
Usia bukan penghalang untuk terus mencipta kejayaan. Pada usia 51 tahun, penyanyi tersohor Indonesia, Kris Dayanti, membuktikan dirinya bukan sahaja kekal anggun dan bertenaga, malah masih mampu mencabar kemampuan diri dalam bidang sukan.
Terbaharu, Kris Dayanti berjaya merangkul dua pingat emas pada Kejohanan Kebangsaan Wushu Kungfu 2026 yang berlangsung di Main Atrium Mal Alam Sutera, Tangerang, Banten dari 22 hingga 26 Julai lalu.
Ibu kepada empat cahaya mata dan nenek kepada dua cucu itu muncul juara bagi kategori Shanzi Kumpulan E Wanita dan Another Empty Hand. Pencapaian ini sekali lagi membuktikan bahawa dedikasi, disiplin serta latihan yang konsisten mampu membawa kejayaan tanpa mengira usia.
Menerusi perkongsian di Instagram, Kris Dayanti mempamerkan aksinya memperagakan seni kipas lipat atau Shanzi dalam persalinan serba hitam.
Gerakannya yang kemas, tegap dan penuh keyakinan mencuri perhatian ramai. Ketangkasan yang ditampilkan turut membuktikan latihan secara berterusan mampu membantu seseorang kekal cergas walaupun usia semakin meningkat.
Penampilannya ketika mempersembahkan seni wushu turut menerima pujian daripada peminat yang kagum melihat kecergasan dan semangatnya untuk terus aktif dalam sukan kompetitif.
Bagaimanapun, pembabitan Kris Dayanti dalam sukan wushu bukan sekadar untuk mengejar pingat atau piala. Sebaliknya, beliau melihat setiap latihan dan pertandingan sebagai ruang untuk membentuk karakter, disiplin serta semangat kesukanan.
Menurut pelantun lagu Mencintaimu itu, setiap proses yang dilalui merupakan pelaburan penting dalam membina kecemerlangan diri di samping memberi inspirasi kepada generasi atlet masa depan.
Semangat yang ditunjukkan menggambarkan bahawa kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui kemenangan, tetapi juga melalui kesungguhan untuk terus memperbaiki diri dalam setiap latihan.
Kejayaan tersebut bukanlah pencapaian pertama Kris Dayanti dalam sukan berkenaan.
Sebelum ini, beliau pernah meraih pingat perak pada Kejohanan Kungfu Dunia Ke-10 2025 yang berlangsung di Emeishan, China.
Sejak itu, wushu menjadi sebahagian daripada rutin gaya hidupnya. Latihan fizikal secara konsisten bukan sahaja membantu mengekalkan stamina dan kekuatan mental, malah menjadi antara rahsia tubuhnya kekal langsing, berpostur tegap serta sentiasa kelihatan berseri.
Selain aktif dalam bidang seni, Kris Dayanti juga pernah menceburi arena politik dan berkhidmat sebagai anggota Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia. Pengalaman dalam pelbagai bidang membuktikan beliau seorang figura yang sentiasa berusaha mengembangkan potensi diri.
Kejayaan terbaharunya membuktikan bahawa kecantikan sebenar bukan sekadar terletak pada paras rupa, tetapi turut terpancar menerusi disiplin, kesihatan dan keberanian untuk terus mencuba sesuatu yang baharu.
BACA LAGI : Kekal Cantik Di Usia Awal 50an, Rupanya Ni Rahsia Kakak Kepada Kris Dayanti Amalkan. Tak Susah Mana Pun!
Sumber : IG Krisdayanti