Hiburan

Kesihatan Mak Jenny Makin Merosot, Nubhan Mohon Doa Ramai. “Dia Hanya Terbaring”

Share

Penyanyi Nubhan Ahamad berkongsi keadaan terkini ibunya, Badariah Omar atau lebih mesra disapa Mak Jenny, yang kini dilihat semakin merosot dari segi kesihatan sehingga hanya mampu terlantar.

Menerusi satu perkongsian di TikTok, Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad, 40, meluahkan rasa sedih melihat perubahan ibunya yang suatu ketika dahulu sangat aktif, ceria dan menjadi penguat semangat keluarga. Kini, keadaan itu berubah apabila ibunya memerlukan perhatian serta rawatan yang lebih rapi.

Kesihatan Mak Jenny Semakin Merosot

Menurut Nubhan Ahamad, kesihatan Mak Jenny semakin menurun secara perlahan-lahan sejak kebelakangan ini. Malah, hospital kini menjadi antara lokasi yang paling kerap dikunjungi oleh mereka bagi mendapatkan rawatan dan pemantauan daripada pihak perubatan.

“Kesihatan mak perlahan-lahan merosot. Daripada seorang wanita yang sentiasa aktif, yang sentiasa menjadi penguat keluarga tapi sekarang, hospital mula jadi tempat kerap kami pergi.

Rawatan demi rawatan. Dan sejak hari tu, aku mula sedar tiada siapa yang akan kekal kuat selama-lamanya,” luahnya.

Nubhan Ahamad Hargai Setiap Kenangan Bersama Ibu

Dalam luahan sama, Nubhan mengakui sebelum ini dia menyangka ibunya akan sentiasa kuat dan sihat seperti dahulu. Namun, ujian kesihatan yang dilalui Mak Jenny membuka matanya tentang betapa berharganya setiap detik bersama insan bergelar ibu.

“Dulu, aku selalu ingat mak akan kekal macam ni selamanya. Masih mampu jalan, ketawa, bergurau dengan kami.

Rupa-rupanya, Allah hanya meminjamkan saat-saat tu supaya satu hari nanti, bila aku lihat kembali semua kenangan ni, aku tahu betapa berharganya nikmat mempunyai seorang ibu yang sihat. Dan betapa cepatnya masa mengubah segala-galanya,” katanya.

Luahan itu turut menjadi peringatan kepada orang ramai supaya sentiasa menghargai ibu bapa selagi mereka masih diberikan kesempatan untuk bersama.

Mak Jenny Kini Hanya Terbaring

Lebih memilukan, Nubhan Ahamad turut berkongsi keadaan terkini Mak Jenny yang kini hanya mampu terbaring akibat masalah kesihatan yang dihadapinya.

Sebagai seorang anak, Nubhan berharap orang ramai dapat sama-sama mendoakan agar ibunya diberikan kesembuhan, dipermudahkan segala urusan rawatan serta terus diberi kekuatan menghadapi ujian.

“Inilah keadaan Mak Jenny sekarang. Doakan Mak Jenny sembuh ya. Dia hanya terbaring.

Orang selalu cakap, selagi mak masih ada, kita masih ada tempat untuk pulang. Hari ni, aku masih pulang, tapi aku dah tak boleh pulang kepada mak yang dulu. Mak yang sambut dengan senyuman, sibuk bertanya dah makan?

Sekarang, aku cuma mampu pandang wajah mak dan berdoa dalam diam,” luahnya lagi.

Ramai Titip Doa Buat Mak Jenny

Perkongsian Nubhan Ahamad di media sosial menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang turut tersentuh melihat keadaan Mak Jenny. Ruangan komen dipenuhi dengan ucapan semangat dan doa agar beliau diberikan kesembuhan serta kembali sihat.

Bagi seorang anak, melihat ibu yang dahulunya gagah, ceria dan menjadi tempat bergantung kini terlantar pastinya bukan sesuatu yang mudah untuk diterima. Semoga Mak Jenny diberikan kesembuhan, dipermudahkan segala urusan rawatan, dikurniakan kesihatan yang lebih baik serta Nubhan sekeluarga terus diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menjaga insan tersayang.

BACA LAGI : Nubhan Buka Ladang Empat Ekar, Mak Jenny Dah Boleh Buat Banyak Sambal Tempoyak Daun Kayu

Sumber: TikTok Nubhan Ahamad