Membawa anak-anak ke kedai serbaneka tentunya jika ingin dimbau pelbagai insiden kita anak beranak berlaku di sana. Ada kelakar dan tidak kurang juga membuatkan kita sebagai ibu ayah berasa cemas dan cuak.
Lebih-lebih lagi jika kita terjatuhkan barang yang ada di sana. Bila ini berlaku, sepantas kilat kita akan segera ambil barang tersebut dan letakkan semula di tempat asalnya.
Itu insiden biasa berlaku, namun lain pula kisah dan pengalaman penyanyi dan usahawan terkenal, Datuk Fazley Yaakob bila baru-baru ini berkongsi video di laman Instagram.
Kelihatan dia sedang memegang kayu mop untuk membersihkan lantai sebuah kedai serbaneka gara-gara anak lelakinya termuntah di kedai tersebut. Hal ini telah menjadi bualan netizen bahkan telah meraih pujian orang ramai.
“Piyush termuntah di kedai? Hahaha, masih saya ingat masa ni, Fierudz masih kecil lagi, tak ingat apa yang dia makan, terus termuntah masa sampai kedai.
Ads
“Kelam kabut saya pinjam baldi dan mop dari kedai tu. Nak marah (anak) kasihan dan masa yang sama, yang muntah tu anak saya, takkanlah saya nak tinggal dan biar pekerja kedai yang bersih kan?
“Kalau anda, anda buat apa,” coretnya menerusi ruangan kapsyen
“Saya pun akan buat bnda yang sama.. jika anak tumpahkan makan or air kat kedai pun saya minta tisu pada owner kedai bersihkan lantai dan meja sebelum balik.. In shaa Allah jika kita sentiasa permudahkan urusan orang lain Allah akan permudahkan urusan kita ❤️,” komen yang lain.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Setiap kejayaan pasti mempunyai kisah perjuangan yang tersendiri. Ada yang bermula dengan serba cukup, namun tidak kurang juga yang perlu melalui jalan berliku sebelum mampu berdiri megah di puncak impian.
Bagi Azida Ahmad Azmi, kejayaan melanjutkan pengajian di Universiti Oxford bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi menjadi bukti bahawa pendidikan mampu membuka jalan untuk mengubah nasib diri dan keluarga.
Azida yang juga penerima Biasiswa Chevening mengakui sejak awal lagi dia menyimpan impian untuk mengubah kehidupan melalui pendidikan. Namun, perjalanan itu tidak mudah apabila dirinya pernah dibelenggu rasa kurang yakin terhadap kemampuan sendiri.
“Saya memang mahu mengubah hidup melalui pendidikan sejak dari awal, tetapi ketika memulakan perjalanan ini, saya kurang yakin dengan diri dan sering tertanya-tanya sama ada saya benar-benar mampu melangkah sejauh ini atau tidak,” katanya.
Kejayaan Azida Ahmad Azmi ke Universiti Oxford menjadi bukti bahawa pendidikan mampu menjadi alat perubahan sosial yang paling berkesan. Walaupun berdepan pelbagai cabaran sejak kecil, beliau tidak pernah membiarkan kekangan hidup menjadi alasan untuk berhenti mengejar impian.
Bagi Azida, pendidikan bukan sekadar untuk memperoleh segulung ijazah, tetapi merupakan jalan keluar daripada kesukaran hidup yang dihadapi keluarga. Keyakinan itulah yang mendorongnya untuk terus berusaha walaupun berdepan pelbagai halangan sepanjang perjalanan akademiknya.
Di sebalik kejayaan Azida, tersimpan kisah pengorbanan seorang ibu yang cukup menyentuh hati. Membesar sebagai anak tunggal, Azida melihat sendiri bagaimana ibunya bekerja keras siang dan malam demi menyara keluarga serta memastikan pendidikan anaknya tidak terabai.
Ibunya berniaga burger di pasar borong pada waktu malam sebelum meneruskan pekerjaan di sebuah warung makanan pada siang hari. Rutin tersebut dilakukan hampir setiap hari dengan masa rehat yang sangat terhad.
Bagi Azida, pengorbanan ibunya menjadi sumber inspirasi yang tidak pernah pudar. Setiap kejayaan yang dikecapinya hari ini dianggap sebagai hasil doa, usaha dan pengorbanan insan yang sentiasa meletakkan pendidikan anak sebagai keutamaan.
“Walaupun ibu saya tidak berpeluang untuk menamatkan persekolahannya sehingga universiti, saya tetap bangga dengannya kerana membesarkan saya dan memberikan peluang pendidikan yang cukup,” ujarnya.
Pengalaman melihat ibunya bertungkus-lumus mencari rezeki turut membentuk nilai ketabahan dan disiplin yang menjadi pegangan hidupnya sehingga kini.
Selepas menamatkan pengajian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Azida menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Bahasa Inggeris Sebagai Komunikasi Antara Budaya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Perjalanan akademiknya kemudian berkembang ke peringkat antarabangsa apabila berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang penyelesaian konflik di Universiti Columbia, Amerika Syarikat.
Kini, Azida Ahmad Azmi ke Universiti Oxford untuk mengikuti pengajian dalam bidang Antropologi, sekali gus meletakkan namanya dalam kalangan rakyat Malaysia yang berjaya menempatkan diri di institusi pendidikan paling berprestij di dunia.
Menurut Azida, kejayaan tersebut bukan berlaku secara kebetulan. Sebaliknya, ia hadir melalui usaha yang konsisten dan kesanggupan untuk mencari peluang walaupun tanpa bimbingan atau rujukan yang jelas pada ketika itu.
“Saya hubungi lebih kurang 150 orang dari seluruh dunia untuk tanya secara terus macam mana proses sambung belajar di universiti seperti Columbia dan Oxford memandangkan saya tiada rujukan pada ketika itu,” katanya.
Usaha itu mengambil masa antara enam hingga lapan bulan melalui komunikasi berterusan bersama alumni serta individu yang berpengalaman dalam dunia akademik antarabangsa.
Tindakan berani untuk bertanya dan belajar daripada pengalaman orang lain akhirnya membuka jalan kepada peluang yang selama ini dianggap sukar dicapai.
Bagi Azida, disiplin diri merupakan antara faktor paling penting untuk berjaya dalam persekitaran akademik yang sangat kompetitif.
Dia menetapkan rutin harian yang tersusun termasuk bangun awal dan merancang tugasan sebelum Subuh bagi memastikan setiap hari dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.
“Saya bangun awal setiap hari dan akan rancang jadual saya sebelum Subuh supaya saya tahu apa yang perlu disiapkan pada hari itu dan boleh kekal fokus sepanjang hari.
“Kalau kerja tidak siap pada hari itu, saya akan sambung pada keesokan hari tapi saya tetap akan ikut jadual yang saya sudah tetapkan,” katanya.
Semasa menuntut di Universiti Columbia, beliau turut menerima Anugerah Kecemerlangan Dekan hasil kecemerlangan akademik dan penglibatan aktif dalam kepimpinan pelajar termasuk dalam Lembaga Kehakiman Columbia.
Walaupun telah mencapai pelbagai kejayaan, Azida tetap komited membantu pelajar lain yang mempunyai impian untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Kini, beliau aktif dalam advokasi pendidikan menerusi konsultasi percuma yang membantu pelajar dalam proses permohonan universiti, penulisan akademik serta persediaan kemasukan ke institusi pengajian tinggi.
Malah, beliau turut menubuhkan dana bantuan pendidikan bagi membantu pelajar kurang berkemampuan yang memerlukan sokongan kewangan kecemasan.
“Setakat ini lebih 2,000 pelajar saya sudah bantu sejak 2023 melalui konsultasi di bawah organisasi A Piece Of Education dan bimbingan yang saya jalankan sendiri.
“Saya juga akan semak setiap permohonan, buat temu duga ringkas sebelum saya tetapkan bantuan yang sesuai,” katanya.
Kisah Azida Ahmad Azmi ini membuktikan bahawa latar belakang keluarga bukanlah penentu mutlak kejayaan seseorang. Dengan usaha yang berterusan, disiplin yang tinggi dan keberanian untuk mencari peluang, impian yang kelihatan mustahil boleh menjadi kenyataan.
Benarlah, kejayaan tidak datang dalam sekelip mata. Namun dengan doa ibu, pengorbanan keluarga dan semangat yang tidak mudah mengalah, impian yang kelihatan jauh akhirnya mampu menjadi kenyataan. Kisah ini wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda Malaysia untuk terus berusaha mengejar cita-cita tanpa mengenal putus asa.
Usaha gigih lelaki ini membantu pelajar dan mereka yang memerlukan wajar dijadikan contoh oleh guru lain. Pengorbanan guru bernama Mohd Fadli Salleh membolehkan dipilih sebagai pemenang Guru Inspirasi McDonald’s 2019.
Melihatkan perkongsian ilmiah beliau di Facebook selain tidak pernah merungut jauh sekali berhenti dari membantu dan menziarahi keluarga demi keluarga yang kurang berkemampuan, sememangnya beliau layak dipilih.
Mendedikasikan anugerah tersebut kepada orang tuanya, Cikgu Mohd Fadli Salleh berkongsi kisah dan nasihat yang sehingga kini dipraktikkannya.
PESAN MA DAN ABAH.
Sebaik sampai di rumah tadi, perkara pertama aku lakukan ialah telefon abah dan ma. Aku ceritakan betapa gembiranya aku dinobatkan sebagai Guru Inspirasi McDonald’s 2019.
Seronok betul ma dan abah dengar perkhabaran itu. Seperti biasa, abah akan pesan duit yang diterima jangan lupa sedekahkan sebahagian. Itu penting untuk keberkatan, kata abah.
Kata abah, jangan lupa bahagian isteri dan mak mertua. Isteri ini punca rezeki kita. Jaga mak mertua elok-elok sebagaimana kita jaga mak dan ayah sendiri.
Ma pun sama. Nasihat dan ingatan diberikan. Kata ma,
“Li tahu tak? Antara doa ma yang tak putus-putus setiap kali berdoa ialah meminta agar Tuhan tidak menjadikan anak-anak ma hina di dunia dan hina di akhirat.
Berpuluh tahun ma berdoa, satu demi satu Tuhan makbulkan. Doa ni Tuhan tak makbul terus, sampai masa yang sesuai Dia akan makbulkan.
Bila kita dimuliakan, bila kita diberi kesenangan dan kelebihan, kena tunjuk tanda syukur pada Tuhan. Kena sentiasa bersyukur dan sentiasa merendah diri.
Jangan sampai semua kemuliaan dan kelebihan yang tuhan beri itu menjadi istidraj pula. Kita tak nak kelebihan dan kemuliaan yang Tuhan beri itu menjadi punca kelalaian kita pula padaNYA.
Biar setiap nikmat dan rezeki Tuhan kirim itu makin mendekatkan diri kita pada Allah taala.”
Tenang ma memberi nasihat kepada aku.
Seperti selalu. Sepanjang masa dan selama usia ma takkan pernah penat untuk memberi nasihat.
Ah, abah dan ma.
Tiada doa untuk aku lebih ikhlas dan tulus yang diutuskan di dunia melebihi doa-doa kalian.
Meski pun ma dan abah tiada Fb dan tidak terbaca coretan ini, sesungguhnya aku lebih menyayangi kalian lebih dari nyawa ini sendiri.
Terima kasih atas setiap kata nasihat dan pengorbanan sepanjang masa.
Memberus gigi sememangnya menjadi rutin setiap orang. Siapa sanggup keluar rumah begitu sahaja dengan meninggalkan rutin wajib tu? Sepanjang hari mesti rasa insecure risau mulut berbau!
Selalu kalau nak gosok gigi, anda bilas dahulu berusnya atau terus guna?
Yang mana memang jadi tabiat bilas dulu sebelum guna, baguslah! Tapi yang mana tak pernah bilas atau on off bilasnya tu, lepas baca perkongsian dari Dr Mohd Khairul Izwan ni, mesti anda dah serik dan takkan miss dari bilas sebelum menggunakannya! Nak tahu sebab apa? Jom tengok!
Bilas sebelum guna, ada ‘benda’ sentuh berus gigi
Tahukah anda, perkara pertama yang perlu anda lakukan sebelum anda mula memberus gigi adalah dengan membilas terlebih dahulu berus gigi anda dengan air selama beberapa saat?
Langkah ini penting terutama jika berus gigi anda tidak mempunyai penutup yang khusus dan dibiarkan secara terbuka di rak penyimpanan di dalam bilik air.
Ini kerana kita tidak tahu mungkin ada haiwan seperti cicak atau lipas yang suka bersembunyi di tempat yang lembab seperti di bilik air telah “menyentuh” berus gigi anda ketika anda tidak menggunakannya.
Jadi demi memastikan kebersihan, pastikan anda bilas berus gigi anda terlebih dahulu sebelum menggunakannya ya.
Cari perabot murah dan berkualiti? Jom tengok di sini!
Guna penutup khas
Jika berus gigi anda mempunyai penutup khusus, itu adalah lebih baik kerana sekurang-kurangnya berus gigi anda terlindung daripada “usikan” cicak serta lipas yang suka berkeliaran di dalam rumah.
Oh ya lagi satu jangan lupa untuk menukar berus gigi anda setiap 3 bulan sekali atau apabila bulu berus gigi anda sudah kembang tau.
Ibu mentua Mira Filzah, Datuk Mastura Yazid berkongsi pandangan mengenai peranan sebenar seorang nenek serta menegaskan hak seorang ibu dalam membesarkan anak perlu dihormati.