Mansuh PT3, keputusan SPM tidak akan terjejas. Pemansuhan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak menjejaskan prestasi pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Mansuh PT3, Keputusan SPM Tidak Akan Terjejas
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, mengikut keputusan SPM bagi kohort selepas pemansuhan sistem peperiksaan itu, prestasi kekal baik malah ada mata pelajaran yang menunjukkan berlaku peningkatan memberangsangkan.
“Pertama, menurut keputusan SPM bagi kohort yang dimansuhkan PT3, pencapaian murid kita tak terjejas. Kita juga lihat ada subjek yang menunjukkan peningkatan dari segi kelulusan dan prestasi.
“Keduanya, apabila bercakap mengenai pemansuhan PT3 dan UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah), KPM sekarang memberi tumpuan kepada pemerkasaan pentaksiran berasaskan sekolah.
“Ini membabitkan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), sukan, penaksiran aktiviti jasmani dan kurikulum serta psikometrik,” katanya pada Waktu Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-BUkit Bintang) yang ingin tahu prestasi pelajar selepas sistem peperiksaan termasuk UPSR dan PT3 dimansuhkan, ini mengambil kira terdapat rungutan daripada ibu bapa yang mendakwa pencapaian akademik anak-anak mereka semakin merosot dengan semangat untuk belajar juga turut menurun.
Kah Woh turut berkata, pendekatan dan hala tuju KPM yang memberi penekanan kepada PBD ketika ini selaras dengan agenda pendidikan global.
“Kita dah buat perbandingan dengan negara lain seperti Finland, Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand, Hong Kong dan Jerman, kesemua negara ini sudah beralih kepada peperiksaan berpusat kepada PBD.
“Pada masa sama, pelaksanaan (PBD) juga selari dengan’Incheon Declaration And Framework For Action’ yang dibentangkan di World Education forum di Incheon, Korea Selatan.
Ads
“Deklarasi ini menggariskan pendidikan berkualiti melalui pendidikan berterusan berasaskan bilik darjah dan pentaksiran lebih komprehensif,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menjawab soalan asal Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang ingin tahu status penyediaan bank soalan berpusat yang setara standardnya untuk membantu guru dalam melaksanakan PBD termasuk menyediakan soalan bagi Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).
Kah Woh berkata, mulai sesi akademik 2024/2025, KPM memberikan autonomi penuh kepada sekolah dan guru dalam pelaksanaan UASA.
Autonomi ini merangkumi aspek penyediaan soalan ujian, pentadbiran dan pengoperasian ujian, pemeriksaan serta pelaporan.
Ads
“Dalam memastikan kelancaran pelaksanaan dan kualiti pentaksiran, KPM menyediakan format pentaksiran serta Modul Perealisasian Item bagi membantu guru dalam penyediaan soalan serta panduan penskoran.
“Selain itu, bagi memastikan soalan yang dibangunkan selari dengan kandungan kurikulum yang ditetapkan, KPM turut menyediakan Jadual Spesifikasi Ujian Piawai sebagai rujukan utama guru.
“Dalam usaha memperkasa keupayaan guru, KPM melatih seramai 259,656 orang guru dalam aspek penyediaan soalan dan pelaksanaan ujian. Latihan ini bertujuan untuk meningkatkan profesionalisme dan kemahiran guru dalam aspek pedagogi serta pentaksiran pendidikan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, bagi memastikan penjaminan kualiti yang berterusan, KPM melaksanakan kunjung bantu ke sekolah bagi memberi bimbingan dan sokongan kepada guru dalam mengendalikan ujian akhir sesi akademik.
Bayangkan rasa rindu yang tidak terucap selama dua dekad. Seorang wanita, Nor Hazimah Abdullah, dengan harapan dan air mata, memohon bantuan warga maya untuk mencari ibunya, Norhayati Mohamed, yang sudah terpisah sejak 20 tahun lalu.
Nor Hazimah, kini berusia 23 tahun, dihantar ke pangkuan keluarga angkat di Melaka ketika dia hanya berusia tiga tahun.
Ketika Nor Hazimah berumur tiga tahun, dia diserahkan kepada keluarga angkat di Melaka
Sejak saat itu, hubungan mereka terputus. Hanya alamat terakhir yang diingati di Sungai Ayer Hitam, Tanjong Minyak, Melaka – menjadi satu-satunya harapan untuk kembali bersatu.
Menerusi petikan laporan Sinar Harian, dia terlalu ingin berjumpa dengan ibu kandungnua dan berusaha untuk mendapatkan alamat terkini ibunya.
Nor Hazimah merayu bantuan orang ramai untuk menjejak ibunya, Norhayati Mohamed, yang sudah terpisah dengannya selama 20 tahun.
“Saya terlalu ingin mengenali dan berjumpa ibu. Saya berusaha mendapatkan alamat terkininya dan ada pihak memberitahu dia kini berada di Geting, Tumpat,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Menurutnya yang kini menetap di Petaling Jaya, Selangor, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menjejaki ibunya namun menemui jalan buntu.
Nor Hazimah yang bekerja sebagai pembantu klinik berkata, dia tidak mengetahui umur dan tidak memiliki foto ibunya.
Ujarnya, orang ramai yang mengenali ibunya diharap dapat menghubunginya di talian 013-6663937.
Gara-gara tidak mementingkan kesihatan diri, seorang pemuda menderita menghidapi sakit buah pinggang kronik.
Ia berlaku akibat tidak menjaga pemakanan hariannya dengan mengamalkan tabiat makanan tidak sihat termasuk nugget.
Namun, ia bukan pengakhiran buat pemuda ini, atas kesedaran untuk kembali sihat pemudah berjaya meningkatkan tahap kesihatannya selepas meninggalkan tabiat pemakanan yang tidak sihat itu.
Memetik laporan Sinar Harian, Pemuda, Muhd Idzwan Syafiq Mohd Johari, 33, yang sebelum ini disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir pada Oktober 2023, kini menunjukkan pemulihan apabila buah pinggangnya beransur pulih daripada tahap lima ke tahap tiga.
Muhd Idzwan Syafiq (kiri) yang mendapat rawatan bersama Dr Ab Aziz (kanan)- Foto: Sinar Harian
Lebih menyedihhkan dia juga pernah terlantar selama tiga tahun bermula 2019 akibat masalah tulang belakang kerana jatuh tangga semasa berat badan masih 150 kilogram (kg) selain berpenyakit gout dan darah beku di paru-paru.
Menurut Idzwan, tabiat pemakanannya dahulu banyak bergantung kepada makanan diproses yang tinggi garam, gula dan perasa tiruan hingga berat badannya pernah mencecah 190 kg.
“Dulu saya tak peduli tentang pemakanan. Saya suka makanan segera, minuman manis dan segala jenis sos.
“Tetapi apabila disahkan sakit buah pinggang tahap akhir, saya mula sedar kesilapan saya,” katanya semasa ditemui pada Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2025 di Pusat Penjagaan Kesihatan, Neo Medicare di sini pada Khamis.
ENAM SESI DIALISIS
Pada November 2023, Idzwan menjalani enam sesi dialisis, namun terpaksa berhenti kerana mengalami jangkitan kuman akibat parut gout di tangan dan badan.
Sejak itu, dia nekad untuk cuba memulihkan buah pinggang secara semula jadi dengan mengawal pemakanan dan menjalani rawatan alternatif seperti bekam, sauna, rendaman dan terapi bioelektrik di Neo Medicare.
“Saya mula makan lebih banyak sayur-sayuran seperti bayam dan timun, mengelakkan protein haiwan dan produk tenusu, serta menggantikan gula dengan madu.
“Saya juga berhenti mengambil sebarang makanan berproses seperti nuget dan makanan segera lain.”
Hasil perubahan itu, berat badannya turun kepada 55kg dalam tempoh enam bulan dan lebih mengagumkan, tahap buah pinggangnya beransur pulih membolehkannya hidup lebih bertenaga tanpa kebergantungan pada dialisis.
“Sebelum ini saya sering letih, muka dan kaki bengkak serta tidak boleh kencing selama empat bulan. “Sekarang, saya boleh bergerak aktif dan tidak lagi mengalami simptom teruk,” katanya.
Bagaimanapun, Idzwan masih berdepan cabaran kesihatan, termasuk perlu menjalani pembedahan tulang belakang kerana besi yang dipasang dalam tubuhnya mula terkeluar, namun, beliau tetap optimis dan berharap kisahnya menjadi inspirasi kepada pesakit lain.
“Saya mungkin tak boleh makan seperti dulu, tapi saya masih ada nikmat lain untuk disyukuri dan akan teruskan perjuangan untuk hidup lebih sihat,” katanya yang mempunyai pendorong kuat iaitu ibu, Che Piah Che Seman, 68.
Tidak lama lagi, umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, hari kemenangan selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan.
Dalam keterujaan menanti Syawal, pastinya ramai yang sudah mula sibuk membuat persiapan, termasuk membeli baju raya.
Malah, minggu ini mungkin menjadi waktu paling sibuk untuk memilih warna tema yang sesuai untuk seisi keluarga!
Bagi sesetengah orang, pemilihan baju raya bukan sekadar soal fesyen atau trend semata-mata, tetapi juga melambangkan keseragaman, kesepakatan, dan keharmonian dalam keluarga. Tidak hairanlah ramai yang sanggup meluangkan masa untuk mencari warna yang serasi, agar suasana di pagi raya nanti lebih bermakna.
Namun tahun ini, untuk tahun 2025, trend warna tema raya dijangka lebih moden, elegan, dan mempunyai sentuhan klasik yang timeless.
Warna baju raya 2025 yang dijangka menjadi pilihan utama pada tahun ini adalah seperti berikut:
Olive green Royal blue Burgundy Lilac Magenta Teal Blue
Pilihan Warna Baju Raya 2025 & Maknanya
1️ Olive Green – Warna hijau zaitun melambangkan ketenangan, kestabilan, dan keanggunan. Ia juga sering dikaitkan dengan alam semula jadi serta simbol kedamaian dan keseimbangan.
2️ Royal Blue – Biru diraja membawa maksud kemewahan, keyakinan, dan kebijaksanaan. Warna ini mencerminkan keanggunan yang klasik dan memberi aura ketenangan serta ketegasan pada si pemakai.
3️ Burgundy – Warna merah keunguan ini melambangkan keberanian, kemewahan, dan kematangan. Ia juga dikaitkan dengan kekuatan emosi dan ketegasan dalam membuat keputusan.
4️ Lilac – Ungu pastel yang lembut ini mencerminkan kelembutan, romantik, dan aura ketenangan. Warna ini sering dikaitkan dengan kreativiti dan personaliti yang bersahaja tetapi menarik.
5️ Magenta – Warna yang menyerlah ini membawa maksud tenaga, keceriaan, dan keyakinan tinggi. Ia melambangkan keberanian untuk menonjol dan memberikan kesan moden serta segar.
6️ Teal Blue – Warna melambangkan ketenangan jiwa dan keikhlasan hati. Ia mencerminkan personaliti yang bersifat mendalam yang memberikan aura yang unik dan elegan.
Sama ada anda memilih warna yang lembut dan menenangkan atau tona yang berani dan penuh keyakinan, setiap warna membawa makna tersendiri yang menyerlahkan keunikan diri. Jadi apa pilihan anda? Selamat memilih warna baju raya dan Selamat Hari Raya Aidilfitri.