Sampai hati langgar murid sekolah ketika nak melintas jalan. Seorang murid Tahun Lima cedera patah jari kaki selepas dilanggar kereta yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mabuk.
Paling menyedihkan kejadian berlaku ketika pelajar melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Port Dickson di sini.
LELAKI MABUK PANDU MYVI
Ads
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, kejadian jam 7.10 pagi itu berlaku ketika Perodua Myvi dipandu suspek dalam perjalanan dari Pekan Port Dickson menghala ke Teluk Kemang.
“Pemandu itu gagal mematuhi lampu isyarat merah dan telah melanggar murid berkenaan.
“Kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami patah ibu jari kaki kanan serta luka di bahagian kaki dan tangan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ads
Ujarnya, bertindak atas kejadian itu, polis menahan pemandu kereta terbabit yang berusia 28 tahun.
Menurutnya, ujian saringan yang dilakukan mendapati bacaan alkohol pemandu berkenaan sebanyak 230mg alkohol/100ml darah.
Ads
“Suspek direman bermula Khamis sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sabit kesalahan pemandu boleh dikenakan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000,” katanya
Sumber: Sinar Harian
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Jus tembikai tanpa air tular, peniaga asal berlapang dada bila idea ditiru – “Tak perlu minta izin.” Itulah reaksi penuh tenang daripada pasangan suami isteri yang menjadi pencetus kepada jualan jus tembikai ‘piyor’ sehingga mencetuskan fenomena di media sosial.
Selepas perniagaan kecil mereka mendapat perhatian dan sambutan luar biasa, timbul pula beberapa peniaga lain yang mula menjalankan konsep serupa. Ada yang menggunakan ais kiub daripada buah, malah ada juga yang terus menjual jus tembikai tanpa campuran air seperti yang diperkenalkan pasangan ini.
Namun berbeza dengan tanggapan ramai, mereka tidak sedikit pun meluahkan rasa marah atau kecewa.
Menerusi perkongsian di Threads, Aida Yasmin yang merupakan isteri kepada peniaga asal tampil bersuara secara terbuka. Katanya, dia mendapat maklumat ada penjual lain mula meniru konsep jualan mereka selepas jus tembikai tanpa air tular di media sosial.
“Dapat info ada seller lain dah mula tiru kami jual air guna ice cube buah. Ada penjual yang baik sikit siap DM minta izin buat benda sama.
“Kepada penjual-penjual itu, tidak mengapa. Awak bukan tiru, awak cuma pinjam idea sahaja,” tulisnya.
Kenyataan itu nyata mengundang pujian ramai. Dalam suasana persaingan perniagaan yang semakin sengit, sikap berlapang dada seperti ini bukanlah sesuatu yang mudah.
Menurut Aida lagi, idea tersebut bukanlah hak mutlak mereka. Segala ilham yang hadir juga atas izin dan kurniaan Allah. Baginya, apabila jus tembikai tanpa air tular, ia adalah aturan rezeki yang telah ditentukan.
“Idea kami ini pun bukan hak kami. Kalau Allah tak bagi ilham, kami pun tak dapat juga. Kami berlapang dada, teruskan apa yang awak buat, tak perlu minta izin.”
Suaminya juga berkongsi pendirian sama. Bagi mereka, apa yang lebih penting adalah doa agar perniagaan kecil yang diusahakan di Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur itu terus dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan.
Terdahulu, jus tembikai tanpa air tular kerana konsepnya yang 100 peratus menggunakan isi buah segar tanpa campuran air, gula atau bahan tambahan. Konsep yang ringkas tetapi menepati citarasa pengguna masa kini yang lebih mementingkan kesihatan.
Dengan harga RM4 untuk saiz kecil dan RM6 untuk saiz besar, ia dianggap berbaloi serta lebih sihat berbanding minuman manis lain di pasaran.
Menariknya, di ruangan komen media sosial, ada peniaga lain berkongsi bahawa mereka menukar jualan daripada aiskrim kepada jus tembikai tanpa air selepas perniagaan terdahulu kurang mendapat sambutan.
“11 hari tak ada duit masuk sebab aiskrim tak laku. Bila air tembikai viral, terus terjaga dari lena,” kongsi seorang netizen.
Kisah jus tembikai tanpa air tular ini sebenarnya lebih daripada sekadar cerita bisnes viral. Ia tentang sikap, tentang kepercayaan kepada rezeki dan tentang hati yang tidak sempit apabila melihat orang lain turut sama mencari nafkah.
Dalam kehidupan berkeluarga, nilai seperti ini sangat besar maknanya. Anak-anak belajar daripada contoh ibu bapa. Apabila melihat ibu ayah berniaga dengan jujur, tidak berdendam dan percaya bahawa rezeki tidak pernah salah alamat, di situlah lahirnya keberkatan.
Fenomena ini juga membuktikan bahawa dalam dunia keusahawanan, persaingan tidak semestinya membawa permusuhan. Kadangkala, ia membuka ruang kolaborasi, inspirasi dan peluang yang lebih luas untuk semua pihak.
Semoga kisah pasangan ini menjadi inspirasi buat lebih ramai usahawan kecil. Berniagalah dengan ikhlas, bersaing secara sihat dan jangan lupa, doa adalah senjata paling ampuh dalam mencari rezeki.
Bila kita dipukul, apa tindakan yang perlu kita buat. Tular seorang wanita telah dipukul oleh seorang lelaki gara-gara terlanggar anaknya yang melintas secara tiba-tiba. Keganasan fizikal seperti dipukul merupakan satu perbuatan jenayah yang serius dan tidak boleh dipandang ringan.
Setiap individu mempunyai hak untuk dilindungi daripada sebarang bentuk keganasan, sama ada berlaku di tempat awam mahupun di kawasan persendirian. Sekiranya seseorang memukul kita, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil mengikut undang-undang dan prosedur yang betul.
Berikut perkongsian penuh info Mufarwa Farid yang merupakan seorang peguam di Messrs Hanif Hassan & Co dan juga pensyarah di Fakulti Undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia.
1- Report polis. Kes itu akan dibawa ke Mahkamah oleh Pendakwa Raya. Orang yang pukul kita tu akan dihukum penjara setahun atau denda RM2000 (Seksyen 323 Kanun Keseksaan).
2- Saman. Kita failkan saman terhadap orang yang pukul tu dan kita boleh minta seberapa banyak ganti rugi yang kita mahukan daripada dia.
3- Boleh ke kita buat dua-dua? Ya boleh.
4- Boleh ke kita buat salah satu saja? Ya, pun boleh. Tapi, report polis tu wajib buat dulu.
5- Apa beza antara dua itu?
Kalau report polis, kes tu jadi kes jenayah. Kita tak perlu lantik Peguam sebab ‘peguam’ kita adalah Pendakwaraya. Dia akan backup kita di Mahkamah nanti.
Kalau kita saman, ini hanyalah kes sivil. Kita perlu ambil Peguam dan Peguam akan uruskan prosedur dan backup kita di Mahkamah.
6- Kalau takda duit nak bayar Peguam macam mana?
Kalau takda duit, tak perlu saman. Tak perlu hire Peguam. Biarkan saja kes tu jadi kes jenayah saja. Pendakwaraya itu percuma. Kita tak perlu bayar apa-apa.
7- Kalau saya report Polis, tapi Polis tak nak teruskan kes. Macam mana?
Dapatkan maklumat anggota Polis yang ambil report. Nama anggota tersebut ada dalam report yang kita buat. Kemudian, buat aduan di Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan.
Anda boleh lakukan aduan melalui emel atau secara terus di laman web suruhanjaya ini.
Terpisah selama tujuh tahun dengan keluarga adalah rindu yang tidak dapat terungkap. Demi mencari rezeki buat keluarga adalah pengorbanan yang tinggi nilainya.
Lebih meruntun jiwa, sepanjang perpisahan itu, tidak dapat melihat momen anak didepan mata. Begitulah kasihnya ibu bapa, yang sanggup meletakkan kebahagiaan keluarga mengatasi segalanya.
Namun, di balik setiap pengorbanan itu, tersimpan juga kisah anak sulung yang jarang kita lihat. Menjadi anak sulung, bukanlah tugas yang mudah sepanjanga ketiadaan ibu bapa.
Malah, bergelar anak sulung ini pastinya dia melihat jatuh bangun ibu bapa, memahami keperitan yang mereka lalui tanpa perlu diberitahu.
Sebagaimana perkongsian sebuah video yang viral di TikTok di muat naik menerusi akaun @anisumaira90, yang juga seorang isteri juga ibu, menyentuh hati warga maya.
Video tersebut merakamkan detik bahagia yang tak tergambarkan oleh pasangan suami isteri yang akhirnya dapat memeluk kembali anak sulung mereka selepas tujuh tahun terpisah.
Difahamkan, pasangan tersebut bekerja di Australia dan terpaksa meninggalkan anak sulung mereka bersama keluarga di Malaysia.
“Ya Allah, anak kami yang tinggi paras paha sekarang dah sama tinggi dengan mama,” coret wanita berkenaan.
Berjauhan selama 7 tahun bukanlah pilihan mereka, pada awalnya pasangan ini berniat untuk bekerja selama tiga bulan sahaja, tetapi takdir menentukan lain.
“Anak sulung stay dengan family. Niat kami ke Australia untuk tiga bulan sahaja, tetapi macam-macam jadi. Kami kena tipu, gaji tak dibayar dan terpaksa menumpang rumah orang. Banyak kalau nak diceritakan,” jelasnya.
“Anak sulung kami tersangat kuat, anak yang tersangat hebat. Dia tak pernah merungut,” tambah wanita itu lagi.
NETIZEN MERUNTUN JIWA
Meninjau di ruangan komen, video yang kini mencecah hampir dua juta jumlah tontonan itu mendapat reaksi pelbagai daripada warga maya.
“Tujuh tahun bukan masa yang singkat, kesian anak. Tolong jangan tinggalkan dia lagi, dia nak kasih sayang mak ayah,”
“Kesian anak merindukan mak ayahnya selama tujuh tahun. Mesti dia pernah rasa cemburu dengan orang yang ada mak ayah depan mata,”
“Walaupun selalu gaduh dengan anak sulung tapi tengok video ni hati rasa sebak. Apa perasaan anak sulung dia,”
Ada juga ‘throwback’ mengenang momen lalu bersama keluarga
“Tiba-tiba mengalir air mata bila mak dia peluk anaknya. Bestnya kalau dapat peluk tubuh mak lagi,”
“Nak peluk mak tapi mak dah tiada. Mampu peluk gambar sahaja,”
Sumber: anisumaira90
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Zara Qairina kembali menjadi perhatian apabila ucapan “Sanah Helwah Raa” daripada ibunya mengundang sebak ramai, menggambarkan rindu yang tidak pernah padam.