
Nama Tan Sri Michelle Yeoh sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila diumumkan sebagai penerima anugerah The Asian Filmmaker of the Year 2026 sempena Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF) ke-31.
Pengiktirafan berprestij itu diberikan kepada individu atau organisasi yang memberi sumbangan luar biasa terhadap perkembangan industri perfileman Asia.
Menerusi kenyataan rasmi BIFF, Michelle disifatkan sebagai pelakon versatil yang berjaya mengubah persepsi terhadap watak wanita dalam filem aksi, selain muncul sebagai antara figura paling berpengaruh dalam sejarah sinema Hong Kong.
Pencapaiannya turut menjadi penanda aras kecemerlangan penggiat seni Asia apabila beliau mencipta sejarah sebagai wanita Asia pertama memenangi Anugerah Akademi bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Everything Everywhere All at Once
.Menurut penganjur, karisma, gaya dan penghayatan lakonannya membolehkan Michelle Yeoh terus menyerlah merentasi industri perfileman Asia dan Hollywood serta memikat penonton dari seluruh dunia.
Pengiktirafan terbaharu ini sekali lagi meletakkan nama anak kelahiran Malaysia itu dalam kalangan tokoh penting perfileman dunia selepas lebih empat dekad membina kerjaya di layar perak.
Michelle memulakan kerjaya lakonannya menerusi filem Yes, Madam! pada tahun 1985 sebelum namanya semakin dikenali menerusi beberapa filem popular seperti Police Story 3: Supercop, Wing Chun, Tomorrow Never Dies dan Crouching Tiger, Hidden Dragon.
Popularitinya terus berkembang di peringkat antarabangsa menerusi filem Crazy Rich Asians, Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings serta Wicked.
Sepanjang perjalanan kerjayanya, Michelle Yeoh bukan sahaja berjaya membina nama dalam industri perfileman Asia, malah turut mencipta pengaruh besar di Hollywood menerusi pelbagai watak dan genre.
Terbaharu, aktres berusia 64 tahun itu turut mencipta sejarah sebagai wanita Asia pertama menerima Honorary Golden Bear
pada Festival Filem Antarabangsa Berlin 2026, sekali gus mengukuhkan legasinya sebagai antara ikon terbesar dunia perfileman antarabangsa.Rentetan pencapaian tersebut memperlihatkan bagaimana kerjaya yang dibina sejak era 1980-an terus berkembang sehingga Michelle menerima pelbagai pengiktirafan tertinggi di pentas antarabangsa.
Menurut BIFF, hubungan Michelle dengan festival tersebut bermula sejak tahun 2002 dan beberapa filem lakonannya pernah ditayangkan di sana.
Sempena edisi kali ini, tiga filem pilihannya iaitu Reign of Assassins, Everything Everywhere All at Once dan Sandiwara bakal dipertontonkan menerusi segmen khas Special Program in Focus.
Filem terbaharunya, It’s My Time, turut dijadualkan untuk ditayangkan sepanjang festival berkenaan.
Hubungan yang terjalin selama lebih dua dekad itu kini menyaksikan Michelle Yeoh menerima salah satu pengiktirafan utama daripada festival berkenaan menerusi gelaran The Asian Filmmaker of the Year 2026.
Anugerah The Asian Filmmaker of the Year akan disampaikan kepada Michelle pada majlis pembukaan BIFF ke-31 di Busan Cinema Center pada 6 Oktober 2026
, manakala festival berlangsung sehingga 15 Oktober 2026.Pengiktirafan tersebut menjadi satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan seni Michelle Yeoh, selain membawa kebanggaan kepada Malaysia apabila namanya terus mendapat penghormatan daripada industri perfileman antarabangsa.
Daripada seorang anak Malaysia yang membina nama sejak lebih empat dekad lalu hingga menjadi antara bintang paling disegani di Hollywood, perjalanan Michelle membuktikan bahawa usaha, disiplin dan keberanian untuk terus mencabar diri mampu membawa seseorang jauh ke pentas dunia.
Tahniah Tan Sri Michelle Yeoh! Satu lagi pencapaian membanggakan yang terus mengangkat nama Malaysia di mata dunia.
BACA LAGI : Michelle Yeoh Anak Malaysia Pertama Menang Oscar, Terus Hubungi Ibu Selepas Terima Anugerah!
Sumber : Kosmo