Kediaman pelakon sensasi Rozita Che Wan, atau lebih dikenali sebagai Che Ta, telah didatangi pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada pagi ini.
Tindakan tersebut dipercayai diambil susulan kegagalan pelakon itu melunaskan hutang pinjaman dengan agensi berkenaan yang dianggarkan hampir mencecah RM1 juta.
Barangan milik pelakon Rozita Che Wan, dianggarkan bernilai hampir RM100,000, disita oleh pihak mahkamah hari ini.
Memetik laporan Kosmo, ketika serbuan dibuat pagi ini, hanya kelibat ibu pelakon tersebut sahaja yang ada mendiami rumah mewah di Kota Damansara. Manakala salah seorang anak pelakon itu tiba selepas satu jam pihak Mara memasuki rumah tersebut.
Ads
Menurut peguam yang mewakili Majlis Amanah Rakyat (MARA), writ penyitaan telah diserahkan kepada ibu pelakon itu kerana Rozita tidak berada di kediamannya di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
“Hari ini kita serahkan writ, buat penilaian harga barang dan penyitaan. Ini kehadiran kali kedua ke rumah Rozita.
“Kami pernah hadir kali pertama bulan lalu tetapi tidak mendapat kerjasama. Jadi kali ini kami dapat perintah mahkamah untuk masuk.
Ads
“Nilai anggaran barang rumah tadi tidak sampai RM100,000, kebanyakan barangan peribadi,” katanya mewakili Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Tambah wanita berkenaan, pihaknya kini menunggu arahan selanjutnya dari mahkamah untuk melakukan proses lelongan, dijangka dalam masa dua minggu lagi.
Ads
Katanya, apa-apa proses rundingan selepas ini perlulah melalui mahkamah.
Murid tahun dua patah tulang hidung, retak tulang bahagian mata akibat dipukul rakan sekolah. Seorang murid lelaki Tahun Dua di sebuah sekolah di daerah ini mengalami kecederaan serius apabila tulang hidungnya patah dan tulang berhampiran matanya retak selepas didakwa dipukul beberapa rakan sekolah dalam kejadian pada 30 Julai lalu.
Ibu mangsa, Rifka Amelia Bustomi Sofian, 37, berkata, dia menyedari insiden itu apabila anak keduanya pulang ke rumah sekitar jam 4 petang dalam keadaan hidung berdarah serta muka lebam.
Bimbang melihat keadaan anaknya, beliau segera membawa kanak-kanak tersebut ke sebuah klinik swasta. Hasil pemeriksaan X-ray mengesahkan tulang hidung mangsa patah.
“Anak saya pernah beritahu sering dibuli sebelum ini, tetapi saya tidak sangka sampai tahap begini.
“Dia diserang oleh sekumpulan murid, ada yang memegang tangan supaya dia tidak dapat lari, ada yang menolak dan menumbuk mukanya sehingga dia terjatuh, menyebabkan tulang hidung patah serta retak tulang di bahagian mata,” katanya ketika ditemui di pekarangan HSNZ pada Rabu.
Rifka Amelia memaklumkan pihak klinik turut menasihatinya membuat laporan polis sebelum kes dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
“Hari ini anak saya telah menjalani rawatan di HSNZ untuk menyambung semula tulang hidung yang patah dan masih dalam pemantauan pihak hospital,” jelasnya.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berpunca daripada pertukaran kelas ketika sesi Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA).
“Kebetulan anak saya dari kelas lain dan menumpang di kelas itu. Saya diberitahu anak saya telah merosakkan sarung meja di kelas tersebut sebelum dipukul oleh beberapa murid lain.
“Anak saya dipukul oleh beberapa murid dan ada antaranya tidak dikenal pasti kerana dari kelas lain. Untuk kes sarung meja rosak itu saya telah bayar RM15 untuk menggantikan sarung baru,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa ini bukan kali pertama anaknya cedera di sekolah. Pada Jun lalu, anaknya pernah dibaling batu oleh murid lain hingga cedera di bahagian mata, namun ketika itu beliau tidak membuat laporan polis.
“Sebelum ini, pada Jun lalu, dia pernah dibaling batu oleh murid lain, tetapi saya tidak membuat laporan polis, namun kali ini saya putuskan untuk mengambil tindakan undang-undang.
“Saya tidak mahu ada lagi murid lain yang menerima nasib serupa dengan anak saya kerana sebelum ini telah banyak kes sebegini didakwa berlaku di sekolah ini,” ujarnya.
Tambahnya, pihak sekolah telah memanggil ibu bapa yang terlibat untuk berbincang pada Isnin lalu.
“Ada ibu bapa yang telah bertemu dan hantar mesej kepada saya untuk memohon maaf, namun saya difahamkan masih ada murid terlibat yang masih tidak diambil tindakan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kes ini dipercayai berpunca daripada ejek-mengejek.
“Kes ini telah dirujuk kepada pihak pengurusan sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” jelasnya.
Masuk ke hospital bukanlah sesuatu yang diingini sesiapa. Namun, jika ia berlaku, ada perkara yang lebih penting daripada sekadar kehadiran pelawat.
Dr. Zubaidi dalam perkongsiannya menyentuh tentang hak pesakit untuk berehat dan fokus kepada proses penyembuhan tanpa gangguan pelawat.
Pandangan beliau dalam memastikan kesejahteraan pesakit, sekaligus menitikberatkan aspek kesihatan dan keselamatan semua pihak.
Dr. Zubaidi mendedahkan pandangannya menerusi Facebook miliknya bahawa lebih selesa untuk tidak menerima pelawat, kecuali daripada sahabat terdekat atau saudara mara yang benar-benar rapat.
Keputusan ini dibuat bukan kerana sikap tidak menghargai, tetapi kerana ingin mengelakkan risiko “cross infection” di hospital.
Tempat ini sememangnya penuh dengan pelbagai kuman yang boleh menjangkiti sesiapa, terutamanya pesakit atau pelawat yang lebih berusia.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa pesakit memerlukan masa untuk berehat tanpa terganggu dengan pertanyaan yang sama berulang kali tentang keadaan mereka.
Doa dari jauh sudah memadai dan jauh lebih bermakna dalam situasi seperti ini. Lebih sesuai jika kehadiran pelawat ditunda sehingga pesakit benar-benar sihat dan sudah kembali ke rumah.
Dr. Zubaidi juga mengingatkan, kadang-kadang perkara kecil seperti ini boleh membantu mempercepatkan proses pemulihan seseorang.
Tidak perlu tergesa-gesa untuk melawat, tetapi fokus kepada memberi sokongan moral yang tidak membebankan pesakit.
“Jika ditakdirkan saya masuk hospital, saya lebih suka tidak dilawati sehingga saya benar-benar sembuh atau dilawati selepas rawatan sempurna dan balik rumah. (Semoga ia tidak berlaku) Kecuali sahabat terdekat atau saudara mara yang rapat. Saya tak kecil hati jika tiada orang melawat ketika saya terbaring di katil wad. Bimbang juga cross infection dari saya kepada pelawat atau dari pelawat kepada saya. Di hospital ini sebenarnya pelbagai jantung kuman yang boleh berlaku. Sekeliling kita semua pesakit yang boleh menjangkiti atau dijangkiti. Terutama pelawat atau pesakit warga mas. Saya pun tak perlu saya bercerita berulang kali apa yang berlaku. Jadi ada masa untuk berehat sepenuhnya.
Doa dari jauh pun sebenarnya pun dah bagus. Kecuali saya sudah lebih sihat di rumah. Boleh layan berborak di rumah.
Semoga Allah permudahkan kesihatan pesakit-pesakit yang sedang berjuang di katil hospital.
Hakikatnya, setiap pesakit berhak membuat keputusan terbaik untuk diri mereka semasa tempoh rawatan. Hormatilah pilihan mereka untuk berehat dan sembuh dalam keadaan yang lebih tenang.
Seperti kata Dr. Zubaidi, “Doa dari jauh pun sudah cukup baik.” Semoga semua pesakit yang sedang berjuang di hospital diberikan kesembuhan oleh Allah SWT dan dipermudahkan segala urusan mereka. Ingatlah, kadang-kadang sokongan yang paling bermakna datang dari kesungguhan doa kita, bukan sekadar kehadiran fizikal.
Hasrat sebuah keluarga untuk meluangkan masa bersama menerusi aktiviti pendakian bertukar tragedi apabila remaja berusia 19 tahun, Nur Izzati Humaira Azizul, ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai tersesat ketika mendaki Bukit Changkat Asa, Tanjung Malim.
Penemuan Allahyarham pada hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu meruntun hati ramai, apatah lagi mangsa sebelum ini dilaporkan hilang ketika menuruni bukit bersama keluarganya pada Sabtu lalu.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, mayat mangsa ditemukan oleh anggota SAR kira-kira jam 11.59 pagi di kawasan luar laluan mendaki.
“Mangsa ditemukan kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir dia dilihat dan satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
“Pasukan SAR mengambil masa 20 minit membawa mayat ke PKTK menggunakan pengusung,” katanya kepada Bernama.
Mayat Nur Izzati kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu bagi proses bedah siasat.
Terdahulu, operasi SAR yang memasuki hari keempat dimulakan pada jam 8 pagi dengan penglibatan pelbagai agensi keselamatan. Operasi itu disambung semula selepas ditangguhkan pada jam 6.30 petang sehari sebelumnya.
Difahamkan, Nur Izzati dipercayai tersesat sekitar jam 10.50 pagi Sabtu lalu ketika menuruni bukit bersama keluarganya.
Mangsa dikatakan mengambil keputusan untuk berjalan sendirian agar tiba lebih awal kerana berasa panas dan penat. Namun, langkah itu akhirnya bertukar detik cemas apabila dia gagal dikesan selepas itu.
Kehilangan Nur Izzati mengundang kebimbangan keluarga serta orang ramai yang mengikuti perkembangan operasi pencarian sejak awal. Harapan untuk menemui mangsa dalam keadaan selamat bagaimanapun bertukar pilu apabila remaja berkenaan ditemukan tidak bernyawa.
Lebih menyedihkan, pemergian Allahyarham berlaku ketika usianya masih muda. Pastinya kehilangan ini meninggalkan kesan yang sangat mendalam buat keluarga, apatah lagi aktiviti bersama yang sepatutnya menjadi kenangan indah akhirnya berakhir dengan berita duka.
Tragedi Bukit Changkat Asa ini turut mengundang perhatian ramai di media sosial yang menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa dan menghargai usaha pasukan penyelamat sepanjang operasi dijalankan.
Tragedi ini juga menjadi peringatan kepada orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika melakukan aktiviti pendakian atau rekreasi di kawasan bukit dan hutan.
Walaupun laluan kelihatan biasa, risiko tersesat, keletihan, cuaca panas atau terpisah daripada kumpulan boleh berlaku tanpa diduga.
Justeru, pendaki dinasihatkan sentiasa bergerak secara berkumpulan, tidak meninggalkan rakan atau ahli keluarga bersendirian, membawa bekalan air mencukupi serta memaklumkan keadaan diri kepada ahli kumpulan sepanjang pendakian.
Selain itu, penggunaan aplikasi navigasi, wisel keselamatan dan pengecas telefon mudah alih juga boleh membantu ketika berlaku kecemasan di kawasan pendakian.
Semoga roh Allahyarham Nur Izzati Humaira Azizul dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Buat keluarga Allahyarham, semoga terus diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan yang cukup berat ini.
Michelle Yeoh mencipta pencapaian membanggakan apabila dinobatkan The Asian Filmmaker of the Year 2026 sempena Festival Filem Antarabangsa Busan ke-31.