Mahkamah ada kuasa arahkan gali semula kubur Zara Qairina untuk bedah siasat jika perlu. Mahkamah di Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah menggali semula kubur bagi mengeluarkan jenazah, khususnya untuk tujuan menjalankan bedah siasat semula, selaras dengan peruntukan dalam Kanun Tatacara Jenayah.
Mahkamah Ada Kuasa Arahkan Gali Semula Kubur Zara Qairina Untuk Bedah Siasat Jika Perlu
Menurut Peguamcara dan Peguambela, Nor Zabetha Muhamad, walaupun mayat yang telah lama dikebumikan tidak lagi mempunyai tisu lembut yang boleh dinilai kerana proses pereputan, namun kecederaan pada tulang masih boleh dikesan dan menjadi bukti penting.
Katanya, perkara ini pernah dijelaskan oleh Ketua di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh ketika memberikan keterangan dalam kes kematian Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain.
“Saya ambil keterangan Ketua di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh dalam kes kematian kadet Zul Farhan (PP lwn. Muhammad Akmal Zuhairi Akmal & Ors [2024] 1 CLJ 795).
“Bagi orang Islam perlu mendapatkan keizinan khas Jabatan Agama Islam Negeri. Bagaimanapun, sudah tentu jika mayat mangsa dikeluarkan, keadaannya tidak sama tetapi banyak kecederaan tulang akan kelihatan.
“Sebenarnya terdapat banyak kes di Malaysia, jenazah yang ditanam telah digali semula ‘exhume’ atau ‘exhumation’ untuk bedah siasat,” katanya menerusi Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, tular kisah seorang ibu, Noraidah Lamat yang memohon bantuan guaman untuk memulakan proses menggali semula kubur anaknya, Zara Qairina Mahathir bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan terhadap kematiannya.
Nor Zabetha turut berkongsi satu lagi kes melibatkan kematian Dr Sebastian Joseph, di mana bapa mangsa, Joseph Anthony telah memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mengebumikan semula mayat anaknya bagi menjalani bedah siasat kali kedua pada 7 Januari 2015.
Beliau menjelaskan bahawa hasil bedah siasat kedua mendakwa bedah siasat pertama dilakukan secara cuai dan tidak mengikut piawaian profesional, manakala siasatan polis pula dikatakan tidak dijalankan dengan teliti.
“Jadi Plaintif sebagai bapa menyaman pegawai perubatan, polis, pengarah hospital, Ketua Polis dan Kerajaan Malaysia.
“Dalam kes ini terdapat isu-isu tentang kedudukan undang-undang antaranya kewajipan pegawai perubatan adalah untuk kepentingan masyarakat dan bukan pada keluarga, terdapat isu had masa.
Ads
“Berdasarkan Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948, tindakan terhadap pegawai awam atau pihak berkuasa Awam mestilah dalam tempoh tiga tahun dari perbuatan. Memandangkan tindakan ini diambil melebihi tiga tahun, jadi tuntutan plaintif ditolak,” jelasnya.
Peguam, Nor Zabetha Muhamad.
Selain itu, Nor Zabetha juga mengulas kes Zahidah Ahmad dan adik tirinya Maznah, di mana pihak polis telah mendapatkan perintah mahkamah untuk menggali semula jenazah ibu tiri mereka, Tanziah Zainuddin, yang telah dikebumikan tanpa sebarang bedah siasat.
Ketika memandikan jenazah, keluarga menyedari adanya kesan lebam namun urusan pengebumian tetap diteruskan. Namun kemudian, gelang emas milik Allahyarham didapati hilang dan ditemui telah digadai oleh teman lelaki Zahidah, menyebabkan keluarga mengesyaki unsur jenayah dan membuat laporan polis.
“Sewaktu memandikan jenazah, ahli keluarga nampak kesan lebam tetapi meneruskan urusan pengebumian.
“Selepas kejadian, gelang emas mangsa hilang dan dijual di kedai pajak oleh teman lelaki Zahidah.
“Ahli keluarga mula syak terdapat unsur jenayah, laporan polis dibuat. Setelah mayat digali, bedah siasat dijalankan namun punca kematian tidak dapat dipastikan kerana pereputan,” katanya.
Ads
Kedua-dua tertuduh dalam kes ini akhirnya dijatuhi hukuman. Maznah dikenakan perintah tahanan di bawah Yang di-Pertuan Negeri disebabkan statusnya sebagai remaja semasa kejadian. Zahidah pula disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dijatuhi hukuman penjara selama 30 tahun.
“Keputusan untuk menggali semula mayat bukan mudah tetapi ahli keluarga akan cuba mencari keadilan sewajarnya kerana mereka mahukan jawapan,” tambah Nor Zabetha.
Lelaki pandu myvi redah masuk kawasan sekolah, langgar lari pelajar perempuan 13 tahun. Seorang pelajar sebuah sekolah menengah cedera selepas dilanggar seorang lelaki menggunakan kereta dalam kejadian di Taman Bintang, Manjung, Perak pada petang Rabu.
Lelaki Pandu Myvi Redah Masuk Kawasan Sekolah, Langgar Lari Pelajar Perempuan 13 Tahun
Susulan kejadian itu, Polis telah menahan seorang lelaki yang terbabit dengan kejadian langgar lari membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun. Kejadian itu berlaku di dalam sebuah sekolah menengah di Taman Bintang, Pantai Remis.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, penganggur berusia 47 tahun itu telah ditahan pada hari yang sama. Suspek juga telah dirujuk ke hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut kerana disyaki mental tidak stabil.
Kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang apabila kenderaan yang dipandu suspek meluru dan melanggar pintu pagar sebuah gelanggang bola keranjang hingga roboh.
Mangsa seorang pelajar perempuan yang berusia 13 tahun mengalami kecederaan di kaki kiri akibat dirempuh secara melulu ketika sedang berlatih bola tampar. Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Seri Manjung.
“Suspek merempuh mangsa sebelum melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Isteri kepada pelakon terkenal Datuk Fizz Fairuz, Datin Almy Nadia, berkongsi pengalaman dan tip berpuasa bagi ibu yang menyusukan bayi.
Menurutnya, perkara paling utama yang perlu dititikberatkan ialah tidak meninggalkan sahur, kerana ia amat penting untuk memastikan bekalan susu badan tidak berkurang sepanjang tempoh berpuasa.
“Saya memang wajib sahur, tak boleh tinggal langsung. Sebab kalau tak sahur, nanti susu cepat drop. Saya fully breastfeed, anak pun baru nak masuk 6 bulan, jadi memang kena jaga betul-betul pemakanan,” ujar Almy.
Selain itu, beliau juga menekankan kepentingan pengambilan makanan yang seimbang, khususnya nasi sebagai sumber tenaga utama.
“Saya memang pastikan makan nasi setiap hari, masa sahur dan berbuka. Nasi ni penting sebab ia bagi tenaga dan bantu penghasilan susu. Minum air pun kena cukup, jangan skip.”
Untuk mengekalkan hidrasi sepanjang hari, Almy turut mengesyorkan ibu menyusu agar minum air secukupnya dan mengambil kurma sebagai sumber tenaga semula jadi. Jika ada suplemen yang sesuai, ia juga boleh membantu, tetapi yang paling penting adalah pemakanan yang cukup dan seimbang.
Selain aspek fizikal, Almy turut menasihatkan ibu menyusu supaya sentiasa berfikiran positif. Menurutnya, emosi yang baik boleh mempengaruhi penghasilan susu. “Kena selalu positif, jangan stres sangat. Kalau kita happy, susu pun akan mengalir dengan baik. Itu yang saya amalkan.”
Dalam perkongsian tersebut, Almy turut menyebut bahawa ibu hamil juga perlu lebih berhati-hati sekiranya ingin berpuasa. “Sama juga macam ibu mengandung, kalau nak puasa, wajib sahur. Jangan skip. Mesti makan nasi dan minum air secukupnya.”
Dengan pengalaman dan tip yang dikongsikan ini, diharapkan ibu-ibu menyusu yang berpuasa dapat terus menjalani ibadah dengan lancar dan memastikan keperluan bayi tetap terjaga.
Anak bongsu genap setahun, Zaquan Adha, Ayu Raudhah ziarah pusara- “Selamat ulang tahun, anak syurgaku…” Kehilangan anak adalah ujian paling berat buat seorang ibu dan ayah. Tiada kata yang mampu menggambarkan peritnya perasaan bila melihat jasad kecil yang dulu ditimang, kini terbujur kaku.
Anak Bongsu Genap Setahun, Zaquan Adha, Ayu Raudhah Ziarah Pusara- “Selamat Ulang Tahun, Anak Syurgaku…”
Sama ada si kecil pergi sewaktu dalam kandungan, ketika baru dilahirkan, atau selepas sempat membesar di pangkuan, rasa sakitnya tetap sama. Ia bukan sekadar kehilangan, tetapi seperti sebahagian jiwa direntap keluar dari tubuh. Sunyi, kosong, dan perit yang sukar diubati.
Umum mengetahui anak bongsu kepada pelakon Ayu Raudhah dan bekas pemain bola sepak terkenal, Zaquan Adha Abdul Radzak iaitu Muhammad Aisy Al Rees meninggal dunia ketika tidur di Seremban, Negeri Sembilan pada 11 Februari lalu.
Dalam satu hantaran di laman Instagramnya, Zaquan berkongsi momen ziarah keluarganya ke pusara anak bongsu mereka sempena ulang tahun kelahiran Muhammad Aisy Al Rees yang pertama.
Coretan Zaquan sebagai seorang ayah begitu meruntun jiwa.
Selamat Ulang Tahun, anak syurgaku… Hari ini, genaplah usiamu 1 tahun. Tapi dunia ini sunyi tanpa tawa dan tangismu, Tiada pelukmu, tiada mata bundar yang menatapku.
Daddy dan mummy tak pernah lupa bagaimana Raees hadir Seperti cahaya dari langit yang Allah pinjamkan sekejap. Sentuhan kecilmu dulu cukup untuk mengubah seluruh hidup Daddy Mummy Setiap pagi daddy masih harap dengar suara Raees menangis minta dipeluk. Tapi Allah lebih menyayangimu. Dia ambilmu pulang sebelum dunia sempat menyakitimu, sebelum dosamu bermula.
Sayang, Hari lahirmu bukan sekadar kenangan, Tapi satu hari yang kami akan raikan dengan air mata, Dan doa yang tak pernah putus.
Di taman syurga sana, Mainlah dengan kawan-kawan kecilmu, Bergembiralah di sisi para malaikat. Tunggu daddy dan mummy ya, Satu hari nanti, kita akan berlari berpelukan semula Dalam syurga yang abadi, tanpa perpisahan lagi. Amin.
Untuk rekod, anak lelaki kepada pasangan ini selamat dilahirkan pada 2 Ogos tahun lalu jam 12.57 tengah hari.
Ayu dan Zaquan berkahwin pada 21 Januari 2011 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tujuh cahaya mata termasuk Muhammad Aisy Qaiser, 12, Muhammad Aisy Aryann,11, Laura Zuleykha, 8, Muhammad Aisy Khaliq, 6, Muhammad Aisy Al Jibreel, 3, dan anak keenam yang berusia setahun.