Baru-baru ini, seorang doktor menerima pesakit kanak-kanak perempuan berusia setahun empat bulan yang mengalami pendarahan di bahagian faraj.
Semuanya selepas bermain air banjir tanpa mengenakan lampin pakai buang.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di TikTok, seorang doktor dari Klinik Safwa Pasir Tumboh berkongsi kisah pesakit yang dirawatnya ketika musim banjir.
Apa yang mengejutkan ujarnya, faraj kanak-kanak perempuan itu dimasuki lintah selepas membuat imbasan X-ray.
Ads
Gambar hiasan
“Semalam tergempar dengan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia 1 tahun 4 bulan datang ke kecemasan dengan pendarahan di faraj.
“Dalam sehari, 2 ke 4 kali tukar lampin sebab pendarahan.
“Bila periksa, tiada apa yang luka atau cedera. Sekali doktor kecemasan buat scan di bahagian pundi kencingnya ternampak benda bergerak-gerak.
Ads
“Ya Allah memang betul lintah dah masuk sampai situ,” katanya.
Gambar hiasan
Ujarnya lagi, kanak-kanak itu difahamkan bermain air banjir dengan keadaannya yang tidak berlampin.
Dalam pada itu, doktor tersebut sempat menitipkan pesanan buat para ibu bapa untuk sentiasa memantau anak-anak ketika musim banjir.
Ads
“Hati-hati ibu bapa untuk sentiasa memantau anak-anak ketika musim banjir sekarang ini. Untuk keselamatan dan kesihatan anak-anak kita juga ya,” ujarnya lagi.
SUV elektrik tiba-tiba berhenti di lebuh raya, keluarga trauma insiden mengejut. Sebuah keluarga berdepan detik mencemaskan apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik yang dibeli kurang setahun lalu tiba-tiba berhenti sendiri ketika sedang dipandu di lebuh raya.
Peristiwa itu dikongsikan oleh pemilik kenderaan, Izwan Hassan, 33, menerusi media sosial selepas insiden berlaku pada 1 Mei ketika beliau bersama ahli keluarga dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Pulau Pinang.
Izwan memaklumkan insiden berlaku di lorong kanan Lebuhraya Cheras-Kajang dengan kelajuan sekitar 90 hingga 100 km/j apabila SUV buatan China itu secara tiba-tiba membrek sendiri tanpa sebarang amaran, hanya memaparkan mesej ‘Power System Failure’ di skrin. Keempat-empat tayar juga terkunci seperti dirempuh sistem keselamatan kecemasan.
Menurut Izwan, situasi tersebut hampir menyebabkan perlanggaran kerana kenderaan lain datang dari belakang, namun beliau berjaya menghubungi pihak lebuh raya untuk bantuan segera.
“Kurang 10 minit, peronda lebuh raya tiba dan membantu mengawal lalu lintas. Saya cuba hidupkan semula sistem tetapi tidak berjaya. Walaupun gear dialihkan ke mod neutral, kereta tetap tidak boleh digerakkan kerana tayar terkunci,” katanya.
Kira-kira sejam kemudian, lori tunda dari pihak insurans sampai dan menarik kenderaan itu ke pusat servis kerana pada waktu kejadian pusat tersebut sudah tutup.
Disebabkan itu, Izwan dan keluarganya terpaksa menumpang di rumah saudara berdekatan kerana rancangan untuk pulang ke kampung terpaksa dibatalkan.
Keesokan harinya, beliau menghubungi pusat servis namun kecewa dengan sambutan yang diterima apabila diberitahu tiada kakitangan mencukupi dan temu janji diperlukan. Selepas desakan, mereka memaklumkan bahawa bateri 12 volt mengalami masalah dan siasatan lanjut perlu dijalankan.
Kenderaan tersebut memerlukan beberapa hari untuk dibaiki dan tiada kereta ganti disediakan kerana habis stok. Akhirnya, selepas beberapa kali berunding, Izwan dan keluarganya dihantar pulang ke Melaka oleh pihak berkenaan.
Tambah Izwan, ini bukan masalah pertama sejak pembelian EV itu. Sebelum ini, beliau pernah membuat aduan mengenai pengecas rumah yang rosak sejak Februari, namun tiada tindakan diambil walaupun beberapa kali dihubungi.
Pada 5 Mei, pusat servis mengesahkan bateri 12 volt perlu ditukar kerana voltan terlalu rendah. Kos penggantian sebanyak RM418 tidak ditanggung waranti kerana kenderaan telah melebihi had 20,000 km.
Lebih mengejutkan, Izwan diberitahu tiada sistem amaran untuk kerosakan bateri kecil tersebut, yang menyebabkan kenderaan secara automatik menghentikan pergerakan tanpa amaran.
Izwan menjelaskan perkongsian ini dibuat sebagai peringatan kepada pengguna EV agar lebih berhati-hati dan peka terhadap sebarang tanda masalah pada kenderaan mereka.
Ibu hamil 8 bulan yang dilaporkan hilang bersama anak 4 tahun ditemui di KLIA. Seorang wanita hamil lapan bulan dan anak lelakinya yang berusia empat tahun, yang dilaporkan hilang selepas keluar membeli makanan di sebuah kedai di Jalan Pintasan Kuantan, pada Rabu ditemui selamat oleh pihak polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.
Kakaknya, Adlin Mohd Zakaria, 36, melahirkan rasa bersyukur adiknya, Nur Nadia Mohd Zakaria, 29, dan anak saudaranya, Aydan Noah Mohd Shahmi ditemukan dalam keadaan selamat.
“Alhamdulillah, adik dan anak selamat dijumpai. Terima kasih banyak kepada pihak polis dan semua yang telah membantu,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp di sini pada Khamis.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan kehilangan wanita terbabit bersama anaknya selepas keluar membeli makanan di sebuah kedai di Jalan Pintasan Kuantan pada Rabu.
Nur Nadia kali terakhir meninggalkan rumah dengan memandu Perodua Axia berwarna biru gelap pada jam 12 tengah hari, namun tidak pulang ke rumah di Kampung Chendering sehingga lewat petang itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, mengesahkan mengesahkan dua beranak itu telah dijumpai di KLIA oleh pihak polis pada kira-kira jam 2 petang.
“Wanita itu bersama anak lelaki dalam keadaan selamat dan sekarang mereka berada di Balai Polis KLIA,” katanya ringkas.
Anak lemas dalam kolam, ibu harap keajaiban, “Moga ada doa kalian yang diangkat dan dimakbulkan Allah.” Niat Nurul Izzati Barni, berkongsi kisah pilu tentang anak bongsunya yang sedang bertarung nyawa bukanlah untuk meraih simpati.
Sebaliknya, ia dilakukan dengan harapan mendapat doa daripada masyarakat yang tersentuh dengan nasib anaknya, Che Umar Rais Che Fairollah, 4 tahun.
Selama hampir lima bulan, ibu muda berusia 30 tahun itu setia menanti keajaiban Tuhan untuk anaknya yang kini berada dalam keadaan separa kritikal selepas insiden lemas dalam kolam.
Rutin hariannya bermula seawal jam 9 pagi hingga lewat malam di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Beliau menguruskan keperluan Umar, termasuk memandikan, mengurut, dan memberi perhatian penuh sebelum pulang ke rumah.
“Saya hanya mampu melakukan apa yang termampu sebagai seorang ibu. Kita tidak tahu doa siapa yang akan dimakbulkan Allah, jadi perkongsian ini hanyalah untuk memohon doa mereka yang tersentuh dengan keadaan Umar,” katanya.
Nurul Izzati kekal yakin bahawa Umar akan kembali pulih walaupun proses pemulihan mungkin mengambil masa. Malah, naluri keibuannya menjadi kekuatan utama untuk terus berdoa dan berikhtiar.
“Saya masih ingat satu ketika darah Umar tiba-tiba turun mendadak. Doktor meminta kami sekeluarga untuk bersedia dengan kemungkinan terburuk dan reda. Namun, saya berbisik kepada Umar bahawa saya reda jika Allah lebih menyayanginya.
Tetapi jika Allah memberi peluang untuk Umar terus hidup, kami akan lakukan apa sahaja demi dia. Alhamdulillah, darahnya kembali stabil ketika itu. Sejak detik itu, keyakinan saya terhadap keajaiban Allah semakin kuat,” jelasnya, yang kini menganggap hospital seperti rumah keduanya.
Pada September 2023, percutian keluarga bertukar menjadi ujian besar apabila Umar lemas di dalam kolam. Ketika dibawa ke hospital, nadinya telah terhenti selama hampir lima minit. Keadaan itu membuatkan doktor menjangka peluang Umar untuk hidup amat tipis. Namun, doa dan kuasa Allah memberikan keajaiban apabila nadi Umar kembali berdenyut.
“Umar ditempatkan di zon kritikal dan pada awalnya langsung tidak menunjukkan sebarang pergerakan. Tetapi pada hari ke-19, dia mula menggeliatkan badannya. Sejak itu, saya terus berusaha dan tidak berhenti berdoa untuknya,” kata Nurul Izzati.
Kini, walaupun Umar masih bergantung kepada bantuan oksigen, perkembangan positif mula kelihatan. Bagaimanapun, doktor masih memantau keadaan anak matanya yang belum memberi tindak balas apabila disuluh.
“Saya faham doktor menjalankan tugas mereka, tetapi saya percaya kuasa Allah mengatasi segala-galanya,” katanya. Nurul Izzati juga berusaha memberikan makanan tambahan bagi membantu proses pemulihan Umar.
Dua anak Nurul Izzati yang lain turut merindui kehadiran Umar di rumah. Mereka sering bertanya bila dapat berjumpa adik mereka di hospital. Malah, setiap kali membeli mainan, mereka akan teringatkan Umar dan berharap dapat berkongsi kegembiraan bersamanya.
“Saya selalu pesan kepada mereka, jika benar sayangkan Umar, jangan lupa doakan kesihatannya setiap kali selepas solat. Doa mereka sebagai abang dan kakak sangat bermakna untuk Umar,” katanya penuh emosi.
Nurul Izzati turut meluahkan rasa terima kasih kepada semua yang telah menghulurkan sumbangan dan doa sepanjang tempoh sukar ini. Sokongan tersebut menjadi sumber kekuatan untuknya terus menjaga Umar dengan penuh ketabahan.
“Saya amat menghargai setiap bantuan yang diberikan. Doa dan sokongan orang ramai benar-benar memberikan saya semangat untuk terus kuat. Semoga doa-doa ini membantu Umar kembali sembuh,” tambahnya.
Kisah ini menggambarkan betapa besarnya kasih seorang ibu terhadap anaknya dan kepercayaan penuh kepada kuasa doa. Semoga Umar diberikan kesembuhan dan keluarga ini terus diberi kekuatan menghadapi ujian hidup.