Begitulah situasi yang dialami oleh seorang doktor, Dr Samhan di twitter apabila mendapati seorang nurse telah diherdik oleh waris pesakit disebuah hospital.
Sikap kurang ajar waris berkenaan melambangkan tiada empati dalam dirinya.
Dengan tidak rasa bersalah mengeluarkan kata-kata yang tidak sedap didengar.
Moga perkongsiannya ini agar kita muhasabah diri untuk lebih beradab dalam apa jua situasi.
Dapatkan My Qalam Elite Digital Perjuzuk Set dengan diskaun RM5 apabila anda menggunakan kod KELGST5 di sini
“Wei b****! Angkat betul-betul lah!”
Ads
Dari tadi aku dah perhatikan waris pesakit ini agak kurang sopan dengan Nurse. Minta itu, minta ini, ada sajalah yang tak kena dimata dia.
“Encik, saya Dr Samhan. Doktor yang incharge ayah encik. Ada apa-apa yang boleh saya bantu ke?”
“B*** betul! Sedar sikit pass diploma je, bukan ada ijazah pun. Buatlah kerja betul-betul!” (sambil menunding jari pada Staff Nurse.)
DOKTOR TEGUR SIKAP WARIS PESAKIT
Nurse itu diam membisu sepatah tak berbunyi.
Aku dah tak boleh tahan. “Jangan kurang ajar boleh tak? Ingat Nurse ini hamba ke? Encik keluar!”
Aku pun ada tahap sabar juga. Pantang betul kalau kita dah cakap baik-baik tapi masih nak berlagak tunjuk belang.
Ads
Aku tak kisah pun kau siapa. Aku tak kisah kalau kau nak saman. Aku tak kisah nak menjawab dengan orang atasan. Yang aku tahu, kau tak berhak langsung nak menghina.
Aku cukup hormat dengan Nurse. Tahu tak yang tak semua orang boleh bertahan dengan kerja ni?
Mereka ini kalau setakat demam biasa dan lenguh-lenguh badan, selagi larat takkan sesekali ponteng kerja.
Mereka ini walaupun berjauhan dengan anak dah berbulan, rasa rindu yang teramat tapi tak pernah sekalipun cincai dalam kerja.
Mereka ini ada yang dah bertahun minta tukar tempat kerja untuk dekat dengan keluarga, walaupun tak pernah dapat tetaplah menunggu dengan sabar.
Mereka ini walaupun baru lepas bertengkar dengan suami, simpan muka sedih. Tetap datang kerja macam biasa dan ukirkan senyuman manis.
Mereka ni anak sendiri sakit demam pun tak terjaga kerana sibuk menjaga pesakit lain yang bukan pun keluarga sendiri.
Mereka ini yang selalu diherdik dihina oleh pesakit dan waris, tetap ikhlas buat kerja tanpa banyak bicara.
Ads
Mereka ini setakat wad pecah tunggang langgang, mereka pandang sebelah mata. Cukup cekap dan sangat cemerlang pula dalam menjaga masa.
Mereka ini kalau setakat nak mandikan pesakit, tukarkan pampers, basuhkan najis semua tu dah jadi perkara biasa. Tau-tau pesakit dah bersih, kemas dan ceria.
Mereka ini kerja tak kira masa. Cuti sekolah belum tentu cuti apatah lagi cuti raya.
Aku cukup kenal mereka. Mereka sememangnya manusia yang luarbiasa. Suka menolong dan membantu tanpa dipinta. Tanpa mereka satu hospital akan lumpuh.
Sebab itu korang patut hormat mereka. Jangan sesekali bersikap kasar apalagi mengherdik.
Kita rasa best bila orang hormat pada kita tapi sebelum itu, belajarlah dulu hormat dan menghargai pada orang lain. Kita akan pasti lebih dihormati dan dihargai.
Gambar ini aku ambil bila lihat Nurse ini sekejap-kejap muntah. Mengandung rupanya.
Dengan muka yang pucat dan keletihan tapi tetap bekerja dengan senyum manis didepan pesakit.
Boleh kata musim cuti raya yang panjang ramai antara kita akan ambil kesempatan untuk mengadakan majlis reunion kawan-kawan sekolah. Maklumlah ketika raya inilah semua orang akan balik ke kampung dan mudahlah untuk menjayakan majlis reunion yang julung-julung kalinya dapat diadakan.
Terasa teruja sungguh untuk bertemu kawan lama bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim. Pun begitu tidak dinafikan ramai juga yang mengatakan majlis reunion sekolah ni banyak juga mengundang musibahnya.
Untuk itu, apa kata kita baca salah satu petikan teks yang telah disiarkan di dalam majalah Keluarga yang ditulis oleh Datuk Abd Jalil Ali. Memang menarik perkongsiannya!
SAYA percaya ‘reunion’ boleh membangkitkan kenangan silam. Tetapi saya tidak bersetuju bahawa pertemuan teman-teman lama itu boleh meruntuhkan rumah tangga.
Memang menghairankan apabila ada tanggapan kononnya pertemuan semula teman sekolah, atau teman sekampus, boleh merenggangkan hubungan suami-isteri.
Harap-harap ada kajian ilmiah dilakukan dalam waktu terdekat ini untuk menolak tanggapan seperti ini. Kalau tidak mungkin ramai tidak berani menghadirkan diri pada majlis ‘reunion’, bimbang rumah tangga berantakan.
Ada yang bertanya saya, salah siapa sekiranya hubungan suami-isteri menjadi semakin dingin setelah pulang dari pertemuan dengan teman-teman lama.
Salah lelaki atau salah perempuan? Apakah lelaki yang terlalu emo? Atau, apakah perempuan yang terlebih jiwa-jiwang?
Lebih baik jangan menyalahkan sesiapa. Tidak kira lelaki atau perempuan, apabila terlalu terbawa-bawa dengan kisah-kisah indah zaman sekolah, memang boleh angau dibuatnya.
Almaklumlah, zaman persekolahan memang penuh seribu keindahan. Kalaulah jarum jam boleh diputar ke belakang, rasanya saya hendak kembali semula ke zaman itu!
Menoleh ke belakang, menelusuri lorong-lorong kenangan, tempoh lima atau enam tahun di sekolah menengah, memang semuanya indah. Hatta, kena rotan guru disiplin pun kini terasa amat nostalgik.
Kalau kena rotan pun satu kenangan yang tidak dapat dilupakan, inikan pula kisah cinta-cintan sepanjang berada di tingkatan empat atau lima.
Maka teringat seorang gadis bertocang ekor kuda yang mula saya kenali ketika di tingkatan lima. Dia pelajar baharu, berpindah dari sekolah lain.
Sejak hari pertama terserempak dia di kantin, tertarik betul saya pada ekor kudanya yang diikat dengan reben biru. Tidak ada kata-kata, hanya senyuman ketika sama-sama meninggalkan kantin sebab loceng sudah berbunyi.
Dan, malam itu saya tidak dapat menumpukan perhatian pada buku teks geografi, sebab setiap halaman yang saya buka, yang terlihat hanyalah senyuman manisnya di kantin siang tadi.
Saya terlentang di katil, terkebil-kebil dalam gelap, sebelum akhirnya terlena, dengan satu soalan yang belum dijawab: Siapakah gadis itu?
Pagi-pagi esoknya, di kantin sekolah, saya bertemu dengannya, saling berbalas senyum, dan tanpa malu-malu terus saya tanyakan namanya.
Namanya S. Sengaja saya rahsiakan nama sebenarnya, bimbang akan menimbulkan syak kepada suaminya, juga kepada isteri saya sendiri.
Bermula di kantin, kerap pula saya bertemunya di perpustakaan, di padang ketika latihan sukan. Malah, sesakali pada hujung minggu, kami makan ais kacang di pekan.
Walaupun tidak pernah dinyatakan dengan perkataan, saya sedar telah terperangkap dalam cinta. Saya pasti – dari gerak geri dan reaksinya – dia juga telah terjerat dalam babak filem Hindustan yang mengasyikkan ini.
Cinta monyet itu amat indah. Kami tidak berselindung-selindung lagi. Ke mana-mana bersama. Kalau sehari tidak berjumpa, saya tidak boleh belajar.
Satu sekolah heboh orang bergossip mengenai kami. Ada aku kisah? Kami berjanji ingin bersama, sehidup semati. Engkaulah gunung, engkaulah intan, engkaulah payung, fullamak.
Tetapi, namapun cinta monyet. Sumpah dan janji monyet tidak boleh dipegang. Lepas keputusan SPM, dia disambar oleh monyet lain.
Ketika berkelana di KL, membawa sebuah kedukaan, saya menerima perkhabaran dari kampung S akan berkahwin dengan jejaka pilihan keluarga.
Mula-mula menangis juga. Sampai hati kau mengkhianati cinta ku. Rasa hendak terjun lombong, atau minum racun tikus, lebih-lebih lagi setiap kali mendengar lagu ‘Kenangan Mengusik Jiwa’ oleh A. Ramlie yang amat populat ketika itu.
Tetapi, lama-lama monyet desa itu hilang dari ingatan. Rupanya di kota pun ada sekian banyak monyet…
Sejak habis sekolah, saya tidak pernah bertemu dengan S. Setiap kali pulang beraya dan bertemu dengan geng-geng sekolah, selalu juga kita bercerita tengang cinta-cintan zaman remaja.
Secara kebetulan rumah saya betul-betul sebelah Sekolah Menangan Kebangsaan Bukit Gambir. Setiap kali balik Kampung Sungai Jaya, Muar, saya melintasi sekolah, dan terasa kelakar pula teringat zaman monyet-monyetan
Walaupun selalu bertemu geng ketika pulang kampung, sampai sekarang saya belum berkesempatan ber‘reunion’ dengan kawan-kawan lama sekolah.
Saya tidak pasti jika bertemu ramai-ramai dengan geng sekolah apakah cinta boleh bersemi semula? Tidak dapat dipastikan apakah reunion boleh menjejaskan hubungan saya dengan isteri.
Hatta, tidak juga dapat saya pastikan apakah S, si tocang ekor kuda itu masih mengenang detik jeling-menjeling di kantin, juga keseronokan berlatih sukan di padang sekolah.
Hanya satu perkara yang pasti: semuanya tidak seperti dulu-dulu. Hakikatnya ialah kenangan bermonyet-monyetan yang indah itu terjadi kira-kira setengah abad lalu.
Melihat diri dan wajah sendiri dalam cermin, saya tidak lagi sekiut (cute) zaman awal remaja. Waktu itu saya baru 18, kini sudah 63 tahun!
Dulu zaman teruna sunti, rambut hitam lebat, disisir rapi dengan ‘suak’ terjuntai di dahi. Sekarang rambut sudah semakin jarang, tidak ada lagi yang hitam, semua putih macam bunga lalang.
Rambut semakin jarang, gigi banyak bergoyang, jalan pun sudah terhuyung-hayang. Perut gendut semacam, pandangan tidak lagi tajam, hatta suara pun semakin kedam. Dulu saya sentiasa bertenaga untuk lari 100 meter, sebab saya tahu dia ada di tepi padang memberi tepukan dan sokongan. Kini, jangankan 100 meter, berjalan sepuluh langkah pun saya sudah separuh mati.
Saya sudah tua!
Maka saya tidak fikir dia masih secantik dulu-dulu. Tocang ekor kuda agaknya sudah tidak ada; kalau ada pun pasti telah disembunyikan di dalam tudung kepala, hanya untuk tontonan suami.
Mungkin juga rambutnya tidak hitam lagi, sudah berubah warna matelic perak. sama seperti rambut saya. Dia bukan lagi gadis pingatan dengan keayuan dan kesucian kesucian desa seperti zaman sekolah dulu.
Tidak lagi saya bayangkan senyuman semanis dulu. Tidak juga pipinya yang gebu, atau jari-jemarinya yang halus lembut itu. Malah, suaranya pun pasti tidak semanja masa silam.
Dia pun sudah seperti saya, sudah meninggalkan usia remaja. Sudah beranak-pinak, bercucu-cicit. Pasti orang panggil dia opah atau tok wan.
Maka, kalau ditakdirkan saya dipertemukan dengannya dalam reunion musim raya nanti – biasanya reunion sekolah dibuat semasa cuti raya – saya tidak fikir suaminya, juga isteri saya, akan cemburu.
Memang, kita akan bercerita mengenai zaman sekolah. Dia pasti akan menceritakan kenakalan saya mengorat dia. Saya pula akan mengungkit kisah dia didenda kerana lewat memulangkan buku perpustakaan.
Memang, cerita-cerita seperti itu boleh mengembalikan nostalgia. Tetapi saya tidak fikir itu boleh mendarahkan kembali luka lama. Tidak mungkin cinta monyet akan bersemi lagi. Kelakar gila!
Sebab itu tidak masuk di akal saya apabila ada teman memberitahu hidupnya tidak tenteram setelah bertemu semula dengan kekasih lama yang ditemui semula pada satu reunion raya tahun lalu.
“Hang percaya tak, dia masih cun macam dulu!” katanya beriya-iya, dan menambah: “Dia pun kata aku masih maco macam zaman tingkatan lima. Ni yang aku tak boleh tidur!”
Sudah sama-sama tua, sama-sama ada keluarga, tiba-tiba keduanya dilanda angau zaman lampau, gara-gara bertemu pada reunion sekolah. Sudah setahun mereka bercinta di maya.
Tentu sekali saya menyokong cinta silam itu dihangatkan semula, jika keduanya sudah kematian atau kehilangan pasangan hidup. Tetapi, yang satu masih isteri, yang seorang lagi masih suami. Sebab itu saya menentang zaman monyet itu dihidupkan kembali.
Kesimpulannya, tidak salah – malah digalakkan – mengadakan reunion sekolah Aidilfitri ini. Tidak salah juga mengimbau kembali zaman remaja di bilik darjah, atau di kantin.
Tetapi, jangan terlalu terbawa-bawa dengan jiwang dan emo lampau hingga merenggangkan keintiman suami-istri.
Selamat Hari Raya, maaf zahir & batin.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Melentur buluh biarlah dari rebungnya, demikian juga dalam hal mendidik anak-anak. Ibu bapa perlu memainkan peranan sedari awal kandungan lagi.
Anak-anak adalah amanah Allah. Kitalah yang mencorakkan keperibadian mereka. Mana mungkin anak-anak akan mendengar kata andai sebagai ibu bapa tidak menunjukkan contoh yang terbaik. Konflik keluarga yang dipaparkan di kaca televisyen bukan omongan kosong bahkan ada yang benar-benar berlaku dalam masyarakat kita dewasa ini.
Justeru, Dr Hasiba Kamaruddin menerusi laman facebooknya berkongsi kupasannya hasil bacaan mengenai kisah Nabi Yaakub dan anak-anaknya. Betapa hebatnya Nabi Yaakub dalam menangani karenah anak-anaknya. Berkat kesabaran Nabi Yaakub A.S. ini akhirnya anak-anak mengaku bersalah lalu memohon kepada ayah mereka supaya berdoa agar Allah mengampunkan dosa – dosa mereka.
Tanyalah pada diri sendiri, bolehkah kita sebagai ibu bapa untuk memiliki kesabaran dan tawakal yang hebat sedemikian dalam membesarkan anak – anak? Tepuk dada tanya iman. Jom baca perkongsian yang cukup bermanfaat ini.
Setiap kali aku sampai ke bahagian dialog antara Nabi Yaakub A.S. dan anak – anaknya dalam surah Yusuf, otak aku sering menggambarkan sebuah adegan drama keluarga yang ditayangkan di kaca TV. Bezanya cuma tidak ada wajah yang mengisi karakter – karakter itu dalam kepala aku. Seolah – olah otak ini tahu yang mustahil untuk aku menggambarkan lebih dari apa yang tertulis di dalam kalam suci Allah SWT itu.
Dalam surah Yusuf, Allah SWT menggambarkan kepada kita dinamik perangai anak – anak Nabi Yaakub A.S. bermula dengan anugerah kenabian kepada Nabi Yusuf A.S. dan kedengkian adik – beradiknya yang lain terhadap dia dan Bunyamin. Dengki antara saudara ini bernanah hingga ada di antara mereka yang sanggup mencadangkan agar Nabi Yusuf A.S. dibunuh. Bayangkan bagaimana hebatnya Nabi Yaakub berdepan dengan anak – anak yang pelbagai ragam ini.
Sepanjang konflik keluarga ini berlaku, Nabi Yaakub A.S. digambarkan sebagai seorang ayah yang sangat sabar hinggakan tatkala anak – anak beliau datang memberitahu berita yang Nabi Yusuf A.S. dimakan serigala sambil ditunjukkan bajunya yang berlumuran darah, Nabi Yaakub A.S. hanya menegur sikap menipu mereka dan berkata pada dirinya “Fasobran jamil. Allah tempat memohon pertolongan terhadap apa yang kamu ceritakan.”
Begitu juga tatkala anak – anak Nabi Yaakub A.S. datang memberitahunya bahawa Bunyamin telah ditangkap kerana mencuri, beliau hanya menuturkan dialog yang sama, “Fasobran jamil. Semoga Allah mendatangkan mereka semua kepadaku.”
Di sini jelas menunjukkan yang Nabi Yaakub A.S. tidak pernah berdendam atau memarahi anak – anak beliau yang menyebabkan kehilangan dua orang anak kesayangannya bahkan beliau mengambil jalan bersabar dan hanya mengadu kesedihannya kepada Allah SWT walaupun dalam Surah Sad menyebut bahawa Nabi Yaakub A.S. ini memiliki ‘al aidi’ yang digambarkan sebagai kekuatan. Susah tentu, beliau boleh saja menghukum anak – anak beliau dengan kapasiti sebagai bapa dan nabi yang kuat. Namun Maha Suci Allah SWT ingin menonjolkan sisi lain Nabi Yaakub dalam mendidik anak – anak iaitu ‘al absor’ iaitu memiliki pandangan yang tinggi.
Walaupun ada antara anak beliau berkata “Engkau selalu teringatkan Yusuf sehingga engkau dihinggap penyakit atau engkau menjadi termasuk orang – orang yang akan binasa,” bahkan ada juga yang mengatakan bapa mereka itu sudah tidak siuman, Nabi Yaakub tetap berpandangan jauh bahawa Allah SWT yang Maha Mengetahui segalanya akan merungkaikan segala kesedihan yang dialaminya.
Kesan kepada kesabaran dan pandangan jauh Nabi Yaakub A.S. ini boleh kita lihat di akhir kisah ini di mana anak – anak beliau yang berperangai macam – macam itu mengaku bersalah lalu memohon kepada ayah mereka supaya berdoa agar Allah mengampunkan dosa – dosa mereka. Bukan itu sahaja, kesabaran Nabi Yaakub A.S. ini telah meninggalkan legasi kepada Nabi Yusuf A.S. yang juga memaafkan adik – beradiknya yang menzaliminya dulu, “Tidak ada celaan terhadap kamu pada hari ini. Semoga Allah mengampun dosa kamu.”
Memang aku akan menangis setiap kali membaca kisah konflik keluarga Nabi Yaakub A.S. ini dek besarnya jiwa seorang ayah dalam berhadapan dengan anak – anak yang pelbagai ragam. Bolehkah kita sebagai ibu bapa memiliki kesabaran dan tawakal yang hebat sebegitu dalam membesarkan anak – anak?
Kadang – kadang aku rasa sedih bila mendengar konflik antara ibu bapa dan anak – anak yang mungkin bermula dari hal – hal yang remeh seperti dah lama tak balik kampung, tidak berkenan dengan menantu atau anak melebihkan pasangan dari ibu bapa. Perkara sekecil ini kadang – kadang melarat menjadi pergaduhan besar sehinggakan ibu bapa sanggup memanggil anak sendiri sebagai anak derhaka.
Astaghfirullahal adzim. Kalaulah ibu bapa sendiri memanggil anak yang dikandung dan dibesarkan sebagai anak derhaka, apa lagi yang tinggal pada anak itu untuk menghadapi kehidupan ini.
Aku juga teringat akan sebuah kisah seorang artis yang berhijrah. Tatkala orang bertanya, apa yang menyebabkan dia tergerak hati untuk berhijrah. Katanya, “Mak saya. Setiap kali saya nak keluar menyanyi atau buat benda – benda lagha, mak saya hanya kata, mak selalu doakan kamu semoga kamu menjadi orang yang lebih baik. Saya rasa atas berkat doa mak saya itulah Allah beri saya hidayah dan taufik untuk berhijrah.” MasyaAllah hebatnya mak artis ini.
Kisah – kisah begini sangat meruntun jiwa aku supaya sentiasa beringat yang anak – anak ini adalah ujian dari Allah SWT untuk kita sentiasa bersabar dan akhirnya akur untuk menyerahkan segala urusan mereka kepada Dia Yang Menciptakan. Kadang – kadang kita mungkin sudah habis daya dalam menguruskan anak – anak supaya mereka sentiasa berada dalam kebaikan namun ibrah dalam Al Quran terus menerus mengingatkan kita yang akhirnya semua itu adalah urusan Allah SWT. Kita perlu jalankan saja peranan itu sebagaimana yang diajar olehNya melalui kitab ini.
Semoga Allah SWT sentiasa bersama kita dalam perjalanan keibubapaan ini. Amin.
p/s: Menghargai pandangan para asatizah yang lebih berilmu dari saya dalam memahami kisah Nabi Yaakub ini.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Sayur kangkung antara yang digemari dijadikan juadah sajian buat keluarga. Masakan seperti sayur goreng belacan atau sayur tumis menjadi pilihan.
Biarpun nampak senang untuk tanam sayur ini tetapi jika salah cara, ia tidak merimbun. Ini ada cara yang boleh dipraktikkan.
___________________________________
Kami panggil Kangkung Paya. Atau kangkung kampung.
Tumbuh liar kat paya or mana-mana dalam hutan. Selalunya orang kat pasar tani jual seikat 2 ringgit.
Tapi dek kerana asyik beli je tiap minggu. Sebab sayur faveret atuk. Tim cubalah tanam. Kihkih. Jimat lah beberapa ringgit seminggu. Kalau setahun banyak gak jadinya.
Lagipun tak payah tunggu pasar tani dah. Anytime nak makan pun boleh petik gak. Setakat nak goreng mihun ambil sikit dah okay sangat.
Ada 2 jenis macam dalam gambar. Cara tanam dia pun senang.
1. Masa beli tu, sila ambil daun buat goreng sayur. Tinggalkan pucuk kat atas sekali dan batang dia. Ada pucuk pokok akan cepat tumbuh. Kalau terpotong pucuk dia pun takpe. No worries.
2. Rendam kejap 2/3 hari kasi akar keluar. Kadang Tim rendam sampai seminggu sebab tak sempat nak menanam. Kahkah.
3. Boleh tanam dalam campuran tanah. Tim suka campuran tanah 1:1:1. Pasir : Tanah Merah : Kompos. Atau takde pasir pun takpe sebab kangkung nak air banyak.
4. Boleh juga tanam dalam air bertakung. Tim buat macam no 3 cuma tak tebuk lubang. Kiranya ada sepasu ada lubang. Ada sepasu lagi takde lubang. Cuma Tim rasa pasu yang ada lubang pokok dia lebih cepat gemuk berbanding pasu yang bertakung air.
5. Tanam di tempat redup untuk 2 minggu. Kemudian pindahkan ke tempat panas . Tengok daun dia lecur ke tak bila kena panas. Kalau cam layu or lecur pindah balik tempat redup.
6. Boleh dah tuai lepas 4 minggu. Kemudian tuai lagi lepas 2 minggu. Atau tuai bebila nak. Batang pucuk yang potong tu boleh ditanam semula.
Kalau nak sentiasa banyak stok, tanam lah banyak-banyak. Tim pun nak tanam lagi beberapa pasu. Supaya stok sentiasa banyak.
Rujuk gambar
Selamat mencuba!
Kredit: Fatimah Naamat
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Lisbon Hotel Melaka menawarkan pengalaman tenang dan mewah di Perkampungan Portugis. Dengan reka bentuk ala Mediterranean, kolam infiniti dan restoran Festa yang eksklusif, ia destinasi ideal untuk percutian keluarga.