“Lemah & ‘Lost’ Lepas Suami Pergi Mengejut.” Ibu Pembakar Semangat Dorong Laila Nasir Bangkit Besarkan Dua Anak

Share

Laluan hidup pelakon Laila Nasir,  dalam membesarkan dua anak lelaki sejak kematian suami tercinta kira-kira lapan tahun lalu tidak semudah disangkakan.

Biarpun kelibatnya dalam dunia lakonan tidaklah segah pelakon lain, namun wajahnya sering menghiasi kaca TV. Keupayaannya memegang watak baik mahupun antagonis dengan baik membuatkan namanya jarang tercicir daripada senarai pilihan penerbit mahupun pengarah.

Lemah & Lost Lepas Suami Pergi

Menelusuri sisi sebagai seorang ibu, akui damatis ini, ia bukan semudah disangkakan. Sementelah suami tersayang pergi buat selama-lamanya.

“Menjadi ibu tunggal sekelip mata selepas suami meninggal dunia merubah segala-galanya. Tapi ketika itu saya bernasib baik memandangkan kedua anak sudah bersekolah menengah. Jadi mereka sudah pandai bawa diri.

“Saya juga menjaga mereka tanpa bantuan sesiapa. Waktu itu ada ketika saya bagai lemah dan ‘lost’. Tapi anak jadi suntikan semangat untuk saya kerja lebih kuat.

“Awalnya memang sukar untuk saya membahagikan masa antara kerjaya seni dan tanggungjawab. Manalah nak uruskan anak dan ‘shooting’ selain berniaga,” tambahnya lagi lebih-lebih lagi anak-anaknya masih kecil dan dia satu-satunya tempat mereka bergantung.

Ibu jadi nadi dan pembakar semangat

Dek kerana itu, dia cuba positifkan diri dan tidak menjadikan gelaran ibu tunggal sebagai penghalang.

“Tak mudah sebenarnya nak mengharungi hidup tanpa suami. Dengan pandangan itu ini daripada masyarakat. Tapi saya tak larut dengan semua itu. Saya tanamkan semangat positif dalam diri.

“Dalam soal membesarkan anak, saya pasti mahukan yang terbaik untuk mereka tanpa fikir lelah. Kalau kita tak buat itu ini, ibarat takkan ada yang lakukan semua diingini. Jadi, belajarlah buat semua sendirian.

“Keluarga terutama emak menjadi nadi dan pembakar semangat buat saya. Terutamanya emak yang banyak membantu menjaga anak dan memberikan semangat. Doa ibu itu kan sangat mukjizat,” katanya lagi.

Anak ikut jejak Dalam bidang seni

Berkongsi mengenai perkembangan anak-anaknya, Laila mendedahkan anak bongsunya kini mulai berminat untuk mengikut jejak langkahnya dalam bidang seni.

“Cuma yang bongsu itu lebih kepada minat kerja belakang tabir dan bercita cita nak jadi pengarah kelak. Dia baru tamat pengajian dalam jurusan perfileman di Kuala Lumpur Film School.

“Sekarang tengah menjalani latihan praktikal di bawah seliaan Adlin Aman Ramlie. Sebagai ibu saya tumpang bangga dan mendoakan yang terbaik untuknya,” katanya yang baru sahaja selesai penggambaran drama Cinta Yang Tertangguh arahan Amie Maziah.

Tidak sekadar aktif Dalam dunia lakonan, Laila juga turut mengusahakan bisnes minyak wangi dan pelbagai sambal bilis sejak 2014 lagi. Terbaru, Laila menerima Anugerah Kelantan Business Ikon Awards pada 17 Disember lalu.

“Dengan dunia berlakon dan berniaga itulah saya dapat membesarkan anak serta meneruskan kelangsungan hidup,” katanya lagi.

 

 

IKLAN