Setiap kali menjelang bulan ramadan, pasti lauk ini menjadi salah satu ‘wajib’ ada di atas meja bersama hidangan lain. Namun, kini telur masin sudah menjadi menu biasa. Baik dihidangkan bersama Nasi putih ataupun dijadikan bahan tambahan dalam masakan lain
Mungkin cara penyediaannya yang ringkas serta boleh dinikmati dengan pelbagai gaya hidangan membuatkan telur masin menjadi pilihan ramai. Terasa keenakkannya bila disalut pada Ketam Masak sambal ataupun Nasi Goreng.
Jika anda gemarkannya, apa kata anda buat sendiri telur masin. Jika tiada telur itik, boleh saja kalau menggunakan telur ayam.
BAHAN-BAHAN:
13 biji telur ayam | dibersihkan
Ads
1 cawan garam kasar
2 ½ cawan air
CARA MEMBUAT:
Ads
Masukkan air dan garam ke dalam periuk. Masak sehingga larut.
Padamkan api dan biar air garam betul-betul sejuk.
Ads
Masukkan telur yang telah dibersihkan ke dalam baling dan masukkan air garam yang telah disejukkan tadi.
Tutup balang dan simpan selama 2 minggu sebelum dicuba.
Sumber: Rasa.my
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Andai ada kesalahan yang anak-anak kita lakukan, acap kali juga kita akan mudah marah-marah hingga keterlaluan. Alasan kita biasanya untuk mendidik, apa yang kita buat ke atas mereka, kita rasakan betul dan wajar.
Namun, sekali sekala kita juga sering terlupa bahawa apa yang telah kita lakukan itu tiada kewajarannya dan akhirnya akan timbul rasa sesal di dalam diri. Perasaan yang sama juga telah dirasai oleh seorang ayah ini dan ini kisahnya dikongsikan agar turut memberi manfaat dan panduan untuk ibu ayah yang lainnya dalam mendidik anak-anak.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini.
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.
Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun.
Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.
Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Didikan Terbaik
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul. Katanya:
1. Mendidik anak bukan seperti mendidik orang dewasa, perlu belaian dan kasih sayang yang berlebihan daripada walinya dan ibunya.
2. Tarik minat anak-anak dengan ilmu agama, sirah nabi.
3. Tegur anak dengan baik, bukan menengking, memboikot malah menarik muka mahupun tidak bertegur sapa beberapa hari.
4. Rujuk cara nabi Muhammad melayan anak-anak.
5. Anak kalau bergaduh sesama, itu biasa. Bagi masa untuk mereka suaikan diri, bagi peluang semua merasa dan bagi menang-menang, bukan sorang menang, sorang kalah.
6. Anak merajuk, ambil hati anak. Bukan dibiarkan begitu sahaja dengan dunia rajuknya.
7. Dengarkan anak dengan bacaan al Quran dari bibir kita sendiri, perlahan-lahan anak ini akan jadi anak yang patuh pada arahan kita, lembut hatinya mendengar kata.
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.
Sesal Menyapa
Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.
Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Anak Anugerah Agung
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.
sumber : WS Adli,
Belajar dari kesalahan dan kesilapan diri.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Bagi penyanyi terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL), pemergian suami tersayang, Allahyarham Ashraf Sinclair benar-benar di rasai. Apatah lagi, pemergian suami tersayang dalam keadaan mengejut.
Sebelum Ini, Bunga berkongsi luahan hatinya menerusi lirik lagu ’12 Tahun Terindah’ yang cukup menyentuh hati apatah lagi ia merupakan nukilan khas Bunga buat arwah suaminya.
Menerusi bait-bait lirik tersebut, Bunga menceritakan 12 tahun bersama Ashraf merupakan kenangan paling terindah buat dirinya.
Terbaru, Bunga berkongsi kisah ‘Love Story’ sewaktu bersama arwah Ashraf dan bagaimana dia melangkah hari-hari yang mendatang tanpa kehadiran suami tercinta di sisi.
Menerusi temu bual bersama pelakon terkenal Indonesia, Daniel Mananta, Bunga berkongsi tentang kehidupannya terlebih dahulu sebelum kehadiran Ashraf.
Menurutnya, dia seorang anak kecil yang hidup berpindah-randah dan sukar untuk mempunyai rakan. Ini kerana, dia mengikut kedua ibu bapanya yang mempunyai urusan kerja di tempat yang berbeza-beza.
Tambah Bunga, dia tidak seperti kanak-kanak yang lain dan terpaksa berjumpa dengan pelbagai orang daripada pelbagai latar belakang termasuklah budaya. Meskipun sudah menceburi bidang nyanyian, Bunga masih meluahkan rasa ’empty’ sehinggalah dia bertemu dengan Ashraf.
“Saya anak pertama dan kena lindungi keluarga. Jadi saya perlukan pasangan hidup yang sama iaitu pandai berdikari. Arwah sangat menghargai setiap pengorbanan saya. Malah, dia sentiasa ada untuk saya. Saya tak perlu nak jaga ego Ashraf sebab kami memang ditakdirkan sepadan dan Ashraf merupakan pilihan yang terbaik buat saya. Saya rasa jadi diri sendiri bila bersama dia.
“Ashraf seorang ‘fighter’. Dia akan berjuang untuk hidupnya dan orang yang dia sayang. Di sisi lemah, dia seorang yang mempunyai perasaan mudah simpati terhadap orang di sekitarnya dan ternyata kedua-dua ciri Ashraf itu sama dengan saya. Satu perkara lagi, saya suka cara dia atasi sesuatu masalah dan ‘sense’ yang dia punya,” ujar Bunga lagi.
Malah, cara ibu bapa Ashraf yang romantik, sering bersama dan meluangkan masa untuk berbincang membuatkan Bunga yakin Ashraf bakal jadi suami yang terbaik. Jelas Bunga lagi, dia yakin Ashraf bakal mengikut jejak langkah ayah dan ibunya selepas mereka berkahwin.
Kata bunga, bapa mentuanya sering membuka pintu kereta untuknya apabila mereka keluar bersama. Perkara tersebut membuatkan Bunga sangat tersentuh dan percaya bahawa keluarga Ashraf merupakan keluarga yang baik dan mempunyai kualiti tersendiri.
“Saya tak pernah fikir hidup tanpa Ashraf walaupun dia pergi pun bukan dengan ketentuan saya. Apa yang boleh saya cakap, selepas kahwin, Ashraf selalu mencari masa untuk meluangkan masa bersama saya dan Noah.
“Pengorbanan yang dia lakukan itu sungguh luar biasa terutama apabila saya tengok kehidupan pasangan suami isteri yang lain selepas arwah meninggal dunia. Ashraf selalu memudahkan keadaan. Kalau saya sedar dari awal, sudah tentu saya akan memberikan pujian yang lebih buat arwah.
Mengulas mengenai detik percutian terakhir mereka sekeluarga, Bunga memberitahu dia, Noah dan Ashraf sempat bercuti di Melbourne dan Bali. Mereka memilih untuk menyambut tahun baru di luar negara dan ingin merasai pengalaman menaiki belon panas di negara berkenaan.
Jelasnya, dia dan Noah sangat gayat pada waktu itu. Demi permintaan Ashraf, mereka bertiga akhirnya berjaya naik ke atas dan merakam beberapa foto serta memori indah bersama.
Mengenai percutian di New York, Bunga menjelaskan bahawa dia mempunyai urusan kerja di sana. Pada awalnya, hanya dia dan beberapa orang rakan termasuk ‘Team Bunga’ sahaja yang akan pergi. Oleh kerana risau tiada siapa yang akan menguruskannya apabila tiba di sana, dia mengajak Ashraf untuk turut serta. Memandangkan Ashraf juga teringin melakukan ‘diving’ di sana. Itulah momen percutian yang terakhir buat mereka ujar Bunga.
“Pada hari Ashraf meninggal, saya baru pulang dari kerja dan masih menguruskan hal kerja yang lain sehingga waktu pagi. Sewaktu saya bawa Ashraf pergi ke rumah sakit bersama Noah, saya dah tahu Ashraf mungkin sudah tiada lagi. Namun, Noah berkata mungkin doktor boleh tolong dan merawat ayahnya.
“Noah hanya mampu duduk dan tidak mahu melihat wajah ayahnya pada waktu itu. Saya pula dah ready dan tahu dia sudah meninggal. Saya cuma perlu fikir nak uruskan Noah sebab dia sedih dan tahu ayahnya sudah tiada. Saya jelaskan kepada Noah yang saya tak mampu buat apa-apa dan doktor sudah mencuba sedaya upaya.
“Paling saya terkejut ayat Noah pada waktu itu, siapa yang akan teman mummy nanti bila daddy tak ada?. Noah juga tidak sangka ayahnya akan pergi ketika usianya masih kecil.
Dalam pada itu, Bunga turut meluahkan perasaan kecewa kerana tidak meluangkan sepenuh masa bersama keluarganya terutama di saat-saat akhir Ashraf hendak pergi buat selamanya.
Dia tidak menyangka semua ini berlaku dalam sekelip mata. Kehilangan Ashraf merupakan satu tamparan yang hebat buatnya dan dia mengambil masa yang agak lama untuk pulih daripada kehilangan tersebut.
“Bunga memberitahu dia tidak sedar langsung sepanjang proses pengebumian arwah Ashraf dan kebanyakannya diuruskan oleh keluarga dan rakan-rakan. Selepas seminggu Ashraf pergi dan pandmeik Covid-19 mula berlaku, Bunga baru merasakan kehilangan tersebut. Dia juga berasa sakit di bahagian dada dan sukar untuk bernafas.
Oleh itu, dia terus berjumpa dengan doktor dan menghentikan kesemua urusan kerjanya. Bunga banyak menghabiskan hari-harinya dengan membaca buku dan mencari kekuatan untuk membesarkan Noah secara sendiri.
Saya pernah cakap terfikir kalau saya meninggal siapa yang mahu menjaga Noah. Dahulu saya pernah terdetik kalau saya pergi dulu, saya yakin Ashraf akan jaga dan sayang Noah dengan baik sekali. Saya tahu dia mampu membuat Noah bahagia. Kini, saya perlu mencari kekuatan supaya mampu menjadi insan yang kuat buat Noah.
“Saya sedih melihat Noah kerana tidak mempunyai ayah pada usia yang masih kecil. Saya masih mempunyai ibu dan bapa kandung namun, tetapi Noah sudah tiada ayah. Sukar untuk mencari pengganti Ashraf yang mampu membahagiakan Noah. Ini kerana, Ashraf merupakan ayah terbaik.
Kini, Bunga memberitahu bahawa dia meluahkan segala isi hatinya menerusi sebuah buku yang diberikan oleh arwah Ashraf. Menurutnya, arwah Ashraf pernah berpesan supaya dia menulis dan merancang kehidupan pada masa akan datang.
Ujar Bunga, menerusi penulisan tersebut dia bakal mendapatkan kekuatan seperti mana yang dilakukan oleh arwah suaminya sebelum ini. Bunga turut berkongsi bahawa dia pernah menerima sebuah buku bewarna merah daripada Ashraf sebelum mereka berkahwin.
Buku tersebut mengandungi semua kisah mengenai Ashraf sehinggalah mereka bertemu. Bunga juga tidak sangka, buku yang diberikan oleh arwah suaminya itu merupakan hadiah yang terakhir sepanjang mereka bersama.
Buat anda yang pernah merasa keenakan menu Koey Teaw Th’ng di Penang tentu akan berasa rindu untuk menikmatinya lagi. Namun dek kerana kita tidak dapat untuk merentas negeri, apa kata kali ini anda sediakan sendiri untuk dinikmati bersama seisi keluarga. Hari-hari makan nasi dengan menu yang hampir sama, tidak berselera juga dibuatnya.
Jadi apa kata rajinkan diri memasak Koey Teaw Th’ng sepertimana resipi yang dikongsikan oleh Azlan Rahman ini. Bahan-bahan yang digunakan juga tidak susah untuk didapati, petik jari pun boleh buat.
Ini perkongsiannya;
Cuti-cuti macam ni selalu teringat kampong halaman makanya tekak pon nak rasa masakan Kampong halaman.. Dipersembahkan Koay Teow T’ng Penang Style.
Orang Penang mesti pernah makan & sukaaaaa kan resepi seperti berikut :
Semangkuk Koay Teow T’ng Penang Style mengandungi:
Koay Teow (dicelur)
Sup Ayam
Minyak Bawang Putih (WAJIB ADA!!!)
Sambal
Condiments: Fishball + Fish Cakes + Lobak Masin + Daun Bawang
Optional : Teloq Burung Puyuh
Bahan-Bahan Sup:
4 Ketul Isi ayam (bahagian dada)
1 Kiub Pati Ayam
Seketul Halia (dipotong nipis)
2-3 Ketul Gula batu (ikut manis yg nak)
Garam
3-4 Keping Sengkuang (optional)
Rebus semua bahan2 di atas sampai ayam masak.. kemudian angkat isi ayam & carik2kan… air rebusan tu jadikan broth menu ni..
broth / sup ni kena manis..pandai-pandai agak & adjust dengan garam sikit
Nota kaki: dalam broth/sup tu nk boh tulang2 ayam sikit pun sedap..hehe pandai2 la olah..
Bahan-Bahan Sambal:
2-3 Ulas Bawang Merah
1- 2 Ulas Bawang Putih
Cili Kering (diblender) – ikut kepedasan yang kita nak
Sedikit Sos Tomato
Tumis bawang merah & putih yg telah dihiris
Hampir garing, masukkan cili kering
Masak sampai pecah minyak
Add in sos tomato sikit
Masukkan sikit garan & gula
Dan.. SIAP!!! (sambal jgn manis sebab sup dah manis)
Bahan-Bahan Minyak Bawang Putih:
2 – 3 Labu Bawang Putih
Minyak masak untuk menggoreng
Sedikit minyak bijan
Racip bawang putih haluih2.. kecik2.. kalau malas, p beli kat tesco yg dah siap potong kecik2
Panaskan minyak dan masukkan bawang putih tadi.. minyak banyak tak pa.. goreng hingga garing.. api jangan kuat sgt tau
Bawang hampir garing, titiskan 2-3 titik minyak bijan.. jangan banyak sgt, minyak bijan kuat flavour dia..
Dan… SIAP!!!
Maka, tersedialah menu ini.. Selamat mencuba & semoga memberi manfaat & kebahagiaan untuk kita sekeluarga.
Zara Qairina kembali menjadi perhatian apabila ucapan “Sanah Helwah Raa” daripada ibunya mengundang sebak ramai, menggambarkan rindu yang tidak pernah padam.