Kanak-kanak lelaki 12 tahun di daerah ini meninggal dunia semalam selepas disyaki mengalami simptom strok haba.
Airiel Syahren Syahrol disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat ‘septic shock secondary to meningoencephalitis’ di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini kira-kira jam 7 pagi.
Bapanya, Syahrol Azmi Mohd Hekak, 42, berkata anak kedua daripada empat beradik itu mengalami simptom demam tidak berpeluh, kekejangan otot, muntah, terkencing, terberak dan meracau kira-kira 10 malam Ahad lalu.
Katanya, pada mulanya Airiel Syahren termasuk adik lelakinya berusia sembilan tahun dan ibu mereka mengalami demam biasa.
“Pada malam kejadian dia mengejutkan saya dan menyuruhnya tidur di ruang tamu mungkin kerana di bilik itu sejuk.
“Selepas itu saya dengar macam bunyi benda jatuh dan kemudian saya dapati dia mengalami kekejangan di ruang tamu,” katanya.
Ads
Menurut Syahrol, dia menghubungi talian 999 sebelum disambungkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.
“Pihak hospital ada tanya, apakah anak saya ada sawan? Lagilah saya panik, tetapi pihak hospital beritahu supaya mengiringkan badan anak saya itu, jangan bagi dia makan atau minum dan tunggu ambulans sampai.
“Dalam tempoh itu, anak saya meronta-ronta sampai terberak, terkencing dan seperti menahan kesakitan. Adiknya juga mengalami perkara sama tetapi dalam beberapa minit sahaja,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bentong di sini.
Katanya, jam 7 pagi, dia mendapat panggilan daripada petugas HEBHK supaya membeli lampin pakai buang buat anaknya namun tidak lama kemudian dia mendapat panggilan kedua yang menyuruhnya segera datang ke wad.
Ads
“Ketika meninjau di katil anak, saya terkejut kerana anak saya sedang dipam di dadanya oleh kakitangan di situ.
“Kemudian dua orang doktor memanggil saya ke bilik mereka dan menerangkan anak saya mengalami simptom strok haba hingga menyebabkan buah pinggang terjejas, X-ray dadanya berwarna putih selain terkena radang otak,” katanya.
Katanya, tidak menyangka anak yang disifatkan sebagai pendiam, suka tersenyum dan ringan tulang membantu keluarga itu, pergi terlalu cepat.
“Jangan ambil mudah jika anak-anak anda mengalami demam, jangan fikir lagi soal ada duit atau tidak, segera hantar mereka mendapatkan rawatan di hospital,” tambahnya.
Ads
Katanya, anak ketiganya, Aidil Syahren, 9, kini sudah stabil dan masih berada di wad HEBHK.
“Anak saya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bentong selepas Zohor,” katanya.
Berat mata memandang,berat lagi bahu yang memikul. Tatkala melihat penderitaan adik Tuan Nur Batrisya Tuan Nasir yang menderita masalah Hydrosephalus atau kepala besar, pasti hati terpaut pilu. Kanak-kanak berusia lima tahun ini dikesan menghidap penyakit berkenaan sejak kandungan ibunya, Nur Suriati Dakta berusia tujuh bulan.
“Kami tidak sanggup lagi melihat penderitaan dan kesakitan dialami setiap kali dia menjalani pembedahan memasuk dan membuang tiup bagi membuang lebihan cecair dalam kepala.
“Tambahan pula, doktor sudah mengesahkan penyakit dialami Batrisya sukar untuk sembuh dan kembali normal seperti kanak-kanak lain kerana kepalanya semakin membesar selepas lebih tujuh kali melakukan pembedahan.
“Kami reda dengan ketentuan Ilahi dan sentiasa berdoa agar Batrisya sihat serta bebas dari masalah kesihatan lain,” katanya ketika disantuni jawatankuasa Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) di kediamannya di Kampung Duyong Besar, Kuala Nerus, hari ini. Yang turut hadir adalah Presiden KAWAT, Wan Abdul Rahman Hayat.
Menurut Nur Suriati lagi, walaupun ada beberapa pihak termasuk individu bersedia untuk membiayai kos rawatan termasuk menjalani pembedahan di luar negara, tetapi dia dan suami, Tuan Nasir Tuan Dalam, 35, yang berkerja sebagai pekerja am di sebuah hotel bersepakat menolak tawaran itu kerana tidak sanggup melihat kesakitan bakal dialami Batrisya ketika menjalani pembedahan.
“Batrisya anak bongsu daripada dua beradik mula dikesan mengalami masalah Hydrosephalus atau kepala besar sejak kandungan berusia tujuh bulan lagi.
“Kami terpaksa membawa Batrisyia untuk menjalani rawatan homeopati di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) setiap bulan,” katanya sambil memberitahu Batrisya dikesan mengalami masalah Hydrosephalus atau kepala besar sejak kandungan berusia tujuh bulan dan bukannya selepas dilahirkan seperti didakwa beberapa pihak.
“Pertama kali diberitahu doktor yang kandungan saya mengalami masalah Hydrosephalus dan kepala besar, tiada perkataan mampu digambarkan melainkan sedih, tetapi saya terpaksa kuatkan semangat dan reda menerima takdir Allah SWT.
“Selepas beberapa hari dilahirkan, Batrisya terpaksa dibedah bagi memasang tiup khas dari otak ke perut untuk mengeluarkan lebihan cecair di kepalanya bagi menghalang kepalanya daripada terus membesar.
“Walaupun tidak mampu bercakap dan bergerak seperti kanak-kanak sebaya, tetapi Batrisyia anak yang baik dan tidak banyak meragam serta mudah dijaga kecuali ketika sakit.
“Tetapi sejak beberapa hari lalu, Batrisya kerap mengalami kekejangan saraf serta kerap berjaga malam selepas pulang daripada menjalani rawatan homeopati di HSNZ,” katanya.
Nur Suriati berkata, dia terpaksa membelanjakan sebanyak RM700 sebulan bagi membiayai susu khas dan kain pakai buang untuk anaknya itu.
“Dengan pendapatan suami sebanyak RM1,000 sebulan, kami terpaksa berjimat dan menggunakan wang untuk membeli keperluan harian dan barangan dapur secara ala kadar termasuk perbelanjaan persekolahan kakak Batrisyia, Tuan Nurbalqis, 7, yang belajar di tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Duyong.
“Selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) juga turut menyalurkan bantuan perubatan sebanyak RM3,000 setahun,” katanya sambil menambah memerlukan kerusi khas bagi memudahkan kerja memandikan Batrisya.
Sementara itu, Wan Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri diminta mempertimbangkan kediaman kepada Tuan Nasir, berikutan rumah didiami empat beranak itu adalah rumah pusaka selain tanah milik penduduk kampung.
Setiap kesenangan yang dikecapi hari ini tidak mustahil sebelum itu punya jalan ceritanya yang tersendiri. Mungkin orang melihat kehidupan kita sekeluarga nampak senang semua ada, namun kesusahan hidup tiada siapa pun tahu melainkan diri sendiri.
Ini sebagaimana apa yang dikongsikan oleh Cikgu Mohd Fadli Salleh ini, semoga kisah pengalaman hidupnya ini dapat menyuntik inspirasi buat yang membaca.
Ini perkongsiannya.
“Cikgu tak apalah. Banyak duit, boleh la melancong sana sini bawa family. Kami yang biasa-biasa ni mana la mampu.”
Aku kahwin 11 Jun 2009. Dari hari pertama perkahwinan hingga Disember 2018, aku tak pernah bawa keluarga melancong ke mana-mana.
Hampir 10 tahun perkahwinan, kami hanya ke tempat yang dekat dengan rumah seperti pantai, air terjun, supermarket or pasar malam je.
Gitu je lah pusing-pusingnya dalam tempoh hampir 10 tahun perkahwinan. Pergi pasar malam bawa isteri dan anak-anak tu umpama bawa mereka menikmati sakura gugur di Jepun dah rasa masa tu.Kerana hanya itu kemampuan aku.
Kegembiraan Buat Keluarga
Aku cuma cikgu biasa. Gaji kecik, hidup pula dikota raya yang sangat menyesakkan dada. Namun aku ada satu semangat. Aku ada satu rasa tanggungjawab. Aku ada satu kemahuan yang tinggi.
Aku ada satu perasaan yang ingin memberi kegembiraan dan kebahagiaan seberapa banyak yang aku mampu kepada keluarga aku.
Tapi aku poket aku tak mampu. Memang tak sampai akhir bulan dah kekeringan. Aku takkan sesekali membuat pinjaman hanya untuk berjoli sakan dan enjoy sana sini. Bukan begitu caranya.
Keluar Pagi Balik Pagi
Tahun demi tahun, tanggungjawab makin bertambah dengan bilangan anak dan kos sara hidup. Bermula 2015 aku tidak lagi boleh mengharap gaji secara bulanan. Aku mula menjual air tin, menjual air mineral. Jam 2 pagi ke NSK mencari air.
2016 aku jual kasut bundle di downtown Cheras. Masa tu mengajar sesi petang. Balik saja sekolah, mandi, makan nasi, terus angkut kasut muat but buka meja di downtown.
Dari jam 8 malam keluar, pulangnya jam 5 pagi. Tidur sekejap bangun ke sekolah pula. Begitulah rutinnya. Jual air tetap jual juga.
Kerja macam kerbau. Aku dah kerja mengalahkan kerbau. Masa rehat kerbau lagi banyak dari masa rehat aku. Keluar pagi balik pagi. Dah macam zombie aku rasa. Masa dengan keluarga makin tiada. Sedangkan kewangan tak adalah berubah sakan. Ada la skit-sikit tambahan.
Masa ni aku duduk berfikir. Kenapa rezeki aku sempit. Kenapa susahnya nak tarik rezeki. Kenapa Tuhan bagai menjauhkan rezeki dengan aku. Aku duduk, aku fikir, aku muhasabah diri betul-betul. Di mana silapnya. Kenapa begitu kejam kehidupan pada aku.
Aku bukan meminta lebih. Aku tak minta Ferrari. Aku tak minta rumah agam. Aku tak minta gaji beratus ribu sebulan. Aku cuma mahu kehidupan yang lebih selesa buat keluarga aku.
Aku rasa loser gila. Simpanan langsung tak ada. Apa yang dicari, cepat sahaja habis entah ke mana. Sedangkan aku tak mencuri, segala modal kerja buat aku modal yang halal.
Abah dan ma perasan aku memang kacau masa ni. 2016 tahun betul-betul ujian buat aku. Hubungan dengan isteri jadi jauh. Selalu juga bermasam muka. Aku pula jenis tak pernah meluah apa-apa masalah kepada sesiapa. Tidak kepada isteri. Tidak juga kepada ma dan abah.
Namun naluri seorang ibu tu tinggi. Sangat tinggi. Dia tahu aku tengah sangat susah. Ma tahu aku sangat serabut. Ma dapat rasakan hidup aku penuh kekacauan. Ma telefon aku,
“Li. Kembali pada Tuhan. Kita hidup berTuhan. Solat kena jaga. Jauhi maksiat. Jauhi segala benda yang Tuhan haram. Li kena pergi Mekah sucikan diri. Buang segala kekotoran yang melekat tu. Minta sungguh-sungguh pada Tuhan. Menangis, mohon betul-betul.”
“Nak pergi macamana, Li tak ada duit. Langsung tiada simpanan ni. Tak apalah. Ma ada simpan duit yang anak-anak bagi. Yang abah bagi saban bulan. Pergilah.”
3 minggu sahaja dari tarikh ma call aku, aku sudah memijak tanah haram. Seorang diri aku pergi mencari diri yang hilang. Mencari tujuan hidup yang makin kelam. Mencari kebahagiaan yang makin terendam.
Aku hadap segala ujian sendiri di sana. Demam seorang diri. Menggigil seorang diri. Aku panjat Bukit Ajyad. Aku cari tok guru orang kita yang menetap di sana.
Aku minta mereka doakan aku. Setiap orang asing yang aku temui sepanjang jalan menuju Masjidilharam, aku minta mereka doakan kau.
“Doa ana.”
Itu je yang aku ucap setiap kali jumpa sesiapa yang mendekati aku.
Untuk Bahagia Perlu Membahagiakan
Sebaik pulang dari umrah, aku merenung lebih dalam. Aku membaca perkongsian positif yang ada. Aku cari di mana punca keberkatan rezeki. Aku mencari bagaimana untuk hidup bahagia.
Dan apa yang aku jumpa, untuk bahagia kita perlu membahagiakan.
Dari situ aku turun padang membantu fakir miskin dan anak-anak yatim. Walau masa tu aku sendiri tak berduit, namun aku bantu sekadar yang mampu.
Setiap kali ziarah, aku minta mereka doakan aku dan para penyumbang.
“Doakan saya. Doakan saya. Doakan saya.”
Itu yang aku duduk ulang-ulang dari dulu. Benarlah, bila kita bantu orang, Tuhan akan hantar orang baik-baik mendekati kita. Yang percaya pada kita. Yang sudi mengirim duit sampai puluhan ribu pada aku untuk disalurkan kepada orang miskin dan anak yatim.
Betapa mereka percaya pada aku yang bil letrik tertunggak, yang bank call nak tarik kereta. Mereka serah bulat-bulat tanpa minta bukti, tanpa usul periksa.
Dan inilah ujian yang besar. Ujian keikhlasan dan ujian amanah orang.
Aku sampaikan 100% kiriman orang. Tidak ada seringgit aku ambil untuk diri waima untuk mengisi minyak motor. Tiada seringgit aku ambil untuk buat makan nasi walau aku tak berduit sesen untuk membeli makanan tika itu.
Itu amanah orang. Abah pesan, jaga amanah lebih dari jaga nyawa sendiri. Aku pegang itu ketat-ketat dalam hati.
2017 aku mula menulis buku. Walau keuntungan kecil, aku terus saja. Senaskah buku yang dijual, royalti aku sekitar RM1 sahaja. Kalau aku jual sendiri, dapat la dalam RM5 untung senaskah.
Walau senaskah orang nak COD, aku tunggu tepi jalan kadang sampai sejam. Hanya untuk RM5 tuan tuan.
Apa yang aku dapat, aku simpan sebahagian, sebahagian yang lain aku bagi kat ma abah, sebahagian yang lain aku belanja isteri dan anak-anak, sebahagian yang lain aku sedekahkan yang aku sendiri sampaikan dengan tangan ini.
Dari situ bermula perubahan dalam ekonomi aku. Tuhan kirim puluhan ribu netizen follow aku. Tuhan kirim orang baik-baik mendekati aku. Tuhan kirim orang-orang berjaya mendekati aku.
Mereka dengan rela, mereka dengan ikhlas mengheret tangan aku membuka peluang aku bekerjasama dengan mereka. Mereka ajar satu persatu dengan rela tanpa caj apa-apa.
Mereka hanya ingin berkawan dengan seorang cikgu biasa yang tiada apa-apa ini.
Mereka tidak kisah duduk semeja dengan orang yang bil letriknya dah sampai surat merah, yang saban bulan makan berhutang di kantin.
Sedikit demi sedikit aku mula menyimpan. Aku main kutu, aku potong tabung haji. Dan aku perbanyakkan sedekah dan zakat. Nafkah untuk isteri, duit bulanan untuk ma dan abah aku naikkan dari masa ke semasa bila income bertambah.
Aku tidam enjoy untuk diri sendiri. Tidak.
Aku masih naik Ex-5 buruk yang dibeli second hand sahaja. Telefon aku telefon second hand juga. Ada lebih, aku simpan sebahagian, beri pada keluarga sebahagian, dan sebahagian wajib untuk sedekah dan zakat.
Dan buat kali pertama aku bawa isteri, anak-anak, mak dan adik-adik ipar melancong ke Kundasang, Sabah pada 10 Disember 2018.
Itulah kali pertama kami melancong setelah simpanan dan kewangan aku makin kukuh. Ya tuan tuan. Kalian yang baru follow aku, inilah antara kisah kehidupan aku. Aku bukan kaya asal.
Aku bukan lahir atas dulang emas. Aku makan tidak disuap oleh dayang. Aku usaha. Aku usaha. Aku usaha. Dan yang pasti, kembalilah pada Yang Maha Esa. Kunci segala bahagia, kunci segala rezeki, kunci segala rahsia ada ditanganNya.
Semoga sedikit perkongsian ini tidak membuat aku rasa lebih dari sesiapa. Aku cuma seorang hamba. Aku cuma seorang bapa. Aku cuma seorang suami. Aku cuma seorang lelaki yang gigih mengubah nasib diri demi keluarga.
Aku sentiasa berdoa agar aku sentiasa menunduk. Tidak sombong tidak ujub.
“Tuhan jangan kau izin aku lupa. Jangan kau biarkan aku mendepang dada. Pasakkan hatiku pada kaki. Paksakan ku tunduk sehingga mati.”
Pempengaruh media sosial, Adira Salahudi yang kini sedang menanti kelahiran cahaya mata ketiga sempat menjawab pelbagai pertanyaan pengikutnya mengenai perancangan hamil.
Menerusi sebuah posting di Instagram Story, Adira menjawab satu soalan daripada netizen berhubung perancangannya dan suami untuk mendapatkan cahaya mata.
Menurut Adira, dia tidak pernah merancang soal anak namun dia dan suami direzekikan untuk menimang cahaya mata cepat kerana dia bunting pelamin semasa bulan madu.
“Saya bunting pelamin masa bulan madu tetapi saya tak tahu. Paling tak percaya macam mana boleh mengandung awal sangat. Mungkin waktu menikah tu saya tengah subur.
“Alhamdulillah, Allah hadirkan Arsel secepatnya. Kemudian secara tak sengaja, saya mengandung Alva masa Arsel empat bulan. Sumpah tak kelakar. Memang trauma dan silap langkah.
“Tapi setiap anak pembawa rezeki masing-masing. Mengandung dia paling senang sampai berpantang. Cuma beranak sakit,” kongsinya.
Adira yang kini sedang menanti kelahiran anak ketiganya mula rasa rindu untuk kembali mengandung selepas tiga tahun.
“Sekarang saya dah boleh fokus kerja dan ada pembantu. Jadi tengah menghitung hari anak ketiga keluar dengan selamat. Doakan Adira ya,” tulisnya.
Terdahulu Adira dan suaminya, Ammar Azizzan mendirikan rumah tangga pada 3 Oktober 2019. Pasangan ini dikurniakan dengan dua orang cahaya mata dan bakal menantikan kelahiran anak ketiga mereka.
Isu bawa anak naik stroller di tempat sesak mencetuskan perdebatan hangat di media sosial apabila ada yang mengecam tindakan ibu bapa, namun ramai tampil mempertahankan mereka.