
Kolam takungan Taman Seri Alam pecah lagi, limpahan air masuk dalam rumah. Penduduk di Taman Seri Alam, Saujana Utama sekali lagi dikejutkan dengan kejadian kolam takungan pecah yang berlaku untuk kali ketiga pada awal pagi Rabu.
Kolam Takungan Taman Seri Alam Pecah Lagi, Limpahan Air Masuk Dalam Rumah
Insiden yang berlaku sekitar jam 5.30 pagi itu menimbulkan keresahan serta kemarahan dalam kalangan komuniti yang sudah sekian lama berdepan dengan masalah keselamatan dan kerosakan kediaman akibat kejadian serupa.
Menurut seorang penduduk, Mohamad Fairuz Jumain, air yang melimpah daripada kolam takungan tersebut dilihat memasuki beberapa rumah ketika beliau sedang menghantar anaknya ke sekolah pada waktu pagi.
“Ramai kawan saya tinggal di kawasan yang terjejas. Ini adalah kali ketiga mereka berdepan insiden macam ni,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Siti Rohani, pula mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera dengan menutup terus kolam berkenaan, sebagaimana yang telah dicadangkan oleh penduduk sebelum ini.
“Kami kasihan tengok jiran-jiran. Ada rumah dah dinaiki air. Kami minta pihak berwajib kambus saja kolam tu. Menyusahkan penduduk,” katanya dengan nada kecewa.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa kerana kejadian ini seolah-olah membuka kembali luka lama yang masih belum sembuh dalam kalangan penduduk kawasan itu.
Kejadian kedua yang berlaku pada Disember tahun lalu menyaksikan limpahan air setinggi 0.3 meter yang mengalir secara mengejut ke kawasan perumahan, sehingga disamakan oleh penduduk sebagai ‘tsunami kecil’.
Sebelum ini, Mohd Syukri Kamaruddin yang juga penduduk kawasan itu pernah menyuarakan kebimbangan terhadap struktur kolam yang dikatakan tidak stabil kerana tiada penggunaan ‘beam’ dan cerucuk asas.
Katanya, insiden kedua itu menyebabkan kerosakan yang agak serius kepada harta benda.
“Kejadian pertama berlaku pada tahun 2015, tapi ketika itu tidak begitu teruk — air cuma naik sekitar 0.1 meter.
“Tapi kejadian Disember tahun lepas lebih teruk, air naik mendadak dan penduduk langsung tidak sempat selamatkan apa-apa,” jelasnya.
Kini, seluruh komuniti sepakat menuntut agar kolam takungan itu ditutup sepenuhnya demi menjaga keselamatan dan ketenteraman mereka.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Warga Emas Hidap Strok Terperangkap Banjir Di Sri Muda Diselamatkan Bomba
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my