Keibubapaan

Hafaz 22 Surah Dalam Dua Bulan, Disiplin Murid Orang Asli Selepas Subuh Jadi Kunci Kejayaan

Share

Murid Orang Asli membuktikan bahawa disiplin yang dilakukan secara konsisten mampu membuahkan hasil luar biasa apabila berjaya menghafaz 22 surah lazim dalam tempoh hanya dua bulan.

Kejayaan itu diraih oleh Muhamad Nazirul Hakim Marzuky, 12, daripada suku Semai yang berasal dari Batu 12, Gombak, Selangor apabila dinobatkan sebagai johan kategori lelaki pertandingan hafazan sempena Karnival Fitrah Murid Orang Asli (KAFOA), Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan peringkat kebangsaan.

Menurut laporan BERNAMA, anak ketiga daripada lima beradik itu menjadikan waktu selepas solat Subuh sebagai rutin utama untuk membaca serta mengulang hafazan al-Quran setiap hari.

“Saya menghafaz setiap hari selepas solat Subuh hingga matahari terbit. Alhamdulillah, saya hanya mengambil masa kira-kira dua bulan untuk menghafaz 22 surah lazim termasuk al-Fil, al-‘Alaq, at-Tin dan an-Nas,” katanya.

Cover image via BERNAMA & Bahagian Pendidikan Islam KPM / Facebook

Murid Orang Asli Minat Menghafaz Sejak Tahun Dua

Minat Nazirul terhadap al-Quran mula berputik ketika berada di Tahun Dua hasil dorongan dan galakan daripada ibunya, Kamsiah Bah Aden, 45, yang merupakan seorang suri rumah.

Walaupun perlu membahagikan masa antara pembelajaran di sekolah dan hafazan, Nazirul tetap berusaha memastikan rutin mengulang bacaannya setiap pagi tidak pernah ditinggalkan.

“Walaupun perlu membahagikan masa antara persekolahan dan hafazan, disiplin mengulang bacaan setiap pagi menjadi kunci kejayaan saya,” katanya.

Menurutnya, amalan mengulang hafazan secara konsisten bukan sahaja membantu menguatkan ingatan, malah menjadikan bacaan lebih lancar dan yakin ketika pertandingan.

Murid Orang Asli Sasar Hafaz 30 Juzuk

Kemenangan tersebut bukan sahaja membanggakan keluarga serta guru-gurunya, malah menjadi pembakar semangat untuk meneruskan perjalanan sebagai penghafaz al-Quran.

Nazirul kini memasang impian untuk menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran sekurang-kurangnya pada tahun hadapan.

“Kemenangan ini memberi semangat kepada saya untuk menghafaz 30 juzuk al-Quran sekurang-kurangnya pada tahun depan,” katanya.

Selain mahu bergelar hafiz al-Quran, Nazirul turut bercita-cita menyarung jersi negara sebagai pemain sepak takraw suatu hari nanti.

Sokongan Keluarga Dan Guru Jadi Pemangkin

Di sebalik kejayaan murid Orang Asli ini, sokongan ibu bapa serta bimbingan guru menjadi faktor penting dalam membentuk disiplin dan semangatnya.

Bapanya, Marzuky Agus Azlan, 42, turut mempelajari taranum Giharkah, Kurdi dan Hijaz bagi membantu memperindah bacaan al-Quran anaknya.

Nazirul juga menerima tunjuk ajar daripada dua orang guru, Masiswandi Muhamad dan Nuruddin Suhaimi yang sentiasa membimbing serta memperbaiki bacaan dan hafazannya.

Juara Perempuan Turut Cipta Kecemerlangan

Bagi kategori perempuan, Nur Dalia Eryna Abdul Halim, 12, yang juga berasal dari Gombak berjaya muncul sebagai juara selepas menghafaz 23 surah lazim termasuk surah al-Fatihah dalam tempoh kira-kira setahun.

Dalia menggunakan kaedah merakam bacaannya sendiri sebelum mendengar semula rakaman tersebut selama kira-kira sejam setiap malam bagi mengukuhkan hafazan.

“Saya berharap kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada anak-anak Orang Asli lain untuk terus mendalami al-Quran,” katanya.

Dalia turut menyasarkan untuk menghafaz 30 juzuk dalam tempoh tiga tahun dan bercita-cita menjadi seorang ustazah.

Kejayaan Jadi Inspirasi Kepada Anak Orang Asli

Karnival Fitrah Murid Orang Asli bukan sahaja mempertandingkan acara hafazan, malah turut menampilkan pertandingan Dai Cilik, nasyid, azan dan iqamat serta slot kerohanian bagi memperkukuh akidah dan ibadah murid.

Kejayaan Nazirul dan Dalia membuktikan bahawa latar belakang bukanlah penghalang untuk seseorang anak mencipta kecemerlangan. Dengan disiplin, sokongan keluarga serta bimbingan guru, impian besar mampu dicapai sedikit demi sedikit.

Kisah mereka diharap dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai murid Orang Asli di seluruh negara untuk terus mengejar ilmu, mendalami al-Quran serta berusaha mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan sahsiah.

BACA LAGI : “Jaga Rezeki, Tinggalkan Syubhah”, Amalan Keluarga Bantu Tengku Umayr Cemerlang Hafaz 30 Juzuk

Sumber : BERNAMA