Isu penggunaan tablet dikalangan kanak-kanak sentiasa diperkatakan. Pelbagai persoalan dan pendapat dikupas mengenai tablet yang dikatakan bahaya kepada kanak-kanak. Namun bagi berbeza pula pandangan pakar ini.

Ikuti perkongsian Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Ketua Pusat Pengajian  di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak dan Penyelidik Aktif Psikologi Perkembangan Tahun Awal Serta Sosiologi Pendidikan Usia Praformal.

Sukar untuk kita mencari pakar perkembangan kanak-kanak yang menentang penggunaan komputer tablet oleh kanak-kanak awal usia (0 hingga tiga tahun) dan juga yang baru meningkat ke alam pendidikan praformal (empat hingga enam tahun ke atas). Tetapi ada satu prasyarat yang perlu dipatuhi. Penggunaan komputer tablet wajib dikawal daripada sudut masa dan juga tempat.

Fikirkanlah! Perkara yang baik pun kalau melampau-lampau akan membawa mudarat. Terlalu banyak minum, terlalu banyak makan, terlampau lama mandi, terlampau taksub bersenam terlalu asyik berfikir sekali pun, semua perkara baik ini, namun tanpa kawalan akan membawa bahaya tanpa kita sedari.

Yang pasti, untuk anak-anak, mereka bukan hidup pada zaman Jurassic! Maka, untuk menidakkan penggunaan komputer tablet, telefon pintar atau gajet lain kepada mereka tidak masuk akal malah akan memperbodohkan kanak-kanak itu. Tablet adalah keperluan masa hadapan yang wujud dalam dunia kita pada hari ini.

Berikut persoalan lazim yang ditanya oleh ibu bapa yang menjadi penanda aras bahawa tablet tidak bahawa jika digunakan secara berhemah.

Persoalan pertama:

“Tapi, kami dengar cerita ada seorang budak jadi terencat akal sebab tablet…”

Satu kisah ‘lagenda’ tentang bahaya tablet kepada kanak-kanak dikongsi oleh Dr Richard Graham, pakar perubatan yang ‘merawat’ kes anak kecil empat tahun yang ‘ketagihan’ tablet. Namun, beliau sebagai perunding Hospital Capio Nightingale, London tidak percaya kanak-kanak akan menjadi ‘penagih teknologi’ yang sama kelas dengan penagih dadah.

Di Malaysia, cerita dongeng tentang bahaya tablet bermula apabila kumpulan penyelidik sebuah IPT kononnya telah dapat melihat hubung kait antara komputer tablet dengan kerencatan otak serta perkembangan kanak-kanak. Satu Malaysia pun terus menjadi takut dan komputer tablet menjadi hantu syaitan yang ditakuti.

Realitinya? Penggunaan tablet kini menjadi salah satu terapi untuk merawat kecederaan otak. Dan, penggunaan tablet yang terkawal dengan aplikasi-aplikasi (apps) yang sesuai dengan usia kanak-kanak 0 hingga enam tahun, lebih-lebih lagi yang berbentuk pengajaran dan pembelajaran, kita terbukti membantu dan mendorong tahap perkembangan mereka!

 Persoalan Kedua :

“Tapi, kawan kami, anak dia sampai tidak boleh berenggang dengan tablet…”

Fikirkanlah! Adakah ini bukti bahaya komputer tablet? Atau adakah ini bukti mama dan papa yang gagal mendidik si kecil mereka dengan sebaiknya? Yang menjadi masalah besar hari ini ialah tablet digunakan seperti puting getah yang kita sumbat ke dalam mulut bayi untuk menenangkan mereka dan menyuruh mereka senyap!

Tablet adalah gajet atau peranti yang bukan bersifat penenang. Tetapi, kita lihat papa dan mama di luar sana kerap memberikan tablet atau telefon pintar kepada si kecil ketika mereka sedang makan di luar, misalnya. Apabila si kecil itu terleka maka mama dan papa pun boleh makan dengan tenang, bukan?

IKLAN

Dari perspektif psikologi setiap yang dibiasakan pasti menjadi kebiasaan, proses ini dipanggil pelaziman (habituation). Nah, apabila si kecil lazim mendapat ‘ketenangan’ dan leka apabila diberikan tablet atau telefon pintar, kita yang dewasa ini menuduh kanak-kanak tidak boleh berenggang dengan gajet. Salah siapa sebenarnya sedari awal?

Persoalan  ketiga:

“Tapi, anak jiran kami, lepas pakai tablet jadi anti-sosial dan lambat bercakap…”

Salah satu kecaman yang sering diberikan kepada komputer tablet dan gajet lain ialah peranti-peranti moden ini menjadikan kanak-kanak anti sosial, melambatkan proses percakapan dan juga melambatkan penguasaan kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira) yang wajib untuk proses persekolahan kelak!

Maka, papa dan mama yang kononnya prihatin pun terus mengharamkan komputer tablet daripada kehidupan anak kecil mereka. Namun, dalam dunia di mana mesin-mesin yang menggunakan skrin sesentuh (touchscreens) semakin berleluasa, adakah mama dan papa sedar bahawa tindakan ini tidak bijak malah bakal membantutkan perkembangan?

IKLAN

Hari ini aplikasi-aplikasi (apps) yang sesuai untuk kanak-kanak 0 hingga enam tahun sudah banyak di pasaran, termasuklah yang boleh dimuat turun percuma. Dan, para saintis sosial kini giat mengumpul data penyelidikan tentang aplikasi-aplikasi komputer tablet yang membantu perkembangan si kecil, termasuklah si kecil yang kelainan upaya. Hebat, bukan?

 Persoalan Keempat:

Bahayanya apabila si kecil tidak tahu menggunakan komputer tablet!

Kekadang lucu apabila kita memikirkan ramai orang yang bercakap mengenai kanak-kanak dan perkembangan, tidak mempunyai pandangan dunia dan maklumat sahih tentang dunia kanak-kanak serta pendidikan. Isu ini menjadi lebih kritikal apabila wujud pula ‘pakar-pakar’ yang bercakap kosong tanpa ilmu dan bukti saintifik.

Bahaya sebenar hari ini ialah apabila si kecil anda tidak tahu menggunakan komputer tablet sedangkan dunia kita semakin dipenuhi gajet-gajet dengan skrin sesentuh dan yang seumpamanya. ‘Mengharamkan’ tablet kepada si kecil anda bukan hanya tidak adil malah akan membawa kerugian kelak (kerana anak anda akan menjadi seperti dinosaur).

Kesimpulannya, sekali lagi ditekan, penggunaan komputer tablet yang terkawal dari sudut masa,  dan tempat, ditambah aplikasi-aplikasi (apps) yang sesuai untuk kanak-kanak 0 hingga enam tahun, sudah terbukti sebagai pendorong perkembangan awal usia. Malah, pada hari ini menjadi suatu keperluan dari perspektif pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi!