitulah perasaan yang dilalui Nurul Shuhada Mat Shukri apabila dua cahaya matanya, Humairah dan Umar, menunjukkan pencapaian membanggakan ketika sesi perjumpaan ibu bapa dan guru baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Instagram, bekas isteri kepada pelakon Hafidz Roshdi itu meluahkan rasa syukur apabila dimaklumkan bahawa kedua-dua anaknya mencapai keputusan yang sangat cemerlang dalam pelajaran.
Lebih membuatkan hatinya tersentuh, para guru turut memberikan maklum balas positif mengenai keperibadian Humairah dan Umar yang disifatkan mempunyai budi bahasa serta ilmu yang baik.
“Hari ini saya ke perjumpaan ibu bapa dan guru dan kedua-dua guru memberitahu Umar dan Humairah mencapai keputusan yang sangat cemerlang.
“Mereka memberitahu saya bahawa saya telah menjalankan tugas yang sangat baik dalam membesarkan mereka, malah mereka mempunyai budi bahasa dan ilmu yang sangat baik,” kongsinya.
Malah, Shuhada mengakui dirinya kini mampu menarik nafas lega dan memberi penghargaan kepada diri sendiri atas tanggungjawab yang telah digalas selama ini.
“Akhirnya saya boleh menepuk bahu sendiri dan berkata dengan bangga, ‘syabas Shu’,” luahnya.
Perkongsian itu turut menyentuh hati ramai, khususnya golongan ibu yang memahami betapa besarnya tanggungjawab membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang, disiplin dan perhatian.
Kejayaan Humairah dan Umar bukan sekadar menjadi kebanggaan buat Shuhada, malah menjadi bukti bahawa status ibu tunggal bukan penghalang untuk mendidik anak-anak menjadi insan berjaya.
Ramai pengikut di media sosial turut meninggalkan komen positif dan ucapan tahniah kepada Shuhada. Mereka menyifatkan kejayaan anak-anak tersebut sebagai hasil didikan yang konsisten serta pengorbanan seorang ibu yang tidak pernah mengenal erti putus asa.
Untuk rekod, Hafidz Roshdi dan Shuhada pernah mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 di Perlis, namun sah bercerai pada 24 Februari 2023 selepas tujuh tahun hidup bersama.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah dan Umar.
Sementara itu, Hafidz mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan wanita pilihannya, Athira Yuhada pada Disember 2023 dan kini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.
Tahniah buat Shuhada. Semoga Humairah dan Umar terus membesar sebagai anak yang berilmu, berbudi bahasa dan menjadi kebanggaan keluarga. Semoga mereka terus mencapai kejayaan dalam pelajaran serta kehidupan pada masa hadapan.
BACA LAGI : Mahu Capai Impian Bersama Anak-Anak, Nurul Shuhada Kini Menetap Di Australia!
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di
© Hakcipta Terpelihara Nu Ideaktiv Sdn. Bhd 👨👩👦 Dikendali Oleh Astro Group
