
Meluangkan masa bersama anak mempunyai banyak manfaat dalam membina hubungan keluarga yang bahagia dan sejahtera.
Kualiti hubungan sesama anak dan ibu bapa amat penting agar keluarga dapat terus hidup dalam suasana penuh kasih sayang, perhatian dan saling memahami.
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menerapkan kehidupan anak mereka dengan penuh kasih sayang dan perhatian secukupnya sejak mereka kecil lagi agar otak dan pemikiran mereka dipenuhi dengan perkara yang positif.
Manfaatkan masa bersama anak dengan melakukan pelbagai aktiviti bersama mereka kerana perkara ini akan memberi impak yang besar terhadap tumbesaran anak.
Walaupun ibu bapa mempunyai kesibukan dan tanggungjawab harian, masa berkualiti yang diberikan kepada anak boleh membuatkan mereka berasa dihargai dan disayangi.
Salah satu manfaat yang memberi impak positif terhadap anak antaranya adalah:
1. Menerima Anak Anda Seadanya
Setiap anak mempunyai keunikan dan keistimewaan mereka tersendiri yang lahir dalam diri mereka. Namun, mereka juga ada kekurangan seperti dari segi akademik atau cara mereka berfikir.
Ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam menerima diri anak seadanya sama ada kelebihan atau kelemahan mereka.
Jangan terlalu membandingkan anak dengan orang lain kerana setiap anak mempunyai kemampuan, perkembangan dan kelebihan yang berbeza.
2. Ketahui Minat Anak Anda
Minat tergolong dalam pelbagai perkara seperti minat dalam sesuatu sukan, hobi atau perkara yang menarik minat anak itu sendiri. Lain anak, lain minat mereka yang tersimpan dalam hati.
Meluangkan masa bersama anak juga membolehkan ibu bapa mengenali minat dan kebolehan mereka dengan lebih dekat.
Kadangkala, perhatian dan kesediaan ibu bapa untuk mendengar cerita mengenai minat mereka sudah cukup membuatkan anak berasa gembira.
3. Luangkan Masa Bermain Dengan Anak Anda
Dalam meluangkan masa bersama anak, selitkan masa bermain bersama mereka ketika mereka sedang bermain. Sentiasa menemani mereka dalam apa jua keadaan.
Jadikan rutin harian ini dipenuhi masa bersama mereka dengan sesuatu yang menyeronokkan dan memberikan perhatian sepenuhnya kepada mereka.
Aktiviti tidak perlu terlalu rumit kerana perkara mudah seperti bermain permainan, membaca buku, melukis atau melakukan aktiviti di rumah juga boleh menjadi kenangan yang bermakna.
4. Perhatikan dan Puji Anak Anda Mengenai Perkara-Perkara Baik Yang Mereka Lakukan
Manusia amat suka akan pujian dan perbualan mesra lebih-lebih lagi pujian ibu bapa terhadap anak mereka.
Mereka akan cenderung dalam berinteraksi dengan ibu bapa mereka bagi mendapatkan lebih banyak maklum balas yang baik dan positif.
Pujian terhadap usaha mereka juga penting dan bukan hanya diberikan apabila anak mencapai kejayaan.
5. Dengar Apa Yang Ingin Diperkatakan Oleh Anak Anda
Apabila ibu bapa meluangkan masa bersama anak, ini juga salah satu cara untuk memberi peluang dalam memahami anak tersebut.
Suara anak akan sentiasa rasa didengari dan mereka rasa lebih percaya terhadap ibu bapa dalam meluahkan apa yang mereka rasakan.
Berikan mereka peluang untuk bercerita mengenai perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian, sama ada sesuatu yang menggembirakan atau perkara yang mengganggu perasaan mereka.
Meluangkan Masa Bersama Anak Membina Kenangan Berharga
Meluangkan masa bersama anak amatlah memainkan peranan yang penting dan dapat membantu anak-anak membesar dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh.
Sudah pasti kelakuan ini akan memberikan pengaruh yang baik dan ihsan terhadap anak hingga mereka meningkat dewasa.
Hubungan yang dibina sejak kecil juga dapat membantu mewujudkan komunikasi yang lebih baik antara ibu bapa dengan anak.
Dalam pada yang sama mereka juga akan membalas jasa dan pengorbanan yang telah ditaburkan ibu bapa mereka semenjak mereka kecil.
Walaupun kasih seorang ibu dan bapa tidak dapat ditandingi, akan tetapi anak akan menghargai dan menyayangi lebih-lebih lagi bila ibu bapa semakin berusia.
Justeru, meluangkan masa bersama anak bukan sekadar berada di sisi mereka, tetapi memberikan perhatian, mendengar, bermain dan memahami kehidupan mereka.
Masa yang kelihatan singkat bagi ibu bapa boleh menjadi sesuatu yang sangat bermakna buat seorang anak.